Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1891: MENGELUARKAN DALIL TANPA MERUJUK TAFSIR

Template Al Kafi page 001

Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya ingin bertanya adakah seseorang itu dibenarkan untuk memberi pemahaman dalil al-quran dan hadis tanpa melihat kitab tafsir terlebih dahulu? Ini kerana saya dapati sesetengah penceramah masa kini gemar memetik ayat al-quran untuk dijadikan bahan  ceramah dan menghuraikannya di luar konteks atau maksud sebenar ayat tersebut,Mohon penjelasan. 

Ringkasan Jawapan

Menjadi kesalahan kepada seseorang jika memberi tafsiran al-Quran tanpa merujuk kepada tafsiran dan kalam ulama mufassirin terlebih dahulu. Dikhuatiri jika berlakunya sedemikian, akan menyebabkan ayat al-Quran digunakan sesuka hati tanpa mengikut konteks dan tujuan makna yang sebenar. Namun jika yang dimaksudkan sebagai mengambil iktibar daripada terjemahan ayat al-Quran dan sebagai peringatan atas kejadian yang berlaku pada waktu kini, maka ia adalah dibolehkan. Wallahua’lam.

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. 

Al-Quran merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan kalam-kalam Allah yang membimbing umat manusia untuk hidup berlandaskan syariat yang sebenar. Maka umat manusia seharusnya menggunakan kesempatan untuk sentiasa bertaaqul(berfikir) dan merenung mengenai apa yang dibicarakan oleh-Nya serta tidak menghafalnya sahaja. Firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

Surah Sad (29)

Ayat di atas menunjukkan kepada kewajipan untuk mengetahui makna-makna di dalam al-Quran, ia juga menjelaskan bahawa membaca dan mempelajari al-Quran dengan tartil itu lebih baik daripada membaca dalam keadaan tergesa-gesa dan pemahaman yang singkat. Kerana pemahaman tadabbur itu tidak akan diperoleh dengan cara yang tergesa-gesa.[1]

[Lihat: Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/163]

Syeikh Wahbah Zuhaili mengatakan bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran kepada manusia untuk ditadabbur dan diambil pengajaran daripadanya, dan bukan hanya dengan membacanya sahaja tanpa renungan. Orang-orang yang berakal pastinya akan mempelajari mesej-mesej dan bukti daripada al-Quran. Hassan al-Basri ada menyebut, “Demi Allah, seseorang itu tidak perlu membazirkan masanya untuk menghafal ayat-ayat Quran dan mengetahui susunannya, sehingga tiba waktu dia mengatakan ‘aku sudah menghafal keseluruhan isi al-Quran’ namun tidak terkesan pengajaran al-Quran itu kepada hati dan akhlaknya”.

[Lihat: Tafsir al-Munir, 23/195]

 

Penjelasan di atas menunjukkan bahawa al-Quran perlu dipelajari dengan tartil(tertib), cermat dan tidak tergesa-gesa. Para ulama’ mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mempelajari ilmu dan hukum hakam al-Quran, maka masyarakat awam seharusnya menghormati autoriti ulama dalam memberikan tafsiran. Berbicara mengenai hukum mengeluarkan dalil tanpa tafsir pula, perbuatan tersebut adalah dilarang jika seseorang itu bukan ahli dalam bidang penafsiran al-quran. 

Imam Nawawi mengatakan haram hukumnya jika orang yang bukan ahli dalam bidang tafsir cuba menafsirkan ayat al-quran. Kegopohan dalam memetik dan membaca dalil al-quran tanpa ilmu alat dan tidak merujuk kepada ulama tafsir hanya akan menatijahkan pemahaman yang tidak sepatutnya. Oleh yang demikian, seseorang tidak boleh itu memberi pemahaman berkenaan ayat al-quran tanpa merujuk kepada ahlinya terlebih dahulu.[2]

[Lihat: Al-Tibyan fi Adab Hamla al-Quran, 166]

Namun tidak kesemua manusia mampu menguasai keseluruhan ilmu, dan disebabkan itu tidak mengapa jika sekadar mengambil pengajaran daripada terjemahan al-Quran dan merujuk kepada ulama’ berkenaan tafsir dan konteks ayat tersebut.

Imam al-Tabari mengatakan untuk mereka yang tidak menguasai ilmu alat Bahasa Arab atau ilmu tafsir, tidak mengapa jika sekadar mengambil iktibar daripada terjemahan ayat al-Quran untuk dikaitkan dengan renungan kejadian masa kini. Kaedah ini bertepatan dengan suruhan Allah SWT agar kesemua manusia merenungi dan mengambil iktibar daripada al-Quran.[3]

[Lihat: Tafsir al-Tabari, 1/82]

Kesimpulan

Justeru, menjadi satu kesalahan kepada seseorang apabila memberi tafsiran al-quran tanpa merujuk kepada tafsiran dan kalam ulama tafsir terlebih dahulu. Dikhuatiri jika berlakunya sedemikian, akan menyebabkan ayat al-quran digunakan sesuka hati tanpa mengikut konteks dan tujuan makna yang sebenar. Namun jika sekadar mengambil iktibar daripada terjemahan ayat al-quran dan sebagai peringatan atas kejadian yang berlaku pada waktu kini, maka dibolehkan. Wallahua’lam.

 

[1] Imam al-Qurtubi, Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, (Kaherah:2010), Cetakan Darul Hadis,

وفي هذا دليل على وجوب معرفة معاني القرءان, ودليل على أن الترتيل أفضل من الهذّ, إذ لا يصح التدبر مع الهذّ

[2] Imam al-Nawawi, Al-Tibyan fi Adab Hamlah al-Quran, (Beirut:1994), Cetakan Dar Ibn Hazm,

ويحرم تفسيره بغير علم والكلام في معانيه لمن ليس من أهلها والأحاديث في ذلك كثيرة والاجماع منعقد عليه وأما تفسيره للعلماء فجائز حسن والاجماع منعقد عليه فمن كان أهلا للتفسير جامعا للأدوات حتى التي يعرف بها معناه وغلب على ظنه المراد فسره إن كان مما يدرك بالاجتهاد كالمعاني والأحكام الجلية والخفية والعموم والخصوص والإعراب وغير ذلك وإن كان مما لا يدرك بالاجتهاد كالأمور التي طريقها النقل وتفسير الألفاظ اللغوية فلا يجوز الكلام فيه إلا بنقل صحيح من جهة المعتمدين من أهله

[3] Imam al-Tobari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil, (Mekah), Cetakan Dar al-Tarbiyah wa al-Turath,

التي أمر الله عبادَه وحثهم فيها على الاعتبار بأمثال آي القرآن، والاتِّعاظ بمواعظه-