Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1694 : BOLEHKAH SOLAT JENAZAH DILAKUKAN DI TEMPAT SELAIN MASJID ?

AK1694

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, saya ingin bertanya adakah solat jenazah itu mesti dilakukan di masjid ? Atau boleh juga dilakukan di tempat yang lain ? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat jenazah merupakan salah satu fardhu kifayah ke atas diri seorang muslim terhadap saudaranya yang telah meninggal dunia. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan solat jenazah. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

 مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ

Maksudnya : Tidak ada seorang lelaki muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun yang mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut).

Riwayat Muslim (948)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa isu tempat dilaksanakan solat jenazah ini memang ada dibahaskan oleh para fuqaha terdahulu. Berikut kami kongsikan beberapa pendapat para fuqaha’ berkenaan isu ini :

Pertama : Sebahagian fuqaha’ seperti Al-Syafi’eyyah berpendapat bahawa menunaikan solat jenazah di masjid itu hukumnya adalah mustahab (disunatkan). Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi dalam kenyataannya :

الصَّلَاةُ عَلَى الْمَيِّتِ فِي الْمَسْجِدِ صَحِيحَةٌ جَائِزَةٌ لَا كَرَاهَةَ فِيهَا بَلْ هِيَ مُسْتَحَبَّةٌ

Maksudnya : Solat ke atas jenazah di masjid adalah sah lagi dibolehkan. Tidak ada kemakruhan padanya bahkan ia adalah mustahab (disunatkan). Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/213).

Pendapat ini terbina berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Salamah bin Abd al-Rahman beliau berkata :

أَنَّ عَائِشَةَ لَمَّا تُوُفِّيَ سَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ قَالَتِ ادْخُلُوا بِهِ الْمَسْجِدَ حَتَّى أُصَلِّيَ عَلَيْهِ‏ فَأُنْكِرَ ذَلِكَ عَلَيْهَا فَقَالَتْ وَاللَّهِ لَقَدْ صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى ابْنَىْ بَيْضَاءَ فِي الْمَسْجِدِ سُهَيْلٍ وَأَخِيهِ

Maksudnya : Sesungguhnya A’isyah ketika mana meninggalnya Sa’d bin Abi Waqqas beliau berkata : ‘’Masukkan jenazahnya ke dalam masjid supaya aku boleh mendirikan solat ke atasnya’’. Namun hal ini tidak dipersetujui. Lalu beliau berkata : ‘’Demi Allah, sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah melakukan solat ke atas (jenazah) dua anak lelaki Baydha’ iaitu Suhail dan saudaranya di dalam masjid’’.

Riwayat Muslim (973)

Kedua : Manakala sebahagian ulama lain pula memakruhkan perbuatan solat jenazah di masjid. Antara yang berpegang dengan pendapat ini adalah Al-Hanafiyyah dan juga Al-Malikiyyah. Antara hujah yang digunakan adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَلاَ شَىْءَ

Maksudnya : Sesiapa yang melakukan solat ke atas jenazah di dalam masjid, maka tidak mendapat apa-apa ke atasnya.

Riwayat Abu Daud (3191)

Meskipun begitu, hujah ini dikritik oleh kumpulan yang pertama iaitu mereka yang berpegang kepada pendapat mustahabnya solat jenazah di masjid. Imam Al-Nawawi menyatakan beberapa hujahan balas yang berikut :

  • Hadis tersebut adalah hadis yang dhaif seperti yang disebutkan oleh Imam Ahmad, Imam Ibn al-Munzir, Imam Al-Baihaqi dan selain mereka.
  • Dalam keseluruhan nuskhah yang mu’tamad bagi kitab Abu Daud, beliau menyebutkan riwayatnya dengan lafaz فَلَا شئ عَلَيْهِ (tidak ada apa-apa ke atasnya). Manakala riwayat yang menyebutkan فلا شئ لَهُ (dia tidak mendapat apa-apa) selain dari riwayat tersebut dha’if ia juga adalah riwayat yang gharib. Sekiranya ia sahih sekalipun, wajib meletakkannya ke atas makna فَلَا شئ عَلَيْهِ bagi menghimpunkan antara riwayat yang pelbagai. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/214).
  • Kami juga menambah, apabila kita merujuk kepada nuskhah yang muktamad bagi kitab Sunan Abi Daud, kita akan mendapati bahawa lafaz hadis tersebut adalah فَلَا شئ عَلَيْهِ . Dari sudut makna, kita boleh memahami bahawa sesiapa yang menunaikan solat jenazah di dalam masjid, maka tidak ada dosa ke atas dirinya, yakni tidak berdosa sekiranya dia melakukan solat jenazah di dalam masjid.

Justeru, berdasarkan beberapa pendapat di atas jelas kepada kita bahawa menunaikan solat jenazah di masjid itu adalah sunat hukumnya. Ini bererti, melakukan solat jenazah di dalam masjid bukanlah suatu syarat yang mana jika seseorang melakukan solat jenazah di tempat selain masjid dianggap sebagai tidak sah. Sebaliknya, adalah sah solat jenazah sekalipun ia tidak dilakukan di dalam masjid.

Antara riwayat yang menguatkan pendapat ini adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W memberitahu akan pemergian Al-Najasyi pada hari kematian beliau, kemudian baginda keluar menuju ke musolla dan seterusnya membuat saf bersama mereka dan baginda bertakbir sebanyak empat kali.

Riwayat Al-Bukhari (1245)

Petunjuk dari hadis di atas adalah, Rasulullah S.A.W keluar menuju ke musolla dan seperti yang kita maklum, ada perbezaan antara masjid dan juga musolla dari beberapa sudut sebagaimana yang disebutkan oleh para fuqaha’. Justeru, perkataan musolla yang terdapat di dalam hadis ini adalah tanah lapang, yang didirikan padanya solat secara berkala atau bersebab, seperti solat Istisqa’, solat Al-Kusufain (gerhana matahari dan bulan), dan seumpamanya.

Selain itu, antara hujah yang menunjukkan kepada bolehnya solat jenazah dilakukan di luar masjid adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

جُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا أَيْنَمَا أَدْرَكَ رَجُلٌ مِنْ أُمَّتِي الصَّلاَةَ صَلَّى

Maksudnya : Dijadikan buat aku tanah bumi ini sebagai masjid (tempat sujud) dan juga suci. Di mana sahaja seorang lelaki dari kalangan umatku mendapati waktu solat (telah masuk) maka dirikanlah solat (di mana dia berada).

Riwayat Al-Nasa’ie (736)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami akhiri kenyataan kami nyatakan bahawa tidak menjadi syarat bagi solat jenazah itu untuk dilakukan di dalam masjid. Justeru, boleh sahaja solat jenazah dilakukan di mana-mana tempat yang bersih dari najis lagi sesuai. Meskipun begitu, solat jenazah di masjid itu hukumnya adalah sunat dan lebih afdhal memandangkan ia merupakan tempat yang berkat lagi mudah untuk menghimpunkan jemaah yang ramai.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.