Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-174: KARIKATUR DAN PENGHINAAN TERHADAP RASULULLAH SAW

karikatur hina nabi.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Mutakhir ini, perbahasan isu karikatur Rasulullah SAW timbul semula. Ini menyebabkan kegelisahan umat Islam di negara ini. Hal ini menjadi parah apabila ledakan media sosial dengan netizen yang membuat pelbagai ulasan, yang kebanyakannya merasa tidak selesa serta mengecam dengan sekeras-kerasnya isu seperti ini.

Kami telah membuat beberapa kenyataan dalam isu ini sejak beberapa tahun lepas berkenaan dengan penghinaan kepada Rasulullah SAW. Antaranya dalam Bayan Linnas Siri 55: Rasulullah SAW: Jangan Sekali-Kali Menghina Baginda![1]

Pada kali ini, kami cuba mengemukakan pendapat kami dalam isu karikatur Rasulullah SAW. Justeru Bayan Linnas pada kali ini, kami tajukkan dengan Karikatur dan Penghinaan Terhadap Rasulullah SAW. Semoga ia menambahkan lagi kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

 

Takrif, Jenis dan Tujuan Karikatur

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, karikatur ditakrifkan sebagai gambar, ajukan suara, perangai, dan lain-lain seseorang yang menekankan ciri-ciri tertentu untuk berjenaka. (Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=karikatur)

Dalam The Encyclopædia Britannica, karikatur didefinisikan sebagai penggambaran seseorang, suatu jenis, atau suatu kegiatan dalam keadaan diubah bentuknya—biasanya suatu ciri yang menonjol, dibuat secara berlebih-lebihan daripada gambar-gambar manusia, binatang, burung, buah-buahan, sayur-sayuran yang menggantikan bahagian-bahagian benda hidup.[2]

Karikatur dapat dibahagikan kepada tiga jenis manifestasi:

  • Personal caricature (karikatur peribadi). Seorang tokoh digambarkan tanpa kehadiran objek lain atau situasi di sekelilingnya secara karikatur dengan mempamerkan ciri-cirinya dalam bentuk wajah ataupun kebiasaannya.
  • Social caricature (karikatur sosial dan kemasyarakatan). Tema utama yang dikemukakan dan digambarkan adalah isu masyarakat yang menyentuh keadilan sosial. Contohnya perbezaan yang ketara antara yang kaya dan yang miskin.
  • Political caricature (karikatur politik). Tujuannya untuk menggambarkan suatu situasi politik sehingga kita dapat melihatnya dari segi humor dengan menonjolkan para tokoh politik dan menggambarkannya dengan jenaka.[3]

Karikatur biasanya dibuat sebagai reaksi terhadap peristiwa tertentu sehingga menjadikan ada isi faktanya yang dapat dicungkil dan dicari. Ciri-ciri karikatur humor biasanya mendatangkan perasaan humor. Antara fungsi yang dijalankan melalui karikatur ialah mengkritik, menyindir, mengejek, memberi saranan, menghibur dan memberi respon terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku dalam masyarakat.[4]

 

Penghinaan Terhadap Rasulullah SAW

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan penghinaan sebagai perihal menghinakan. Manakala menghina pula adalah dengan maksud memperlakukan seperti orang yang hina, rendah kedudukan dan lain-lain. Ia juga dengan maksud menyinggung perasaan orang (memaki dan lain-lain), memburukkan nama orang dan mengeji. [5]

Allah SWT berfirman:

وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ ۚ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ ۚ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)". Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Surah al-Taubah (61)

Walaupun kami telah nyatakan hukum berkenaan dengan menghina dan mencaci Rasulullah SAW dalam beberapa siri Bayan Linnas yang lalu, tetapi kami kemukakan sekali lagi di sini dengan menukilkan pendapat ulama yang lain pula.

