Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya sedikit berkenaan hukum pusaka. Ayah saya baru sahaja meninggal bulan lepas. Dalam pengetahuan saya, ayah ada meminjam alatan pertukangan milik jiran. Soalan saya, adakah alatan tersebut menjadi pusaka dan perlu dibahagikan kepada ahli waris? Mohon jawapan Datuk Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Harta peninggalan yang diwarisi hanyalah terhad kepada apa yang menjadi milik si mati di akhir hayatnya. Harta yang bukan merupakan milik si mati hendaklah dikembalikan atau dipulangkan semula kepada pemilik asalnya.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Pada dasarnya, apabila berlakunya kematian seseorang, seluruh harta peninggalan si mati akan diwarisi oleh sekalian ahli warisnya yang berhak. Harta peninggalan itu termasuklah sama ada harta benda, hak-hak ataupun apa yang termasuk dalam pemilikannya setelah dia mati. Hal ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Ramli iaitu al-Tarikah (Harta peninggalan) merujuk kepada setiap apa yang ditinggalkannya termasuklah hak seperti denda jenayah atau hukuman qazaf, serta apa-apa harta yang menjadi milik si mati, seperti arak yang telah berubah menjadi cuka setelah kematiannya atau diyat (ganti rugi) yang diperoleh daripada pembunuhnya[1].
Namun, jelas di sini bahawa semua yang diwarisi mestilah merupakan hak milik si mati dan bukannya hak orang lain sama ada barangan yang dipinjam, barangan yang diamanahkan untuk dijaga atau sebagainya. Perkara ini jelas dinyatakan dalam kitab al-Fiqh al-Islāmi wa Adillatuhu, Dr Wahbah al-Zuhaili menukilkan[2]:
التركة: ما يتركه الميت مما كان يملكه من الأموال النقدية والعينية والحقوق. فلا يدخل في التركة الأمانات ونحوها مما لم يكن يملكه.
Maksudnya: “Harta pusaka ialah apa yang ditinggalkan oleh si mati daripada apa yang dimilikinya seperti wang tunai, harta benda dan hak-hak tertentu. Barangan amanah dan seumpamanya yang bukan merupakan milik si mati tidak termasuk dalam takrifan harta pusaka.”
Oleh yang demikian, harta yang bukan merupakan milik si mati tidak boleh diwarisi oleh sekalian para warisnya, sebaliknya harta-harta tersebut perlulah dipulangkan semula kepada pemilik asalnya atau waris pemilik asal barangan tersebut. Meskipun begitu, perkara-perkara tersebut perlulah dikemukakan bukti atau saksi bagi mengesahkannya terlebih dahulu.
Seterusnya, jika harta tersebut diagihkan juga kepada para waris, maka ini dikira bertransaksi dengan harta yang batil sedangkan perkara ini amat dilarang dalam Islam. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Wallahu A‘lam.
Rujukan:
[1] Muhammad bin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah Syihabuddin al-Ramli, Nihāyat al-Muḥtāj Ila Syarḥ al-Minhāj, (Beirut: Dar al-Fikr, cetakan akhir, 1404H/1984M), 6/4.
(يَبْدَأُ) وُجُوبًا (مِنْ تَرِكَةِ الْمَيِّتِ) وَهِيَ مَا يُخَلِّفُهُ مِنْ حَقٍّ كَجِنَايَةٍ وَحَدِّ قَذْفٍ أَوْ اخْتِصَاصٍ أَوْ مَالٍ كَخَمْرٍ تَخَلَّلَتْ بَعْدَ مَوْتِهِ وَدِيَةٍ أُخِذَتْ مِنْ قَاتِلِهِ لِدُخُولِهَا فِي مِلْكِهِ،
[2] Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, (Damsyik: Dar al-Fikr, cetakan ke-4, t.t), 10/7701.