Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-44 : PENJELASAN BERKENAAN SIFAT UMMIY PADA DIRI RASULULLAH S.A.W

Mukadimah

Sebahagian orang berpandangan bahawa Nabi S.A.W merupakan ummiy dari sudut beliau adalah pusat atau induk bagi ilmu. Bukannya ummiy itu membawa maksud Nabi S.A.W tidak tahu membaca dan menulis. Justeru, Bayan Linnas kali ini akan cuba memberi penjelasan yang tuntas berkenaan isu ini.

 

Pengertian Kalimah Ummiy:

Kata al-Zajjaj: Ummiy adalah seseorang yang mengikut sifat masyarakat Arab yang mana masyarakat Arab kebanyakannya tidak dapat menulis dan tidak tahu membaca. Rujuk Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (5/194)

Dikatakan: Perkatan Ummiy itu merupakan nisbah kepada Umm al-Qura iaitu Makkah. Rujuk Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (5/194)

Kata Al-Fairuz Abadi: Ummiy adalah seorang yang tidak tahu menulis.

Berkata Al-Raghib al-Asfahani: Umat ummiyyah adalah disebabkan mereka berada seperti keadaan asal semasa dilahirkan oleh ibu mereka iaitu tidak belajar menulis dan tidak mengira. Mereka seperti keadaan tersebut pada ketika itu.

Kalimah Ummiy Di Dalam Al-Quran & Al-Hadis:

Di dalam al-Quran, kalimah ummiy disebutkan secara berulangkali di dalam beberapa ayat yang berbeza. Kadangkala kalimah ini dinisbahkan kepada sebuah umat dan kadangkala ia dinisbahkan kepada Nabi S.A.W. Berikut merupakan beberapa ayat di dalam al-Quran yang terdapat padanya kalimah ummiy :

1- Allah S.W.T berfirman di dalam Surah al-Jumu’ah ayat 2 :

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّ‍ۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ 

Maksudnya: Dialah (Allah) yang mengutuskan di dalam golongan ummiy seorang Rasul dari kalangan mereka yang membacakan ayat-ayat-Nya ke atas mereka dan dia menyucikan mereka serta mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah sekalipun mereka sebelum ini berada di dalam kesesatan yang nyata.

Kata al-Imam al-Baghawi dalam tafsirannya ke atas ayat ini: Masyarakat Arab dahulunya merupakan umat yang ummiyyah. Umat yang tidak menulis dan tidak membaca. Rujuk Tafsir al-Baghawi (8/111)

2- Di dalam surah Al-A’raaf ayat 157, Allah S.W.T berfirman:

ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلۡأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكۡتُوبًا عِندَهُمۡ فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ يَأۡمُرُهُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَىٰهُمۡ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَٰٓئِثَ

Maksudnya: Mereka yang mengikuti Rasul iaitu seorang Nabi yang ummiy yang mereka dapati telah tertulis di sisi mereka di dalam kitab Taurat dan Injil yang memerintahkan mereka kepada perkara yang makruf dan melarang mereka dari perkara yang mungkar dan dia menghalalkan bagi mereka itu perkara-perkara yang baik dan dia haramkan ke atas mereka perkara-perkara yang kotor.

Kata Ibn Abbas  R.anhuma ketika menafsirkan ayat ini: Nabi kalian dahulunya seorang ummiy yang tidak menulis, tidak membaca, dan tidak mengira. Rujuk Al-Jamik Li Ahkam Al-Quran, al-Qurthubi (7/268)

3- Firman Allah S.W.T di dalam Surah al-Ankabuut ayat 48:

وَمَا كُنتَ تَتۡلُواْ مِن قَبۡلِهِۦ مِن كِتَٰبٖ وَلَا تَخُطُّهُۥ بِيَمِينِكَۖ إِذٗا لَّٱرۡتَابَ ٱلۡمُبۡطِلُونَ ٤٨

Maksudnya: Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu). 

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini: Kau telah tinggal bersama kaummu sebelum didatangkan kepada kamu al-Quran dalam kehidupan yang kau tidak membaca dan tidak menulis dan setiap seorang dari kaummu mengetahui bahawa kau seorang lelaki ummiy yang tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis. Demikianlah sifatnya di dalam kitab-kitab terdahulu. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (6/285)

Berkata Abu Hayyan di dalam tafsirnya al-Bahr al-Muhith: Kalimah وَلَا تَخُطُّهُ membawa maksud: Kamu tidak membaca dan kamu tidak menulis. Manakala kalimah بِيَمِينِكَ membawa maksud: Anggota yang digunakan untuk menulis menggunakannya Rujuk Al-Bahr al-Muhith, Abu Hayyan (8/361)

4- Di dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W  menyebut:

 إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ

Maksudnya: Sesungguhnya kita ini umat yang ummiyyah. Kita tidak menulis dan kita tidak mengira.

