Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-144: MAFHUM AL-ISLAH: SYARAHAN SURAH HUD AYAT 88

Mukadimah

Alhamdulillah, kami terpanggil untuk membincangkan serba sedikit berkenaan dengan islah yang dinyatakan dalam al-Quran al-Karim daripada nas yang banyak. Antaranya daripada Surah Hud ayat 88. Banyak kali persoalan islah yang berkisar tentang ayat ini ditanya kepada saya. Justeru, kami merasakan amat penting untuk mensyarahkannya dengan lebih lengkap dan sempurna. Kami merujuk kepada beberapa tafsir dan pendapat cendekiawan Islam berkenaan dengan islah ini.

Justeru kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan Mafhum al-Islah: Syarahan Surah Hud Ayat 88. Semoga ia memberi manfaat serta pencerahan kepada kita semua. Ameen.

 

Tafsir Ayat 88 Surah Hud

Allah SWT berfirman:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.

(Surah Hud: 88)

Ibn Kathir berkata: (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ) “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku.” Maksudnya, dalam apa yang aku perintahkan kepadamu dan aku melarangmu, aku hanyalah ingin memperbaikimu dengan kemampuanku dan kekuatanku. (وَمَا تَوْفِيقِي) “dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya.” Maksudnya, dalam meraih kebenaran dalam apa yang aku inginkan. (إِلَّا بِاللَّـهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ) “melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri” dalam segala urusanku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/373)

Imam al-Baydhawi menjelaskan, ayat (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ), apa yang aku inginkan adalah mengislahkan kamu semua dalam perkara makruf dan mencegah kamu semua dari perkara mungkar dengan sedaya upaya yang aku miliki. (Rujuk Tafsir al-Baydhawi, 3/118) (الْإِصْلَاحَ) pula merujuk kepada kadar yang termampu. (وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ) “Dan aku tidak mendapat taufik untuk mengatakan yang betul dan benar tanpa hidayah dan pertolongan daripada Allah SWT.

Syeikh Ali al-Sobuni menyatakan, ayat (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ) “tidaklah aku mahu menyuruh dan mencegah kamu kecuali membawa kebaikan kepada kamu dalam kadar kemampuan yang aku miliki. (وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ) “Dan tiada taufik ke arah kebaikan kecuali dengan sokongan dan pertolongan dariNya. (Rujuk Sofwah al-Tafasir, 2/39)

Syeikh al-Maraghi berkata: Firman Allah SWT (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ). Baginda menyambung, “Tiada apa yang aku kehendaki kecuali kebaikan dengan cara memberi nasihat dan pelajaran menurut daya dan usahaku. Aku tidak akan lalai semasa menyampaikannya kerana semua itu bukan dorongan hawa nafsuku. Ia juga bukan kerana untuk keuntungan peribadiku yang jika bukan disebabkannya, maka aku tidak akan melakukannya!” Hal ini merupakan petunjuk kemantapan akal, kebenaran, kebijaksanaan dan pembatalan baginda terhadap ejekan dan olok-olokan kaumnya. Seterusnya, keadaan itu memberinya gelaran sebagai orang yang penyantun dan berakal. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3249-3250)

Firman Allah SWT (وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ). Taufik bererti kejayaan dan keberhasilan dalam melakukan segala amal dan usaha yang baik. Hal itu boleh terjadi apabila orang yang melakukan usaha dan mencari jalan yang dapat menyampaikan kepada keberhasilan tersebut, di samping dia mempersiapkan sebab-sebab yang dapat memudahkannya untuk mencapainya. Kesemua itu hanya daripada Allah SWT semata-mata. Ayat ini bermaksud, Nabi Syu’aib AS bersabda, “Taufik yang aku peroleh sehingga sentiasa mengenai sasaran yang benar dan hak dalam segala hal yang aku lakukan atau yang aku tinggalkan, tidakسس lain tidak bukan hanyalah petunjuk dan pertolongan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3249-3250)

