Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1754: KUPASAN TAFSIRAN SURAH HUD AYAT 11

ak1754

Soalan

Assalamualaikum. YBhg Dr.  saya ingin bertanyakan kepada Dr. berkenaan dengan kupasan surah hud ayat 11 Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Firman Allah SWT:

إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

Maksudnya: Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

(Surah Hud, 11)

Surah Hud ayat 11 menjelaskan bahawa di antara sifat yang terpuji yang terdapat pada orang beriman adalah mereka yang sentiasa bersabar dalam menghadapi ujian dan kesusahan, serta mereka juga akan bersyukur dengan segala nikmat dan kesenangan yang diberikan kepada mereka. Dan ini merupakan salah satu sifat yang dimiliki oleh sebaik-baik manusia iaitu Baginda Nabi SAW serta golongan yang beriman dan sentiasa mencari keredhaan Allah SWT

Huraian Jawapan

Dalam kehidupan sebagai hamba Allah SWT, keredhaan-Nya menjadi tunjang utama dalam menempuhi kehidupan di akhirat kelak. Justeru, ketika mengharungi ujian dan dugaan dalam mencari redha dan keampunan Allah SWT, sabar adalah perkara yang paling penting. Baginda Nabi SAW serta sahabatnya telah menempuhi segala bentuk ujian dan kesusahan semasa permulaan meyampaikan ajaran Islam di bumi Mekah dan mereka sentiasa bersabar dalam menempuhinya. Ini merupakan contoh yang wajib diikuti umat Baginda SAW dan ia merupakan sifat orang yang beriman dalam mencari redha dan keampunan Allah SWT. Ini sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَـٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ

Maksudnya: Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat;

(Surah al-Ra’d, 22)

Berbalik kepada persoalan di atas, untuk kefahaman yang lebih jelas, sebaiknya dilihat ayat sebelumnya, bahawa Allah SWT menggambarkan mereka yang bersifat berputus asa dan tidak bersyukur dengan ujian yang diberikan Allah SWT selepas mereka merasai nikmat tersebut dan ini merupakan sifat yang dicela oleh Allah SWT, hal ini seperti yang disebut di dalam ayat 9 surah Hud, Firman Allah SWT:

وَلَئِنْ أَذَقْنَا الْإِنسَانَ مِنَّا رَحْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ إِنَّهُ لَيَئُوسٌ كَفُورٌ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur

(Surah Hud, 9)

Imam Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya dengan menyatakan, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT mengkhabarkan, terdapat daripada golongan manusia yang pada dirinya mempunyai sifat yang sangat tercela, kecuali mereka yang mengasihi Allah SWT iaitu mereka ini adalah daripada golongan hambanya yang beriman. Mereka (yang memiliki sifat yang tercela) ialah apabila diberi nikmat kesenangan lalu mereka diuji dengan kehilangan nikmat tersebut, maka mereka sangat berputus asa dan hilang pengharapan daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 4/309)

Pengecualian yang diberikan kepada mereka iaitu golongan yang bersabar dan bersyukur daripada ujian yang diberikan Allah SWT kepadanya. Begitu juga jaminan kepada golongan yang bersabar apabila diuji akan diberi kepada mereka keampunan serta ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT. Ini yang disebut di dalam surah Hud ayat 11, Firman Allah SWT:

إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

Maksudnya: Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

(Surah Hud, 11)

Dr. Wahbah Zuhaili menyebut di dalam tafsirnya berkenaan dengan ayat di atas, bahawa Allah SWT mengecualikan golongan beriman daripada sifat yang dicela kerana apabila mereka dalam keadaan susah dan ditimpa musibah lalu mereka bersabar, dan ketika mereka senang maka mereka bersyukur, dan mereka juga melakukan amalan yang baik di dunia, oleh itu mereka dijanjikan keampunan oleh Allah SWT di atas kesabaran dan amalan kebaikan serta diberi ganjaran yang besar berupa syurga di akhirat kelak. (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 12/30)

Tidak syak lagi, Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah akan sentiasa bersama-sama hambanya-Nya yang sentiasa bersabar dan bersyukur dengan ujian dan nikmat yang diberikan-Nya sehinggakan walaupun diuji dengan tercucuk duri sekalipun akan diberikan ganjaran daripadanya. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayat oleh Abi Said al-Khudri dan Abi Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا، إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ ‏

Maksudnya: Tidaklah ditimpa seseorang muslim itu sesuatu penyakit dan keletihan kegusaran dan kesedihan gangguan dan kesukaran, sekalipun duri yang melukainya melainkan dihapuskan Allah SWT akan kesalahan-kesalahannya.

Riwayat al-Bukhari (5641)

Kesimpulan

Justeru berbalik kepada persoalan dan nas yang diberikan dapat disimpulkan bahawa surah Hud ayat 11 menjelaskan bahawa di antara sifat yang terpuji yang terdapat pada orang beriman adalah mereka yang sentiasa bersabar dalam menghadapi ujian dan kesusahan, serta mereka juga akan bersyukur dengan segala nikmat dan kesenangan yang diberikan kepada mereka. Dan ini merupakan salah satu sifat yang dimiliki oleh sebaik-baik manusia iaitu Baginda Nabi SAW serta golongan yang beriman dan sentiasa mencari keredhaan Allah SWT. Ini seperti mana yang di ajar Baginda Nabi SAW hadis riwayat Suhaib RA berkata Sabda Nabi SAW:

 إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia akan bersyukur, maka sesungguhnya itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia mendapat kesusahan, dia akan bersabar, maka sesungguhnya kebaikan baginya

Riwayat Muslim (2999)

Sebaliknya Allah SWT juga menjelaskan di dalam yang sebelumnya iaitu pada ayat 9 dan 10 di dalam surah yang sama berkenaan dengan sifat orang yang tercela apabila mereka diberi kenikmatan mereka tidak bersyukur dan apabila ditarik segala kenikmatan mereka berputus asa dengannya.