Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1715 : BOLEHKAH KANAK-KANAK MENJADI IMAM SOLAT ?

mumyyiz

 

SOALAN

Ketika kami ingin solat jemaah dalam kalangan ahli keluarga,  hanya terdapat seorang  sahaja kanak-kanak lelaki dan bakinya adalah wanita dewasa. Persoalannya, bolehkah   solat berjemaah berimamkan kanak-kanak  ?

Mohon pencerahan. Terima kasih 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat

Sebagai mukadimah, kami mulakan dengan hadis yang mengisahkan  Amru bin Salamah yang menjadi imam dari kaumnya pada zaman Nabi SAW ketika umurnya  enam atau tujuh tahun. Ini berdasarkan  hadis yang diriwayatkan Amru ibnu Salamah RA anhu:  

فقالَ: صَلُّوا صَلاةَ كَذا في حِينِ كَذا، وصَلُّوا صَلاةَ كَذا في حِينِ كَذا، فإذا حَضَرَتِ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ أحَدُكُمْ، ولْيَؤُمَّكُمْ أكْثَرُكُمْ قُرْآنًا. فَنَظَرُوا فَلَمْ يَكُنْ أحَدٌ أكْثَرَ قُرْآنًا مِنِّي، لِما كُنْتُ أتَلَقَّى مِنَ الرُّكْبانِ، فَقَدَّمُونِي بيْنَ أيْدِيهِمْ، وأنا ابنُ سِتٍّ أوْ سَبْعِ سِنِينَ، وكانَتْ عَلَيَّ بُرْدَةٌ، كُنْتُ إذا سَجَدْتُ تَقَلَّصَتْ عَنِّي، فَقالتِ امْرَأَةٌ مِنَ الحَيِّ: ألا تُغَطُّوا عَنَّا اسْتَ قارِئِكُمْ؟ فاشْتَرَوْا فَقَطَعُوا لي قَمِيصًا، فَما فَرِحْتُ بشيءٍ فَرَحِي بذلكَ القَمِيصِ.

Maksudnya :  Maka bersabda Baginda SAW : Solatlah kamu  semua, solat ini di waktu ini dan solat ini di waktu ini. Kemudian apabila waktu solat telah tiba, maka azanlah salah seorang di antara kamu dan hendaklah imam itu orang yang paling  banyak menghafaz al-Quran. Lalu mereka melihat (tercari-cari siapa yang layak dilantik imam). Akan tetapi, tiada seorang pun yang lebih banyak  menghafaz al-Quran melainkan aku. Hal ini kerana aku pernah belajar dengan sahabat-sahabat yang datang. Maka, mereka telah melantik aku menjadi imam mereka sedangkan ketika itu aku baru berumur enam tahun atau tujuh tahun. Ketika itu aku memakai burdah  yang boleh  menyebabkan akan terbuka punggung ku apabila sujud. Maka berkatalah seorang perempuan daripada kaum itu : Mengapakah kamu semua tidak menutup dari pandangan kami pungung imam kamu itu? Kemudian, mereka membeli kain lalu membuatkanku sehelai qamis (kemeja). Aku tidak pernah mendapat sesuatu sehebat kegembiraanku kerana mendapat qamis itu.

Riwayat al-Bukhari (4302)

Hadis ini menjadi hujah fuqaha mazhab syafie (Syafieyyah) terhadap sahnya imam kanak-kanak mumayyiz pada solat-solat fardhu.  (Lihat Fath al-Bari 8/ 23)

Berkata Imam Nawawi Rahimahullah dalam kitab Majmu’

قَالَ الْمُصَنِّفُ رَحِمَهُ اللَّه إذَا بَلَغَ الصَّبِيُّ حَدًّا يَعْقِلُ وَهُوَ مِنْ أهل الصلاة صحت امامته. وَقَوْلُ الْمُصَنِّفِ إذَا بَلَغَ حَدًّا يَعْقِلُ أَحْسَنُ مِنْ قَوْلِ مَنْ يَقُولُ إذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ لِأَنَّ الْمُرَادَ أَنَّهُ إذَا كَانَ مُمَيِّزًا صَحَّتْ صَلَاتُهُ وَإِمَامَتُهُ وَالتَّمْيِيزُ يَخْتَلِفُ وَقْتُهُ بِاخْتِلَافِ الصِّبْيَانِ فَمِنْهُمْ مَنْ يَحْصُلُ لَهُ مِنْ سَبْعِ سِنِينَ وَمِنْهُمْ مَنْ يَحْصُلُ لَهُ قَبْلَهَا

Apabila kanak-kanak sudah berakal, mereka berkelayakkan menjadi ahli solat, maka sah  solatnya dan turut sah menjadi imam. Kanak-kanak  mumayyiz  yang  sah  solatnya  adalah apabila telah sampai tahap berkemampuan untuk berfikir mana yang terbaik dan  apabila sampai had umur  tujuh tahun. Adapun  waktu  tamyiz (mampu membeza baik dan buruk)  tidak sama bagi setiap kanak-kanak sama ada mencapai umur  tujuh tahun atau sebelumnya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab 4/284)

Berkata al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya:

وَ تَصِحُّ الْقُدْوَةُ (لِلْكَامِلِ) وَهُوَ الْبَالِغُ الْحُرُّ (بِالصَّبِيِّ) الْمُمَيِّزِ لِلِاعْتِدَادِ بِصَلَاتِهِ، «وَلِأَنَّ عَمْرَو بْنَ سَلِمَةَ بِكَسْرِ اللَّامِ كَانَ يَؤُمُّ قَوْمَهُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وَهُوَ ابْنُ سِتٍّ أَوْ سَبْعٍ» ، رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.