Antara pendapat mereka berkenaan hukum menghina dan mencaci Rasulullah SAW adalah:

  • Hukumnya wajib dibunuh tanpa perlu diminta bertaubat. Inilah yang dikemukakan oleh Ibn al-Qasim.
  • Diriwayatkan daripada al-Auza'ie, daripada Malik bahawa dia diiktibarkan sebagai murtad yang perlu diminta bertaubat. (Lihat Tabsirah al-Hukkam, 2/212)
  • Suhnun berkata: Ulama' telah ijma' (bersepakat) bahawa penghina Nabi SAW dan merendahkan martabatnya dihukum kafir serta balasannya diancam dengan azab Allah SWT.
  • Al-Qadhi Iyadh berkata: Sesiapa yang mencaci dan mengejek serta menghina Rasulullah SAW - sama ada pada nasabnya, dirinya, agamanya, atau salah satu sifat daripada sifatnya atau mengejeknya atau menyamakannya dengan sesuatu dengan cara mencela atau mengurangkannya atau memperkecilkan kedudukannya, atau berpaling daripadanya, atau mengaibkannya, begitu juga siapa yang melaknatnya, atau membuat dakwaan ke atasnya, atau bercita-cita untuk memudaratkannya, atau menisbahkan kepadanya perkara yang tidak layak dengan kedudukannya dengan cara mencela atau bermain-main pada pihaknya dengan menghina dari segi percakapan atau menghinanya kerana berlaku ujian ke atasnya, atau menghinanya dengan sebahagian sifat-sifat manusia yang berlaku kepadanya - maka dia dianggap sebagai kafir. Ini adalah ijmak (kesepakatan) dalam kalangan ulama dan para imam fatwa sejak zaman sahabat lagi. (Lihat al-Syifa bi Ta'rif Huquq al-Mustafa, hlm. 403; Lihat juga Nihayah al-Sul fi Khasais al-Rasul, hlm. 80 dan al-Saif al-Maslul 'ala man Sabb al-Rasul, hlm 54)
  • Ibn al-Munzir berkata: Ijma' kebanyakan ahli ilmu, bahawa sesiapa yang mencela Nabi SAW hendaklah dibunuh. Mereka yang berpendapat demikian ialah Imam Malik, al-Laith, Imam Ahmad, Ishaq dan ia adalah pendapat mazhab Syafi'ie. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 4/432)

 

Walaupun hukumannya amat tegas, tetapi kami telah menjawab isu berkenaan haruskah seseorang mengambil tindakan dengan membunuh seseorang yang menghina Nabi SAW pada masa kini? Ia boleh dirujuk dalam laman web kami dalam Irsyad Al-Fatawa Siri Ke-297: Adakah Penghina Rasulullah SAW Halal Darahnya?[6]Antara kesimpulan yang kami nyatakan seperti berikut: Dalam konteks Malaysia di mana kita memiliki sistem undang-undang untuk mengekang perlakuan menghina agama Islam, hendaklah kita melaporkan kepada pihak berkuasa apa-apa ucapan, perlakuan dan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Rasulullah ﷺ, supaya mereka diambil tindakan mengikut laras undang-undang. Tidak boleh kita mengambil tindakan sendiri untuk menghukum jika tidak mengikut tindakan undang-undang, apatahlagi dengan kekerasan, kerana boleh mendatangkan bahaya kepada imej Islam, umat Islam dan keharmonian negara, seperti yang disebut “boleh membawa sebab pembunuhan kepada fitnah atau menjadikan orang ramai takut untuk memeluk Islam.”

 

Adakah Diterima Taubat Mereka yang Menghina Rasul?

Terdapat dua pendapat dalam permasalahan ini:

Pertama: Tidak Diterima Taubat

Inilah pendapat yang masyhur di sisi mazhab Hanbali dan dia dibunuh dalam keadaan kafir tanpa perlu disolatkan dan didoakan dengan kerahmatan, dikebumikannya di tempat yang jauh dari perkuburan orang Islam.

Kedua: Diterima Taubatnya, Jika Dia Benar-Benar Bertaubat

Ini berdasarkan umum nas Ilahi, firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Zumar (53)

Kami cenderung kepada pendapat yang kedua. Ini kerana ada juga dari kalangan mereka yang menghina Nabi SAW, namun telah bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha dan diterima oleh Baginda SAW tanpa menghukumnya. Begitu juga dengan umum nas yang telah dinyatakan.

 

Kisah Ka’ab bin Asyraf yang Memusuhi Nabi SAW

Ketika zaman Rasulullah SAW, telah dicatatkan bagaimana terdapat seorang individu yang sangat memusuhi Baginda, menghina serta menghasut orang ramai supaya memerangi Baginda SAW. Beliau bernama Ka’ab bin Asyraf, seorang Yahudi yang paling ekstrem dalam membenci Islam, orang-orang Islam, Rasulullah SAW serta dalam membangkitkan seruan untuk memerangi Baginda SAW.

