Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1971: ADAKAH SAH SOLAT TAMAM DIHIMPUNKAN BERSAMA SOLAT QASAR

ADAKAH_SAH_SOLAT_TAMAM_DIHIMPUNKAN_BERSAMA_SOLAT_QASAR.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan berkenaan jamak dan qasar. Saya keluar bermusafir, kemudian saya singgah di masjid untuk menunaikan solat Zohor dengan mengikuti imam secara tamam dengan niat jamak taqdim. Setelah itu, saya mendirikan solat Asar bersendirian secara qasar bagi menyempurnakan jamak taqdim. Adakah boleh saya menghimpunkan solat Zohor secara tamam dan solat Asar secara qasar?

Sekian, terima kasih Dato’.

RINGKASAN JAWAPAN

Solat secara jamak dan qasar harus dilakukan ketika musafir dan ia merupakan keringanan yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk para hamba-Nya. Hukum solat tamam yang dihimpunkan dengan solat secara qasar adalah harus dan sah. Sebagai contoh, seseorang yang melaksanakan solat Zohor sebanyak empat rakaat dengan mengikuti imam, kemudian dia harus mendirikan solat Asar secara qasar bersendirian.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Jamak dan qasar merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang bermusafir. Oleh itu, seseorang yang melakukan qasar solat ketika musafir adalah sah berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya:Apabila kamu musafir di atas muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan(memendekkan) sembahyang.”

Surah al-Nisa’ (101)

Begitu juga terdapat hadis Nabi SAW berkenaan qasar solat yang disyariatkan pada awalnya disebabkan ketakutan seperti yang diriwayatkan daripada Ya’la bin Umayyah, beliau berkata:

قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ: {لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ، إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا} فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ، فَقَالَ: ‌عَجِبْتُ ‌مِمَّا ‌عَجِبْتَ ‌مِنْهُ، ‌فَسَأَلْتُ ‌رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ «صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللهُ بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ»

Maksudnya: “Aku membacakan firman Allah kepada Umar bin al-Khattab RA yang maksudnya (tidaklah berdosa mengqasarkan sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir). Bagaimana pula ketika keadaan orang ramai telah pun aman? Umar berkata: Aku juga tertanya-tanya tentang perkara yang engkau tanyakan itu. Lalu aku bertanya Rasulullah SAW tentang perkara tersebut. Baginda bersabda: Itu merupakan pemberian Allah SWT kepada kamu, maka terimalah pemberian-Nya.”

Riwayat Muslim (686)

Namun begitu, menurut Imam al-Nawawi yang menjelaskan tentang faedah daripada hadis ini bahawa harus mengqasarkan solat walaupun bukan dalam keadaan takut akibat perang.[1]

(Rujuk: Syarh al-nawawi ala Muslim, 5/196)

Oleh itu, seseorang yang bermusafir harus melakukan qasar solat dan menjamakkan kedua-dua solat. Bahkan seseorang yang sedang bermusafir itu boleh menghimpunkan solat pertama secara tamam dengan solat kedua secara qasar. Hal ini disebut oleh Sheikh Ba’ Alawi:

وإذا اقتدى بمتمّ لزمه الإتمام في تلك الصلاة لا فيما بعدها، وإن جمعهما تقديماً أو تأخيراً

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu mengikuti (menjadi makmum) kepada orang yang sedang solat secara tamam, maka dia wajib menyempurnakan (tamam) solat tersebut tetapi tidak (wajib) pada solat selepasnya, meskipun dia menghimpunkan kedua-dua solat tersebut secara taqdim mahu pun ta’khir.

(Rujuk: Bughyah al-Mustarsyidin, 98)

Seseorang mengikuti imam yang melakukan solat secara tamam (empat rakaat), maka dia wajib mengikut imam sehingga selesai solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا

Maksudnya: Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti. Apabila imam bertakbir, hendaklah kamu bertakbir. Apabila imam rukuk hendaklah kamu rukuk dan apabila imam bangun, hendaklah kamu bangun.

Riwayat Al-Bukhari (733)

Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.A bahawa beliau ditanyakan: ‘’Mengapakah orang musafir itu menunaikan solat dua rakaat ketika bersendirian dan solat empat rakaat apabila dia berimamkan kepada orang yang mukim?’’ Maka jawab Ibn Abbas: ‘’Yang demikian itu adalah sunnah’’.[2]

(Rujuk: Al-Mughni, Ibn Qudamah, 2/210)

Sebagai contoh, seseorang yang mengikuti imam yang sedang solat Zohor secara tamam, maka dia wajib menyempurnakan solat tersebut sebanyak empat rakaat bersama imam, kemudian dia harus solat Asar secara qasar.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa solat secara jamak dan qasar boleh dilakukan ketika bermusafir kerana ia merupakan satu rukhsah. Solat yang dijamakkan antara solat secara tamam dengan solat secara qasar adalah harus dan sah. Sebagai contoh, seseorang yang melaksanakan solat Zohor sebanyak empat rakaat dengan mengikuti imam, kemudian dia harus mendirikan solat Asar secara qasar secara sendirian.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] وَفِیه جَوَازُ الْقَصْرِ فِي غَیْرِ الْخَوْفِ

[2] ما روي عن ابن عباس، أنه قيل له: «ما بال المسافر يصلي ركعتين في حال الانفراد، وأربعا إذا ائتم بمقيم؟ فقال: تلك السنة.»