Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1894: HUKUM BERGURAU DENGAN CARA SEMBUNYIKAN BARANG ORANG LAIN

Template Al Kafi page 001 2

Soalan

Assalamualaikum wbt tuan mufti. Saya nak bertanya mengenai soalan apa hukum kita bergurau dengan keluarga atau kawan-kawan dengan cara sembunyikan barang-barang mereka? Adakah boleh menurut Islam kerana bergurau sahaja ataupun macam mana? Mohon penjelasan tuan mufti. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Seseorang itu dilarang mengambil barang dan harta kepunyaan ahli keluarga atau rakan-rakan dengan niat bergurau. Perbuatan tersebut dilarang kerana ia akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada tuan barangan tersebut. Islam juga menggalakkan umatnya untuk bergurau pada perkara yang mendatangkan kebaikan asalkan tidak melibatkan perbuatan yang boleh mendatangkan kesakitan atau perbalahan. Wallahua’lam.

 

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Said bin Yazid berkenaan larangan mengambil barang orang secara gurauan mahupun serius, di mana Nabi SAW bersabda:

لاَ يَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمْ مَتَاعَ أَخِيهِ لاَعِبًا وَلاَ جَادًّا

Maksudnya: Setiap seorang dalam kalangan kamu dilarang untuk mengambil barang kepunyaan saudara kamu secara bergurau dan secara serius (mencuri).

Riwayat Abu Daud (5003)

Menurut Syeikh al-Azim Abadi, hadis ini sebagai dalil tegahan daripada mengambil barang orang lain secara zahir, kerana ianya dikira mencuri. Dilarang juga mengambil barangan orang lain dengan niat untuk bergurau kerana perbuatan ini tidak mendatangkan apa-apa faedah. Bahkan ia boleh menimbulkan kemarahan dan menyakiti tuan empunya barang tersebut.[1]

[Lihat: Aunul Ma’bud, 8/140]

Syeikh Sulaiman al-Bujairimi dan Syeikh al-Jamal turut menyokong pendalilan hadis di atas dengan mengatakan mengambil barangan orang lain dengan niat bergurau adalah haram atas alasan ia akan menggusarkan hati mereka.[2]

[Lihat: Hasiyah al-Bujairimi ala Syarh al-Minhaj, 4/228, Hasiyah al-Jamal ala Syarh al-Minhaj, 5/152]

Kesimpulan

Seseorang itu dilarang mengambil barang dan harta kepunyaan ahli keluarga atau rakan-rakan dengan niat bergurau. Perbuatan tersebut dilarang kerana ia akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada tuan barangan tersebut. Islam juga menggalakkan umatnya untuk bergurau pada perkara yang mendatangkan kebaikan asalkan tidak melibatkan perbuatan yang boleh mendatangkan kesakitan atau perbalahan. Wallahua’lam.

 

Rujukan 

[1] Al-Azim Abadi, Aunul Ma’bud, (Kaherah: 2011), Cetakan Syarikat al-Quds lil Nasyr wal Tauzi’, 

وجه النهي عن الأخذ جدا ظاهر، لأنه سرقة، وأما النهي عن الأخذ لعبا فلأنه لا فائدة فيه، بل قد يكون سببا لإدخال الغيظ والآذى على صاحب المتاع.

[2] Sulaiman al-Bujairimi, Hasyiyah al-Bujairimi ala Syarh al-Minhaj, (Kaherah: 1950), Cetakan Matba’ah al-Halabi,

يَحْرُمُ عَلَى الشَّخْصِ سَرِقَةُ مَالِ غَيْرِهِ عَلَى وَجْهِ الْمِزَاحِ؛ لِأَنَّ فِيهِ تَرْوِيعًا لِقَلْبِهِ