Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2011: HUKUM MENGGUNAKAN PLATFORM TRADING FOREX UNTUK TUJUAN PEMBELAJARAN SAHAJA TANPA SEBARANG PELABURAN

APAKAH_HUKUM_MENGGUNAKAN_PLATFORM_TRADING_FOREX_UNTUK_TUJUAN_PEMBELAJARAN_SAHAJA_TANPA_SEBARANG_PELABURAN.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ada soalan. Adakah haram dan berdosa jika saya menggunakan platform forex contoh seperti xxx broker untuk tujuan membaca graf sahaja serta buat indikasi jangkaan pergerakan harga tanpa melakukan sebarang transaksi dalam platform tersebut? Maksudnya di sini adalah saya hanya membaca graf dan meletakkan instrumen kewangan pelaburan (tool finance indicator seperti macd/graf/stoch) untuk mengenal pergerakan komoditi tersebut kemudian barulah saya melabur di dalam platform yang patuh syariah berdasarkan panduan analisis teknikal kewangan dalam platform forex tersebut. Mohon jawapan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum menggunakan platform trading forex untuk tujuan mempelajari dan mengkaji technical atau fundamental analysis adalah harus dengan syarat tidak melakukan sebarang transaksi jual beli atau urusniaga melalui platform tersebut

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pertamanya, Perdagangan Matawang (FOREX) mempunyai pelbagai gambaran dan bentuk. Namun, tulisan ini hanya memfokuskan pada bentuk Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platform elektronik. Sebagaimana sedia maklum, bentuk perdagangan sebegini telah pun difatwakan haram dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98.

Kenyataannya adalah seperti berikut:

Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platform elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara.[1]

Pengharaman ini adalah berdasarkan kepada kajian terperinci yang telah dibentangkan kepada panel Muzakarah dan seterusnya mereka mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platform elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu, ia juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.

Menyentuh berkenaan persoalan yang diutarakan iaitu hukum menggunakan platform trading forex untuk tujuan pembelajaran sahaja tanpa melakukan pelaburan melaluinya, kami berpandangan bahawa hukumnya adalah harus selagi mana dia tidak melakukan atau terlibat dengan sebarang transaksi jual beli melalui platform tersebut. Hal ini kerana pengharaman tersebut adalah pada kegiatan transaksi dan urusniaga yang dijalankan melalui platform itu dan bukannya pada aplikasi atau platform itu sendiri.

Bukan itu sahaja, keharusan ini juga bersandarkan kepada keumuman kaedah Fiqh yang membenarkan penggunaan sesuatu perkara atau benda selagi mana ia masih berada dalam kerangka batasan syariat. Kaedah tersebut ialah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehingga datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”

Bertitik tolak daripada kaedah ini, kami melihat bahawa menggunakan platform trading forex untuk tujuan mempelajari dan mengkaji technical atau fundamental analysis adalah harus dengan syarat tidak melakukan sebarang transaksi jual beli atau urusniaga melalui platform tersebut. Meskipun begitu, kami mencadangkan sebaiknya agar kajian saham tersebut dilakukan di platform yang telah diketahui ia patuh syariah. Hal ini kerana, dengan cara ini, kita tidaklah membantu mempromosikan dan meningkatkan rating platform tersebut secara tidak langsung.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Lihat: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/10293, laman web diakses pada 1 Ogos 2024. Lihat juga: https://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/KOMPILASI_MUZAKARAH_MKI_2016.pdf, laman web diakses pada 1 Ogos 2024, halaman 87.