وَلَكِنَّ الْبَالِغَ أَوْلَى مِنْ الصَّبِيِّ وَإِنْ كَانَ الصَّبِيُّ أَقْرَأَ أَوْ أَفْقَهَ لِلْإِجْمَاعِ عَلَى صِحَّةِ الِاقْتِدَاءِ بِهِ بِخِلَافِ الصَّبِيِّ، وَقَدْ نَصَّ فِي الْبُوَيْطِيِّ عَلَى كَرَاهَةِ الِاقْتِدَاءِ بِالصَّبِيِّ .وَتُكْرَهُ إمَامَةُ الْأَقْلَفِ بَعْدَ بُلُوغِهِ لَا قَبْلَهُ كَمَا قَالَهُ ابْنُ الصَّبَّاغِ

Sah hukumnya lelaki dewasa yang sempurna iaitu baligh dan merdeka untuk menjadi makmum bagi imam kanak kecil yang sudah  mumayyiz. Hal ini, karena solat anak kecil  sah hukumnya  berdasarkan hujah daripada hadis  Amru bin Salamah RA anhu  yang menjadi imam dari kaumnya pada zaman Nabi SAW ketika umur enam atau tujuh tahun. Namun, orang yang sudah baligh lebih aula (utama) berbanding kanak-kanak sekalipun kanak-kanak itu lebih faqih dan lebih baik bacaan ayat al-Quran berdasarkan ijma’ ulama ke atas sahnya solat dibelakang imam  yang baligh  berbeza dengan kanak-kanak. Sementara, telah dinaskan dalam kitab al-Buwaiti bahawa makruh solat berimamkan kanak-kanak dan makruh juga berimamkan orang quluf  (belum berkhatan) sekiranya ia sudah baligh (dewasa) seperti yang diperkatakan oleh Ibn Sibagh  (Lihat Mughni  al-Muhtaj 1/483). Ini bermakna yang paling afdhal mengutamakan imam dalam kalangan orang dewasa  berbanding kanak-kanak. Namun solat berimamkan kanak-kanak mumayyiz tetap sah.

Sementara  Imam as-Sayyid al-Bakri dalam kitabnya:

اى وكره أيضا اقتداء بأقلف وهو الذى لم يختن ، سواء ما قَبْل البلوغ وما بعده ، لأنه قد لا يحافظ على ما يشترط لصحة صلاته ، فضلا عن إمامته ، وهو غسل جميع ما يصل إليه البول مماتحت قلفته لأنها لما كانت واجبة الإزالة كان ما تحتها فى حكم الظاهر

Makruh berimamkan orang quluf  (belum berkhatan) sama ada ia sudah baligh atau belum. Hal ini  kerana mereka tidak dapat menjaga salah satu daripada syarat sah solat, apatah lagi syarat sahnya menjadi imam iaitu suci tubuh badan dengan membasuh tempat terkena air kencing (bahagian kulit yang wajib dikhatan) kerana apabila tempat tersebut wajib dibuang, maka apa yang dibawahnya dikira sebagai anggota yang nyata(Lihat I’anah al-Thalibin  2/47). Namun, al-Subki dan pengikutnya berpandangan tidak makruh berimamkan orang quluf  (belum berkhatan)  sekiranya tiada jemaah lain, bahkan lebih afdhal berimamkan kepadanya berbanding jika solat bersendirian. (Lihat I’anah al-Thalibin  2/48). Dapat difahami  bahawa solat orang yang belum berkhatan berkaitan rapat dengan kebersihan dari tempat terkena air kencing. Maka,  sah solat mereka yang belum berkhatan setelah disucikan tubuh badan  yang terkena najis kerana menjaga salah satu syarat sah solat.

Informasi tambahan, wanita tidak berhak menjadi imam bagi makmum lelaki, rujuk  artikel kami   pada ruangan Bayan Linnas siri ke 91 : Lelaki Berimam Wanita di Dalam Solat [1]  dan pada ruangan al-Kafi # 888 : Siapakah yang lebih layak menjadi Imam[2]

PENUTUP

Setelah meneliti hujah fuqaha’ diatas, kami simpulkan kepada beberapa noktah yang berikut :

  • Afdhal memberi keutaaman untuk memilih imam daripada kalangan orang dewasa mengikut turutan kelayakan berbanding imam  daripada  kalangan kanak-kanak yang sudah mumayyiz.
  • Meskipun begitu, sekiranya tiada pilihan, kanak-kanak mumayyiz boleh menjadi imam bagi solat fardhu mahupun solat sunat.
  • Kanak-kanak masih belum berkhatan (quluf) solatnya sah setelah disucikan anggota yang terkena najis kencing yang merupakan salah satu syarat sah solat. Namun, sebaiknya memilih imam yang sudah berkhatan.
  • Kanak-kanak yang dilantik menjadi imam mestilah mampu membaca al-Quran dan mengetahui syarat-syarat sah solat dan imam.
  • Soalan yang diajukan melibatkan situasi tiada lelaki dewasa untuk menjadi imam solat dalam kalangan ahli keluarganya yang terdiri daripada wanita, maka boleh kanak-kanak menjadi imam dalam situasi tersebut sekiranya boleh membaca al-Quran dengan betul dan telah sampai tahap mumayyiz (mampu membezakan baik dan buruk) iaitu pada umur 7 tahun atau sebelumnya.

Akhiri kalam, semoga penjelasan tersebut dapat memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama.

 

[1] https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/850-bayan-linnas-siri-ke-91-lelaki-berimamkan-wanita-di-dalam-solat

[2] https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2749-al-kafi-888-siapa-yang-lebih-layak-menjadi-imam