Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1957: HUKUM SUAMI YANG TIADA MASALAH PERTUTURAN MENGGUNAKAN ISYARAT (OKU) UNTUK MENCERAIKAN ISTERI

HUKUM_SUAMI_YANG_TIADA_MASALAH_PERTUTURAN_MENGGUNAKAN_ISYARAT_OKU_UNTUK_MENCERAIKAN_ISTERI.jpg

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya ada persoalan. Apakah hukum suami yang sihat secara fizikalnya iaitu tiada masalah pertuturan seperti bisu menceraikan isteri dengan menggunakan bahasa isyarat orang kelainan upaya (OKU) tanpa ia dilafazkan? Adakah jatuh talak terhadap isterinya? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Suami yang tiada masalah pertuturan (tidak bisu) lalu dia menggunakan bahasa isyarat OKU ketika hendak menceraikan isterinya, maka tindakannya tidak menyebabkan jatuh talak kepada isteri kerana perbuatan ini dianggap sia-sia dan hukumnya adalah tidak terpakai. Walaupun pihak suami menyertakan niat talak ketika menggunakan isyarat tersebut.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Secara umumnya, definisi talak menurut syarak ialah melepaskan ikatan atau akad perkahwinan dengan perkataan yang membawa kepada perceraian sama ada ia dilafazkan secara jelas atau sindiran[1]. Para ulama membahagikan sighah talak daripada sudut kejelasan lafaz kepada dua bahagian iaitu sighah talak sarih (jelas membawa makna talak) dan sighah talak kinayah (berkemungkinan membawa makna talak atau tidak). Hukum sighah lafaz sarih jelas menyebabkan jatuh talak walaupun dilakukan oleh suami tanpa meniatkan talak. Manakala, sighah talak kinayah perlu dirujuk kembali pada niat suami iaitu sekiranya dia berniat talak maka jatuh talak kepada isteri[2].

Berkait persoalan di atas, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa isyarat talak yang dilakukan oleh suami kepada isterinya, dalam keadaan suami mampu berbicara (tidak bisu) ialah satu perbuatan yang dianggap sebagai sia-sia. Ini merupakan pandangan yang kuat di sisi mazhab al-Syafi’i seperti mana yang disebut dalam kitabnya[3]:

وإشارة ناطق بطلاق لغو وقيل كناية

Maksudnya: “Isyarat talak oleh suami yang mampu berkata-kata merupakan perkara yang sia-sia, dan menurut pandangan lemah (mazhab al-Syafi’i) ia termasuk dalam kategori sighah kinayah”.

Sheikh al-Khatib al-Syirbini memperjelas makna laghwun (sia-sia) dalam kenyataan di atas bermaksud tindakan suami tidak memberi kesan hukum kepada status pasangan suami isteri dan talak tidak jatuh kepada isteri. Contoh situasi seperti si isteri berkata kepada suaminya; “ceraikanlah aku !”, kemudian si suami menunjukkan tangannya sebagai tanda isyarat untuk isteri keluar daripada rumah[4]. Biarpun menurut kelazimannya isyarat ini boleh memberi faham bahawa suami bersetuju untuk menceraikan isteri, namun disebabkan suami tidak melafazkan talak dalam keadaan dirinya mampu berbuat demikian maka ini dianggap seperti dia tidak berniat talak kepada isterinya.

Imam al-Ramli kemudiannya menjelaskan bahawa isyarat talak tidak diambil kira sekalipun pihak suami benar-benar meniatkan talak melalui tindakannya dan meskipun isyarat talak itu mampu difahami oleh setiap orang (bahawa ia membawa maksud talak). Manakala, menurut pandangan lemah bahawa perbuatan ini dikategorikan sebagai sighah talak kinayah ialah disebabkan mereka berhujah bahawa isyarat itu boleh difahami maknanya sama seperti talak dalam bentuk penulisan. Namun, pandangan lemah ini dijawab balas oleh ulama yang berpegang kepada pandangan yang kuat bahawa ia merupakan satu kejanggalan untuk memahami makna di sebalik isyarat yang dilakukan oleh suami yang mampu berkata-kata, kerana boleh jadi isyarat itu tidak membawa makna talak seperti yang dikehendaki oleh suami. Ia berbeza dengan talak dalam bentuk tulisan kerana hasil penulisan itu sendiri merupakan rangkuman huruf yang disusun untuk membentuk satu penulisan yang difahami seperti suatu bentuk frasa dan ungkapan[5].

Kesimpulan

Kesimpulannya, hukum seorang suami normal dan tiada masalah pertuturan (tidak bisu) yang mentalakkan isteri dengan menggunakan bahasa isyarat OKU, maka perbuatan tersebut tidak menyebabkan jatuh talak kepada isteri. Ini kerana tindakan tersebut dianggap sebagai sia-sia dan hukumnya tidak sah sekalipun suami memang berniat menceraikan isteri melalui isyarat yang diberikan. Namun sekiranya masih terdapat keraguan mengenai kesahan lafaz cerai ini maka dicadangkan untuk dirujuk ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahan mengenai status lafaz talak.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha @ Ali al-Syirbiji. Al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1996). Jld 4. Hlm 119.

والطلاق شرعاً: حلّ عقدة النكاح بلفظ الطلاق ونحوه.

[2] Ibid. hlm 122.

فباعتبار وضوح اللفظ في الدلالة عليه، وعدم وضوحه ينقسم إلى: صريح وكناية. إذا لاحظت الألفاظ التي تستعمل للدلالة على الطلاق وجدت أن هذه الألفاظ:إما أن تكون ذات دلالة قاطعة على الطلاق، بحيث لا تحتمل غيره، فهذه الألفاظ تسمى: صريحة.وإما أن تكون قاطعة في دلالتها، بحيث تحتمل غير الطلاق، فهذه الألفاظ تسمى: كناية.

[3] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf. Minhaj al-Tolibin wa Umdah al-Muftiin fi al-Fiqh. Ed: Iwadh Qasim Ahmad Iwadh. (t.tp: Dar al-Fikr, 2005). Hlm 231. Minhaj Tolibin.

[4] Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 4. Hlm 463.

)لَغْوٌ (لَا يَقَعُ بِهَا شَيْءٌ

كَأَنْ قَالَتْ لَهُ زَوْجَتُهُ: طَلِّقْنِي فَأَشَارَ بِيَدِهِ أَنْ اذْهَبِي 

[5] Syamsuddin al-Ramli, Muhammad bin Abi al-Abbas Ahmad bin Hamzah. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 6. Hlm 465

(وإشارة ناطق بطلاق لغو) وإن نواه وأفهم بها كل أحد (وقيل كناية) لحصول الأفهام بها كالكتابة, ورد بأن تفهيم الناطق إشارته نادرة مع أنها غير موضوعة له بخلاف الكتابة فإنها حروف موضوعة للإفهام كالعبارة.