Sayyid Qutb berkata: Firman Allah SWT (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ). Iaitu melakukan kebaikan umum untuk kesejahteraan kehidupan dan masyarakat yang akan membawa kebajikan kepada setiap individu dan kelompok masyarakat walaupun setengah-setengah orang menyangka bahawa akibat mengikut dasar ‘aqidah dan mematuhi prinsip-prinsip akhlak akan menghilangkan sebahagian daripada keuntungan peribadi dan peluang-peluang yang baik. Sebenarnya yang akan hilang itu hanyalah hasil-hasil pendapatan dan peluang-peluang yang kotor, namun kehilangan itu akan digantikan Allah dengan pendapatan yang bersih dan rezeki yang halal di samping melahirkan sebuah masyarakat padu, di mana para warganya saling membantu dan bekerjasama tanpa menyimpan perasaan hasad dengki, dendam kesumat dan tanpa khianat dan berseteru satu sama lain. Dan (وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ) dijelaskan dengan, “Allah SWT sahaja yang berkuasa menjayakan usaha islahku, kerana Dialah yang mengetahui niatku dan membalas segala usahaku. (وَإِلَيْهِ أُنِيبُ) kepadanya sahaja aku kembali apabila aku dilanda kesusahan dan kesulitan dan kepadaNya aku tumpukan seluruh niatku, amalanku dan usahaku. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 9/14-15)

 

Islah pada Bahasa dan Istilah

Islah adalah berasal daripada perkataan bahasa Arab “الإصلاح”, bentuk masdar daripada kata akar “أصلح-يصلح-إصلاحا” yang diambil daripada “ص-ل-ح”. Ia diertikan oleh Ibnu Manzur sebagai lawan kepada kerosakan (فساد) yang bermaksud: “Menghilangkan kerosakan atau mendirikan semula sesuatu yang telah runtuh atau rosak.” (Lihat Lisan al-Arab, 2/517)

Dalam al-Mu’jam al-Muyassar, islah bermaksud: “Memperbaiki kerosakan atau menghilangkan permusuhan dan perpecahan dalam kalangan manusia atau memperindah sesuatu.” (Lihat Al-Mu’jam al-‘Arabiy al-Muyassar, hlm. 292)

Dalam istilah Bahasa Melayu, penggunaan kalimah islah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud: “Usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai serta penyelesaian perbalahan dengan jalan baik atau dengan jalan damai.” (Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=islah)

Di dalam buku "al-Fasad wa al-Islah-Dirasatun", islah didefinisikan dengan: "suatu aksi atau tindakan yang memperbaiki keadaan" atau "membentuk sesuatu dan mengumpulkannya kembali dari awal.”

Manakala menurut The Encyclopedia of Islam pula, islah ditakrifkan sebagai reform yang membawa makna perbaikan atau pembaharuan dalam pelbagai bidang. Antaranya bidang kebudayaan, sosial, keagamaan dan sebagainya. (Lihat The Encyclopedia of Islam, P. J. Bearman, 2/142)

 

Cara Melakukan Islah

Al-Zurqani menyebut di dalam "Manahil al-'Irfan", beberapa bentuk atau cara pengislahan dan penyelesaiannya. Antaranya adalah seperti yang berikut:

  1. Islah al-aqa'id (islah keyakinan), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada hakikat permulaan dan pengakhiran kehidupan serta antara keduanya di bawah ruang lingkup iman kepada Allah SWT, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari Akhirat.
  2. Islah al-'ibadah (islah peribadatan), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada sesuatu yang menyucikan jiwa, meluruskan keinginan, memberi faedah kepada orang lain baik itu individu mahupun secara berkumpulan.
  3. Islah al-akhlaq (islah akhlak), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada kebaikan-kebaikan diri mereka dan menjauhkan mereka daripada perkara yang boleh membawa kepada kehinaan diri mereka tanpa ada unsur melebih-lebihkan atau sebaliknya.
  4. Islah al-ijtima' (islah kemasyarakatan), caranya dengan jalan membimbing manusia kepada penyatuan ummah dan penghapusan ta'asub serta menghilangkan perbezaan-perbezaan yang menjauhkan umat Islam.
  5. Islah al-siyasah (islah politik) atau al-hukm al-dauli (hukum pemerintahan), caranya dengan jalan menegakkan keadilan secara mutlak, mengutamakan persamaan antara manusia, adil, boleh dipercayai, menepati janji, tidak pilih kasih dan penuh rasa kasih sayang; jauh dari kezaliman, pengkhianatan, kebohongan dan penipuan.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam karyanya al-Ijtihad al-Mu‘asir, menyebut beberapa kesalahan umum dalam  melakukan  ijtihad  kontemporari  sebagai  salah  satu  dari agenda islah. Antara  kesalahan-kesalahan  tersebut  ialah  kurang memahami   realiti   dan   keterlaluan   dalam   memberi   perhatian kepada  sesuatu  persoalan.  Kaedah  terbaik  bukanlah  menyogok masyarakat  dengan  fatwa-fatwa  baru  yang  kontroversial,  tetapi sebaliknya   mendidik   masyarakat   secara   sederhana   ke   arah perubahan   paradigma   tentang   konsep   hukum   dan   pemikiran fiqh  itu  sendiri.  Tegasnya,  gerakan islah  perlu  bermula  dengan menyedarkan  masyarakat  tentang  falsafah  hukum  yang  betul dan  bukan  dengan  mengejutkan  mereka  dengan  kesimpulan-kesimpulan hukum yang kontroversial. (Lihat al-Ijtihad  al-Mu‘asir Bayn al-Indibatwa al-Infirat, hlm. 30-31)