Tatkala berita tentang kemenangan orang-orang Islam dan terbunuhnya tentera Quraisy di Peperangan Badar sampai kepadanya, maka musuh Allah ini mula mencerca Rasulullah SAW dan orang-orang Islam. Sebaliknya, dia memuji musuh mereka dan menghasut mereka untuk segera membunuh musuhnya. Dia kemudian pergi kepada kaum Quraisy dan menemui Muthallib bin Abu Wudaah al-Sahmy. Di sana dia menyenandungkan syair-syair sambil menangisi para korban Musyrikin yang ditimbun di telaga Badar. Dengan melakukan itu, dia berharap dapat membangkitkan kemarahan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW serta mengajak mereka untuk memerangi Baginda. Kemudian Kaab kembali ke Madinah, dan dia terus menyampaikan syair-syair yang menyinggung perasaan isteri para sahabat, sehingga dengan perkataan yang lancang itu dia menyakiti hati mereka. Ketika itu Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لِكَعْبِ بْنِ الْأَشْرَفِ؟ فَإِنَّهُ قَدْ آذَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: “Siapakah yang akan menghadapi Kaab bin Asyraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya!”

Baginda kemudian menyerahkan mandat untuk menghadapi Kaab kepada Muhammad bin Maslamah, Abbad bin Bisyr, Abu Nailah. Muhammad bin Maslamah dilantik sebagai panglima pasukan khas ini.

Pada malam bertarikh 14 Rabiul Awwal tahun ketiga Hijrah, pasukan khas ini datang ke kawasan rumah Kaab bin Asyraf. Ka'ab keluar dengan pakaian yang berbau harum semerbak. Ia disambut baik oleh Abu Nailah dan Muhammad bin Maslamah lalu diajak bercakap-cakap. Abu Nailah berpura-pura hendak mencium bau wangi pada rambut Ka'ab lalu beliau menghulurkan tangan membelai-belai rambutnya sambil berkata: “Sungguh, aku belum pernah mengalami malam seharum malam ini”. Ka'ab bangga mendengar pujian seperti itu. Abu Nailah mengulanginya lagi. Dibelainya lagi rambut Ka'ab, tapi kemudian direnggutnya sekeras-kerasnya sambil memegang lehernya dan menyeru kepada para sahabatnya: “Bunuhlah musuh Allah ini!” Seketika itu juga beberapa bilah pedang menembus dadanya. Begitulah nasib Ka'ab bin Asyraf, pemimpin Yahudi yang memusuhi Islam, menyakiti Allah dan Rasul-Nya. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum oleh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri, hlm. 358-362)

 

Sultan Abdul Hamid II Menentang Teater Komedi Menghina Nabi SAW

Kami nukilkan juga di sini bagaimana kisah Sultan Abdul Hamid II mempertahankan Nabi SAW daripada dihina dan diperlekehkan.

Pada tahun 1889, Henri de Bornier, seorang penyair dan penulis skrip yang berasal dari Perancis telah menulis sebuah skrip untuk pementasan teater anti-islam bertajuk Mahomet. Ia adalah sebuah teater komedi Perancis dan satu rehearsal telah dijalankan untuk tayangan pada 1890. Tayangan teater komedi tersebut adalah dalam bentuk menghina Nabi Muhammad SAW dan akidah Islam.

Sultan Abdul Hamid II yang mengetahui perkara tersebut segera campur tangan serta mencegah ia dari ditayangkan di teater Perancis. Akhirnya pada tahun 1890, Perdana Menteri Perancis ketika itu, Charles De Freycinet telah mengharamkan produksi Mohamet.

Apabila penulisnya yang sangat menzahirkan permusuhannya kepada Islam dan orang Islam disebabkan fanatiknya terhadap Kristian tidak dapat meneruskan hasrat untuk melakukan tayangan di Perancis, beliau berusaha untuk mementaskannya di England. Persediaan dilakukan untuk ditayangkan di London's Lyceum Theatre. Sultan Abdul Hamid sekali lagi masuk campur serta mencegah daripada diteruskan tayangan di England.

Sehinggalah 1896, tidak ada satu babak pun dipersembahkan di dalam teater kepada orang ramai. Setelah Bornier, tidak ada lagi penulis skrip Eropah yang berani menulis teater berkenaan kehidupan Nabi SAW. [7]

 

Larangan Melakar Gambar Rasulullah SAW

Kami juga turut ingin menegaskan di sini bahawa agama Islam tidak membenarkan sebarang lakaran gambar Rasulullah SAW dalam apa jua cara dan kaedah. Perkara penting yang harus difahami oleh setiap individu ialah bahawa Islam itu terbahagi kepada dua aspek utama yang saling berkait antara satu dengan lain dan adalah mustahil untuk memisahkan antara kedua-dua aspek ini.

