Mukadimah
Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.
Mutakhir ini, banyak isu berkaitan perubatan telah sampai ke meja kami untuk diminta atau diputuskan hukum. Ini sebahagian daripada petanda kemodenan dan high tech serta perkembangan yang memberangsangkan dalam bidang perubatan. Justeru kami mengambil sebuah kecaknaan dan keprihatinan yang tinggi untuk menjawab isu tersebut dengan merujuk kepada ahli ikhtisas (pakar bidang) bagi mendapatkan maklumat yang secukupnya sebelum memberi dan menjawab apa-apa persoalan.
Alhamdulillah, dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami ajukan perbincangan dengan sebuah tajuk yang kami namakan Anggota, Tisu Dan Janin Orang Islam: Hukum Pelupusannya. Semoga ia menatijahkan sebuah pemahaman yang baik dalam kehidupan kita.
Tajuk Perbahasan
Dalam melakukan diagnostik atau pembedahan rawatan pengambilan tisu atau bahagian anggota badan manusia, kebanyakan hospital di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia, lazimnya menggunakan teknik seperti Biopsi Tisu, pembedahan pembuangan ketumbuhan, pengambilan tisu semasa bedah siasat dan sebagainya. Tisu-tisu ini disimpan di dalam formalin (sejenis bahan kimia dan bersifat carcinogenic) bagi tujuan pengawetan. Apabila tiba masa, tisu ini akan dilupuskan dan ia dikategorikan sebagai “clinical waste”.[1]
Urusan pelupusan “clinical waste” ini dilakukan dengan cara penunuan (incineration) oleh syarikat konsesi (Radicare Sdn. Bhd, Faber Medi-Serve Sdn. Bhd. Dan Pantai Medivest Sdn. Bhd.) yang bertanggungjawab melakukan prosedur perlupusan daripada proses pengumpulan di premis hospital hingga ke proses pembakaran di tapak penunuan (incineration). Manakala pelupusan “chemical waste” dilakukan oleh Syarikat Konsesi Kualiti Alam Sdn. Bhd. Maka timbul persoalan di sini mengenai teknik pelupusan anggota, tisu dan janin orang Islam yang diamalkan di hospital-hospital di Malaysia pada hari ini. Adakah ia bertepatan dengan hukum syarak?
Takrif
Sebelum dibentangkan pandangan ulama mengenai pelupusan anggota, tisu dan janin orang Islam, di sini dikemukakan beberapa tafsiran terminologi utama dalam kajian ini.
1. Anggota
Ia juga dikenali sebagai organ merujuk kepada sebarang bahagian badan yang memainkan fungsi tertentu seperti pernafasan, perembesan dan penghadaman.[2] Menurut Ahmad Muhammad Kan’an, organ ditakrifkan sebagai setiap anggota daripada jasad manusia yang membezakannya dengan anggota yang lain di samping memiliki fungsi yang tersendiri seperti jantung, lidah, hidung, telinga dan sebagainya. (Lihat al-Mausu’ah al-Tibbiyyah al-Fiqhiyyah, hlm. 711)
2. Tisu
Ia merujuk kepada sebarang bilangan bahan berasingan terdiri daripada sel yang membentuk struktur badan seperti tisu penghubung.[3]
3. Janin
Ia juga dikenali sebagai fetus adalah bayi yang belum dilahirkan selepas fasa embrionik iaitu selepas tiga bulan daripada tarikh persenyawaan sehingga bayi dilahirkan.[4]
Hujah dan Dalil
Sesungguhnya setiap sesuatu yang hidup akan menemui pengakhirannya iaitu mati. Adalah menjadi hukum alam bagi setiap yang bernyawa termasuk manusia akan menemui ajalnya. Setiap manusia tidak boleh lari daripada mati sekalipun mereka berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh, sebagaimana firman Allah SWT:
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ
Maksudnya: Di mana jua kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.
Surah al-Nisa’ (78)
Firman Allah SWT lagi:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasakan mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.
