SOALAN
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah doa qunut nazilah yang dibaca oleh imam dalam solat perlu dibaca kuat atau perlahan?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Doa Qunut Nazilah yang dibaca dalam solat fardu berjemaah hendaklah dibaca dengan jahar (kuat) sama ada bagi solat fardu sirriyah (dibaca perlahan) iaitu solat Zohor dan Asar dan bagi solat fardu jahriyyah (dibaca kuat) iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isyak. Manakala makmum mengaminkan doa imam secara jahar (kuat) dan menyebut puji-pujian kepada Allah SWT selain doa secara sirr (perlahan).
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Bagi doa Qunut Nazilah yang dibaca oleh imam dalam solat-solat fardu, sama ada solat fardu yang dibaca perlahan (sirriyyah) atau dibaca dengan kuat (jahriyyah), ia hendaklah dibaca dengan jahar (kuat). Manakala, jika ia dilakukan dalam solat secara bersendirian, maka hendaklah membacanya secara perlahan (sirr) bagi semua solat fardu tersebut. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini bahawa:
وَيَجْهَرُ بِهِ الْإِمَامُ فِي الْجَهْرِيَّةِ وَالسَّرِيَّةِ وَيُسِرُّ بِهِ الْمُنْفَرِدُ كَمَا فِي قُنُوتِ الصُّبْحِ
Maksudnya: Imam (kepada jemaah) hendaklah menguatkannya (bacaan Qunut Nazilah) suaranya bagi membaca doa Qunut Nazilah pada solat jahriah (Subuh, Maghrib dan Isyak) dan sirriyyah (Zohor dan Asar). Manakala, orang yang solat secara bersendirian membacanya secara perlahan (sirr). Hukumnya sama seperti doa Qunut pada solat Subuh.[1] (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1:371)
Begitu juga sepertimana yang disebutkan oleh Sheikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam kitab Asna al-Matalib bahawa:
(وَفِي الْجَمِيعِ) أَيْ جَمِيعِ ذَوَاتِ الْقُنُوتِ حَتَّى السِّرِّيَّةِ (يَجْهَرُ بِهِ الْإِمَامُ) لِلِاتِّبَاعِ رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَغَيْرُهُ. ، قال الماوردي: وليكن جهره به دون جهره بالقراءة، (لَا الْمُنْفَرِدُ) فَلَا يَجْهَرُ بِهِ.
Maksudnya: (Pada semuanya) iaitu pada setiap qunut yang dibaca walaupun dalam solat sirriyyah (yang dibaca perlahan), maka hendaklah imam menguatkan suaranya sebagai mengikuti perbuatan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya. imam al-Mawardi berkata: Hendaklah kekuatan suara (doa Qunut) tersebut tidak menyamai kuatnya bacaan surah di dalam solat. Hal ini tidak bagi sesiapa yang solat secara bersendirian, maka tidak perlu untuk menguatkan bacaannya (Qunut Nazilah).[2] (Rujuk Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 1:159)
Manakala bagi makmum pula, mereka disunatkan mengaminkan doa imam secara jahar (kuat) dan menyebut puji-pujian kepada Allah SWT selain doa secara sirr (perlahan). Namun jika dia tidak mendengar doa yang dibaca oleh imam, maka dia boleh membaca doa qunutnya sendiri. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Sheikh al-Jamal dalam Hasyiah-nya:
(وَ) أَنْ (يُؤَمِّنَ مَأْمُومٌ) جَهْرًا (لِلدُّعَاءِ وَيَقُولَ الثَّنَاءَ) سِرًّا أَوْ يَسْتَمِعَ لِإِمَامِهِ كَمَا فِي الرَّوْضَةِ كَأَصْلِهَا أَوْ يَقُولَ أَشْهَدُ كَمَا قَالَهُ الْمُتَوَلِّي وَالْأَوَّلُ أَوْلَى وَدَلِيلُهُ الِاتِّبَاعُ رَوَاهُ الْحَاكِمُ وَأَوَّلُ الثَّنَاءِ إنَّك تَقْضِي هَذَا إنْ سَمِعَ الْإِمَامَ (فَإِنْ لَمْ يَسْمَعْهُ قَنَتَ) سِرًّا كَبَقِيَّةِ الْأَذْكَارِ وَالدَّعَوَاتِ الَّتِي لَا يَسْمَعُهَا.
Maksudnya: Hendaklah makmum mengaminkan doa imam secara jahar (kuat) dan menyebut puji-pujian kepada Allah SWT secara sirr (perlahan) atau hanya mendengar kepada imamnya sahaja, sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Raudhah seperti asalnya, atau menyebut “Asyhadu” (aku bersaksi) seperti yang disebutkan oleh al-Mutawalli. Namun yang utama ialah pandangan pertama. Dalilnya ialah berdasarkan perbuatan Rasululllah SAW seperti yang diriwayatkan oleh al-Hakim. Permulaan puji-pujian dalam qoa qunut tersebut ialah bermula “إنَّك تَقْضِي..” jika dia mendengar bacaan imam. Namun jika dia tidak mendengarnya, maka hendaklah dia membaca qunutnya sendiri secara perlahan sama seperti puji-pujian dan doa-doa yang dia tidak mendengarnya.[3] (Rujuk Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, 1:372-373)
WaAllahu a’lam.
RUJUKAN
[1] Al-Syarbini, al-Khatib, 1994, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 371.
[2] Al-Ansari, Zakariyya, 1431H, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, Dar al-Kitab al-Islami, jld. 1, hlmn. 159.
[3] Al-Azhari, Sulaiman al-Jamal, Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 372-373.