Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE - 131 : PRU-14… WARGA MALAYSIA, INILAH PESANANKU

 

 

Mukadimah

Alhamdulillah, kesyukuran dan kepujian kepada Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Selawat dan salam kepada Junjungan Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari akhirat.

Bahang dan suhu Pilihan Raya semakin menuju ke arah puncaknya. Insha Allah, pada 9 Mei 2018 semua warga Malaysia yang berkelayakan akan membuang undi di tempat-tempat yang telah ditetapkan. Bermula dengan pembubaran parlimen diikuti dengan penetapan tarikh pencalonan dan pengundian, seterusnya telah berlangsung proses penamaan calon dan juga pembuangan undi awal oleh pasukan keselamatan dan mereka yang diberikan undi awal, makanya yang berbaki adalah pengundian bersifat nasional pada esok hari insha Allah.

Kita juga telah dihidangkan dengan pelbagai ceramah dan kempen dalam pelbagai bentuk kreativiti dan cara untuk meraih sokongan kepada parti masing-masing dengan harapan agar dapat memperolehi kemenangan dalam PRU-14 ini. Justeru, saat ini kami merasa terpanggil untuk mengemukakan sedikit pesanan kepada seluruh khalayak dalam menghadapi PRU-14 dan juga selepasnya.

Kami tajukkan Bayan Linnas pada kali ini dengan PRU-14: Warga Malaysia, Inilah Pesananku. Semoga PRU-14 pada kali ini berjalan dengan selamat dan penuh dengan keharmonian.

Sesungguhnya pesanan adalah sifat yang baik. Dengan sebab itu, Allah SWT menyebut dengan firman-Nya:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “…dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-Asr: 3)

Pernah terjadi, seorang lelaki berkata kepada Saidina Umar R.A: “Bertakwalah kepada Allah hai Umar.” Salah seorang yang hadir dalam majlis itu menjawab: “Berani kamu berkata demikian terhadap Amirul Mukminin!” Namun Saidina Umar  R.A menjawab dengan mutiara kata yang indah:

لاَ خَيْرَ فِيْكُمْ إِنْ لَمْ تَقُوْلُوْهَا، وَلاَ خَيْرَ فِيْنَا إِنْ لَمْ نَسْمَعْهَا

Maksudnya: “Tiada kebaikan bagi kamu (rakyat) jika kamu tidak menyatakannya, dan tiada kebaikan bagi kami (pemerintah) jika kami tidak mendengarnya.”

 

Inilah Pesananku

Dengan jangka masa pembuangan undi yang berbaki kurang daripada 24 jam, sudah tentu pelbagai andaian dan juga apa yang disebarkan melalui media massa akan terus dan berterusan berlangsung dengan seolah-olahnya tidak akan berkesudahan. Maka, kami mengambil kesempatan di sini untuk menyampaikan sedikit pesanan, luahan hati kecil kami serta harapan khas untuk warganegara Malaysia yang amat kami sayangi ini.

Dalam menyampaikan pesanan ini bukanlah bermakna penyampai itu lebih baik daripada orang yang disampaikannya. Tetapi sama-sama kita menginsafi untuk meneladani apa yang dinyatakan dalam Surah al-Asr di atas tadi.

 

  • Mohonlah kepada Allah SWT.

Kami yakin semua umat Islam akan memohon kepada Allah SWT untuk mendapat kemenangan dan kejayaan pada diri dan parti masing-masing. Alangkah baiknya, kita juga berdoa dan mengharapkan kemenangan yang kita perolehi diisi dengan mendapat dan meraih mardhatillah (keredaan Allah). Inilah yang kita damba dan kita hajatkan. Justeru tanpa syak wasangka, kami yakin semua pihak mahu menuju ke arah itu. Dengan munajat, doa dan juga harapan maka akan hadirlah keputusan yang terbaik dalam kehidupan ini.

 

  • Jagalah hubungan persaudaraan.

Dalam membina negara Malaysia yang kukuh serta maju ke hadapan, antara perkara yang penting adalah kesatuan dan perpaduan rakyatnya. Ini akan menatijahkan kejayaan sesebuah negara. Ingatlah tatkala api amarah dan dendam kesumat telah mengakar pada hati sanubari seseorang, maka akan wujud keretakan hubungan serta barakah daripada Tuhan akan ditarik.

