Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1949: ADAKAH WANITA KEMATIAN SELAIN SUAMI BOLEH MENINGGALKAN BERHIAS DIRI SEBAGAI TANDA BERKABUNG?

 ADAKAH_WANITA_KEMATIAN_SELAIN_SUAMI_BOLEH_MENINGGALKAN_BERHIAS_DIRI_SEBAGAI_TANDA_BERKABUNG.jpg                       

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, Saya ada satu persoalan. Adakah wanita yang kematian selain suaminya sama ada rakan-rakan atau saudara mara dibenarkan untuk meninggalkan berhias sebagai tanda berkabung atas kematian tersebut?

Ringkasan Jawapan

Wanita yang kematian selain suaminya boleh melakukan ihdad (meninggalkan berhias diri sebagai tanda berkabung) selama tiga hari atau kurang daripada itu. Jika dilakukan secara berlebihan maka hukumnya haram. Namun, tidak mengapa sekiranya mereka meninggalkan perbuatan berhias diri bukan kerana diniatkan untuk berkabung.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Ungkapan “berkabung” dalam kitab-kitab fiqh dirujuk kepada perkataan al-ihdad (الْإِحْدَادُ). Ihdad dari sudut bahasa membawa erti larangan kerana orang yang berihdad dilarang melakukan perkara-perkara tertentu. Manakala, definisi ihdad menurut syarak ialah perbuatan meninggalkan perhiasan yang dipakai atau berhias diri kerana berduka cita atas kematian seseorang[1].

Al-Nawawi menyatakan bahawa seorang perempuan dibenarkan untuk berihdad (perbuatan meninggalkan berhias diri kerana berkabung dan bersedih) atas kematian seseorang selain daripada suaminya selama tiga hari sahaja. Jika ia melebihi daripada itu, maka haram hukumnya menurut mazhab al-Syafi’i. Ini ada dinyatakan dalam kitabnya[2]:

ولها إحداد على غير زوج ثلاثة أيام وتحرم الزيادة

Maksudnya: “Wanita diharuskan berkabung atas kematian selain suaminya selama tiga hari dan diharamkan jika melebihi daripada tempoh itu”.

Manakala kaum lelaki diharamkan berihdad atas kematian kerabatnya walaupun dalam tempoh tiga hari kerana syarak telah mengkhususkan amalan ini khusus untuk kaum wanita. Ini disebabkan golongan wanita merupakan insan yang memiliki kekurangan dari sudut emosinya sehingga boleh mencetuskan sifat kurang sabar.

Sheikh al-Bujairimi menyatakan bahawa golongan yang dimaksudkan “selain suami” adalah sesiapa sahaja yang diharuskan kepada wanita untuk keluar mengiringi jenazah itu. Ia merangkumi kerabat terdekat atau yang seumpamanya dengannya seperti sahabat, anak lelaki kepada suami, ayah mertua, ibu mertua, orang yang alim, imam yang adil  dan yang seumpamanya. [3].

Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Zainab binti Abi Salamah bahawa Nabi SAW pernah bersabda [4]:

لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ، إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat untuk berkabung lebih daripada tiga hari kecuali jika yang meninggal adalah suaminya, maka waktunya adalah empat bulan dan sepuluh hari.”

(Riwayat Bukhari)

Sheikh Khatib al-Syirbini menyebutkan dalam kitabnya bahawa hukum haram tersebut berlaku  apabila mereka meninggalkan perhiasan diri melebihi tiga hari dalam keadaan dirinya sengaja ingin berkabung. Akan tetapi, tidak berdosa apabila tidak berhias diri jikalau perbuatan itu bukan dilakukan kerana tujuan berkabung. Apa yang dapat difahami, syarak juga membenarkan perkabungan dilakukan kurang dari tiga hari[5].

Islam melarang wanita berkabung secara berlebih-lebihan kerana sikap berlebihan itu sendiri menggambarkan sikap tidak redha terhadap ketentuan Allah SWT. Sedangkan seseorang mukmin dituntut untuk bersabar apabila ditimpa ujian yang sedemikian. Ia berbeza dengan keadaan wanita idah kerana mereka diberi keringanan (rukhsah) sepanjang penantian tempoh idah, juga diibaratkan seperti terkurung dengan maksud iddah tersebut[6].