Surah Ali-Imran (185)
Menurut Sayyid Qutub, setiap yang hidup akan menghadapi maut dan akan terpisah dengan hayat. Tiada sebarang perbezaan di antara seorang yang lain dalam kepastian meneguk gelas maut yang diedarkan kepada semua orang, malah yang berbeza hanya dari segi nilai dan nasib kesudahan yang akhir. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/56)
Allah SWT telah mengangkat darjat manusia melebihi makhluk lain yang terdapat di atas muka bumi ini. Kemuliaan ini adalah kekal terpelihara meskipun seseorang manusia itu telah meninggal dunia. Hal ini dinyatakan dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلً
Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam, dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
Surah al-Isra’ (70)
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhailiy, Allah SWT telah memuliakan Bani Adam iaitu dengan memberikan mereka kemuliaan, kehormatan dan juga kelebihan dengan sebaik-baik bentuk penciptaan. Kemudian dikurniakannya dengan pendengaran, penglihatan, segala pancaindera bagi tujuan kefahaman dan penghayatan seterusnya diperelok serta dihiaskan manusia dengan akal yang memandunya dalam memahami hakikat sesuatu. Kemudian manusia diberikan petunjuk dalam menghasilkan sesuatu barangan, tanaman, perniagaan, mengetahui bahasa, serta berfikir dalam mengeluarkan hasil bumi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/124)
Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka menjadi fardhu kifayah kepada orang yang hidup terhadap si mati untuk melaksanakan perkara-perkara yang berikut:
- Memandikan
- Mengkafankan
- Menyembahyangkan
- Mengebumikan (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/494)
Keempat-empat perkara tersebut wajib dilaksanakan dengan sempurna dan segera selepas berlaku kematian. Berdasarkan kepada nas syarak, memandikan mayat adalah fardhu kifayah dan ia diterangkan dalam hadis Nabi SAW, daripada Ummi ‘Atiyyah, beliau berkata: Nabi SAW masuk ke tempat kami memandikan anak perempuannya, lalu bersabda:
اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا أَوْ خَمْسًا أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ وَاجْعَلْنَ فِى الآخِرَةِ كَافُورًا
Maksudnya: “Mandikanlah dia tiga kali atau lima kali atau lebih, jika kamu berpendapat baik lebih daripada itu dengan air serta daun bidara. Dan basuhlah yang penghabisan dicampur dengan kapur barus”.
Riwayat al-Bukhari (1254) dan Muslim (939)
Selain itu, dalam pengurusan jenazah juga, ia perlu dilakukan secara berhemah dan berhati-hati. Perkara ini juga disebut dalam hadis Nabi SAW:
كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا
Maksudnya: Mematah-matah tulang orang yang mati sama seperti mematahkannya ketika dia masih hidup.
Riwayat Abu Daud (3209) dan Ibn Majah (1616)
Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian dan kelonggaran (rukhshah) diberikan dalam pengurusan jenazah sebagaimana yang berikut:
- Dikecualikan daripada mandi dan sembahyang kepada orang Islam yang terbunuh dalam peperangan melawan orang kafir kerana menegakkan agama Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/265) Hal ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW, daripada Jabir R.A, Baginda SAW bersabda:
ادْفِنُوهُمْ فِي دِمَائِهِمْ ، يَعْنِي يَوْمَ أُحُدٍ ، وَلَمْ يُغَسِّلْهُمْ
Maksudnya: “Kebumikan mereka dengan darah-darahnya iaitu para syuhada’ Uhud, dan mereka tidak dimandikan.”
