Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1732 : HUKUM MENDERMA DARAH DALAM RUMAH IBADAT ORANG BUKAN ISLAM

af1732 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Apakah hukum menderma darah di dalam rumah ibadat orang bukan Islam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Hukum menderma darah ialah diharuskan, bahkan sunat dan digalakkan di dalam Islam kerana ia adalah aktiviti tolong menolong atas kebaikan.  Ini selaras dengan firman Allah ﷺ:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa."

(Surah al-Ma’idah: 2)

Rujuk Irsyad Al-Fatwa #276: Hukum Menderma Darah; Al-Kafi Li Al-Fatawi Ke- 528: Hukum Menerima Darah Dan Organ Daripada Non-Muslim

Namun begitu, hukum memasuki rumah ibadat orang bukan Islam diperselisihkan hukumnya. Rujuk Irsyad Fatwa #248: Hukum Memasuki Rumah Ibadat Agama Lain Dan Menghadiri Majlis Perkahwinan Orang Kristian Di Gereja

Secara ringkas, pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie bahawa hukum memasuki rumah ibadat orang bukan Islam adalah haram sekiranya dimasuki tanpa izin, atau rumah ibadat itu mempunyai patung atau gambar yang diagungkan, atau aktiviti memasuki premis itu meninggikan syiar agama mereka. Sebahagian ulama mengharuskan sekalipun dengan wujud patung dan gambar dengan syarat tidak mengagungkan syiar mereka atau masuk tanpa izin.  

Rujuk Qowa`id al-Ahkam (2/132) oleh Imam Izzuddin bin Abdissalam; Tuhfah al-Muhtaj (9/295) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami; al-Mawahib al-Madaniyyah (2/398-399) oleh Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi.

Ini bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Talhah R.A, Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”

Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)

Rujuk Al-Afkar #47: Hukum Patung Sebagai Perhiasan untuk huraian lanjut.

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan dan fakta di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa diharuskan kepada orang Islam untuk menderma darah di rumah ibadat orang bukan Islam atas alasan keperluan, dengan syarat ia dilakukan dengan izin serta tidak melakukan apa-apa amalan yang menjadi syiar kepada agama mereka. Begitu juga hendaklah aktiviti menderma darah itu tidak bertujuan mempromosikan agama mereka kerana membantu kekufuran adalah suatu kekufuran jua. Sebaiknya seorang Muslim menderma darah di tempat-tempat yang jauh daripada tohmahan orang.

Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Kami doakan agar Allah ﷻ menerima amalan baik kita. Amin.

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.