Dua aspek yang dimaksudkan itu ialah aqidah dan syariah. Aqidah dalam Islam adalah sesuatu yang menjadi pegangan atau kepercayaan umat Islam, secara kasar ia meliputi soal ketuhanan, kenabian dan Hari Akhirat. Manakala syariah pula merupakan suatu sistem perundangan atau cara hidup yang ditetapkan melalui sumber-sumber hukum tertentu yang antara lain bertujuan untuk menjaga kemurnian dan keutuhan aqidah umat Islam itu sendiri. Sebagai contoh Islam menetapkan dari sudut aqidah bahawa wajib setiap umat Islam mempercayai bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang rasul, manakala syariah pula menetapkan dan mengukuhkan lagi doktrin kepercayaan ini dengan menegaskan bahawa umat Islam yang memungkiri kepercayaan ini dengan sengaja tanpa sebarang takwilan dan keuzuran harus dijatuhi hukuman tertentu sebagai balasan di atas keengkarannya itu.

Dalam perspektif ini, syariah didatangkan oleh Islam dengan membawa pelbagai metod yang bersifat murunah atau fleksibel bertujuan membendung sebarang gejala yang boleh merendahkan, menghina mahupun merosakkan Islam, apatah lagi perkara yang menyangkut soal aqidah dan kepercayaan atau disebut juga keimanan. Oleh itu dalam banyak-banyak metod yang digunakan oleh syariah untuk membendung kerosakan adalah kaedah yang dipanggil sadd al-zari'ah yang bermaksud 'menyekat jalan-jalan kerosakan'. Kaedah ini adalah antara yang terbanyak digunakan sebagaimana yang terdapat di dalam nas-nas syarak yang bertujuan untuk menyekat terlebih dahulu sebarang jalan yang dikhuatiri boleh menjerumuskan umat Islam ke lembah kerosakan dan kemusnahan.

Sebagai contoh, Islam melarang perbuatan zina, larangan ini pula telah diterjemahkan oleh syariah dengan menyediakan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita malah menetapkan etika berpakaian tertentu yang bertujuan secara umumnya untuk menyekat semua jalan-jalan yang boleh membawa kepada zina. Begitu juga sekiranya kita berbalik kepada soal hukum melukis atau membuat lakaran wajah dan jasad Nabi Muhammad SAW, larangan terhadap perbuatan ini mempunyai signifikan tertentu memandangkan ia menyentuh secara langsung terhadap aqidah anutan umat Islam itu sendiri dan memberi ruang untuk melakukan perbuatan tersebut ditakuti boleh memudaratkan kepercayaan dan keimanan bahkan melunturkan kesucian aqidah Islam.

Pada dasarnya sudah ada hukum yang jelas oleh syariah berkaitan dengan gambar yang dibuat untuk diagung-agungkan atau dikuduskan. Sejarah wathaniyah (keberhalaan) membuktikan bahawa golongan awal telah menghasilkan gambar atau patung bertujuan untuk kenang-kenangan, tetapi kemudiannya sampai ke tahap mengkuduskan dan menjadikannya sebagai perantaraan untuk beribadah.

Hal ini dirakamkan dalam ayat 23, Surah Nuh:

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

Maksudnya: "Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr.”

(Surah Nuh: 23)

Ahli tafsir menjelaskan tentang firman Allah SWT di atas, bahawa nama berhala yang disebutkan dalam ayat ini asalnya adalah nama-nama orang-orang soleh, tetapi ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kaum mereka agar membuat patung-patung peringatan di majlis-majlis mereka dan menamakan mereka dengan namanya. Maka kaum itu pun melakukannya. Asalnya ia tidak disembah, tetapi setelah generasi mereka hancur dan ilmu telah dilupakan, ketika itulah patung-patung tersebut disembah.

Dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa syarak menegah daripada menggambarkan Nabi Muhammad SAW dalam bentuk lukisan dan sebagainya adalah untuk mengelakkan sebagaimana apa yang terjadi ke atas umat terdahulu sehingga sampai ke peringkat mengagungkan orang-orang suci mereka seumpama beribadah kepada tuhan.

