SOALAN
Assalamualaikum. Saya ada memelihara beberapa ekor kucing di rumah saya. Kadangkala apabila saya sedang solat, kucing tersebut datang menggosok-gosokkan badannya ke telekung saya sehingga meninggalkan beberapa helai bulu. Soalan saya, adakah sah solat saya dengan ada beberapa helaian bulu kucing itu pada pakaian saya? Adakah perlu saya mengulang kembali solat tersebut.
Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Jika hanya beberapa helaian yang melekat pada pakaian ketika sedang solat, maka solatnya sah dan tidak perlu diulang kembali kerana ia merupakan najis yang dimaafkan. Namun begitu, jika sebelum solat ditunaikan, maka digalakkan untuk membersihkan pakaian atau menggantinya dengan pakaian yang suci sebagai langkah keluar daripada khilaf.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Allah SWT memberikan keringanan berkaitan hukum berkaitan kucing dengan menyifatkannya sebagai haiwan yang suci kerana ia sifatnya suka berkeliaran di sekitar manusia. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ
Maksudnya: Sesungguhnya kucing bukanlah najis kerana ia adalah haiwan yang berkeliaran di sekitar kamu.
Riwayat al-Tirmizi (92)
Menurut al-Ruyani, hadis di atas menjelaskan kepada perbezaan kesucian antara kucing dan anjing. Kucing dianggap haiwan yang suci kerana sering berkeliaran di sekitar manusia, manakala anjing dianggap najis kerana bukan tergolongan dengan sifat sedemikian.[1]
Di samping itu juga, Imam al-Nawawi menyebutkan bekas air (baki air yang diminum) oleh kucing adalah suci dan harus untuk digunakan.[2] Berkaitan hal ini, kami telah mengupasnya secara ringkas dalam artikel-artikel yang lain, sila rujuk Al-Kafi #7 : Hukum Bulu Kucing Yang Tertanggal dan Irsyad Al-Fatwa Ke-82: Hukum Bulu Kucing Yang Tertanggal.
Seterusnya, perbahasan tentang status kesucian bulu binatang adalah bersandarkan kepada jenis binatang tersebut sama ada ia daripada golongan yang halal dimakan ataupun tidak. Sekiranya bulu tersebut gugur atau tercabut daripada haiwan yang boleh dimakan seperti bulu ayam, bulu kambing dan bulu lembu, maka hukumnya adalah suci. Manakala jika bulu gugur atau tercabut daripada haiwan yang tidak boleh dimakan seperti kucing dan keldai, atau daripada haiwan yang boleh dimakan selepas dia mati, maka hukumnya adalah najis. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Ghamrawi bahawa:
والجزء الْمُنْفَصِل من الْحَيّ كميتته أَي ميتَة ذَلِك الْحَيّ فَإِن كَانَت ميتَته نَجِسَة فالجزء نجس وَإِلَّا فطاهر إِلَّا شعر الْمَأْكُول أَو صوفه أَو ريشه فطاهر أما الْمُنْفَصِل من غير الْمَأْكُول أومن مَأْكُول بعد مَوته فنجس.
Maksudnya: Bahagian yang terpisah daripada binatang yang hidup (hukumnya) seperti bangkai, iaitu bangkai daripada haiwan yang hidup itu. Jika bangkainya itu dalam kategori najis maka bahagiannya juga termasuk najis, melainkan jika ia tidak terpisah ketika hidup hukumnya adalah suci. Melainkan juga (bahagian yang terpisah ketika hidup) rambut binatang yang halal dimakan, bulu atau bulu kepaknya maka hukumnya adalah suci. Manakala bahagian yang terpisah selepas mati daripada binatang yang haram dimakan atau halal dimakan(mati bukan secara sembelihan) maka hukumnya adalah najis.[3] (Rujuk al-Siraj al-Wahhaj, 1:23)
Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa bulu kucing yang terpisah sama ada ketika ia hidup atau mati adalah najis kerana ia merupakan haiwan yang tidak boleh dimakan. Justeru, perlu dibersihkan pakaian yang terkena bulu-bulu kucing apabila seseorang ingin mendirikan solat.
Walau bagaimanapun, di sisi mazhab al-Syafie, bulu-bulu kucing yang sedikit yang melekat pada pakaian adalah termasuk dalam najis yang dimaafkan (al-ma’fuwat). Hal ini seperti dinyatakan Imam al-Khatib al-Syirbini bahawa:
وَعَنْ يَسِيرِهِ عُرْفًا مِنْ شَعْرٍ نَجِسٍ مِنْ غَيْرِ نَحْوِ كَلْبٍ
Maksudnya: Dimaafkan bilangan yang sedikit secara adat (‘uruf) bulu-bulu yang najis haiwan selain daripada anjing.[4] (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1:236)
Kesimpulan
- Jika terdapat beberapa helai sahaja daripada bulu kucing pada pakaian seseorang ketika solat, maka solatnya sah dan tidak perlu diulang kembali. Lebih-lebih lagi, jika situasi seseorang yang sukar mengelakkan diri daripada keadaan tersebut seperti orang yang membela banyak kucing, doktor veterinar, penjaga haiwan dan seumpamanya.
- Namun begitu, digalakkan bagi mereka yang berada dalam situasi ini berusaha untuk menghilangkan bulu-bulu yang bersifat najis tersebut pada pakaian atau menukar pakaian yang suci sebagai langkah keluar daripada khilaf.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
[1] Al-Ruyani, Abd al-Wahid Ibn Ismail, Bahr al-Mazhab fi Furu’ al-Mazhab al-Syafie, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 2009), 4:412.
فمثل ما روي عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه امتنع من الدخول على قوم عندهم كلب ودخل على آخرين وعندهم هرة، وقال: إنها ليست بنجس إنها من الطوافين عليكم والطوافات. فنبه بذلك على نجاسة الكلب لأنه ليس من الطوافين والطوافات.
[2] Al-Nawawi, Muhyiddin Yahya Ibn Syaraf, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 1347h), 1:172.
ومذهبنا أن سؤر الهرة طاهر غير مكروه.
[3] Al-Ghamrawi, Muhammad al-Zuhri, al-Siraj al-Wahhaj ‘ala Matn al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1431h), 1:23.
[4] Al-Syirbini, al-Khatib, Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Maani Alfaz al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 1994), 1:236.