Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1792: ADAKAH MEMAKAI EAR PLUG (PERSONAL PROTECTIVE EQUIPMENT) KETIKA BERPUASA MEMBATALKAN PUASA?

alkafi_baem.png

Soalan

Adakah memakai ear plug (personal protective equipment) ketika bekerja membatalkan puasa?

Ringkasan Jawapan

Memakai ear plug ketika bekerja di bulan puasa tidak membatalkan puasa, selagi mana ear plug tersebut tidak mencecah ke bahagian dalaman telinga (had batin).

Huraian Jawapan

Dalam mengulas persoalan ini, sebaiknya ditelusuri terlebih dahulu perbahasan berkenaan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Antara perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah:

  • Memasukkan sesuatu secara sengaja melalui rongga terbuka hingga sampai kepada rongga yang dalam (batin).
  • Memasukkan ubatan melalui lubang dubur (al-Huqnah).
  • Muntah dengan sengaja.
  • Bersetubuh dengan sengaja siang hari.
  • Mengeluarkan mani dengan sengaja (onani).
  • Keluarnya darah haid.
  • Keluarnya darah nifas.
  • Gila
  • Murtad

Imam Nawawi menjelaskan tentang sesuatu yang masuk ke dalam lubang telinga ketika berpuasa, kata beliau:

وَلَوْ قَطَرَ فِي أُذُنِهِ شَيْئًا فَوَصَلَ إِلَى الْبَاطِنِ، أَفْطَرَ عَلَى الْأَصَحِّ عَنِ الْأَكْثَرِينَ، كَالسَّعُوطِ

Maksudnya: Jika seseorang menitikkan ke dalam telinganya, lalu (benda yang dititikkan) sampai hingga ke bahagian dalam telinga (melebihi ear drum), maka (perbuatan tersebut) membatalkan puasa menurut pendapat yang sahih dan pendapat kebanyakan ulama. Begitu juga yang berlaku jika memasukkan ubat melalui hidung (al-Saʻut).

(Rujuk Raudah al-Talibin wa ʻUmdah al-Muftin, 2/357)

Hal yang sama juga disebutkan oleh Imam al-Baijuri menyebutkan bahawa menitiskan sesuatu ke dalam telinga sehingga sampai kepada bahagian telinga yang dalam maka batal puasanya. (Rujuk Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 1/559).

Kesimpulan

Hukum memakai ear plug (personal protective equipment) ketika berpuasa tidak membatalkan puasa. Perkara ini selagi mana earplug tersebut tidak mencecah ke bahagian teliga yang dalam (melebihi eardrum). Wallahua’lam.