 

Natijahnya negara akan menjadi mundur, kucar-kacir, lemah dan pergaduhan sesama sendiri. Malah lebih parah daripada itu, ia akan menjadikannya amat mudah diratah oleh musuh-musuh kerana roh kekuatan sesebuah negara telah hilang. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ

Maksudnya: “..dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu..”

(Surah al-Anfal: 46)

 

Perlu diingat, umat Islam sentiasa menjadi target dan sasaran musuh-musuhnya. Lebih-lebih lagi tatkala umat Islam lesu. Benarlah hadis yang diriwayatkan daripada Thawban R.A, Rasulullah SAW bersabda:

‏يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا‏‏ ‏.‏ فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ ‏بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهَنَ‏" ‏.‏ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهَنُ قَالَ ‏حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ‏"‏

Maksudnya: “Umat-umat lain akan mengelilingi kamu (iaitu musuh-musuh Islam akan menyerbu untuk membinasakan kamu) sepertimana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan yang lazat.” Maka seseorang bertanya, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu seperti buih air bah yang banyak. Dan sesungguhnya Allah mencabut kehebatan kamu yang ada di dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan. Lalu seseorang bertanya, apakah al-wahan itu, wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah: “Terlalu kasihkan dunia dan takutkan mati.”

Riwayat Abu Daud (4297) dan Ahmad (4/111)

 

  • Elakkan provokasi yang melampau.

Kadang-kadang api kemarahan yang tidak dapat dikawal akan menyebabkan berlaku kata-mengata dengan bahasa yang kesat lagi nista. Natijah daripada kemarahan seperti ini, maka keluarlah segala sikap dan sifat mazmumah yang akhirnya membawa kepada tindakan yang menunjukkan kemuflisan dan kebankrapan akhlak. Maka berlakulah perkara yang tidak sepatutnya sehingga apabila tidak dikawal boleh membawa kepada pertumpahan darah serta putus persaudaraan dek kerana bertuhankan kepada hawa nafsu. Justeru, gunakanlah akal yang sihat lagi waras serta penuh rasa kasih sayang dan rahmat dengan sifat ehsan yang tinggi kepada saudara-saudara kita yang lain walaupun tidak sealiran dan sefahaman dengan kita dan parti kita.

 

  • Redha dan Sabar dengan keputusan PRU.

Setelah tempoh pengundian tamat, maka akan berlaku proses pengiraan undi dan pengumpulannya. Pada malam tersebut pada kebiasaannya akan diumumkan keputusan Pilihan Raya sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen. Ketika itulah debaran akan memuncak dengan harapan kemenangan berpihak kepada diri mereka dan parti mereka. Justeru, meletakkan sebuah keredhaan yang tinggi dalam apa jua situasi adalah perkara yang amat dituntut ketika itu. Ini akan menatijahkan keharmonian dan ukhuwwah yang unggul.

 

Sebaliknya, sekiranya dibiarkan sifat amarah bermaharajalela ditambah dengan ketidakpuasan hati serta dendam kesumat maka sudah tentu ia boleh membawa kepada permusuhan dan perbalahan yang buruk. Perkara ini sepatutnya diberi perhatian oleh semua pemimpin parti bagi meredakan ketegangan dalam kalangan penyokong masing-masing. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الأُولَى

Maksudnya: “Sesungguhnya hanyalah kesabaran itu pada pada kejutan yang pertama.”

Imam Ibn Hajar al-Asqalani (w.852) berkata: “Apabila berjaya masuknya ketetapan hati bagi menggantikan perkara-perkara duka yang mengejutkan lagi menghujam jiwa, maka itulah kesabaran yang sempurna, lagi melayakkan mendapat pahala yang istimewa.”

 Rujuk Fath al-Bari (3/149)                       

 

  • Kerajaan Yang Terpilih Adalah Ketentuan Allah

Inilah keyakinan kita. Benarlah firman Allah SWT:

قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Surah Ali Imran: 26)

Ibn Kathir berkata: “Dan engkaulah yang apabila berkehendak pasti terjadi. Sebaliknya jika tidak, pasti tidak akan terjadi. Ayat ini terkandung peringatan sekaligus bimbingan kepada Rasulullah SAW dan umat ini agar mensyukuri nikmat Allah.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/31)

 

  • Keunikan masyarakat Malaysia.

