Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1496: HUKUM PEGANG KAABAH KETIKA TAWAF UMRAH

ak1496

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada satu soalan, semasa saya mengerjakan tawaf ketika umrah keadaan saya berdekatan dengan kaabah. Bolehkah saya pegang dinding kaabah ketika tawaf.

Jawapan

Waalaikumsalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Tawaf merupakan salah satu daripada rukun haji dan umrah. Terdapat pelbagai jenis tawaf seperti Tawaf Ifadhah, Tawaf Umrah, Tawaf Wida’ dan selainnya.

Menurut istilah syara’ tawaf melakukan pusingan mengelilingi al-bait al-haram. Ibadah tawaf dilakukan dengan mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan berserta rukun dan wajibnya. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu

(Surah al-Hajj, 29)

Syarat-Syarat sah Tawaf

Disimpulkan kenyataan Syeikh Zain bin Ibrahim Sumait dan Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitab mereka berkenaan dengan syarat-syarat tawaf iaitu:

  1. Menutup aurat. Ia merupakan syarat tawaf sepertimana syarat sahnya solat.
  2. Suci daripada hadas dan najis pada pakaian dan tempat
  3. Kedudukan kaabah mestilah di sebelah kiri
  4. Permulaan ibadah tawaf bermula dari hajar aswad. Mestilah merangkumi keseluruhan badan ketika permulaan tawaf di hajar aswad. Dan sekiranya sebaliknya maka tidak sah tawafnya
  5. Mestilah mencukupi tujuh pusingan. Dan sekiranya syak pada bilangannya maka ambillah bilangan yang sedikit seperti solat.
  6. Melakukan tawaf di dalam masjid. Dan sekiranya diluar kawasan masjid maka batal tawafnya. Sah sekiranya pada tingkat kedua dan sutuh (bumbung) masjid. Dan ini merupakan ijma’ ulama’.
  7. Mestilah diluar kawasan kaabah, Syazarwan dan Hijr Ismail. Disyaratkan melakukan tawaf diluar kawasan kaabah dengan keseluruhan anggota badannya.

(Lihat: al-mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/346 dan al-Taqrirat al-Sadidah, 480)

Tawaf di Luar Kawasan Kaabah

Di dalam syarat melakukan tawaf mestilah berada di luar kawasan kaabah. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan kaabah merupakan binaan segi empat. Dan dikenali sebagai al-Bait al-Haram dan ia sangat dimuliakan. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/261)

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan “mestilah melakukan ibadah tawaf luar dari kawasan kaabah termasuk Syazarwan iaitu lebihan binaan dibawah dinding kaabah dan Hijr Ismail yang terletak di bahagian utara kaabah yang dilingkungi oleh dinding yang melengkung”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/345)

Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RAnha, Sabda Nabi SAW:

صَلِّي فِي الْحِجْرِ إِذَا أَرَدْتِ دُخُولَ الْبَيْتِ فَإِنَّمَا هُوَ قِطْعَةٌ مِنَ الْبَيْتِ

Maksudnya: Solatlah di dalam al-Hijr (Hijr Ismail) sekiranya kamu hendak masuk ke dalam al-Bait (kaabah). Ini kerana ia (Hijr Ismail) termasuk di dalam kawasan al-Bait (Kaabah)

Riwayat Abu Daud (2028)

Semasa melakukan tawaf hendaklah keseluruhan badan berada di luar kawasan kaabah termasuk kawasan Syazarwan dan Hijr Ismail. Ini kerana kedua-dua itu termasuk di dalam kawasan kaabah. Ini seperti yang disebut di dalam al-Fiqh al-Manhaji: Disyaratkan tidak memasukkan daripada mana-mana bahagian badan ke dalam kawasan kaabah. Hendaklah melakukan tawaf di luar kawasan hijr Ismail, ini kerana Hijr termasuk di dalam kawasan kaabah. Maka tidak harus tawaf di dalamnya”.

(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/141)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan yang diajukan dan perbahasan yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa perbuatan memegang kaabah ketika tawaf merupakan perbuatan yang membatalkan pusingan tawaf tersebut. Ini kerana dengan memegang kaabah maka sebahagian anggotanya berada di dalam kawasan kaabah.

Ini seperti yang dinyataka di buku Soal Jawab Ibadah Haji, Umrah dan Ziarah menyatakan tidah sah pusingan tawaf jika seseorang itu menyentuh atau memijak kakinya di Syazarwan sama ada berlapik atau tidak kerana ia termasuk dalam binaan kaabah. (Lihat: Soal Jawab Ibadah Haji, Umrah dan Ziarah TH, 88)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.