Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LI AL-HAJ SIRI 4 : SYARAT MENGERJAKAN HAJI DAN UMRAH

SOALAN

Siapakah yang tergolong dalam kalangan orang yang difardukan ibadah haji dan umrah ke atasnya ?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Ibadah haji dan umrah merupakan satu mercu tanda pengabdian diri seorang hamba kepada Penciptanya. Namun begitu, Allah SWT tidak memfardukan ibadah haji dan umrah ini kepada sesiapa yang tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Antara syarat-syarat wajib yang harus dipenuhi oleh setiap jemaah haji dan umrah adalah:

Pertama, Islam: Ibadah haji dan umrah tidak difardukan ke atas orang kafir. Ini kerana, maksud yang dikehendaki daripada ibadah adalah perhambaan diri kepada Allah SWT semata-mata sedangkan orang kafir tidaklah bertuhankan Allah SWT.

Kedua, baligh: Kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh tidaklah wajib untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah. Namun begitu, jika terdapat kanak-kanak yang menunaikan ibadah haji dan umrah, ibadah tersebut dikira sah dan dikira sebagai haji sunat.

Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: “Tidak dicatat (amalan) dari tiga golongan: Kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga, dan orang yang gila sehinggalah dia sembuh.”

Riwayat Abu Daud (4402)

Ketiga, berakal: Orang gila ataupun orang yang tidak waras akalnya tidaklah difardukan ibadah haji dan umrah ke atasnya.

Keempat, merdeka: Hamba sahaya tidak wajib untuk menunaikan ibadah haji dan umrah selagimana mereka belum dimerdekakan oleh tuannya. Ini kerana dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah, harta amat diperlukan sedangkan hamba tidak mempunyai pemilikan harta.

Kelima, berkemampuan (الاستطاعة): Berkemampuan di sini merujuk kepada aspek fizikal dan mental dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah.

Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT berikut:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali-Imran: 97)

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa difardukan ibadah haji dan umrah ini hanyalah kepada muslim merdeka yang mukallaf serta berkemampuan, lelaki mahupun perempuan. Selain itu, aspek fizikal dan mental juga harus diberi penekanan oleh setiap mereka yang berniat dan berazam untuk melaksanakan ibadah ini.

Bagi mereka yang telah cukup syarat seperti yang dinyatakan di atas, bersegeralah dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah dan berusahalah untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Ini kerana kita tidak mengetahui apakah yang akan berlaku pada masa-masa yang mendatang. Justeru, apabila telah cukup syarat yang dikehendaki dalam mengerjakan ibadah ini, maka bersegeralah. Firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maksudnya: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan”

(Surah al-Baqarah: 148)

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.