Negara kita mempunyai pelbagai bangsa. Sifat kemajmukannya amat terserlah dengan pelbagai bahasa, adat dan kebudayaan. Justeru, amat penting merapatkan hubungan sebagai rakyat Malaysia dalam kerangka membentuk negara yang harmoni dengan penuh ketertiban perlulah diperkasakan. Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa perlu bersatu atas payung yang saya dibawah lembayung pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Khitab ayat ini kepada seluruh manusia di mana Allah dengan kudratnya menciptakan manusia daripada jiwa yang satu. Justeru tidak perlu bermegah dan berbangga dengan nenek moyang masing-masing. Mujahid berkata: “Supaya manusia kenal nasabnya.” Kata Syeikh Zadah: “Supaya sebahagian daripada mereka mengenali sebahagian nasab yang lain dan tiada rasa bangga diri.” (Lihat Mukhtasar Ibn Kathir, 3/367 dan Hasyiah Syeikh Zadah ‘ala al-Baidhawi, 3/375)

 

Ayat ini jelas menunjukkan kalimah yang digunakan (لِتَعَارَفُوا) yang memberi maksud saling hormat-menghormati, berkasih sayang dan melihat kekuatan setiap kabilah, bangsa dan puak untuk disepadukan bagi membentuk tamadun insani yang memberi banyak kebaikan dalam kehidupan ini.

 

 

  • Gunakan saluran undang-undang.

Setiap perasaan yang tidak puas hati atau merasa tidak selesa dengan sebarang keputusan dengan mempunyai asas yang kukuh maka hendaklah dikembalikan kepada undang-undang. Inilah cara yang terbaik agar berlaku penghakiman untuk meleraikan sebarang bentuk kusut masai antara mereka yang bertelingkah. Saat yang sama sifat insani, rahmat dan kasih sayang serta bermaaf-maafan di samping menahan amarah yang menguasai diri menjadi punca utama ke arah keharmonian dan keamanan dalam membina warganegara dan masyarakat yang unggul serta perpaduan yang kental.

 

 

  • Dengar dan Taatilah pada Pemerintah.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada"Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

 Ulama berselisih pendapat, siapa yang dimaksudkan dengan ulil amri di dalam ayat ini:

  1. Pendapat Abu Hurairah, Ibn ‘Abbas dan Ibn Zaid R.Anhum mengatakan maksud ulil amri di sini adalah para penguasa yang sah.
  2. Pendapat Jabir bin Abdillah, Hasan al-Basri, Qatadah, Mujahid dan ‘Atho’, yang dimaksudkan dengan ulil amri adalah ahli ilmi (ulama) yang tegak di atas sunnah.
  • Pendapat Imam Mujahid dalam satu riwayat ulil amri adalah para sahabat Nabi SAW dan juga yang mengatakan ulil amri di sini adalah Abu Bakar dan Umar.

 

'Berkata Ibn Jarir al-Tabari (wafat 310H) Rahimahullah dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan (5/150): “Pendapat yang kuat adalah pendapat pertama berdasarkan petunjuk Nabi SAW.” Dan pendapat ini dikuatkan oleh al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1/530).

Pemerintah ialah mereka yang diberikan mandat oleh rakyat untuk memimpin sesebuah negara.

Dalam konteks Malaysia, pemimpin terbahagi kepada dua kategori. Pertama, pemimpin Negara dan pemimpin kerajaan. Istilah pemimpin Negara merujuk kepada kepimpinan tertinggi Negara yang terdiri daripada Ketua Utama Negara yakni Yang di-Pertuan Agong, yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja, manakala ketua kerajaan merujuk kepada kepimpinan eksekutif tertinggi sesebuah kerajaan, atau disebut kabinet, yang dipimpin oleh parti yang memenangi undi di dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Manakala perintah supaya mentaati pemimpin berdasarkan hadis:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ إِلاَّ أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Wajib atas seorang Muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada perkara yang ia sukai dan tidak sukai, kecuali jika diperintahkan berbuat maksiat, jika diperintahkan berbuat maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh buat taat.”

