Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1932: SIAPAKAH GOLONGAN YANG MENINGGALKAN PUASA YANG PERLU MEMBAYAR FIDYAH SAHAJA TANPA QADA?

SIAPAKAH GOLONGAN YANG MENINGGALKAN PUASA YANG PERLU MEMBAYAR FIDYAH SAHAJA TANPA QADA

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan siapakah golongan yang meninggalkan puasa dengan sengaja tetapi hanya perlu membayar fidyah sahaja tanpa perlu untuk qada puasa tersebut?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Golongan yang meninggalkan puasa yang wajib membayar fidyah sahaja tanpa perlu qada ialah golongan yang tidak mampu untuk berpuasa secara berkekalan sama ada disebabkan faktor usia yang terlalu tua atau sakit kritikal yang tiada harapan untuk sembuh yang apabila mereka berpuasa akan menyebabkan kesukaran dan kemudaratan ke atas mereka.

WaAllahu a’lam.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Golongan yang meninggalkan puasa yang hanya perlu untuk membayar fidyah sahaja tanpa perlu qada’ puasa tersebut ialah golongan yang tidak mampu untuk berpuasa secara berterusan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ

Maksudnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

(Surah al-Baqarah: 184)

Golongan-golongan tersebut seperti golongan yang tidak mampu berpuasa kerana lanjut usia dan sakit kritikal yang tiada harapan untuk sembuh yang apabila menimbulkan kesukaran yang tidak mampu ditanggungnya apabila dia berpuasa.[1] Menurut pandangan yang kuat di sisi mazhab al-Syafie, golongan ini diwajibkan ke atas mereka untuk membayar fidyah sahaja satu mud bagi setiap hari yang ditinggalkannya tanpa perlu qada puasa tersebut.

Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli dalam kitabnya, Nihayatul Muhtaj bahawa:

 (وَالْأَظْهَرُ وُجُوبُ الْمُدِّ) عَنْ كُلِّ يَوْمٍ (عَلَى مَنْ) (أَفْطَرَ) مِنْ رَمَضَانَ (لِكِبَرٍ) كَأَنْ صَارَ شَيْخًا هَرَمًا لَا يُطِيقُ الصَّوْمَ فِي زَمَنِ الْأَزْمَانِ، وَإِلَّا لَزِمَهُ إيقَاعُهُ فِيمَا يُطِيقُهُ فِيهِ، وَمِثْلُهُ كُلُّ عَاجِزٍ عَنْ صَوْمٍ وَاجِبٍ سَوَاءٌ فِي رَمَضَانَ وَغَيْرِهِ لِزَمَانَةٍ أَوْ مَرَضٍ لَا يُرْجَى بُرْؤُهُ أَوْ مَشَقَّةٍ شَدِيدَةٍ تَلْحَقُهُ وَلَمْ يَتَكَلَّفْهُ.

Maksudnya: Pandangan yang kuat (dalam mazhab al-Syafie), wajib dikeluarkan fidyah satu mud bagi setiap hari bagi sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan kerana lanjut usia dengan menjadi orang tua yang tidak mampu untuk berpuasa pada bila-bila waktu pun. Jika dia mampu untuk berpuasa pada waktu-waktu tertentu, maka wajib ke atasnya untuk melakukan apa yang dia termampu pada ketika tersebut. Begitu juga seperti golongan yang tidak mampu untuk berpuasa wajib sama ada puasa Ramadan dan selainnya kerana sakit yang berkekalan dan tiada harapan untuk sembuh atau disebabkan kesukaran yang menimpanya yang tidak mampu untuk ditanggung. (Rujuk Nihayat al-Muhtaj, 3:193)

WaAllahu a’lam.

Rujukan:

[1] (وَالْأَظْهَرُ وُجُوبُ الْمُدِّ) وَلَا قَضَاءَ عَنْ كُلِّ يَوْمٍ مِنْ رَمَضَانَ أَوْ نَذْرٍ أَوْ قَضَاءٍ أَوْ كَفَّارَةٍ (عَلَى مَنْ أَفْطَرَ لِلْكِبَرِ) أَوْ الْمَرَضِ الَّذِي لَا يُرْجَى بُرْؤُهُ بِأَنْ يَلْحَقَهُ بِالصَّوْمِ مَشَقَّةٌ شَدِيدَةٌ لَا تُطَاقُ عَادَةً.

تحفة المحتاج في شرح المنهاج،  المكتبة التجارية الكبرى، ج 3، ص 439.