Riwayat al-Bukhari (1346)
- Diberi kelonggaran (rukhshah) dengan tayammum bagi menggantikan mandi sekiranya mayat sudah hancur akibat kebakaran, apabila ketiadaan air atau pada ketika tidak ada perempuan atau mahram untuk memandikan mayat perempuan begitu jugasebaliknya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/252)
Pelupusan Anggota Dan Tisu Manusia Yang Masih Hidup
Menurut jumhur fuqaha, anggota badan manusia yang terpotong daripada jasad yang masih lagi hidup hendaklah ditanam tanpa dibasuh dan juga disolat walaupun ia hanyalah kuku atau rambut. (Lihat Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’, 2/28, al-Mudawwanah al-Kubra, 1/256; Mughni al-Muhtaj, 1/518-519; al-Mughni, 1/88; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/146)
Menurut al-Khatib al-Syarbini, apa-apa yang terpotong daripada jasad yang masih hidup atau disyaki telah meninggal dunia seperti tangan pencuri, rambut, kuku, darah beku, darah bekam dan sebagainya, maka sunat ditanam bagi memuliakan pemiliknya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/518-519)
Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 4 Julai 2004 telah membincangkan mengenai pembuangan dan pelupusan tisu-tisu manusia daripada pesakit. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:
1) Bahawa organ-organ dan tisu-tisu yang dibuang dan dipotong daripada badan pesakit samada daripada pesakit Islam atau bukan Islam hendaklah ditanam. Sekiranya organ-organ atau tisu-tisu tersebut terdiri daripada kumpulan penyakit berjangkit maka pihak hospital hendaklah menghapuskan kuman penyakit berjangkit tersebut dengan ubat-ubat tertentu kemudian hendaklah ditanam organ-organ atau tisu-tisu tersebut. Sekiranya tiada cara atau kaedah untuk menghapuskan kuman penyakit tersebut, maka diharuskan organ-organ atau tisu-tisu ini dibakar kerana dharurat;
2) Cara untuk menanam organ-organ atau tisu-tisu daripada pesakit adalah seperti berikut: Bagi organ-organ atau tisu-tisu yang dibuang daripada pesakit yang masih hidup, organ-organ dan tisu-tisu itu hendaklah ditanam di tempat-tempat yang selamat.
Pelupusan Anggota Dan Tisu Manusia Yang Telah Meninggal Dunia
Dalam konteks orang yang hilang dan disyaki telah meninggal dunia, menurut mazhab Hanafi, apabila ditemui separuh daripada anggota badan beserta dengan kepala, maka hendaklah dimandikan. Jika tiada kepala, maka tidak perlu dimandikan. Ini kerana kepala dihukumkan sebagai bahagian terbesar pada anggota badan. Jika dijumpai sebahagian badan yang telah terpisah, maka ia tidak perlu dimandikan. (Lihat Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’, 2/29)
Para ulama mazhab Hanafi telah berhujah berdasarkan athar yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas R.Anhuma berkata:
لَا يُصَلَّى على عُضْوٍ
Maksudnya: Tidak disembahyangkan ke atas anggota badan.
Bagi mazhab Maliki, mereka berpandangan jika dijumpai anggota badan manusia kurang 2/3 daripada jasad sebenar, maka ia tidak perlu dimandi dan disembahyangkan. Sekiranya ditemui separuh daripada jasad beserta kepala, maka ia juga tidak perlu dimandi dan disembahyangkan. Sembahyang hanya dilakukan jika keadaan jasad itu 2/3 atau lebih dan tidak disembahyangkan jasad yang kurang daripada itu. (Lihat al-Mudawwanah al-Kubra, 1/256)
Mereka berhujah mengatakan solat itu tidak boleh dilakukan bagi jenazah yang ghaib (tidak dijumpai). Oleh itu, jika hanya dijumpai anggota tangan, kaki, atau kepala, maka tidak perlu dimandikan. Sekiranya jasad itu terbakar, menghadapi penyakit cacar, cacar air, cedera teruk, hancur di bawah runtuhan, jika boleh, ia hendaklahdimandikan, dan jika tidak boleh, hanya dicurahkan air. Namun, jika penggunaan air mengakibatkan kerosakan atau terputus jenazah, ia perlu ditayammumkan. (Lihat al-Iklil Syarah Mukhtasar Khalil, hlm. 79 dan al-Nawadir wa al-Ziyadat, hlm. 548)
Bagi mazhab Shafie, jika didapati sebahagian daripada jenazah muslim yang bukan syahid, maka hendaklah disolatkan selepas ia dimandikan, kemudian ditutup dengan cebisan kain dan dikebumikan sama seperti mayat yang hadir. (Lihat Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Tullab, 1/171)
Mengikut al-Khatib al-Syarbini, jika didapati anggota orang Islam yang diketahui dan disahkan kematiannya walaupun sekecil kuku atau rambut, maka hendaklah disolat selepas dimandikan sama seperti mayat yang hadir. Ini kerana pada hakikatnya ia adalah solat ke atas jenazah yang ghaib. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/518)
Bagi mazhab Hanbali, jika mayat itu tidak dijumpai melainkan sebahagian anggotanya sahaja, maka ia hendaklah dimandi dan disembahyangkan. (Lihat al-Mughni, 2/209-210) Apabila jelas sesuatu anggota itu daripada mayat yang masih belum dikebumikan maka ia hendaklah dimandikan dan dikafankan bersama-samanya. Pendapat ini dinukilkan daripada Ibn Sirin tanpa sebarang khilaf padanya.
