Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1866: HUKUM BERPUASA BAGI KANAK-KANAK

puasa min

 

Soalan

Saya ada anak-anak kecil berumur 5 tahun sehingga 12 tahun. Semuanya masih belum baligh lagi. Jadi, adakah mereka wajib berpuasa? Sekiranya tidak wajib dan mereka tetap berpuasa adakah tidak dikira atau bagaimana? Mohon pencerahan.

 

Ringkasan Jawapan

Kanak-kanak sama ada mumaiyiz ataupun belum mumaiyiz tidak diwajibkan bagi mereka untuk berpuasa. Namun, sekiranya kanak-kanak mumaiyiz berpuasa, puasa mereka dikira sah.

Dalam masa yang sama, menjadi kewajipan kepada ibu bapa dan penjaga untuk menyuruh kanak-kanak mumaiyiz berumur lengkap 7 tahun (7 nak masuk 8 tahun) ke atas agar berpuasa sekiranya mereka mampu dan larat. Ini bertujuan mendidik dan membiasakan mereka dengan ibadah tersebut. Bahkan apabila usia mereka sempurna 10 tahun, kanak-kanak tersebut boleh dipukul namun dengan pukulan yang tidak mencederakan.

 

Huraian Jawapan

Kriteria bagi seseorang yang diwajibkan berpuasa seperti disebutkan para ulama Syafie adalah beragama Islam, berakal, baligh, suci daripada haidh dan nifas serta mampu. Khusus berkenaan baligh, kanak-kanak yang belum baligh sama ada mumaiyiz atau belum mumaiyiz tidak diwajibkan berpuasa bahkan hukum ini juga terpakai terhadap isu syariah yang lain.[1]

(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 2/79)

Pendirian ulama berasaskan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali Bin Abu Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: "Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras".

Sunan Abi Dawud (4402)

Ulama ketika mensyarahkan ‘amalan mereka tidak dicatat’ bermaksud tanggungjawab melaksanakan sesuatu hukum-hakam tidak dibebankan kepada mereka.[2]

(Rujuk: Subulas al-Salam, 2/265)

Namun dari segi sah atau tidak sesuatu puasa kanak-kanak, ia bergantung kepada mereka sama ada sudah mumaiyiz ataupun belum. Bagi kanak-kanak yang sudah mumaiyiz, puasa mereka dianggap sah di sisi ulama manakala puasa mereka yang belum mumaiyiz dianggap tidak sah kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah puasa iaitu tamyiz.[3]

(Rujuk: Hasyiah ‘Umairah, 2/76)

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa menjadi kewajipan bagi ibu bapa atau wali untuk menyuruh kanak-kanak yang sudah mencapai umur lengkap 7 tahun untuk berpuasa sekiranya mereka mampu dan larat. Bahkan boleh memukul dengan pukulan yang tidak menyeksakan apabila usia mereka sempurna 10 tahun. Hal ini bertujuan menjadi satu didikan agar terbiasa dengan ibadah tersebut apabila mencapai usia baligh kelak sama seperti kes didikan anak-anak untuk mengerjakan solat.

(Rujuk: al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafie, 2/168)

Sebagai kesimpulan, kanak-kanak sama ada mumaiyiz ataupun belum mumaiyiz tidak diwajibkan bagi mereka untuk berpuasa. Namun, puasa bagi mumaiyiz tetap sah manakala belum mumaiyiz tidak sah. Dalam masa yang sama, menjadi kewajipan kepada ibu bapa dan penjaga untuk menyuruh kanak-kanak mumaiyiz berumur 7 tahun ke atas untuk berpuasa bagi mendidik dan membiasakan mereka dengan ibadah tersebut. Wallahu a’lam.

 

[1] ويقصد بالتكليف أن يكون المسلم بالغاً عاقلاً، فإن فقد أحد هذين الوصفين سقطت صفة التكليف عنه، وإذا سقطت صفة التكليف عنه لم يطالب بشيء من الوظائف الدينية

[2] «‌رُفِعَ ‌الْقَلَمُ» أَيْ لَيْسَ يَجْرِي أَصَالَةً لَا أَنَّهُ رُفِعَ بَعْدَ وَضْعٍ وَالْمُرَادُ بِرَفْعِ الْقَلَمِ عَدَمُ الْمُؤَاخَذَةِ لَا قَلَمُ الثَّوَابِ

[3] (وَالْعَقْلُ) أَيْ ‌التَّمْيِيزُ ‌فَيَصِحُّ ‌صَوْمُ ‌الْمُمَيِّزِ