Logika lain pula yang membawa kepada tegahan tersebut adalah dilihat kepada beberapa andaian yang boleh berlaku berdasarkan analisis para ulama Islam seperti berikut:

Pertama: Mengimaginasikan wajah atau jasad Nabi Muhammad SAW sama ada dalam bentuk watak lakonan mahupun lukisan atau selainnya sekali-kali tidak akan dapat menyamai peribadi sebenar wajah atau jasad Nabi Muhammad SAW, oleh itu ia boleh membawa kepada impak pembohongan ke atas Rasulullah SAW dalam bentuk perbuatan kerana pembohongan tidak semestinya dengan lidah semata-mata. Maka pembohongan ke atas rasul adalah sesuatu yang jelas pengharamannya dengan nas hadith sahih yang menyebut:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksudnya: "Barangsiapa yang membohongi aku dengan sengaja, maka tersedialah tempatnya di dalam neraka."

Riwayat al-Bukhari (1291) dan Muslim (4)

Kedua: Keaiban dan kekurangan yang berlaku disebabkan oleh kelemahan manusia untuk memberikan gambaran sebenar terhadap wajah dan jasad Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang dilihat sendiri dengan mata yang sihat adalah merupakan sesuatu yang mencacatkan keperibadian Rasulullah SAW seterusnya dianggap sebagai perbuatan yang menyakitkan Rasulullah SAW Hukum menyakitkan Rasulullah SAW sendiri adalah sangat ditegah dan diharamkan oleh syariat berpandukan firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّـهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.”

(Surah al-Ahzab: 57)  

Ketiga: Nabi Muhammad SAW adalah merupakan model ikutan umat baginda, oleh itu mengimaginasikan Baginda sehingga membawa kepada kecacatan dan keaiban boleh mencetuskan pandangan atau persepsi yang tidak adil atau menyeleweng terhadap keperibadian Rasulullah SAW bagi umat yang mengikutinya. Sedangkan Allah SWT berfirman dalam al-Qur'an:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّـهَ كَثِيرًا

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

(Surah al-Ahzab: 21)

Keempat: Gambaran atau lukisan yang tidak bertepatan malah mustahil untuk ia bertepatan dengan keperibadian sebenar Nabi Muhammad SAW yang dipamerkan juga boleh mengundang kesangsian umat Islam terhadap keimanan mereka kepada Nabi Muhammad SAW atau sekurang-kurangnya melahirkan rasa hilang hormat terhadap kekudusan Nabi Muhammad SAW sebagai insan yang sempurna dari sudut akhlak dan kejadiannya. Implikasi yang lebih berat adalah ia boleh menjejaskan kepercayaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah ikutan serta sumber rujukan umat Islam selepas al-Qur'an.

Selain hujah-hujah di atas, keimanan kepada Nabi Muhammad SAW juga merupakan salah satu cabang beriman kepada perkara yang ghaib. Namun ia termasuk dalam kategori ghaib yang tidak mutlak memandangkan Nabi Muhammad SAW hanya ghaib bagi umatnya yang terkemudian dan tidak ghaib bagi para sahabat dan generasi yang sempat hidup dan melihatnya ketika hayat baginda. Oleh itu adalah menjadi sesuatu yang perlu diwaspadai kerana betapa banyak kesesatan yang wujud pada hari ini adalah berpunca daripada keterlaluan di dalam membicarakan persoalan ghaib.

Membenarkan lukisan wajah atau jasad Nabi Muhammad SAW bermakna membuka jalan untuk golongan tertentu melukis serta mengimaginasikan seluruh perkara-perkara ghaib lain yang terdapat di dalam Islam seumpama melukis gambaran Allah, malaikat, syurga, neraka dan selainnya.

Bertolak dari penjelasan ini kita boleh membuat konklusi bahawa membenarkan imaginasi lukisan atau gambaran Rasulullah SAW secara langsung atau tidak langsung boleh menjurus kepada memasukkan unsur-unsur khurafat, tahyul dan khayalan ke dalam aqidah Islam seterusnya ini sedikit demi sedikit akan menghakis sifat Islam sebagai agama yang bersih daripada dongengan, lebih-lebih lagi ia akan merosakkan sistem tathabbut iaitu memastikan setiap apa yang disandarkan kepada agama itu adalah betul-betul benar seperti yang disusun oleh para ulama seumpama dalam metodologi ilmu hadith dan ilmu usul fiqh.  