Riwayat al-Bukhari (7144) dan Muslim (1839)

Al-Hasan berkata berkenaan pemerintah: “Mereka menguruskan urusan kita dalam lima perkara, solat jumaat, solat jemaah, solat hari raya, menjaga perbatasan sempadan, dan juga melaksanakan hudud. Demi Allah, tidaklah tegaknya agama kecuali dengan mereka, sekalipun mereka melampau dan zalim.”

 

 

  • Jadilah pemimpin yang adil.

Apabila kita diberi kuasa, maka berlaku adillah kepada sekalian rakyat. Dengan itu akan memperolehilah kebaikan, keberkatan dan kebajikan yang menatijahkan kebahagiaan dalam kehidupan. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

(Surah al-Furqan: 74)

Perkataan “imam yang adil” memberi maksud siapa yang diketuakan dalam urusan umat Islam, ia termasuk pemimpin, hakim, menteri dan lain-lain, yang mempunyai kuasa untuk mentadbir urusan negara, negeri dan masyarakat.

Sesungguhnya syarak memandang perkara besar dalam hal adil sama ada membabitkan pemimpin utama atau lainnya, hatta dalam urusan kekeluargaan seperti berlaku adil sesama isteri dan anak-anak.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (2/485) berkata: “Maksud pemerintah yang adil ialah yang mengikut segala arahan Allah SWT dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa sebarang kecuaian dan melampau. Didahulukan sebutan pemerintah yang adil daripada yang lain kerana manfaat yang umum baginya.”

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Pemimpin yang adil apabila dunia menariknya dan menggodanya lantas dia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT Tuhan semesta alam, inilah semanfaat makhluk bagi hamba-hamba Allah SWT, kerana apabila pemerintah baik, maka baiklah semua rakyatnya.”

Justeru, kepada yang dipilih meneraju tampuk kepimpinan negara hendaklah bernawaitu dan bercita-cita untuk menjadi pemimpin dan pemerintah yang adil. (Lihat Pemimpin yang Adil, Rahmat untuk Rakyat, hlm. 4-5)

 

  • Jadilah pelaksana perintah Tuhan.

Allah SWT boleh mengurniakan kerajaan kepada sesiapa yang dikehendaki. Akan tetapi, sekiranya Allah SWT ingin keredaan kepada mana-mana pemerintah, maka sudah pasti dicirikan seperti nas di bawah:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan.

(Surah al-Hajj: 41)

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan mereka yang dikurniakan Allah SWT dengan kedudukan yang kukuh di muka bumi melaksanakan perintah utama iaitu:

-           Mendirikan solat.

-           Menunaikan zakat.

-           Melaksanakan amar makruf.

-           Mencegah kemungkaran.

 

Elemen seperti di atas jika dilaksanakan dengan penuh keikhlasan sudah pasti menatijahkan tamkin di muka bumi yang mendapat keredaan Allah SWT.

 

Sayid Qutub berkata: “Merekalah orang-orang yang menolong Allah kerana mereka menolong agama-Nya, iaitu satu sistem kehidupan yang dikehendaki Allah SWT untuk manusia. Mereka hanya berbangga dengan Allah Yang Maha Esa sahaja dan tidak kepada yang lain dari-Nya. Merekalah orang-orang yang dijanjikan Allah dengan penuh pasti dan yakin bahawa mereka akan dapat kemenangan. Itulah kemenangan yang ditegakkan di atas sebab-sebab yang dikehendakinya dan itulah kemenangan yang disyaratkan dengan tanggungan-tanggungan serta bebanan-bebanan yang berat. Selepas itu, terserahlah kepada Allah SWT untuk mengendalikannya mengikut kehendak-Nya iaitu dengan menukar kekalahan kepada kemenangan dan menukarkan kemenangan kepada kekalahan apabila syarat-syarat asasnya dimungkiri dan tugasnya diabaikan.”

Rujuk Tafsir fi Zilal al-Quran (11/185)

 

  • Binalah negara menjadi Baldah Tayyibah.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.

