Soalan
Saya berkongsi bilik dengan seorang rakan dan selalu balik lambat ke bilik pada waktu malam. Kadangkala saya nak solat isyak tapi kawan saya dah tidur dan bilik sangat gelap. Saya ingin bertanya, apakah hukum solat dalam gelap? Saya akan mengganggu rakan sebilik jika saya buka lampu pada tengah malam. Mohon pandangan ustaz.
Ringkasan Jawapan
Dibolehkan solat dalam keadaan tempat yang gelap jika tidak mengganggu khusyuk, namun begitu perlu dipastikan solat itu didirikan dengan menghadap kiblat yang betul, memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna dan tempat solat juga dalam keadaan yang bersih daripada najis.
Dinasihatkan supaya solat di tempat yang ada cahaya sedikit atau malap sekiranya tempat yang gelap mendatangkan ketakutan sehingga mengganggu khusyuk semasa solat. Wallahu a’lam.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Solat dalam keadaan gelap adalah dibolehkan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat kerana pada ketika itu rumah-rumah masih tidak mempunyai lampu. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Aisyah RA, beliau berkata:
كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي، فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ، فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا، قَالَتْ: وَالبُيُوتُ يَوْمَئِذٍ لَيْسَ فِيهَا مَصَابِيحُ
Maksudnya: Aku tidur di samping Rasulullah SAW dan kakiku berada pada kiblatnya (tempat sujud). Sekiranya Baginda ingin sujud, Baginda menyentuhku lalu aku melipatkan kaki. Kemudian apabila Baginda bangun, aku meluruskan semula kedua-dua kaki. Pada ketika itu, tiada lampu di rumah-rumah.
(Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan kenyataan Aisyah RA bahawa keadaan rumah-rumah ketika itu tidak mempunyai lampu menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mendirikan solat dalam gelap sebelum mereka mendapat sumber cahaya.[1]
Lebih digalakkan lagi jika solat dalam suasana yang gelap adalah untuk mendapatkan khusyuk ini kerana Allah SWT berfirman:
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِي صَلَاتِهِمۡ خَٰشِعُونَ (٢)
Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.
(Surah al-Mu’minun :1-2)
Namun begitu, dalam keadaan gelap, seseorang itu tetap disunatkan menghala pandangan ke arah tempat sujud dan tidak menghalakan pandangan selain daripada itu. Hal ini kerana menghalakan pandangan ke arah tempat sujud semasa solat lebih mendekatkan diri untuk lebih khusyuk dalam apa jua keadaan sekalipun.[2]
Apabila solat dalam bilik yang gelap, hendaklah dipastikan solat tersebut menghadap kiblat yang betul, memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna dan tempat solat berada dalam keadaan suci daripada sebarang najis. Selain itu, suasana yang gelap itu mestilah tidak mendatangkan kerisauan atau ketakutan semasa solat sehingga menyebabkan hilang khusyuk. Sekiranya berlaku keadaan sedemikian, adalah lebih baik untuk melaksanakan solat di kawasan yang lebih terang.
Kesimpulan
Dinasihatkan supaya kawasan tersebut mempunyai sedikit cahaya dengan lampu yang malap dan tidak terlampau gelap. Dikhuatiri suasana yang gelap tidak lagi memberi kekhusyukan dalam solat dan juga menyebabkan solat tidak sah.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
[1] Al-Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajar. Fātḥ al-Bārī Syarḥ al-Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. ed. Muhammad Fuad Abdul Baqi. (Beirūt: Dār al-Ma’rifah, 1379H). Jld. 9, Hlm. 338
وَقَوْلُهَا وَالْبُيُوتُ يَوْمَئِذٍ لَيْسَ فِيهَا مَصَابِيحُ كَأَنَّهَا أَرَادَتْ بِهِ الِاعْتِذَارَ عَنْ نَوْمِهَا على تِلْكَ الصّفة قَالَ بن بَطَّالٍ وَفِيهِ إِشْعَارٌ بِأَنَّهُمْ صَارُوا بَعْدَ ذَلِكَ يَسْتَصْبِحُونَ
[2] Muhammad bin Abi al-Abbas Syihabuddin al-Ramli. Nihayah al-Muhtaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jil 1, Hlm. 546.
«(قُلْت: يُسَنُّ) (إدَامَةُ نَظَرِهِ) أَيْ الْمُصَلِّي (إلَى مَوْضِعِ سُجُودِهِ) فِي جَمِيعِ صَلَاتِهِ وَلَوْ بِحَضْرَةِ الْكَعْبَةِ وَإِنْ كَانَ أَعْمَى أَوْ فِي ظُلْمَةٍ بِأَنْ تَكُونَ حَالَتُهُ حَالَةَ النَّاظِرِ لِمَحَلِّ سُجُودِهِ لِأَنَّهُ أَقْرَبُ لِلْخُشُوعِ»