Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1970: TREND ISYARAT TANGAN DENGAN SIMBOL TERTENTU

TREND_ISYARAT_TANGAN_DENGAN_SIMBOL_TERTENTU.jpg

 

 

Soalan:

Assalamualaikum wbt SS Datuk. Kebelakangan ini tular satu trend dalam kalangan pengguna media sosial berkenaan isyarat tangan yang berbentuk simbol-simbol tertentu, dan ada dakwaan mengatakan ia merupakan simbol yang digunakan oleh gerakan Freemason. Soalan saya, adakah seorang Muslim boleh menggunakan simbol-simbol seperti ini?

Ringkasan Jawapan

Isyarat tangan dengan simbol tertentu perlu dilihat dalam beberapa aspek dan tujuannya. Dari sudut psikologi, ia merupakan bahasa badan yang spontan yang dilakukan oleh seseorang untuk mencerminkan keyakinan dalam suatu situasi. Namun begitu, sekiranya sesuatu perbuatan itu terkait dengan unsur-unsur agama lain secara jelas dan tujuannya untuk mengangkat unsur agama tersebut, maka ia adalah diharamkan. 

Umat Islam dinasihatkan supaya meneliti dahulu sebelum merespon terhadap sesuatu isu yang tular supaya tidak melabelkan isu tersebut tanpa asas dan ilmu pengetahuan.

Huraian Jawapan

Berdasarkan carian, trend ini didapati menjadi tular dalam kalangan pengguna Tiktok, khasnya anak muda dan remaja:

Screenshot_2023-12-14_093405.png

(Sumber gambar: Tiktok)

Namun ada sebahagian pihak yang mempersoalkan trend ini dan menganggapnya sebagai bercanggah dengan Islam atas dakwaan simbol-simbol tangan ini ada persamaan dengan simbol gerakan Freemason.

Persoalan ini boleh dijawab daripada beberapa aspek:

Teori psikologi dan bahasa badan (body languange)

Berdasarkan pembacaan, simbol-simbol ini memang ada dibincangkan oleh ahli-ahli teori bahasa badan. Antara gaya tangan yang menjadi bualan ialah gaya tangan steeple yang boleh digambarkan melalui grafik di bawah:

Screenshot_2023-12-14_093454.png

(Sumber gambar: Body Language: How to Read Others' Thoughts by Their Gestures oleh Allan Pease)

Menurut Allan Pease, gaya tangan ini biasanya digunakan oleh para majikan dan orang besar ketika berinteraksi dengan staf atau pekerja atau memberi arahan, yang menunjukkan keyakinan diri kepada orang lain.[1] Tiada dinyatakan bahawa simbol ini terkait dengan mana-mana agama.

Hati-Hati Dengan Trend, Jangan Mudah Terikut-Ikut Secara Melulu

Umat Islam sepatutnya tidak mudah terjebak serta terikut-ikut dengan sebarang perkara yang tular di media sosial. Hal ini kerana sekiranya didapati bahawa perkara tersebut terkait dengan unsur-unsur dan simbol agama lain serta perbuatan tersebut bertujuan untuk mengangkat syiar agamanya, maka agama Islam tidak membenarkannya. Hal ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya : 

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dalam kalangan mereka.” 

Riwayat Abi Daud 

Berfikir Sebelum Bertindak 

Dalam dunia serba canggih hari ini, umat Islam seharusnya bertabayyun atau meneliti terlebih dahulu berkenaan dengan sesuatu supaya perkara yang itu yakin dan tidak timbul kegelisahan dalam kalangan masyarakat. Firman Allah SWT: 

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Surah al-Isra’ (36)

Imam al-Tabari menukilkan riwayat Ibn Abbas dalam menjelaskan maksud ayat “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya” ialah merujuk kepada larangan supaya tidak menghukum atau menuduh sesuatu perkara yang tidak mempunyai ilmu tentangnya.[2]  Oleh yang demikian, umat Islam perlu bijak dalam bertindak agar setiap perkara yang disampaikan itu mengikut pertimbangan dan neraca pengetahuan yang ada.

Kesimpulan 

Isyarat tangan dengan simbol tertentu perlu dilihat dalam beberapa aspek dan tujuannya. Dari sudut psikologi, ia merupakan bahasa badan yang spontan yang dilakukan oleh seseorang untuk mencerminkan keyakinan dalam suatu situasi. Namun, sekiranya sesuatu perbuatan itu terkait dengan unsur-unsur agama lain secara jelas dan tujuannya untuk mengangkat unsur agama tersebut, maka ia adalah diharamkan. 

Umat Islam dinasihatkan supaya meneliti dahulu sebelum merespon terhadap sesuatu isu yang tular supaya tidak menghukum tanpa asas dan ilmu pengetahuan.

Wallahu a‘lam.

Rujukan:

[1] Lihat The Definitve Book of Body Languange: How to Read Others' Thoughts by Their Gestures oleh Allan Pease dan Barbara Pease (2004) Australia: Pease International, hal. 132-135.

Lihat juga Body Language: How to Read Others' Thoughts by Their Gestures oleh Allan Pease. Diakses pada pautan: https://ia601507.us.archive.org/29/items/LetsGoPictureDictionaryMonolingual/Body%20Language%20-%20How%20to%20Read%20Others%27%20Thoughts%20by%20Their%20Gestures.pdf 

[2] al-Tabari, Muhammad bin Jarir, Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Aya al-Quran. (Ed 1, Dar Hajar, 2001). 14:594

عن ابن عباس، قوله {ولا تقف ما ليس لك به علم} [الإسراء: 36] يقول: لا ترم أحدا بما ليس لك به علم