Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1372: ADAKAH SAH MENUNAIKAN SOLAT FARDHU KETIKA AZAN BERKUMANDANG

ak1372

Soalan

Assalamualaikum Dato. Saya ada satu soalan. Oleh kerana saya terkejar-kejar waktu untuk menaiki flight, saya melakukan sembahyang fardhu ketika azan sedang dilaungkan. Adakah sah sembahyang fardhu saya ketika saya melakukan solat semasa bilal sedang melaungkan azan.

Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Azan

Azan merupakan salah satu daripada syi’ar Islam bertujuan menyeru kepada manusia bahawa masuknya waktu solat fardhu serta mengajak umat Islam supaya menunaikan solat secara berjemaah. Ini seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya: “Azan dan Iqamah merupakan dua Syi’ar Islam, dan disyariatkannya selepas masuk waktu solat dan sebelum menunaikan solat”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/179)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)

(Surah al-Jumuah 9)

Begitu juga hadis daripada Sulaiman dan Malik bin Huwairis R.Anhuma sabda Nabi SAW:

إِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ، ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Maksudnya: Apabila tiba waktu solat hendaklah seorang di kalangan kamu azan dan yang lebih dewasa menjadi imam.

Riwayat al-Bukhari (6008)

Tujuan Melaungkan Azan

Di antara tujuan serta syarat untuk melaungkan azan adalah memberitahu masuknya waktu solat fardhu. Ini seperti hadis yang didatangkan di atas. Syeikh Muhammad Zuhaili telah meletakkan beberapa syarat sah bagi melaungkan azan, dan di antaranya ialah masuknya waktu solat.

Katanya: “Disyaratkan untuk melaungkan azan adalah masuknya waktu. Ini kerana bertujuan untuk memberitahu bahawa telah masuknya waktu solat. Maka tidak sah dan tidak harus melaungkannya sebelum masuk waktu solat dengan sepakat para fuqaha’ (Ijma’) kerana ini boleh menyebabkan keraguan. Dan dikecualikan pada azan subuh yang pertama yang dilaungkan pada setengah malam. Ini disebabkan kerana azan Sunnah”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e: 1/185)

Selain itu, Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitabnya menyatakan: “Azan dan Iqamah merupakan sunat muakkad bagi setiap solat fardhu. Adapun selain daripada solat fardhu yang disunnatkan melakukannya secara Jemaah seperti solat dua hari raya, solat gerhana dan solat jenazah tidak disunatkan melaungkan azan dan iqamah akan tetapi dengan berkata الصلاة جامعة bermaksud: marilah melakukan solat secara berjemaah”. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 1/120)

Syarat Sah Solat

Terdapat pelbagai syarat sah solat di antaranya ialah suci daripada hadas, suci daripada najis, menutup aurat, masuk waktu dan mengadap kiblat.

Seperti yang diketahui solat fardhu lima waktu telah ditetapkan waktu untuk menunaikannya dan wajib mematuhinya. Ini kerana ia merupakan syarat sah solat. Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah al-Nisa’, 103)

Selain itu cara mengetahui masuknya waktu solat adalah dengan cara berikut:

  1. Mengetahuinya dengan yakin, Iaitu berpengang kepada dalil yang nyata seperti melihat terbenamnya matahari
  2. Ijtihad, iaitu berpegang kepada dalil yang kukuh yang mempunyai petunjuk tidak langsung seperti bayang-bayang atau dengan mengukur lama masa bekerja.
  3. Taqlid. Sekiranya tidak mungkin mengetahui masuk waktu dengan yakin atau ijtihad seperti tidak tahu tentang waktu-waktu solat dan dalil-dalilnya, dia hendaklah bertaqlid sama ada kepada orang yang mengetahuinya melalui dalil-dalil yang nyata atau kepada seseorang mujtahid yang berpegang kepada dalil-dalil yang kukuh.

(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 1/123)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan dan penjelasan yang diberikan, mengerjakan solat ketika azan berkumandang adalah sah solatnya. Ini kerana azan merupakan tanda masuknya waktu solat dan di antara syarat sah solat adalah mengerjakannya setelah masuk waktu.

Namun, melakukan solat selepas azan adalah lebih afdhal. Ini kerana hadis daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma sabda Nabi SAW:

اذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya: Apabila kamu mendengar seruan muazzin, jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku, sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang di kalangan hamba Allah, dan aku berharap akulah orangnya. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.

Riwayat Muslim (384)

Oleh itu, melakukan solat selepas azan dapat melakukan tuntutan yang disunatkan semasa azan berkumandang seperti menjawab azan, berselawat dan memohon doa kepada Allah SWT. Dan dengan melakukan perkara berikut akan mendapat ganjaran istimewa yang dijanjikan Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.