 

Bagaimana Menghadapi Golongan yang Tidak Mahu Islah

Dalam hal ini, pendekatan berhemah dan berhikmah yang penuh dengan kebijaksanaan hendaklah menjadi agenda utama ketika berdepan dengan golongan seperti ini. Memberi sebuah kefahaman yang jelas di samping tamsilan dengan logik akal serta fakta sejarah dan juga fakta Sains jika ada perlu dikemukakan dengan sebaiknya. Begitu juga, qanun boleh memainkan peranan untuk menegakkan islah dan bukan membawa kepada kerosakan. Tetapi perlu diingat, dakwaan islah dan sebagai muslih sentiasa bermain di bibir orang yang tidak benar dan tidak mahu kepada islah tetapi tetap menggunakan kalimah islah. Hal ini telah diibaratkan dalam al-Quran al-Karim dengan jelas:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ ﴿١١﴾ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشْعُرُونَ ﴿١٢﴾

Maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan". Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

(Surah Al-Baqarah: 11-12)

Al-Maraghi berkata: Beginilah keadaan kaum yang melakukan kerosakan pada setiap masa. Mereka menganggap perbuatan mereka itu sebagai perbuatan baik meskipun kerosakan dan kesesatan mereka sudah nyata dan jelas.

Mereka mengaku berbuat baik itu hanyalah sebagai cara untuk lepas tangan daripada tingkah laku (kejahatan) mereka secara penipuan dan cerdik. Meskipun tindakan kejahatan yang dilakukan oleh mereka itu berdasarkan taqlid kepada pemimpin tetapi sebenarnya, mereka melakukannya berdasarkan keyakinan. Mereka masih mengaku melakukan perbuatan baik walaupun pada realitinya tipu daya mereka itu menimbulkan kerosakan kepada umat, kerana mereka merosakkan perkara yang baik dan buruk. Pada masa yang sama, mereka tidak mahu mengikut ajaran Islam yang mengajak mereka untuk bersatu, malah mereka menyeru kepada perpecahan. Apakah timbulnya kerosakan yang lebih besar sehingga menimbulkan kesan kepada manusia di bumi ini (selain) mereka bersikap menolak kebenaran dan membela kebatilan?

Sehubungan itu sebenarnya, mereka sendirilah yang melakukan kerosakan, bukannya orang lain seperti dakwaan mereka. Ini disebabkan mereka (orang mukmin) terdiri daripada keturunan orang yang soleh, yang menunjukkan teladan yang baik kepada mereka. Pemakaian kata seru dalam ayat ini, menunjukkan penolakan keras terhadap pembohongan mereka (orang munafik) serta rasa kemarahan yang amat sangat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/43)

 

Beza Muslih Dan Mujaddid

Menurut Ibn Manzur, perkataan tajdid adalah kalimah Arab yang berasal daripada perkataan jaddada dan yujaddidu. Tajdid bermaksud sebagai sayyarahu jadidan iaitu menjadikannya baru atau bernafas baru. (Lihat Lisan al-Arab, 3/111)

