Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1790: ADAKAH MAKRUH MENGGUNAKAN AIR DARIPADA WATER HEATER ATAU AIR PAIP YANG PANAS

ak_1790.JPG

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya satu persoalan tentang bersuci. Adakah makruh menggunakan air daripada water heater atau air paip yang panas disebabkan cuaca yang panas. Dan adakah air tersebut dikira sebagai air musyammas yang makruh dan dilarang menggunakannya untuk bersuci. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Air yang terdedah pada pancaran sinaran matahari di negara ini tidak dihukum sebagai air musyammas yang makruh untuk digunakan, ini kerana cuaca di negara ini beriklim sederhana dan tidak mencukupi syarat yang diletakkan oleh para ulama seperti yang akan dijelaskan.

Begitu juga, air yang dipanaskan menggunakan water heater juga tidak termasuk dalam kategori air musyammas, bahkan tidak makruh menggunakannya selagi tidak terlalu panas sehingga boleh mendatangkan kemudaratan pada diri.

Huraian Jawapan

Kebersihan di dalam Islam merupakan aspek penting di dalam pengamalan kehidupan seharian. Ini ditegaskan di dalam hadis Baginda SAW bahawa bersuci itu merupakan ciri-ciri orang yang beriman. Hadis daripada Abu Malik al-Asy’ari RA, sabda Nabi SAW:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Syariat menetapkan bahawa di antara syarat untuk bersuci hendaklah menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan, sama ada untuk menyucikan hadas kecil, besar atau menyucikan najis. Air yang suci lagi menyucikan bermaksud sifat air itu kekal seperi asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Hal ini seperti yang disebut di dalam al-Fiqh al-Manhaji:

وهو الماء المطلق الباقي على وصف خلقته التي خلقه الله عليها، ولا يخرجه عن كونه ماء مطلقاً تغيره بطول مكث، أو بسبب تراب، أو طحلب ـ وهو شيء أخضر يعلو الماء من طول مكث ـ أو تغيره بسبب مقرّه أو ممرّه كوجوده في أرض كبريتية

Maksudnya: “Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlak yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang”.

(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1/31)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, Imam Nawawi menyatakan bahawa makruh menggunakan air musyammas pada badan seperti mengambil wuduk dan mengangkat hadas dengan menukilkan pandangan yang disebut oleh pengarang kitab al-Hawi katanya:

أَنَّ الْكَرَاهَةَ تَخْتَصُّ بِاسْتِعْمَالِهِ فِي الْبَدَنِ فِي طَهَارَةِ حَدَثٍ أَوْ نَجَسٍ أَوْ تَبَرُّدٍ أَوْ تَنَظُّفٍ أَوْ شُرْبٍ قَالَ وَسَوَاءٌ لَاقَى الْبَدَنَ فِي عِبَادَةٍ أَمْ غَيْرِهَا قَالَ وَلَا كَرَاهَةَ فِي اسْتِعْمَالِهِ فِيمَا لَا يُلَاقِي الْبَدَنَ مِنْ غَسْلِ ثَوْبٍ وَإِنَاءٍ وَأَرْضٍ لِأَنَّ الْكَرَاهَةَ لِلْبَرَصِ

Maksudnya: “Sesungguhnya makruh khususnya menggunakannya (air musyammas) pada badan untuk penyucian hadas, najis, menyejukkan badan, membersihkan atau minum. Katanya lagi, dan sama sahaja mengenakannya pada anggota badan untuk beribadah atau selainnya. Katanya dan tidak makruh menggunakannya pada selain anggota badan seperti membasuh baju, bekas dan lantai kerana makruh itu disebabkan penyakit kusta”.

(Rujuk, al-Majmu’ syarh al-Muhazzab, 1/87)

Dalam menjawab permasalahan berkenaan ini para fuqaha telah menjelaskan sifat yang boleh menjadikan sesuatu air itu sebagai air musyammas yang makruh digunakan, iaitu air yang panas disebabkan terdedah kepada pancaran sinaran matahari dalam bekas yang di tempa seperti besi di negara yang panas. Imam Jalaluddin al-Mahalli menyebut:

(وَيُكْرَهُ الْمُشَمَّسُ) أَيْ مَا سَخَّنَتْهُ الشَّمْسُ فِي الْبَدَنِ خَوْفَ الْبَرَصِ بِأَنْ يَكُونَ بِقُطْرٍ حَارٍّ كَالْحِجَازِ فِي إنَاءٍ مُنْطَبِعٍ كَالْحَدِيدِ

Maksudnya: “(Dan makruh menggunakan air Musyammas) iaitu air yang dipanaskan dibawah sinaran matahari digunakan pada badan kerana ditakuti akan terkena penyakit kusta, yang terdapat pada tempat yang panas seperti Hijaz pada bekas yang ditempa seperti besi”.