Selain itu, isu ini juga dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 4 Julai 2004 mengenai pembuangan dan pelupusan tisu-tisu manusia daripada pesakit. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut: Bagi organ-organ atau tisu-tisu yang dibuang daripada pesakit selepas meninggal dunia, organ-organ atau tisu-tisu itu hendaklah ditanam bersama-sama mayat dan lebih afdhal dengan diletakkan di dalam kain kafan.
3) Mana-mana pihak samada pihak hospital atau keluarga pesakit boleh menanam organ-organ atau tisu-tisu yang dibuang daripada pesakit setelah pihak hospital mengesahkan organ-organ atau tisu-tisu tersebut selamat untuk ditanam.
Pelupusan Janin Manusia
Menurut mazhab Hanafi, jika janin itu keluar dalam keadaan mati, dan tiada sebarang tanda awal hidup, maka ia hendaklah dimandi, diberi nama, dibungkus dalam secebis kain dan dikebumikan tanpa solat. Namun, jika ia hidup seketika selepas dilahirkan, maka hendaklah diberi nama, dimandi, dan disembahyangkan. Dia juga berhak mewarisi dan diwarisi hartanya sebagaimana hukum-hakam berkaitan dengan orang yang hidup sempurna. (Lihat Rad al-Mukhtar ‘ala al-Dar al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar, 1/501 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/122)
Bagi mazhab Maliki pula, mereka berpandangan tidak dimandikan janin yang tiada sebarang tanda-tanda hidup seperti tangisan dan gerakan bayi yang tidak dikira sebagai tanda hidup. Menurut Ibn Syihab, tidak disembahyangkan ke atas janin, namun ia boleh dikebumikan bersama-sama ibunya. (Lihat al-Mudawwanah al-Kubra, 1/255-256)
Dalam mazhab Shafie, pelupusan janin manusia yang mengalami keguguran, ia terbahagi kepada dua keadaan:
- Tiada tangisan sewaktu kelahiran, jika kandungan yang tidak sampai tempoh empat bulan ke atas, maka ia tidak wajib dimandi, dikafan dan disolatkan. Namun, disunatkan ia dikafankan dengan kain dan dikebumikan tanpa solat;
- Terdapat tangisan sewaktu kelahiran atau diyakini ia hidup dengan sedikit gerakan atau seumpamanya, maka diwajibkan solat dan semua kewajipan yang lain. Tiada beza antaranya dengan orang dewasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/265)
Mereka berhujahkan kepada hadis Nabi SAW:
إِذَا اسْتَهَلَّ[5] الصبي صُلِّىَ عَلَيْهِ وَوَرِثَ
Maksudnya: Apabila bayi itu menunjukkan tindak balas awal (tanda-tanda hidup) maka ia disolatkan dan mewarisi harta pusaka.