Kesimpulan

Kesimpulannya, wanita diharuskan melakukan ihdad sebagai tanda perkabungan dan dukacita atas kematian seseorang selain daripada suaminya asalkan tidak melebihi tempoh tiga hari dan diharamkan jika melebihi dari tempoh tersebut.

Wallahu 'Alam

 

Rujukan:
[1] Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. Ed: Ali Muhammad Ma’wad. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 5. Hlm 99.

وَهُوَ تَرْكُ لُبْسِ مَصْبُوغٍ لِزِينَةٍ). وَهُوَ ( أَيْ الْإِحْدَادُ بِحَاءٍ مُهْمَلَةٍ مِنْ أَحَدَّ، وَيُقَالُ فِيهِ: الْحِدَادُ مِنْ حَدَّ: لُغَةً: الْمَنْعُ؛ لِأَنَّ الْمُحِدَّةَ تَمْنَعُ نَفْسَهَا. وَشَرْعًا )تَرْكُ لُبْسٍ مَصْبُوغٍ لِزِينَةٍ (
[2] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin bin Syarf. Ed: Iwadh Qasim Ahmad Iwadh. Minhaj al-Tolibin wa Umdah al-Muftin. (t.tp: Dar al-Fikr, 2005). Hlm 256.
[3] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad bin Umar. Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib. (t.tp: Dar al-Fikr, 1995). Jld 4. Hlm 60.

وَخَرَجَ بِالْمَرْأَةِ الرَّجُلُ فَلَا يَجُوزُ لَهُ الْإِحْدَادُ عَلَى قَرِيبِهِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ لِأَنَّ الْإِحْدَادَ إنَّمَا شُرِعَ لِلنِّسَاءِ لِنَقْصِ عَقْلِهِنَّ، الْمُقْتَضِي عَدَمَ الصَّبْرِ.

قَوْلُهُ:  )عَلَى غَيْرِ زَوْجٍ : (أَيْ بِشَرْطِ أَنْ يَكُونَ قَرِيبًا أَوْ مَا فِي مَعْنَاهُ كَالصَّدِيقِ وَالصِّهْرِ أَيْ ابْنِ زَوْجِهَا أَوْ أَبِي زَوْجِهَا أَوْ أُمِّ زَوْجِهَا أَوْ مَمْلُوكًا أَوْ سَيِّدًا أَوْ عَالِمًا أَوْ إمَامًا عَادِلًا أَوْ شُجَاعًا أَوْ كَرِيمًا. وَالضَّابِطُ: كُلُّ مَا جَازَ لَهَا الْخُرُوجُ لِجِنَازَتِهِ جَازَ لَهَا الْإِحْدَادُ عَلَيْهِ وَإِلَّا فَلَا.
[4] Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari. Sahih Bukhari. Ed: Dr. Mustafa Dib al-Bugha. (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1993). Jld 1. Hlm 430. No hadis 1222.

 
[5] Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. Ed: Ali Muhammad Ma’wad. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 5. Hlm 104.

)وَلَهَا( أَيْ الْمَرْأَةِ )إحْدَادٌ عَلَى غَيْرِ زَوْجٍ( مِنْ الْمَوْتَى )ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ( فَأَقَلَّ )وَتَحْرُمُ الزِّيَادَةُ( عَلَيْهَا بِقَصْدِ الْإِحْدَادِ )وَاَللَّهُ أَعْلَمُ( فَلَوْ تَرَكَتْ ذَلِكَ بِلَا قَصْدٍ لَمْ تَأْثَمْ
[6] Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. Ed: Ali Muhammad Ma’wad. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 5. Hlm 104.

وَلِأَنَّ فِي تَعَاطِيهِ إظْهَارَ عَدَمِ الرِّضَا بِالْقَضَاءِ، وَالْأَلْيَقُ بِهَا التَّقَنُّعُ بِجِلْبَابِ الصَّبْرِ، وَإِنَّمَا رُخِّصَ لِلْمُعْتَدَّةِ فِي عِدَّتِهَا لِحَبْسِهَا عَلَى الْمَقْصُودِ مِنْ الْعِدَّةِ وَلِغَيْرِهَا مِنْ الثَّلَاثِ