(Rujuk, Hasyiah al-Qalyubi wa Umairah, 1/22)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami menyebut bahawa syarat sebagai air musyammas itu adalah apabila air yang berada di dalam bekas yang diperbuat daripada besi dan terdedah pada pancaran matahari di negara atau tempat yang cuacanya panas. Beliau menyebut bahawa:

أَنْ يَكُونَ بِقُطْرٍ حَارٍّ وَقْتَ الْحَرِّ فِي إنَاءٍ مُنْطَبِعٍ،

Maksudnya: “Sesungguhnya akan terjadi (air musyammas) dengan tempat yang panas pada waktu yang panas di dalam bekas yang ditempa (besi dan sebagainya)”

(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 1/74)

Sementara itu, panas daripada pancaran matahari ke atas air itu mestilah di negara yang iklim cuacanya panas dan ianya tidak termasuk pada negara yang cuacanya sederhana panas dan sejuk sebagai contoh seperti mesir. Imam Syarwani menyebut di dalam hasyiahnya:

(قَوْلَهُ أَنْ يَكُونَ بِقُطْرٍ حَارٍّ إلَخْ) أَيْ كَأَقْصَى الصَّعِيدِ وَالْيَمَنِ وَالْحِجَازِ فِي الصَّيْفِ لَا بِقُطْرٍ مُعْتَدِلٍ كَمِصْرِ أَوْ بَارِدٍ كَالشَّامِ فَلَا يُكْرَهُ الْمُشَمَّسُ فِيهِمَا وَلَوْ فِي الصَّيْفِ الصَّائِفِ كَمَا هُوَ ظَاهِرُ كَلَامِهِمْ؛ لِأَنَّ تَأْثِيرَ الشَّمْسِ فِيهِمَا ضَعِيفٌ

Maksudnya: “(Katanya  sesungguhnya akan terjadinya air musyammas pada tempat yang panas) iaitu seperti di Aqsa al-Sa’id, Yaman, Hijaz pada musim panas, bukan pada tempat cuacanya sederhana seperti Mesir atau tempat yang sejuk seperti Syam maka tidak makruh air musyammas di kedua negeri tersebut, walau pada musim panas seperti yang jelas pada kenyataan mereka, ini kerana kesan pancaran matahari pada kedua negeri tersebut adalah lemah.”

(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abadi, 1/74)

Berkaitan dengan air yang dipanaskan dengan api atau menggunakan pemanas air ia tidak termasuk di dalam ciri-ciri air musyammas seperti yang dijelaskan oleh para ulama. Oleh itu, tidak dihukum makruh menggunakan air yang dipanaskan selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan pada diri. Ini disebut oleh Ibn Hajar al-Haitami:

وَلَا كَرَاهَةَ كَمُسَخَّنٍ بِالنَّارِ، وَلَوْ بِنَجِسٍ مُغَلَّظٍ

Maksudnya: “Dan tidak makruh seperti air yang dipanaskan dengan api, walau dibakar menggunakan najis berat”.

(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abadi, 1/76)

Justeru berdasarkan kepada persoalan yang diajukan serta penjelasan yang diberikan jelas bahawa air yang terdedah pada pancaran sinaran matahari di negara ini tidak dihukum sebagai air musyammas yang makruh untuk digunakan, ini kerana cuaca di negara ini beriklim sederhana dan tidak mencukupi syarat yang diletakkan oleh para ulama seperti yang telah dijelaskan.

Begitu juga, air yang dipanaskan menggunakan water heater juga tidak termasuk dalam kategori air musyammas, bahkan tidak makruh menggunakannya selagi tidak terlalu panas sehingga boleh mendatangkan kemudaratan pada diri.

Wallahu’alam