Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #636 : SAH SOLAT WANITA TANPA STOKIN KAKI?

 

Soalan:

Salam. Adakah sah solat perempuan yang tidak memakai stoking tetapi memakai kain yang labuh sehingga menutup kakinya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Sabda Rasulullah SAW:

لا يَقبَلُ اللهُ صلاةَ حائضٍ إلا بخِمارٍ

Maksudnya: Allah tidak menerima solat perempuan yang sudah haid (baligh) kecuali jika dia memakai khimar.

Riwayat Abu Daud (641)

Kata Imam al-San`ani rahimahullah: “Khimar adalah apa yang ditutup dengannya kepala dan leher.” Rujuk Subul al-Salam (1/197).

Kata Imam al-Nawawi rahimahullah: “Menutup aurat adalah syarat sah solat. Jika terdedah suatu pun daripada aurat orang yang bersolat tidak sahlah solatnya sama ada banyak terdedahnya atau sedikit, lelaki dan perempuan sama sahaja (wajib menutup aurat).” Rujuk al-Majmu` (3/166).

Mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafie, telapak kaki wanita dikira aurat yang wajib ditutup ketika dihadapan lelaki asing dan juga di dalam solat. Jika tidak ditutup, maka tidak sah solatnya sama ada solat fardu atau sunat. Manakala, daripada segi bahan yang digunakan, syariat tidak menetapkan jenis bahan yang digunakan. Ini bergantung kepada apa yang mudah diperolehi oleh mukallaf tersebut. Bahkan di dalam kitab fiqh, disebutkan jika tidak ditemui pakaian yang boleh menutup aurat, boleh digunakan lumpur untuk menutup aurat tersebut. Solat dengan tepekan lumpur itu sah dan tidak perlu ganti bahkan wajib jika tidak ada bahan lain yang boleh digunakan untuk menutup aurat kerana lumpur itu suci dan menutup aurat seperti pakaian jua.

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/213)

Justeru, sah solat bagi wanita tanpa memakai stoking jika dilabuhkan pakaian sehingga menutup kaki. Rujuk jua perbahasan adakah kaki wanita aurat dalam penulisan kami Irsyad Al-Fatwa Ke-134: Adakah Kaki Wanita Itu Aurat?.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua. Wallahua’lam.