Makna al-Tajdid pada bahasa berkisar pada menghidupkan (الإِحْيَاء), membangkitkan (البعْثُ) dan mengembalikan (الإِعَادَةُ). Makna-makna ini memberikan gambaran tentang tiga unsur iaitu keberadaan sesuatu (وُجُوْد كَوْنِيَة) kemudian hancur atau hilang (بَلَى أو دُرُوْس) kemudian dihidupkan dan dikembalikan (الإِحْيَاء أو الإعَادَة). (Lihat Mafhum Tajdid al-Din oleh Bisthami Muhammad Sa’id, hlm. 18)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula menyebut, “Mentajdid sesuatu bererti upaya mengembalikannya kepada keadaan asal sehingga ia tampil seakan-akan barang yang baharu. Ini dilakukan dengan cara memperkukuh sesuatu yang lemah, memperbaiki sesuatu yang usang dan menampal sesuatu yang retak sehingga kembali mendekati bentuknya yang pertama. Dengan kata lain, tajdid tidak bererti meruntuhkan binaan yang pertama atau menggantikannya dengan yang baharu. Usaha mentajdid agama, bukan bermakna merubah agama tetapi mengembalikannya menjadi seperti dalam era Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. (Lihat Min Ajli Sahwah Rasyidah Tujaddidu al-Din wa Tanhadhu bi al-Dunya oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 30-31)

Dr. Muhammad ‘Imarah menjelaskan tajdid adalah salah satu ciri penting Islam dan pemuliharaannya supaya ia kekal relevan dengan perubahan masa. Namun ia tersepit di antara kefahaman salafiyah – pembaharuan (tajdid) – dan bid'ah (tokoh tambah). Salaf bermaksud inti agama, tempat merujuk, benchmark agama, akar bagi agama kita. Tajdid pula merendangkan agama, membuka cabang-cabang baru dan menyesuaikan realiti baru dengan teras agama. Bid'ah pula penambahan dan pengurangan kepada inti dan ranting agama. Maka tajdid ialah menyingkap wajah Islam yang asal yakni kembali kepada wajah salaf dan membersihkan agama daripada bid'ah dan menyesuaikan realiti dengan agama dengan ijtihad-ijtihad yang segar dalam rantingan agama. (Lihat al-Ma'rakah al-Mustalahaat, hlm. 23)

Perkataan tajdid juga difahami sebagai satu usaha menghidupkan kembali peninggalan agama yang hilang dan menghidupkan sesuatu yang lenyap daripada ajaran agama. Ia membaiki ciptaan yang merosakkan dalam agama dan keadaan-keadaan buruk serta mengembalikan manusia ke landasan agama yang selamat. (Lihat Tarikh al-Da’wah ila Allah baina al-Ams wa al-Yaum oleh Adam Abd Allah al-Aluri, hlm. 219)

Kemunculan mujaddid dalam dunia Islam ada disebut dalam hadis Rasulullah SAW sepertimana berikut:

إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya, “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan bagi umat ini pada awal setiap seratus tahun orang yang mentajdidkan bagi (umat)nya, agamanya.

Riwayat Abu Daud (4291)

Erti “memperbaharui (urusan) agama” adalah menghidupkan kembali dan menyerukan pengamalan ajaran Islam yang bersumber dari petunjuk al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW yang telah ditinggalkan manusia, iaitu dengan menyebarkan ilmu yang benar, mengajak manusia kepada tauhid dan sunnah Rasulullah SAW, serta mengingatkan mereka untuk menjauhi perbuatan syirik dan bid’ah. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 11/260)

Ibnu Kathir berkata: "Hadith ini meliputi setiap individu pada masa kini yang melaksanakan fardhu kifayah iaitu dengan menunaikan amanah ilmu." (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/303)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: "Tidak semestinya setiap seratus tahun itu akan muncul seorang sahaja reformis, kemungkinan perkara tersebut dilakukan secara berkumpulan." (Lihat Fath al-Bari, 13/295)

Imam al-Zahabi pula berkata: "Aku berpendapat lafaz “man” di dalam hadith tersebut menunjukkan jama’ dan bukannya mufrad” (Lihat Tarikh al-Islam, 7/99)

