Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1362: BOLEHKAH SESEORANG MUSLIM MEWASIATKAN HARTANYA KEPADA NON-MUSLIM

ak1362

Soalan

Assalamualaikum Dato’ saya ingin bertanya berkenaan ayah saya ada mewasiatkan motosikal kepada jiran saya yang bukan beragama islam. Bolehkah diberikan kepadanya.

Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Wasiat

Pengurusan dan perancangan harta merupakan satu perkara yang sangat digalakkan di dalam Islam. Oleh itu wasiat merupakan satu inisiatif dalam pelaksanaan sistem kewangan yang terdapat di dalam Islam.

Syarat yang ditetapkan dalam melakukan wasiat sepertimana yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya:

wasiat disunatkan pada menggunakan satu pertiga daripada hartanya atau kurang, bukan daripada waris yang mewarisi harta pusaka. Dan afdhal mendahului kepada ahli yang terdekat yang tidak mewarisi harta pusaka” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/539)

Hadis daripada Saad bin Abi Waqas RA:

عن سعاد بن أبي وقاص رضي الله عنه, قُلتُ: يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ

Maksudnya: Daripada Saad bin Abi Waqqas RA, aku telah berkata: “Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia”.

Riwayat al-Bukhari (2742)

Syarat-syarat Penerimaan Wasiat

Dalam menentukan penerimaan wasiat, Syeikh Muhammad Zuhaili membahagikan kepada dua penerimaannya iaitu dikhususkan dan tidak dikhususkan. Dan setiap daripadanya terdapat syarat yang ditetapkan di antaranya:

  • Penerima wasiat yang khusus adalah penerima yang ditentukan, khusus bagi orang perseorangan atau organisasi seperti masjid. Dan ini disyaratkan mereka boleh menerima wasiat tersebut dan tidak sah mewasiatkan kepada si mati. Selain itu, penerima wasiat itu bukanlah daripada golongan waris pewasiat yang menerima harta pusaka.
  • Penerima wasiat yang tidak dikhususkan iaitu wasiat berbentuk umum seperti wasiat kepada fakir miskin, masjid, sekolah, orang yang berjihad di jalan Allah, kaum kerabat yang tidak menerima pusaka, pesakit, ahli zimmah dan wasiat berkenaan haji dan umrah. Selain itu, wasiat ini bukanlah untuk tujuan kemaksiatan seperti mengimarahkan gereja dan lain-lain.

Adapun dalam isu penerimaan wasiat bagi orang kafir adalah diharuskan seperti harus memberi sedekah dan hibah kepada mereka. Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan:

Sah mewasiatkan kepada Zimmi, al-Mu’ahad, Harbi atau Murtad ini seperti sah penerimaan sedekah dan hibah kepada mereka”.

Selain itu, disyaratkan kepada wasiat itu bukan bertujuan untuk kemaksiatan seperti mengimarahkan gereja, penulisan kitab Injil dan Taurat serta membacanya, penulisan falsafah yang batil, dan berkenaan dengan ajaran sesat sama ada penerimaan wasiat itu muslim atau kafir. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/543-547)

Begitu juga yang disebut di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah mengikut pandangan fuqaha’ Syafieyyah menyatakan sah mewasiatkan kepada kafir Zimmi sekiranya ia dikhususkan seperti contoh “aku mewasiatkan kepada si fulan”. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/312)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas, di haruskan untuk memberi wasiat kepada orang bukan islam yang di kenali dan dikhususkan dengan kadar maksimum satu pertiga daripada harta pusaka dan bukan bertujuan kepada perkara-perkara maksiat. Ini seperti yang terdapat di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah:

Para fuqaha’ dari kalangan Hanafiah, Hanabilah dan kebanyakan daripada Syafi’eyyah menyatakan sah memberi wasiat seseorang Muslim itu kepada kafir Zimmi atau kafir Zimmi kepada Muslim. Ini kerana orang kafir itu tidak dinafikan hak permilikannya seperti sah jual beli dan hibah kepada orang kafir begitu juga dengan wasiat”. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-kuwaitiyyah, 2/312)

Ini sepertimana firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

(Surah al-Mumtahinah, 8)

Namun, sunat dan afdhal sekiranya mewasiatkan kepada golongan yang memerlukannya daripada golongan kerabat terdekat yang tidak termasuk di dalam waris pembahagian harta pusaka. Ini kerana sedekah jariah adalah afdhal disedekahkan kepada kaum kerabat yang terdekat. Hadis daripada Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه

Maksudnya: Apabila matinya manusia, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.

Riwayat al-Muslim (1631)

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya.