Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-72: ANAK YATIM: IHSANILAH DAN BERTAQWALAH

 

 Mukadimah

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan isu pengurusan harta anak yatim yang menjadi viral dalam kalangan masyarakat. Ramai yang menyatakan rasa simpati dan solidariti terhadap nasib anak-anak yatim piatu yang didakwa dinafikan hak mereka daripada sumbangan orang ramai. Sehubungan dengan itu, tanpa menumpukan pada satu kes semata-mata, kami berasa terpanggil untuk memberikan penjelasan umum berkenaan kedudukan anak yatim dan tanggungjawab sebenarnya mutawalli, kafil, atau penjaga anak yatim berdasarkan Syariah Islam.

Kami memohon maaf kepada keluarga jika kenyataan kami telah disalaherti, diputarbelit dan digunakan oleh pihak yang berkepentingan. Juga kami memohon maaf kepada keluarga jika bahasa yang kami gunakan dalam penulisan ini mengguris perasaan. Sesungguhnya niat kami semata-mata ialah demi kebenaran untuk ditegakkan, dan keharmonian dalam hubungan kekeluargaan kembali erat. Hakikatnya, kami akan menghuraikan isu ini untuk membawa masyarakat mengenalpasti akar umbi permasalahan yang sudah membarah dalam masyarakat. Kami juga berdoa kepada Allah Taala agar dengan penjelasan ini kebenaran akan terserlah dan diikuti, dan yang lebih penting hubungan kekeluargaan dan silaturrahim kembali bertaut demi kebajikan anak-anak yatim, berdasarkan Hukum Syarak.

Secara umumnya, kami merujukkan Bayan Linnas ini kepada penjaga, NGO dan badan-badan yang terlibat secara khusus dalam pemeliharaan anak-anak yatim. Itulah yang kami maksudkannya.

Justeru Bayan Linnas kalai ini kami tajukkan dengan “Bayan Linnas Ke-71 : Anak Yatim : Ihsanilah dan Bertaqwalah”.

Definisi Yatim

Di dalam Bahasa Arab, terdapat istilah yang khusus untuk menamakan anak yatim. Al-Yatim (الْيَتِيمُ) dari sudut bahasa membawa maksud tunggal, bersendiri. Telah berkata Ibn al-Sikkit: “Al-Yatim pada manusia adalah mereka yang kehilangan bapa manakala pada binatang pula adalah kehilangan ibu. Tidak dipanggil seseorang yang kehilangan ibu dengan al-Yatim”.[1]

Berkata Ibn Barriy pula: “Al-Yatim (الْيَتِيمُ) adalah bagi yang kematian ayah. Al-‘Ajiy (العَجِيُّ)  bagi kematian ibu manakala al-Latim (اللَّطيم) pula adalah bagi yang kematian keduanya”.[2]

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, yatim membawa maksud anak yang kematian ibu atau bapanya. Sekiranya seorang anak itu kematian ibu dan ayahnya, ia dinamakan sebagai yatim piatu.[3]

Siapakah Sebenarnya Anak Yatim?

Islam melihat bahawa anak yatim itu adalah mereka yang kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Ini dijelaskan sendiri oleh Nabi SAW yang mana telah bersabda:

لاَ يُتْمَ بَعْدَ احْتِلاَمٍ

Maksudnya: Tidak ada keyatiman setelah baligh

Riwayat Abu Daud (2873). Dinilai Sahih oleh Al-Albaani

Hadith di atas  jelas menunjukkan kepada kita bahawa yang dinamakan anak yatim itu adalah mereka yang kehilangan bapa dan belum mencapai umur baligh. Sekiranya telah mencapai umur baligh, maka penggunaan  istilah yatim tidak digunakan kepada mereka[4].

 

Oleh itu, seseorang yang umurnya 20-an meskipun telah kematian kedua ibu-bapanya tidak dinamakan dengan anak yatim kerana telah sampai umur baligh. 

 

Ujian Terhadap Anak Yatim

Antara faktor-faktor asas yang boleh menyelewengkan kanak-kanak adalah ujian kepada anak yatim pada awal umurnya yang telah kematian bapanya yang menyebabkan tiada

  1. Tangan yang lembut yang mengasuhnya
  2. Hati yang pengasih yang memeliharanya
  3. Penjaga yang diwasiatkan (wasi) yang berhubungan baik dengannya yang berlemah lembut dengannya.
  4. Kepimpinan yang sempurna yang mengangkatnya dari kedudukannya
  5. Pertolongan yang penuh yang mampu menyekat kelaparannya.[5]

Sekiranya hal-hal ini tidak diberikan perhatian yang serius, ia akan membawa kepada masalah gejala sosial dalam kalangan anak yatim dan secara sedikit demi sedikit akan menuju kepada gejala jenayah. Sebenarnya, Islam dengan syariatnya kekal dengan ajaran yang mulia telah memerintahkan kepada penjaga yang mempunyai hubungan kerabat untuk melakukan ihsan dalam bermuamalah dan bertanggungjawab dalam mendidik serta mengasuhnya.

Anak-Anak Yatim Yang Mencorak Sejarah Dunia

Di sini kami lampirkan beberapa tokoh Muslim yang dikenali dunia yang mana mereka merupakan anak yatim semasa kecil. Hakikatnya, terlalu ramai sebenarnya anak-anak yatim yang membesar menjadi tokoh yang disegani dan dipandang mulia oleh masyarakat. Menjadi anak yatim tidak menghalang mereka untuk berjaya dan menjadi ilmuan yang dikenali seluruh dunia. Kami hanya menukilkan beberapa orang sahaja dek kekangan

 

i. Sayyidah Zainab binti Ali al-Kubra (m. 62H)

Beliau adalah cucu kepada Rasulullah SAW melalui perkahwinan anak perempuan Baginda SAW, Fatimah dan suaminya ‘Ali ibn Abi Talib. Ibunya Fatimah meninggal dunia sewaktu beliau berumur 7 tahun. Suaminya Abdullah bin Ja’far, sepupu kepada Saidina Ali. Mereka dikurniakan 5 orang anak iaitu Ali, Muhammad, ‘Aun, ‘Abbas dan Ummu Kulthum. Beliau berada bersama-sama dengan adiknya, Husain ketika Husain dibunuh. Zainab pergi ke Damsyik dan berpidato di mahkamah milik Yazid bin Mu’awiyah bagi menuntut bela atas kematian adiknya, Saidina Husain. Kisah keberanian beliau ini dirakamkan di dalam pelbagai kitab, antaranya Usdu al-Ghabah fi Ma’rifat al-Sahabah oleh Ibn Asakir.

 

ii. Imam al-Syafie (m. 204H)

Nama sebenar beliau adalah Muhammad bin Idris al-Syafie. Beliau adalah pengasas kepada Mazhab Syafie; salah satu daripada empat mazhab utama dalam Islam. Beliau dilahirkan pada 150 Hijrah di Gaza. Pada usia 2 tahun, beliau dibawa ibunya berhijrah ke Mekah. Beliau tamat menghafaz al-Qur’an pada umur 7 tahun. Selain itu, beliau juga menghafal pelbagai matan daripada pelbagai bidang ilmu termasuk Muwatta’ Imam Malik sebelum berusia 20 tahun. Imam al-Syafie telah berhijrah ke Madinah, Yaman, Baghdad dan kemudiannya Mesir. Beliau meninggal di sana pada usia sekitar 54 tahun.

 

iii. Imam Ahmad bin Hanbal (m. 241H)

Beliau adalah seorang faqih, muhaddith, antara pengasas kepada mazhab Hanbali. Dilahirkan di Baghdad dan dibesarkan sebagai anak yatim. Beliau sangat meminati pengajian Hadith. Pengajiannya dimulakan di Baghdad sebelum berhijrah ke Hijaz dan Yaman. Imam Ahmad dikenali dengan kisah kesabarannya menempuhi dugaan ketika mempertahankan al-Qur’an sebagai kalam Allah dalam peristiwa Khalq al-Qur’an yang berlaku pada zaman Khalifah al-Ma’mun. Beliau dipenjara dan diseksa atas prinsipnya yang berbeza dengan pandangan Khalifah.

 

iv. Imam al-Bukhari (m. 252H)

Nama sebenarnya adalah Muhammad bin Ismail al-Bukhari. Beliau adalah antara ahli hadith terulung dan dikenali ramai menerusi kitabnya, Sahih al-Bukhari. Beliau dilahirkan di Bukhara, Uzbekistan dan dibesarkan oleh ibunya. Beliau telah berguru dengan Imam Muslim bin al-Hajjaj dan dikenali sebagai pelajar yang pintar semasa zaman pembelajarannya. Dikatakan ketika beliau tidur, beliau akan terus bangun dan menyalakan pelita serta mencatatkan buah fikiran yang diperolehnya semasa tidur. Kejadian itu akan berlaku berulang kali setiap kali beliau memperoleh buah fikiran yang baru semasa tidur.

 

v. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (m. 505H)

Namanya adalah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Tusi al-Ghazali. Bapanya meninggal ketika beliau masih kecil dan beliau dipelihara oleh teman bapanya. Imam Al Ghazali mula belajar ketika masih kecil di bawah didikan Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Razakani di Tus. Selepas itu, beliau berhijrah ke Jurjan dan kemudiannya kembali ke Tus. Imam al-Ghazali berguru dengan Imam al-Juwaini di Naisabur. Di sana, beliau menguasai pelbagai bidang ilmu seperti fiqh, usul fiqh, mantiq, falsafah dan aqidah. Setelah al-Juwaini meninggal dunia, beliau berhijrah ke Baghdad dan menetap di sana sebagai tenaga pengajar di Madrasah al-Nizamiyyah. Pada tahun 488H, Imam al-Ghazali telah mengerjakan haji di Mekah. Setelah itu, beliau ke Palestin dan mengunjungi Baitul Maqdis. Beliau menetap di Masjid Umawi di Kota Damsyik dan menyusun kitab Ihya’ Ulumuddin di salah satu sudut di masjid tersebut.

 

vi. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 852H)

Nama beliau adalah Ahmad bin Ali bin Muhammad al-Kannani al-Asqalani. Ibnu Hajar membesar sebagai seorang anak yatim. Ayah beliau meninggal ketika beliau berumur 4 tahun dan ibunya meninggal ketika beliau kurang daripada 5 tahun. Beliau mula menghafaz al-Qur’an pada usia 5 tahun dan mengkhatamkannya pada usia 9 tahun. Ibnu Hajar benAr-benar bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, hingga ia hafal beberapa kitab-kitab induk seperti Al-‘Umdah Al-Ahkaam karya Abdulghani Al-Maqdisi, Al-Alfiyah fi Ulum Al-Hadits karya guru beliau Al-Haafizh Al-Iraqi, Al-Haawi Ash-Shaghi karya Al-Qazwinir, Mukhtashar ibnu Al-Haajib fi Al-Ushul dan Mulhatu Al-I’rob serta yang lainnya.

Jelas kepada kita betapa ramai tokoh dan cendekiawan Islam berasal daripada anak yatim termasuklah Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Maulana Abu al-Hasan Ali al-Nadwi.

 

Siapakah Yang Bertanggungjawab Menguruskan Harta Anak Yatim ?

Secara asalnya, individu yang berhak untuk mengambil alih pengurusan harta anak-anak yatim adalah individu yang telah diwasiatkan oleh bapa kepada anak tersebut untuk menjaga harta mereka. Sama ada orang yang diwasiatkan tersebut tergolong dari kalangan kaum kerabatnya seperti si ibu, bapa saudara, datuk, atau selain mereka.

Sekiranya si ayah tidak membuat sebarang wasiat berkenaan hal tersebut, maka tanggungjawab menguruskannya adalah terletak pada datuk bagi anak tersebut iaitu ayah kepada si mati. Manakala jika datuknya tiada, hak pengurusan anak tersebut adalah pada ibunya, ataupun dari kaum kerabatnya seperti saudara lelaki, bapa saudara, dan seumpamanya.

Menurut Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah beliau berkata: “Wilayah (penguasaan) ke atas anak-anak kecil, orang gila, golongan safih (bodoh dan lemah akalnya), terletak pada keseluruhan kaum kerabat”. Lihat Al-Fatawa Al-Kubra, Ibn Taimiyyah (5/397).

Bahkan kata beliau lagi: “Tidak dibolehkan untuk diberikan kuasa menguruskan harta anak-anak yatim melainkan kepada seseorang yang kuat, mempunyai kepakaran terhadap apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya, amanah dalam menguruskannya, dan menjadi suatu kewajipan sekiranya wali (pengurus harta) tersebut tidak bersifat dengan ciri-ciri yang disebutkan ini untuk ditukar kepada wali yang lebih layak daripadanya”. Rujuk Majmu’ Al-Fatawa, Ibn Taimiyyah (30/44).

 

Tanggungjawab Mutawalli/Wali Kepada Anak Yatim

Setiap individu yang bertanggungjawab menjadi wali iaitu mereka yang bertanggungjawab menguruskan anak-anak yatim hendaklah sentiasa beramal dengan dua ayat berikut. Firman Allah S.W.T:

 وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْيَتَامَى قُلْ إِصْلاَحٌ لَّهُمْ خَيْرٌ

Maksudnya: Dan mereka bertanyakan kepada mu (wahai Muhammad) terhadap anak-anak yatim. Katakanlah bahawa berbuat islah (kebaikan) kepada mereka itu (anak-anak yatim) adalah merupakan suatu kebaikan.

Surah Al-Baqarah (220)

Daripada ayat ini, dapat difahami bahawa berbuat kebaikan dengan anak-anak yatim seperti menguruskan harta mereka dengan sebaik mungkin itu adalah satu cabang dari cabang-cabang kebaikan.

Firman Allah SWT,

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْيَتَامَى قُلْ إِصْلَاحٌ لَهُمْ خَيْرٌ وَإِنْ تُخَالِطُوهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ

Maksudnya: “Mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama);

     (Surah al-Baqarah: 220)

Firman Allah SWT,

فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,”

            (Surah al-Dhuha: 9)

Firman Allah SWT,

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

            (Surah al-Nisa’: 10)

Sabda Nabi SAW:

مَنْ قَبَضَ يَتِيمًا مِنْ بَيْنِ الْمُسْلِمِينَ إِلَى طَعَامِهِ وَشَرَابِهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الجَنَّةَ الْبَتَّةَ إِلاَّ أَنْ يَعْمَلَ ذَنْبًا لاَ يُغْفَرُ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum niscaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni.”

       (Riwayat al-Tirmizi, no. 1917)

Demikian juga Allah S.W.T berfirman:

 وَلاَ تَقْرَبُواْ مَالَ الْيَتِيمِ إِلاَّ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

Maksudnya: Dan janganlah kalian mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang terbaik sehinggalah anak tersebut sampai kepada tempoh balighnya.

(Surah Al-An’aam: 152)

Kata Imam al-Baghawi Rahimahullah ketika mengulas berkenaan ayat ini: Yang dimaksudkan dengan cara yang terbaik itu adalah perbuatan yang memberikan maslahah kepada anak yatim serta mengembangkan harta tersebut. Rujuk Ma’alim Al-Tanzil, Al-Baghawi.

Berdasarkan ayat di atas juga dapat kita fahami bahawa menjadi suatu kewajipan kepada pengurus harta anak-anak yatim untuk menjaga harta mereka dan juga mengembangkannya serta berusaha untuk menggunakan harta tersebut pada tempat-tempat yang boleh memberikan maslahah kepada anak-anak yatim.

Perintah kewajipan ini merujuk kepada ayat tersebut adalah berdasarkan sebuah kaedah yang disebutkan oleh Imam al-Haramain Abdul Malik Al-Juwaini Rahimahullah yang berbunyi:

اَلأَمْرُ بِالشَّيءِ نَهْيٌ عَنْ ضِدِّهِ وَالنَّهْي عَنِ الشَّيءِ أَمْرٌ بِضِدِّهِ

Maksudnya: Perintah melakukan sesuatu adalah larangan kepada lawannya. Larangan kepada sesuatu adalah perintah atau arahan kepada lawannya. Rujuk Al-Waraqat, Abdul Malik Al-Juwaini.

Justeru, menjadi kewajipan buat penjaga harta anak-anak yatim untuk menjaga dan menguruskan harta tersebut dengan sebaik mungkin bagi kemaslahatan anak yatim serta tidak boleh diuruskan harta tersebut dengan cara yang salah lagi cuai.

 

Pengurusan Harta Anak Yatim

Islam memandang serius berlawanan dengan penjagaan harta anak yatim. Antaranya;

  • Jaminan

Hendaklah harta anak yatim itu terjamin dan tidak dibiarkan tidak terurus, supaya kebajikan anak itu dijamin sama ada semasa sekarang ataupun apabila boleh mengambil alih harta itu apabila besar nanti. Islam membenarkan agar dilantik mutawalli  untuk menjaga kebajikan anak tersebut. Mutawalli itu tidak semestinya seorang sahaja, boleh jadi dua atau tiga orang untuk menjamin kebajikan dan integriti harta tersebut. Boleh juga agar harta itu diuruskan oleh organisasi, perbadanan atau institusi, yang akaunnya diaudit setiap tahun.

  • Amanah

Hendaklah mutawalli yang menjaga harta anak yatim itu ialah orang yang amanah dan dipercayai, bukanlah daripada kalangan orang fasiq, memiliki masalah moral dan diketahui pecah amanah.

  • Menyuburkan harta anak yatim.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ فِيهِ، وَلَا يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ

Maksudnya: Hendaklah bagi sesiapa yang menjadi penjaga harta anak yatim memperniagakan harta tersebut, supaya ia tidak ditinggal dimakan zakat.

Hadis riwayat al-Tirmidzi (641)

Bukan seorang daripada para sahabat Nabi yang berpendapat bahawa harta anak yatim dikenakan zakat antaranya Umar, Ali, Aisyah, Ibn Umar. Ini juga ialah pendapat Malik, Syafie, Ahmad dan Ishak. Manakala yang tidak bersetuju ialah Sufyan bin al-Thauri dan Abdullah bin al-Mubarak. Kami mencadangkan cara yang terbaik untuk menyuburkan harta anak yatim ialah dengan memasukkannya sebagai akaun simpanan tetap (fix deposit) atau Tabung Haji. Ingatlah jangan sewenang-wenangnya melabur harta anak yatim yang berakhir dengan lebur dan lesap begitu sahaja.

 

Hukum Mengambil Harta Anak Yatim

Islam secara konsisten melalui nas al-Quran dan hadith al-Nabawi mewasiatkan agar berbuat kebaikan kepada anak yatim. Ini tidak dapat dinafikan dan jika kita meneliti al-Quran, perkataan al-Yatim disebut sebanyak 23 kali di dalam al-Quran di samping hadith-hadith lain yang menceritakan tentang kelebihan berbuat baik kepada anak yatim.

 

Meskipun di sana terdapat anjuran berbuat baik kepada anak yatim, di sana juga terdapat ancaman yang berat bagi mereka yang menganiayai anak yatim. Antara yang perlu dititikberatkan adalah hukum mengambil harta anak yatim secara batil.

 

Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَأۡكُلُونَ أَمۡوَٰلَ ٱلۡيَتَٰمَىٰ ظُلۡمًا إِنَّمَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ نَارٗاۖ وَسَيَصۡلَوۡنَ سَعِيرٗا ١٠

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).

(Al-Nisaa’: 10)

 

Syeikh al-Tantawi Rahimahullah menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa memakan harta anak yatim secara zalim itu sama ada melalui pewarisan ataupun orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya lalu memakannya dengan cara yang batil.  Allah SWT menggunakan kalimah zalim untuk menggambarkan kejelekan yang teramat kepada si pemakan harta anak yatim kerana anak yatim itu dizalimi dan mereka itu golongan yang lemah yang mana tidak ada kudrat dan upaya untuk membela diri mereka.[6] Ayat di atas juga secara tidak langsung menunjukkan kepada kita bahawa harta anak yatim itu boleh diambil namun bukanlah dengan cara yang batil lagi zalim yang mana akan dibincangkan selepas ini.

 

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah juga turut menukilkan perkataan al-Suddi mengenai azab yang diterima oleh pemakan harta anak yatim secara batil yang mana di hari kebangkitan kelak, mereka yang memakan harta anak yatim secara batil ini akan dibangkitkan dan dibakar sehingga api keluar dari dirinya, dari kedua telinganya, dari hidung dan kedua matanya. Apabila dilihat akan keadaan mereka seperti itu, maka diketahuilah bahawasanya mereka itu adalah golongan yang memakan harta anak yatim secara batil.[7]

 

Dalam sebuah hadith, disebutkan bahawa memakan harta anak yatim termasuklah dalam salah satu dosa besar yang menghancurkan. Sabda Nabi SAW:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ‏‏.‏ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ ‏"‏ الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ

Maksudnya: Jauhilah tujuh dosa besar. Bertanya para sahabat: Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?. Jawab Baginda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh manusia yang mana diharamkan oleh Allah kecuali mereka yang dibenarkan oleh syarak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan melemparkan tuduhan qazaf terhadap wanita mukmin.

Riwayat Al-Bukhari (6897) & Muslim (89)

 

Meskipun nas Ilahi dan Nabawi melarang memakan harta anak yatim secara batil, di sana terdapat juga petunjuk agar harta anak yatim ini diuruskan dengan baik oleh orang yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskannya dan dibolehkan untuk mengambil sedikit dari harta tersebut untuk kegunaan yang makruf. Sebagai contoh, sekiranya orang yang menguruskan harta anak yatim itu dari kalangan fakir, maka boleh diambil upah dari harta tersebut. Ini dibenarkan di dalam Islam sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT:

وَلَا تَأۡكُلُوهَآ إِسۡرَافٗا وَبِدَارًا أَن يَكۡبَرُواْۚ وَمَن كَانَ غَنِيّٗا فَلۡيَسۡتَعۡفِفۡۖ وَمَن كَانَ فَقِيرٗا فَلۡيَأۡكُلۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu menurut yang patut.

(Al-Nisaa’: 6)

 

Allah SWT menerangkan kepada kita akan dibolehkan untuk menggunakan harta anak yatim. Maka diarahkan buat mereka yang kaya agar menahan dari menggunakan harta tersebut adapun mereka yang fakir, maka dibolehkan untuk mereka untuk mengambil sedikit dari harta anak yatim sekadar yang makruf.

 

Para ulama’ berbeza pendapat pada apa yang dimaksudkan dengan al-Ma’ruf itu. Sebahagian mengatakan dengan meminjam dari harta tersebut dan kemudian memulangkannya sehingga Allah SWT memudahkan urusannya. Ini adalah pendapat Umar bin al-Khattab, Ibn ‘Abbas, ‘Abidah al-Salmani, Ibn Jubair, al-Sya’bi, Mujahid, Abu al-‘Aliyah  dan al-Auza’ie. Manakala telah berkata al-Nakha’ie, ‘Ato’, al-Hasan dan Qatadah bahawa bagi mereka yang miskin tidak perlu untuk memulangkan harta tersebut setelah meminjamnya selagi mana ianya diambil untuk perkara makruf dan ini juga adalah pendapat jumhur para fuqaha’.[8]

 

Seterusnya yang dimaksudkan dengan al-Ma’ruf itu juga adalah perkara biasa yang dikenali oleh manusia. Janganlah bermewah-mewahan dengan harta anak yatim dan berlebihan dalam menikmati harta mereka dalam bentuk makanan, minuman, pakaian dan tidaklah ditinggalkan untuk dirinya itu dari sekadar mencukupkan keperluan dan juga menutup aurat.[9]

 

Inilah yang dimaksudkan dengan mengambil harta anak yatim dengan kadar yang makruf dan ayat ini ditujukan kepada mereka yang menjadi mutawalli untuk menguruskan harta anak yatim tersebut. Sewajibnya bagi mutawalli itu untuk meneliti ayat ini sedalam-dalamnya agar tidak terjerumus ke dalam lembah neraka kerana memakan harta anak yatim itu termasuk di dalam dosa besar.

 

Cadangan

Kami menyeru kepada semua lapisan masyarakat, ahli keluarga, dan para pegawai kerajaan agar memerhatikan dengan serius cadangan-cadangan berikut:

  • Hendaklah sebarang sumbangan orang ramai yang ditujukan khas kepada anak-anak yatim itu diserahkan kepada mereka.
  • Janganlah mutawalli itu mengambil harta mereka walau pun sedikit, melainkan untuk jika mutawalli itu miskin dan memerlukan dana bagi kos pengurusan harta anak yatim.
  • Hendaklah diwujudkan akaun khas untuk anak yatim, agar tidak bercampur dengan harta mutawalli. Juga untuk mengelakkan harta yang bercampur itu dituntut oleh waris mutawalli jika dia meninggal.
  • Hendaklah dilantik beberapa individu untuk menjaga amanah harta tersebut bagi mengelakkan manipulasi.
  • Hendaklah para mutawalli itu terdiri daripada mereka yang amanah dan dipercayai, cerdik dan mampu mengurus harta dengan baik.
  • Jika harta itu diuruskan oleh perbadanan dan organisasi, hendaklah akaun rasmi dan peribadi mereka diaudit oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan pecah amanah dan ketirisan wang harta anak yatim.
  • Kami juga mengambil perhatian dengan isu memanipulasikan anak yatim untuk tujuan mengutip derma di stesen bas, stesen minyak, pasar raya dan pusat membeli belah. Sepatutnya mereka sibuk denga ilmu di sekolah atau gembira bersama keluarga di rumah namun, realiti adalah sebaliknya. Di mana ihsan pihak yang menguruskan anak yatim ini?

Kami amat menekankan pentadbiran yang berintegriti, jujur dan telus dalam pengurusan harta anak yatim. Kami juga tidak menujukan sarana ini kepada mutawalli yang bersifat individu sahaja tetapi kami meminta agar penguatkuasaan juga dibuat kepada badan-badan bukan kerajaan yang menguruskan harta anak yatim. Kita tidak mahu mereka yang berselindung di bawah slogan taqwa dan sedekah ini sebenarnya yang mengambil harta anak yatim secara haram dan zalim.

Ingatlah pesanan Pak Hamka, “Hidup hanya sekali justeru biarlah bererti.’ Semoga rasa kebertanggungjawaban terwujud dalam lubuk hati pemegang amanah harta dan pengurusan anak yatim. Diharapkan juga usaha memelihara anak yatim dijalankan sebaik mungkin dengan penuh keihsanan dan kasih sayang yang pastinya akan melahirkan banyak kebaikan dan ganjaran syurga oleh Allah SWT. Amin.

 

 

 

 

Akhukum fillah,

SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,

24 Oktober 2016 bersamaan 23 Muharram 1438 H

 

 

[1] Lihat Lisan al-‘Arab. Dar Sadir (12/645)

[2] Ibid.

[3] Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1812

[4] Lihat ‘Aun al-Ma’bud. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah (8/54).

[5] Abdullah Nasih ‘Ulwan. Tarbiyyat al-Aulad fi al-Islam (Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir, 1996), jil. 1, m. 107-108.

[6] Lihat Tafsir al-Waseet. Dar Nahdhah Misr, (3/58)

[7] Lihat Tafsir Al-Quran Al-‘Azim. Dar Al-Taybah, (2/223)

[8] Lihat Fath al-Qadir. Dar Ibn Kathir, (1/491)

[9] Ibid.