Menurut Yusuf al-Qaradhawi, hadis di atas bertujuan membangkitkan rasa optimis pada jiwa kaum Muslimin dan mengingatkan umat Islam bahawa agama Islam tidak akan mati, dan setiap masa tertentu Allah SWT akan mengutus orang yang mampu melakukan tajdid dan Islah terhadap agama. (Lihat Min Ajli Sahwah Rasyidah Tujaddidu al-Din wa Tanhadhu bi al-Dunya, hlm. 11)

Di antara pengertian tajdid juga termasuklah:

  • Mengajarkan agama, menghidupkan sunnah-sunnah serta menolak pendustaan atas nama Nabi SAW.
  • Memurnikan agama, membela aqidah yang benar, menjelaskan Sunnah Nabi SAW, membela ahlussunnah serta menghancurkan kebid’ahan.
  • Menghidupkan kembali ma’alim (syiar) agama yang telah melemah dan menghilang. Juga menghidupkan semua sunnah, ilmu aqidah dan ibadah yang mula dilupakan atau bahkan telah dilupakan oleh ramai kaum Muslimin.
  • Menghidupkan ilmu (ihya’ al-‘ilm).
  • Membangkitkan kembali upaya mengamalkan al-Qur`an dan Sunnah Nabi SAW dalam seluruh aspek kehidupan dan mengukur berbagai hal yang baru dengan al-Qur`an dan sunnah Nabi SAW.
  • Ta’sil al-‘ilm (membuat kaedah-kaedah dasar ilmu yang benar) dan mengajak orang untuk mengambil agamanya dari sumber yang asli melalui para ulama disertai dengan mendidik manusia di atas pemahaman agama yang benar. (Lihat Tajdid ad-Din, Mafhum wa Dhawaabith wa Atsaarahu oleh Prof. Dr. Muhammad bin Abdul Aziz al-‘Ali, hlm 40-49)

Penutup

Sesungguhnya islah perlukan kepada pengorbanan yang besar kerana sudah barang tentu ia akan bertembung dengan naluri syahwat dan tabiat yang merasakan sudah selesa dengan zon yang dimiliki itu. Justeru, amat sukar untuk menembusi jiwa dan syahwat mereka bagi membangunkan sebuah islah yang menyeluruh seperti yang diharapkan oleh ramai manusia dan masyarakat bawahan.

Ucapan dan nas ayat berkenaan islah mewakili seorang jelas menggambarkan betapa perubahan itu tidak dikehendaki oleh ramai puak yang sudah merasakan diri mereka begitu selesa dan sempurna dengan kehidupan yang mereka kecapi. Justeru antara langkah awal, zahirkan rasa dan semangat islah yang dipupuk dengan sebenar-benarnya. Natijahnya perasaan seronok dan tenang untuk bersama-sama dalam agenda islah ini akan dapat dipupuk.

Justeru, benarlah apa yang disarankan oleh Mufakkir Islami, Syeikh Muhammad al-Ghazali melalui bukunya, Jaddid Hayataka yang sarat dengan reform dan islah dan membuka peta minda serta fikrah manusia untuk meengislahkan diri dengan lebih baik lagi.

Marilah sama-sama berdoa, agar kita sentiasa diislahkan oleh Tuhan:

اللَّهمَّ أَصْلِحْ لنا دِيننا الَّذي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِنا ، وأَصْلِحْ لِنا دُنْيَانا التي فِيهَا مَعَاشِنا ، وَأَصْلِحْ لنا آخِرَتنا الَّتي فِيها معادنا، وَاجْعلِ الحيَاةَ زِيادَةً لنا في كُلِّ خَيْرٍ ، وَاجْعَلِ الموتَ راحَةً لنا مِنْ كُلِّ شَرٍ. اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنا فِي السَّاعَاتِ وَالأَوْقَاتِ. وَبَارِكْ لَنا فِي أَعْمَارِنا وَأَعْمَالِنا. اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَالِحَ الأَعْمَالِ وَاجْعَلهَا خَالِصةً لِوَجْهِكَ الكَرِيمِ. وَصَلِّ اللَّهُمَّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتّابِعِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيِنِ، وَالحَمْدُ لله رَبِّ العَالَمِيِنَ.