Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1752 : HUKUM LELAKI MEMAKAI PAKAIAN BERCAMPUR SUTERA

 

SUTERA

 

Soalan :

Assalammualaikum, bolehkah lelaki memakai t-shirt yang bercampur  dengan sutera. Mohon pencerahan S.S Mufti, Terima  kasih .

Ringkasan Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga Baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

  • Hukum lelaki memakai pakaian yang diperbuat 100% daripada benang sutera adalah   haram.
  • Haram lelaki memakai pakaian bercampur sutera yang kadar kain suteranya lebih banyak atau lebih 50% berbanding material kain lain.
  • Harus lelaki memakai pakaian sutera sekiranya campuran sutera dengan material kain lain pada kadar yang sama iaitu  50% atau campuran sutera kurang 50%.
  • Pengecualian memakai sutera bagi kanak-kanak lelaki dan rukhsah diberikan kepada  kaum lelaki  hanya pada situasi darurat dan keperluan seperti mengalami penyakit kulit.

Huraian Jawapan

Hukum lelaki memakai sutera adalah haram. Hal ini berdasarkan  sabda Nabi SAW :

         أحلَّ الذهبُ والحريرُ لإناثِ أُمتي، وحُرِّم على ذكورِها

Maksudnya“Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya”.                                                                  

            Riwayat al-Nasa’ie (5163)

Ruslan al-Ramli al-Maqdisi al-Syafi’e menyatakan :

وخالص القز أو الحرير   أو غالبا إلا على الصغير

"(Diharamkan ke atas lelaki) memakai sutera tulen atau sutera  bercampur  yang kadar suteranya  lebih  banyak melainkan ke atas kanak-kanak."

يحرم عل الرجال أو الخنثى  أستعمال (وخالص القز أو الحرير)   من عطف  العام عل  الخاص فأو  بمعنى  الواو  إذا كان خالصا   أو غالبا أي مما  غالبه من القز  والخير لخبر لا تلبسوا الحرير والديباج بخلاف ما إذا كان غيره أكثر أو استويا وزنا فلا يحرم لأنه لا يسمى ثوب حرير والأصل الحل ويجوز لبسه لضرورة كفجأة حرب إذا لم يجد غيره ولحاجة كحكة وقمل إلا على الصغير أي ويحل للولي إلباس الصبي ولو مميزا الحرير.

Diharamkan  lelaki dan khunsa memakai sutera tulen atau sutera. Sekiranya sutera tulen  atau kadar suteranya lebih banyak (dominan) daripada campuran kain lain,  mereka (lelaki dan khunsa)  tidak boleh memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera). Berbeza pula material kain yang selainnya lebih banyak atau   kadar kainnya sama  rata  dengan sutera, maka  tidak haram  kerana tidak dinamakan  baju sutera.  Seterusnya memakai sutera dibenarkan hanya pada situasi darurat seperti tiada baju melainkan sutera dan pada situasi keperluan seperti  mengalami penyakit kulit. Kanak-kanak lelaki boleh memakai sutera  dan  penjaganya boleh   menggayakan anak lelakinya walaupun sudah mencapai had umur mumayyiz ( Lihat : Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Ruslan,  183)

Pengecualian bagi kaum lelaki  untuk  membolehkan memakai  kain sutera  disebabkan penyakit kulit berdasarkan hadis  daripada Anas bin Malik R.A :
 

رَخَّصَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلزُّبَيْرِ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ فِي لُبْسِ الْحَرِيرِ لِحِكَّةٍ بِهِمَا

Maksudnya : Nabi  SAW memberikan kelonggaran untuk Zubair dan Abd Rahman untuk memakai sutera karana penyakit gatal yang mereka derita

Riwayat al-Bukhari  5829 Muslim 2076

Ketika mensyarahkan hadis diatas, Ibnu Hajar menukilkan pandangan  al-Thabari:

قَالَ الطَّبَرِيُّ : فِيهِ دَلَالَة عَلَى أَنَّ النَّهْي عَنْ لُبْس الْحَرِير لَا يَدْخُل فِيهِ مَنْ كَانَتْ بِهِ عِلَّة يُخَفِّفهَا لُبْس الْحَرِير

al-Thabari Rahimahullah menyatakan dalil hadis yang menunjukkan  larangan bagi kaum lelaki yang menggunakan sutera tidak termasuk orang yang mempunyai  penyakit yang boleh berkurangan  dengan hanya  memakai pakaian sutera (Rujuk: Fath al-Bari, 10/295)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sekiranya t-shirt yang dipakainya  bercampur dengan kain sutera pada kadar 50%   sama banyak dengan kadar material kain lain atau campuran sutera kurang 50% maka pakaian tersebut dibenarkan bagi kaum lelaki memakainya. Sebaliknya, sekiranya kadar campuran kain sutera lebih banyak atau kadarnya melebihi 50%, daripada ,material lain, maka  pakaian t-shirt tersebut haram dipakai. Justeru,  para pengguna terutamanya kaum lelaki perlu mengambil cakna  dan memastikan pakaian dibeli  tidak bercampur sutera  melebihi 50%.

Informasi tambahan, rujuk artikel  Irsyad al-Fatwa  : Menggunakan sejadah daripada sutera bagi lelaki  https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4367-irsyad-al-fatwa-siri-ke-469-menggunakan-sejadah-daripada-sutera-bagi-lelaki

Penutup

Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan,   lelaki boleh memakai pakaian yang bercampur sutera sekiranya   campuran kain sutera pada kadar 50%   sama banyak dengan kadar material kain lain atau campuran sutera kurang 50%. Sebaliknya,  haram lelaki  memakai sutera sekiranya kadar campuran kain sutera lebih banyak atau kadarnya melebihi 50%  daripada material lain.  Adapun, pengecualian bagi kanak-kanak lelaki memakai sutera dan rukhsah bagi   lelaki yang mengalami masalah penyakit kulit.