Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1774 : ADAKAH DISUNATKAN UNTUK MENYAPU KHUF SEBANYAK TIGA KALI?

ak1774

SOALAN

Assalamualaikum. Adakah disunatkan untuk menyapu khuf sebanyak tiga kali sepertimana membasuh kaki ketika wuduk?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Tidak disunatkan untuk menyapu khuf sebanyak tiga kali, bahkan hukum mengulangi sapuan lebih daripada sekali itu adalah makruh. Memadai dengan hanya menyapu di atas bahagian luaran yang terzahir daripada khuf itu sahaja, bahkan sah walaupun tidak menggerakkan tangan atau hanya menitiskan air sahaja.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Perbuatan membasuh dan menyapu anggota wuduk sebanyak tiga kali termasuk dalam sunat-sunat wuduk. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam Mughni al-Muhtaj bahawa:

(وَ) مِنْ سُنَنِهِ (تَثْلِيثُ الْغَسْلِ وَالْمَسْحِ) الْمَفْرُوضِ وَالْمَنْدُوبِ لِلِاتِّبَاعِ رَوَاهُ مُسْلِمٌ وَغَيْرُهُ، وَإِنَّمَا لَمْ يَجِبْ؛ لِأَنَّهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - «تَوَضَّأَ مَرَّةً مَرَّةً، وَتَوَضَّأَ مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ»

Maksudnya: Antara sunat-sunat wuduk ialah membasuh dan menyapu sebanyak tiga kali pada wuduk yang wajib dan sunat bagi mengikuti hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dan selainnya. Namun begitu, ia tidaklah wajib kerana Nabi SAW pernah mengambil wuduk dengan sekali basuhan dan dua kali basuhan sahaja.[1] (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1:118)

Begitu juga jika menyapu di atas balutan luka atau patah dan penutup kepala, disunatkan untuk menyapunya sebanyak tiga kali. Namun, bagi menyapu khuf tidak disunatkan menyapunya tiga kali supaya tidak merosakkannya. Ini sepertimana disebutkan di dalam kitab Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Ubadi bahawa:

(قَوْلُهُ وَالْجَبِيرَةُ وَالْعِمَامَةُ).. سَنُّ تَثْلِيثِ مَسْحِهِمَا بِخِلَافِ الْخُفِّ؛ لِأَنَّ تَثْلِيثَ مَسْحِهِ يَعِيبُهُ

Maksudnya: (Kata pengarang: Balutan dan penutup kepala).. Disunatkan untuk menyapu kedua-duanya sebanyak tiga kali, berbeza dengan khuf. Ini kerana menyapu sebanyak tiga kali ke atas khuf boleh merosakkannya. (Rujuk Hawasyi al-Syarwani wa al-Ubadi, 1:230)

Oleh itu, cara yang disunatkan untuk menyapu khuf ialah menyapu di bahagian atas dan bahagian bawahnya. Caranya ialah dengan meletakkan tangan kiri di bawah tumit, manakala tangan kanan di hujung khuf. Kemudian menyapukan tangan kanan sehingga ke hujung betis dan menyapukan tangan kiri sehingga ke hujung jari kaki dengan merenggangkan jari-jari tangan tersebut. Hal ini sepertimana yang diajarkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini bahawa:

وَسن مسح أَعْلَاهُ وأسفله وعقبه وحرفه خُطُوطًا بِأَن يضع يَده الْيُسْرَى تَحت الْعقب واليمنى على ظهر الْأَصَابِع ثمَّ يمر الْيُمْنَى إِلَى آخر سَاقه واليسرى إِلَى أَطْرَاف الْأَصَابِع من تَحت مفرجا بَين أَصَابِع يَدَيْهِ

Maksudnya: Disunatkan untuk menyapu bahagian atas dan bawah khuf, serta bahagian belakang tumit dan hujung khuf secara melintang. Ini dengan cara meletakkan tangan kiri di bawah tumit, manakala tangan kanan di hujung khuf. Kemudian menyapukan tangan kanan hingga ke hujung betis, dan menyapukan tangan kiri hingga ke hujung jari kaki, dengan merenggangkan jari-jari tangan tersebut.[2] (Rujuk al-Iqna’ bi Hall Alfaz Abi Syuja’, 1:73)

Malah hukum untuk mengulangi sapuan ke atas khuf adalah makruh. Sapuan yang sah cukup sekadar menyapu sedikit air di atas khuf sepertimana menyapu kepala pada kadar yang wajib ketika wuduk. Imam al-Khatib al-Syarbini menyebut:

وَيكرهُ تكراره وَغسل الْخُف وَيَكْفِي مُسَمّى مسح كمسح الرَّأْس فِي مَحل الْفَرْض بِظَاهِر أَعلَى الْخُف لَا بأسفله وباطنه وعقبه وحرفه إِذْ لم يرد الِاقْتِصَار على شَيْء مِنْهَا كَمَا ورد الِاقْتِصَار على الْأَعْلَى فَيقْتَصر عَلَيْهِ وقوفا على مَحل الرُّخْصَة وَلَو وضع يَده المبتلة عَلَيْهِ وَلم يمرها أَو قطر عَلَيْهِ أَجزَأَهُ

Maksudnya: Dimakruhkan untuk mengulangi sapuan dan membasuh khuf. Memadai hanya menyapunya -sepertimana sapuan di atas kepala di tempat yang diwajibkan, di atas bahagian luaran khuf itu sahaja. Tidak (wajib disapu) di bawah, di dalam, di tumit atau di hujung khuf kerana tidak dinyatakan di dalam hadith untuk menyapu tempat tersebut sepertimana dinyatakan bahagian atas luaran khuf. Oleh itu memadailah dengan menyapu di bahagian tersebut sahaja dengan mengambil kira ia sebagai rukhsah. Jika sekiranya seseorang meletakkan tangan yang lembab di atas khuf dan tidak menggerakkan tangan tersebut atau menitiskan air sahaja, maka ia sah.[3]  (Rujuk al-Iqna’ bi Hall Alfaz Abi Syuja’, 1:73)

Oleh yang demikian, hukum menyapu khuf lebih daripada sekali adalah makruh di sisi mazhab al-Syafie. Memadai dengan hanya menyapu di atas bahagian luaran yang terzahir daripada khuf itu sahaja, bahkan sah walaupun tidak menggerakkan tangan atau hanya menitiskan air sahaja.

WaAllahu a’lam.

 Rujukan

[1] Al-Syarwani, Abd al-Hamid al-Makki, 1994, Hawasyi al-Syarwani wa al-Ubadi, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 230

[2] Al-Syarbini, Muhammad al-Khatib, t.t, al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 73

[3] Ibid.