(Surah Saba’: 15)

 

Terminologi Baldatun Toyyibah adalah berakar daripada al-Quran ketika Allah SWT menggambarkan kemakmuran sesebuah negeri yang bernama Saba’. Secara literal, baldatun toyyibah memang bermaksud negara yang baik. Hakikatnya negara yang baik terhasil daripada pemerintahan yang baik. Justeru itu, terminologi ini mungkin dapat diertikan sebagai sebuah negeri yang berasaskan kepada good governance yang melahirkan civil society dalam istilah politik moden berasaskan ciri-ciri yang digariskan oleh Imam al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini: Negara yang mendapat keampunan Allah SWT, justeru rakyatnya yang diberikan kemakmuran, lantaran ketaatan mereka kepada perintah Allah SWT dan ketercegahan mereka daripada maksiat. (Lihat buku Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua, hlm. 5)

 

 

  • Prasyarat negara yang bersifat Baldah Tayyibah.

Dalam melayari kehidupan, sesebuah negara dan tempat amat penting untuk meraih keberkatan yang sudah pasti membawa kedamaian dan kebahagiaan atau juga dikenali sebagai Baldatun Toyyibatun. Antara pra-syarat tersebut ialah beriman dan bertakwa. Natijahnya seperti firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.

 (Surah al-A’raf: 96)

Al-Maraghi berkata: “Jika mereka mahu beriman, nescaya kami beri kekayaannya yang sangat luas dari setiap penjuru kepada mereka, dan kami mudahkan mereka mendapat ganti daripada hukuman yang telah menimpa mereka. Sebuah pedoman yang diakui oleh al-Quran iaitu, iman dan agama yang hak merupakan faktor munculnya kebahagiaan duniawi dan dalam soal kebendaan, selain orang mukmin, orang kafir turut merasakannya.”

 

Dalam memaknai konsep negara yang baik, hendaklah dimulakan dengan pemimpin yang baik dengan empat ciri yang utama yang diinspirasikan daripada Surah al-Qasas ayat 26 dan Surah Yusuf ayat 55 iaitu:

  1. Qawiy – mempunyai kekuatan fizikal, akal, harta dan lain-lain.
  2. Amin – yang bersifat amanah.
  3. Hafiz – yang bersifat memelihara dan menjaga serta bertanggungjawab.
  4. Alim – yang bijaksana.

Qawiy itu bermaksud kekuatan, kemampuan dan kemahiran dalam melaksanakan tugas. Amin merujuk kepada sifat amanah dan kejujuran ketika diberi tanggungjawab. Secara umumnya, inilah yang perlu ada pada seorang pemimpin. Selain itu, jika ianya adalah urusan berkaitan harta negara, maka dua ciri yang digagaskan dalam al-Qur’an adalah hafiz dan alim. Seorang yang mampu menjaganya dengan sebaik-baiknya, dan mengetahui cara menguruskannya.

Qawi dan alim mungkin juga boleh kita fahami sebagai kompetensi iaitu kebolehan, pengetahuan dan kemahiran utk melakukan sesuatu dengan cekap atau dengan jayanya. Manakala hafiz dan amin adalah sifat integriti.

 

  • Sejarah yang tidak dapat dilupakan.

Kami sengaja kemukakan kisah ini sebelum penutup untuk sama-sama kita menghayati betapa hebatnya pemimpin dan kepimpinan pada zaman keagungan Islam. Antaranya dalam sebuah buku Suwar min Hayat al-Sahabah oleh Syeikh Abdul Rahman Ra’fat Basya antara lain menyebut:

 

Saidina Saidina Umar RA ingin melantik seseorang untuk menjadi gabenor di negeri Hims[1]. Pilihan itu jatuh kepada Said bin Amir al-Jumahi R.A yang berasal dari suku Quraisy. Dia adalah seorang ahli ibadah yang zuhud, yang tidak memiliki apa-apa kecuali sebatang tongkat kecil, sehelai pakaian, beberapa lembaran untuk menulis dan dakwat.

Setelah itu Saidina Saidina Umar RA berkata kepada Said bin Amir: “Hai Said! Sekarang pergilah engkau ke negeri Hims untuk menjadi gabenor di sana.”