Riwayat Ibn Majah (2750)
Dalam mazhab Hanbali pula, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Qudamah, jika janin telah mencapai usia empat bulan atau telah sempurna kejadiannya, maka ia dimandi dan disembahyangkan walaupun tiada sebarang tanda-tanda awal hidup serta disunatkan juga diberi nama padanya. (Lihat al-Furu’, 1/294)
Isu seumpama ini pernah dikemukakan di Islamweb.net apabila salah sebuah hospital di Perancis telah membakar janin berusia tujuh bulan yang ditinggalkan oleh pasangan suami isteri muslim. Mereka berpandangan haram jika janin tersebut dibakar sebaliknya ia hendaklah dimandi dan disolatkan ke atasnya.[6]
Pandangan para ulama seperti yang dinyatakan di atas boleh diringkaskan seperti berikut:
BIL |
PERKARA |
KAEDAH PELUPUSAN |
1. |
Pengurusan pelupusan anggota dan tisu orang Islam |
Anggota dan Tisu Orang Islam Yang Hidup: |
i. Menurut jumhur fuqaha, anggota badan manusia yang terpotong daripada jasad yang masih lagi hidup hendaklah ditanam tanpa dibasuh dan juga disolat walaupun ia hanyalah kuku atau rambut. |
||
Anggota dan Tisu Orang Islam Yang Mati |
||
i. Menurut mazhab Hanafi dan Maliki, jika ditemui sebahagain besar daripada anggota jenazah, maka ia hendaklah dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan. ii. Bagi mazhab Shafie dan Hanbali, ia hendaklah dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan walaupun sebahagian kecil dijumpai anggota jenazah tersebut. |
||
2. |
Pengurusan pelupusan anggota dan tisu orang bukan Islam |
Ia hendaklah ditanam atau dibakar mengikut ajaran agama mereka. |
3 |
Pengurusan anggota dan tisu yang merbahayakan kesihatan dan mencemarkan alam sekitar |
i. Organ-organ dan tisu-tisu yang dibuang dan dipotong daripada badan pesakit sama ada daripada pesakit Islam atau bukan Islam hendaklah ditanam. ii. Sekiranya organ-organ atau tisu-tisu tersebut terdiri daripada kumpulan penyakit berjangkit maka pihak hospital hendaklah menghapuskan kuman penyakit berjangkit tersebut dengan ubat-ubat tertentu kemudian hendaklah ditanam organ-organ atau tisu-tisu tersebut. iii. Sekiranya tiada cara atau kaedah untuk menghapuskan kuman penyakit tersebut, maka diharuskan organ-organ atau tisu-tisu ini dibakar kerana darurat. |
4. |
Pengurusan janin orang Islam |
a. Janin yang hidup seketika ketika dilahirkan |
i. Jika ia hidup seketika selepas dilahirkan, maka hendaklah diberi nama, dimandi, dan disembahyangkan. Dia juga berhak mewarisi dan diwarisi hartanya sebagaimana hukum-hakam berkaitan dengan orang yang hidup sempurna. ii. Dalam mazhab Shafie, jika terdapat tangisan sewaktu kelahiran atau diyakini ia hidup dengan sedikit gerakan atau seumpamanya, maka diwajibkan solat dan semua kewajipan yang lain. Tiada beza antaranya dengan orang dewasa. |
||
b. Janin yang mati ketika dilahirkan |
||
i. Menurut mazhab Hanafi, jika janin itu keluar dalam keadaan mati, dan tiada sebarang tanda awal hidup, maka ia hendaklah dimandi, diberi nama, dibungkus dalam secebis kain dan dikebumikan tanpa solat. ii. Bagi mazhab Maliki pula, mereka berpandangan tidak dimandikan janin yang tiada sebarang tanda-tanda hidup seperti tangisan dan gerakan bayi tidak dikira sebagai tanda hidup. Menurut Ibn Syihab, tidak disembahyangkan ke atas janin, namun ia boleh dikebumikan bersama-sama ibunya. iii. Tiada tangisan sewaktu kelahiran, jika kandungan yang tidak sampai tempoh empat bulan ke atas, maka ia tidak wajib dimandi, dikafan dan disolatkan. Namun, disunatkan ia dikafankan dengan kain dan dikebumikan tanpa solat. iv. Dalam mazhab Hanbali pula, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Qudamah, jika janin telah mencapai usia empat bulan atau telah sempurna kejadiannya, maka ia dimandi dan disembahyangkan walaupun tiada sebarang tanda-tanda awal hidup serta disunatkan juga diberi nama padanya. |