Riwayat al-Bukhari (1913)

Kata al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata: Para Ulama telah berkata bahawa ummiyyah itu ialah kekal keadaannya sebagaimana kita mula-mula dilahirkan oleh ibu-ibu kita. Kita tidak menulis dan kita tidak mengira. Di antaranya adalah Nabi yang ummiy. Dikatakan: Ia (perkataan ummiyyah) adalah satu penisbahan. Rujuk Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (7/192)

Pendapat Para Ulama Tentang Makna Ummiy Pada Rasulullah S.A.W:

1- Pendapat al-Qadhi Iyadh:

Kata al-Qadhi Iyadh Rahimahullah: Demikian juga apabila disifatkan bahawa baginda S.A.W merupakan seorang yang ummiy sebagaimana yang Allah sifatkan dirinya maka sifat tersebut merupakan satu kepujian untuk baginda dan merupakan suatu kelebihan yang sabit kepada baginda S.A.W. Rujuk Al-Syifa Bi Ta’rif Huquq al-Musthafa (2/249)

 

2- Pendapat Syeikh Munir al-Ghadhban:

Di dalam Sahih al-Bukhari, al-Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis daripada Umm al-Mukminin A’isyah R.anha yang mana Rasulullah S.A.W apabila diminta oleh Jibril A.S untuk membaca maka Nabi S.A.W menjawab:

مَا أَنَا بِقَارِئٍ‏

Maksudnya: Aku tidak tahu membaca.

Riwayat al-Bukhari (3)

Syeikh Munir al-Ghadban di dalam kitabnya Fiqh al-Sirah menukilkan kata-kata al-Syeikh al-Suhaili dalam mengulas hadis ini. Kata beliau: (Iaitu) sesungguhnya aku merupakan seorang yang ummiy, maka aku tidak dapat membaca kitab-kitab. Rujuk Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah (1/136)

3- Pendapat al-Syeikh al-Mufassir Mutawalli Sya’rawi Rahimahullah:

Keadaan baginda sebagai seorang ummiy merupakan tanda kekuatan bagi dirinya. Ini kerana makna ummiy itu adalah keadaan sebagaimana kita dilahirkan oleh ibu kita. Kita tidak terkesan dengan saqafah (pengetahuan) sesiapa pun. Dari sudut jika kita datang membawa sesuatu, tidak dikatakan bahawa kita telah datang dengan saqafah yang telah kita tahu dan pelajari. Maka jika sesuatu yang kita bawa itu merupakan sesuatu yang mempengaruhi akal dan teori maka jelas bahawa ia datang dari atas langit. Rujuk Tafsir Surah al-Baqarah ayat 75.

 

Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah meneliti pendapat para ulama di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W merupakan seorang yang ummiy berdasarkan kepada nas-nas yang telah disebutkan. Antara lain yang menunjukkan sifat ummiy bagi Nabi S.A.W adalah jawapan baginda sendiri apabila berkata:

مَا أَنَا بِقَارِئٍ‏

Maksudnya: Aku tidak tahu membaca.

Sebahagian ulama apabila menafsirkan kalimah ini berkata قَارِئٍ adalah isim fa’il (pembuat) yang membawa kepada wasaf (sifat). Justeru, dikatakan sifat ummiy berlaku kepada baginda berdasarkan kepada perkataan tersebut.

Perkara paling penting yang perlu diketahui ialah, ummiy nya Nabi S.A.W bukanlah membawa makna bahawa baginda tidak bijak. Akan tetapi, baginda merupakan seorang manusia yang sangat bijak dan disebabkan itulah sifat fathonah (bijaksana) merupakan sifat wajib bagi Rasul. Begitu juga Rasulullah S.A.W dapat menyampaikan risalah Islam sehingga diperakui oleh tokoh-tokoh Yahudi dan Kristian serta cerdik pandai dari kalangan bangsa Arab. Kesemua mereka lemah dan tidak mampu untuk berhujah dengan Nabi S.A.W.

Justeru, sebagai seorang yang beragama Islam adalah sewajarnya kita fahami bahawa sifat ummiy Rasul berbeza dengan orang yang lain kerana ia adalah salah satu pembuktian kerasulan Nabi S.A.W

Marilah sama-sama kita mengambil semangat ayat pertama yang diturunkan daripada wahyu iaitu Iqra’ (bacalah) agar ia menjadi budaya untuk kita melangkah ke hadapan dalam mengkaji dan meraih ilmu dengan sebanyak mungkin.

Akhukum Fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

8 Januari 2015 bersamaan 27 Rabiul Awwal 1437 H