Namun Said bin Amir menolaknya dengan berkata: “Tidak, aku tidak dapat menerima jawatan kepimpinan ini kerana sukar bagiku untuk menjalankannya.”

Saidina Umar RA berkata: “Berangkatlah dan peganglah jawatan itu! Mengapa kamu menyerahkan amanah untuk menjadi Khalifah kepadaku, sementara kamu membiarkan diriku sendirian kerana kamu enggan untuk membantuku sebagai seorang gabenor?”

Lalu Said bin Amir akhirnya menerima jawatan tersebut, lantas beliau berangkat ke negeri Hims sambil memohon pertolongan kepada Allah SWT agar dia dapat menjalankan amanah yang amat berat ini.

Dia berangkat dengan menaiki seekor keldai. Dalam perjalanannya, dia hanya membawa seketul daging sambil memakan dengan lahapnya.

Apabila tiba di negeri itu, penduduk negeri itu bertanya kepadanya: “Adakah kamu melihat seorang pemimpin baru untuk negeri kami ketika dalam perjalananmu?” Said bin Amir menjawab: “Akulah pemimpin kamu.” Mereka berkata: “Janganlah kamu berbohong kepada kami!” Dia menjawab: “Demi Allah SWT, sesungguhnya akulah pemimpin kamu.”

Mereka berkata lagi dengan nada hairan: “Adakah seorang pemimpin hanya menaiki seekor keldai?” Dia menjawab: “Ya, begitulah.” Maka bermulalah Said bin Amir bekerja di negeri tersebut sebagai gabenor.

Di antara kebiasaan Saidina Umar RA, iaitu menjelajah ke seluruh pelusuk negerinya untuk mengunjungi gabenor-gabenornya kerana ingin memastikan sama ada mereka menjalankan tugas dengan baik ataupun tidak. Maka pada suatu hari, Saidina Umar RA berkunjung ke negeri Hims itu lalu mengumpulkan penduduknya dan didudukkan Said bin Amir di hadapan khalayak ramai. Saidina Umar RA bertanya kepada mereka: “Bagaimanakah pendapat kamu mengenai pemimpin kamu ini?” Mereka menjawab: “Kami tidak kecewa kepadanya kecuali hanya pada empat perkara.”

Saidina Umar RA berkata lagi dengan rasa ingin tahu dengan lebih lanjut lagi: “Sebutlah keempat-empat perkara ini!” Mereka menjawab:

  • “Dia tidak keluar kepada kami kecuali jika sudah siang hari.”
  • “Dalam seminggu, ada satu hari penuh di mana kami tidak dapat bertemu dengannya sama sekali.”
  • “Dia tidak mahu berurusan dengan kami jika waktu Isyak telah lewat, sesungguhnya kami mengetuk pintu pada waktu itu.”
  • “Dia kadang-kadang pengsan sewaktu duduk di majlis pengadilan ketika menjatuhkan hukuman kepada seseorang yang didakwa.”

 

Saidina Umar RA melihat kepada Said bin Amir seraya berkata kepadanya: “Benarkah semua itu, hai Said bin Amir? Janganlah engkau kecewakan aku!” Said bin Amir menjawab: “Hai khalifah, sudikah engkau mendengar terlebih dahulu penjelasanku?” Saidina Umar RA berkata: “Baiklah, jelaskanlah.”

 

Said bin Amir berkata: “Aku tidak keluar kepada mereka kecuali jika sudah tengah hari adalah disebabkan aku tidak memiliki pembantu di rumah, sedangkan isteriku sedang dalam keadaan sakit. Maka sebelum pulang ke rumah, aku menyiapkan terlebih dahulu makanan untukku dan untuk isteri serta anak-anakku, lalu aku makan pagi, berwuduk, dan melaksanakan solat sunat dua rakaat. Setelah itu, barulah aku pergi meninggalkan rumah.

 

Aku tidak keluar dari rumahku sehari dalam seminggu adalah disebabkan aku tidak mempunyai pembantu. Tentulah aku perlukan waktu sehari dalam seminggu untuk mencuci pakaianku, pakaian isteriku dan pakaian anak-anakku.

