Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1382: WAKTU LARANGAN JUAL BELI PADA HARI JUMAAT

JUAL BELI JUMAAT.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Larangan jual beli ketika hari Jumaat, adakah selepas azan pertama, azan kedua, atau apabila bermulanya khutbah Jumaat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Surah al-Jumu’ah (9)

Imam Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT “إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ” (Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang), beliau menyebut: “Yang dimaksudkan dengan al-nida’ (seruan azan) ini adalah azan yang kedua, yang telah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW, iaitu apabila Baginda SAW keluar dan duduk di atas minbar. Kerana pada ketika itu, azan dikumandangkan di hadapan Baginda. Maka azan inilah yang dimaksudkan. Adapun azan pertama itu yang telah ditambah oleh Amir al-Mukminin Uthman ibn Affan R.A adalah disebabkan bilangan umat Islam ketika itu semakin bertambah ramai.” (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 4/316)

Seterusnya, dalam firman Allah SWT: “وَذَرُوا الْبَيْعَ” (dan tinggalkanlah berjual-beli), Ibn Kathir menjelaskan: “Maksudnya bersegeralah kamu beralih untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli apabila diseru untuk mengerjakan solat. Oleh kerana itu, para ulama' sepakat mengharamkan jual beli yang dilakukan setelah dikumandangkan azan yang kedua. Kemudian mereka berbeza pendapat berkenaan sah dan tidaknya jual beli yang dilakukan ketika terdengar suara azan. Mengenai yang terakhir ini, terdapat dua pendapat. Dan zahir ayat di atas menunjukkan bahawa jual beli tersebut dikira tidak sah sebagaimana yang telah ditegaskan dalam perbahasannya yang tersendiri. Wallahu a'lam.” (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 4/316)

Oleh itu, dapat difahami bahawa, pengharaman jual beli berlaku selepas dikumandangkan azan kedua. Pada zaman Nabi SAW, azan Jumaat hanya dilakukan sekali sahaja, iaitu ketika khatib naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Azan pertama diperkenalkan ketika zaman Uthman R.A kerana pertambahan bilangan umat Islam yang semakin ramai. Al-Saib bin Yazid R.A meriwayatkan dengan katanya:

كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الْإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ . قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الزَّوْرَاءُ مَوْضِعٌ بِالسُّوقِ بِالْمَدِينَةِ

Maksudnya: “Dahulu azan pada hari Jumaat dilakukan di awal ketika imam berada di atas minbar. Ini dilakukan pada zaman Nabi SAW, Abu Bakr dan ‘Umar R.Anhuma. Namun ketika zaman ‘Uthman R.A, disebabkan terlalu ramainya jemaah, beliau menambah azan sehingga tiga kali (termasuk iqamah) di al-Zaura’.” Abu ‘Abdillah berkata, “al-Zaura’ adalah salah satu tempat di pasar di Madinah.”

Riwayat al-Bukhari (912)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Menurut riwayat Waki’ dari Ibn Abi Dzi’b, Uthman mengarahkan supaya dilakukan azan pertama. Begitu juga menurut riwayat Imam Syafi’i dari sanad tersebut. Tidak ada percanggahan antara keduanya, kerana ungkapan tambahan itu disebut al-thalith (yang ketiga), dan ungkapan untuk muqaddimah (permulaan) bagi azan dan iqamah itu disebut (azan) awwal. (Lihat Fath al-Bari, 3/318)

Di dalam kitab al-Ibda’, disebut seperti berikut: “Ketika zaman Uthman ibn Affan, wujud keperluan kerana bertambahnya umat Islam serta ketiadaan sikap bersegera menuju ke masjid sebagaimana yang terjadi pada zaman sebelumnya, lalu Uthman mengarahkan untuk mengumandangkan azan (pertama) untuk (mengingatkan) solat Jum’at di al-Zaura.” (Lihat kitab al-Ibda’, 1/64)‎

Imam Ibnu Kathir setelah menyebut hadis di atas, menyatakan: “Maksudnya adalah azan itu dikumandangkan di atas sebuah rumah yang disebut al-Zaura’, dan al-Zaura’ adalah rumah yang paling tinggi di Madinah berdekatan masjid.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/122)

Ibn Qudamah berkata, “Azan ketika masa Rasulullah SAW adalah azan setelah imam duduk di minbar. Maka hukum dikaitkan dengan azan kedua tersebut, sama sahaja sama ada azan tersebut sebelum atau sesudah zawal (matahari tergelincir ke barat).” (Lihat al-Mughni, 2/145)

Kami nukilkan juga di sini beberapa pendapat ulama’ dalam isu ini, antaranya:

  • Mazhab Maliki dan Hanbali menyebut bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua, iaitu ketika khatib telah naik ke atas minbar.

Imam al-Tahawi menyebut: Azan yang dikira (dalam hal ini) adalah ketika imam keluar menaiki minbar. Maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi SAW. (Lihat Mukhtasar al-Tahawi, hlm 24)

  • Ulama’ Mazhab Hanafi mempunyai pelbagai pendapat dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah pasti haram, manakala sebahagian mereka ada yang berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.

Berdasarkan apa yang dinyatakan, dapat difahami bahawa hukum berjual beli selepas azan kedua adalah haram menurut kesepakatan keempat-empat mazhab.

 

Kesimpulan

Kami telah nyatakan dalam keputusan Perundingan Hukum Syarak berkenaan dengan isu jual beli di perkarangan masjid ketika berlangsungnya azan pada hari Jumaat. Kami tegaskan di sini bahawa apabila azan yang kedua, maka tidak dibenarkan lagi jual beli kerana ia bercanggah dengan nas yang sahih.

Kami nasihatkan kepada penjual dan pembeli, elakkan makan minum atau berjual beli di perkarangan masjid ketika azan yang kedua. Adapun azan yang pertama, sepatutnya kita sudah berada di dalam masjid untuk menunaikan solat dan mendengar khutbah dengan tenang serta mendapatkan saf yang di hadapan.

Semoga pencerahan ini menjadikan kita lebih untuk mengikuti Syariah Allah. Amin.