||
5. |
Peraturan pengurusan pelupusan sedia ada |
i. Berdasarkan kepada amalan semasa, pihak konsesi akan melupuskan segala tisu, organ dan janin sama ada clinical waste atau chemical waste secara penunuan (incineration). ii. Berhubung dengan cadangan untuk menanam bahan yang mengandungi formalin dan bahan kimia lain (chemical waste), pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pernah berbincang hal tersebut dengan Jabatan Alam Sekitar, mereka mencadangkan agar bahan-bahan tersebut ditanam di kawasan-kawasan yang jauh lebih kurang 100 meter daripada punca air. Selain itu, dicadangkan juga agar tempat penanaman tersebut berdekatan dengan kubur yang sedia ada asalkan jauh dari punca air, kawasan perumahan, telaga dan empangan. |
KESIMPULAN
Berdasarkan kepada pandangan-pandangan ulama yang telah dibentangkan tadi, maka didapati dalam konteks pelupusan anggota dan tisu manusia yang masih lagi hidup, para fuqaha bersependapat bahawa anggota dan tisu tersebut hendaklah dilupuskan dengan cara menanamnya tanpa perlu dibasuh dan disembahyangkan. Ini bertujuan bagi memuliakan ciptaan Allah terhadap pemiliknya.
Bagi anggota dan tisu manusia yang telah meninggal dunia, para fuqaha telah berbeza pandangan dalam melupuskannya. Menurut mazhab Hanafi dan Maliki, jika dijumpai sebahagian besar daripada jenazah, maka ia hendaklah diuruskan sebagaimana jenazah yang sempurna. Manakala jika dijumpai sebahagian daripadanya sahaja, maka ia tidak wajib dimandi dan disembahyangkan, hanya dikebumikan sahaja.
Dalam mazhab Shafie dan Hanbali pula, mereka berpendapat jika dijumpai sebahagian daripada anggota badan jenazah, maka ia hendaklah dimandi dan disembahyangkan sebelum ditanam.
Bagi kes janin yang mengalami keguguran pula, jumhur fuqaha bersependapat mengatakan janin perlu dimandi dan disolatkan jika terdapat tanda-tanda awal kehidupan seperti tangisan, gerakan dan seumpamanya. Manakala janin yang tidak memiliki tanda-tanda tersebut ia hanya perlu dikafan dan dikebumikan tanpa dimandi serta disembahyangkan. Namun, mazhab Shafie dan Hanbali telah menetapkan tempoh empat bulan kehamilan merupakan tempoh janin tersebut mula memiliki tanda-tanda awal kehidupan.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 21 Februari 2019 telah memutuskan hukum seperti di atas.
Oleh itu, (incineration) yang diamalkan oleh hospital-hospital pada hari ini dalam melupuskan anggota, tisu dan janin orang Islam adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak melainkan dalam situasi darurat. Manakala bagi golongan bukan Islam pula, ia boleh dilupus secara tanam atau teknik penunuan berdasarkan ajaran agama mereka.
Kami amat berharap agar jasad manusia perlu diberi penghormatan yang sewajarnya sekalipun anggota kecil. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman yang baik mengikut neraca Syariah. Amin.
Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
7 Mac 2019 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1440H
Nota Hujung:
[1] Kertas Pengurusan Tisu Dari Pesakit Dan Jenazah Muslim oleh YBhg. Dato’ Dr. Zahari bin Noor.
[2] http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/organ, dilawati pada 17 November 2015.
[3] Anon, 2010, The New International Webster’s Pocket Medical Dictionary, United States: Typhoon Media Corporation, hlm 187.
[4] http://medical-dictionary.thefreedictionary.com/fetus, dilawati pada 17 November 2015.
[5] Perkataan استهل bermaksud apa-apa permulaan awal bagi janin seperti tangisan, bersin atau gerakan yang diketahui sebagai tanda hidup.
[6] https://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=FatwaCategory&CatId=1546, dilawati pada 6 November 2015.