 

Aku tidak keluar kepada mereka pada malam hari adalah kerana aku telah mengkhususkan waktu siang hari untuk mereka dan pada malam hari untuk diriku dalam beribadah kepada Allah SWT dengan mengerjakan solat malam, berzikir dan membaca al-Quran.”

 

Saidina Umar RA terdiam sejenak lalu bertanya lagi: “Lalu, mengapakah engkau kadang-kadang pengsan sewaktu dalam majlis pengadilan?” Dia menjawab: “Sebab aku pernah menyaksikan kematian Khubaib bin Adi. Ketika itu, dia berkata: “Ya Allah SWT, cerai-beraikanlah jumlah mereka, bunuhlah dan hancurkanlah mereka sehingga tiada seorang pun yang hidup dari mereka! Setiap kali aku teringat akan kejadian itu dan aku tidak mampu menolong orang yang sedang dijatuhi hukuman itu, maka aku dengan seketika itu juga akan jatuh pengsan.”

 

Keterangan yang dibuat oleh Said bin Amir itu telah membuatkan Saidina Umar RA bertambah bangga dengan gabenornya itu.

 

Semoga mereka menjadi contoh kepada kita dalam menunaikan amanah dengan sebaik mungkin.

 

Penutup

Sebagai penutup, marilah kita merenungi ketinggian budaya ilmu dan akhlak berdasarkan sejarah Tamadun Islam. Umat Islam di Andalusia merupakan contoh kepada masyarakat Eropah dalam segala hal. Umat Islam mencipta kebudayaan tinggi (high culture). Umat Islam menjunjung tinggi nilai-nilai yang membolehkan mereka memimpin masyarakat dunia. Mereka adalah simbol ketertiban, kesopanan, kebersihan, kebijaksanaan, ketamadunan, persamaan dan kemajuan. Mereka adalah contoh masyarakat yang memiliki kebudayaan yang tinggi.

Marilah sama-sama kita membina bangsa dan negara kita dengan penuh perasaan kasih sayang, hormat-menghormati dan menjunjung tatasusila serta adab yang luhur sesuai dengan adab Islami dan adab ketimuran yang penuh dengan kesantunannya. Buang yang keruh, ambil yang jernih dan tekad untuk menapak maju ke hadapan dalam membina negara yang disifatkan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Yang Maha Esa agar negara kita memperolehi keamanan dan kemakmuran di samping perpaduan yang utuh lagi ampuh dan kami ucapkan: “Selamat mengundi, siiru ‘ala barakatillah.”

 

Akhukum fillah,

SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Selasa, 8 Mei 2018.

 

[1] Hims (Bahasa Arab: حمص‎, Ḥims, juga disebut eja sebagai Homs dan nama kunonya disebut "Emesa" (Bahasa Yunani: ἡ Ἔμεσα) adalah sebuah bandar di barat Syria dan ibu kota bagi Kegabenoran Hims. Ia mempunyai ketinggian 501 metre (1,644 ft) dari paras laut dan terletak 162 kilometre (101 mi) di utara kota Damsyik. Terletak berdekatan Sungai Orontes, Hims juga merupakan pusat yang menghubungkan bandar-bandar kecil di persisiran pantai Laut Mediterranean.

Hims tidak disinari sejarah sehingga kurun pertama sebelum Masehi semasa zaman Empayar Seleucid. Ia kemudian menjadi ibu kota bagi sebuah kerajaan yang diperintah oleh dinasti Emesani yang mana kota ini mendapat namanya. Awalnya, ia adalah sebuah pusat penyembahan orang pagan untuk Tuhan Matahari, El-Gabal, ia kemudian menjadi penting dalam dunia Kristian di bawah Byzantine. Ia kemudian ditakluk oleh empayar Islam pada kurun ke-7 dan dijadikan ibu kota bagi sebuah daerah. Sepanjang era Islam, dinasti-dinasti Islam bertarung untuk mengawal Syria cuba untuk menakluk Hims di sebabkan kedudukan strategiknya di kawasan ini. Kepentingannya mula menurun di bawah empayar Uthmaniyyah dan hanya pada kurun ke-19 kota ini mendapat kembali kepentingan ekonominya apabila industri kapas melonjak. (Lihat Wikipedia)