Berasaskan dalil-dalil dan hujah-hujah yang dibentangkan di atas maka kita dapati bahawa para ulama Islam serta beberapa institusi Islam terkemuka telah mengumumkan fatwa pengharaman menghasilkan lukisan atau apa-apa gambaran berbentuk imej Rasulullah SAW. Antaranya adalah fatwa Syeikh Hasanain Makhluf pada bulan Mei 1950 dalam kitab al-Fatawa al-Islamiyyah, jilid 4, mukasurat 1297, Lajnah Fatwa al-Azhar pada bulan Jun 1968, Majlis Majma' Buhuth al-Islamiyyah pada bulan Februari 1972 dan Majlis Majma' al-Fiqh al-Islami Makkah kali ke-8 pada tahun 1405 hijrah.    

Pengharaman ini adalah bertitik tolak daripada pendirian para ulama Islam yang mahu menjaga kepentingan Islam serta penganut agama Islam itu sendiri dan ia telah dijelaskan berpandukan hujah-hujah naqli (al-Qur'an dan al-Sunnah) dan aqli atau rasional pemikiran manusia. Namun sekiranya masih kedapatan mereka yang masih mempertikaikan keputusan tersebut, itu bukanlah timbul kerana kepincangan hujah-hujah di atas tetapi sekadar sifat manusia yang tidak pernah puas serta tidak tahu menghormati kepercayaan orang lain ditambah pula dengan ketegaran untuk tidak memahami keutamaan keharmonian beragama di Negara ini.

 

Kenyataan Yang Di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor

Kami kemukakan di sini kenyataan pemimpin utama negara berkenaan kewajiban menjaga kesucian Islam serta mempertahankan Rasulullah SAW daripada dihina dan dipermain-mainkan:

  • Titah diraja Yang Di-Pertuan Agong sempena Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas

“Tindakan tegas hendaklah diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Beta percaya kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan perlu difahami dengan sedalam-dalamnya oleh setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama. Islam bukan sekadar sebuah agama yang eksklusif untuk kumpulan tertentu, malah ia merupakan cara hidup yang universal dan membawa rahmat buat sekalian alam.”

“Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama-agama lain perlu dihormati demi keharmonian dan kesejahteraan hidup kita semua.”

“Menyentuh berkenaan pengaruh media, terutama penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai-nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat. Sungguhpun Kerajaan Beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting kebebasan ini dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan bermasyarakat. Pada masa yang sama, agensi-agensi penguatkuasa hendaklah bertindak tegas ke atas sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang.”[8]

  • Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

"Agama Islam adalah agama persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan seharusnya sentiasa dihormati rakyat negara ini.”

"Walaupun perbuatan hina Rasulullah SAW dan kesucian agama Islam ini satu kesalahan di bawah undang-undang, malah tindakan undang-undang serta hukuman telah dikenakan terhadap mereka yang melakukannya, namun ia masih tetap berlaku, seolah-olah tiada kesan terhadap tindakan undang-undang yang diambil terhadap golongan ini”[9]

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan­­­­­­­­­­

Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Bagi Wilayah Persekutuan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Bil. 2/2019 pada 20 Mac 2019 telah bersetuju dengan usul mengutuk sekeras-kerasnya tindakan perbuatan menghina Nabi SAW dan turut bersetuju dengan syor dan cadangan yang dikemukakan.

Kami memandang serius isu yang berlaku mutakhir ini dan ia merupakan satu tragedi yang wajib dielakkan oleh semua pihak sama ada Muslim atau non Muslim. Kami kemukakan beberapa noktah:

  • Perbuatan menghina Rasulullah SAW, para sahabat dan keluarga Baginda adalah satu perbuatan di luar norma batasan manusia yang baik.
  • Sikap ketegasan dari semua pihak dalam hidup sebagai masyarakat majmuk wajib memelihara sensitiviti kaum dan agama masing-masing. Perbuatan seperti ini ibarat mencurahkan minyak ke dalam api yang marak. Bukan mengislah akan tetapi menjadikannya lebih parah.
  • Ingatlah, perbuatan menghina adalah mukadimah kepada sifat marah yang tidak terkawal dan emosi yang sudah tentu akan mengguris perasaan semua golongan. Ketika kita hidup secara ta’ayush dengan penuh harmoni sewajarnya perkara seperti ini tidak berlaku kepada masyarakat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa dan tatasusila yang tinggi
  • Ingatlah, apabila hilangnya penghormatan kepada orang lain – sementelahan lagi sesama masyarakat yang sepatutnya kita membina kasih sayang – tiba-tiba berlaku tindakan seumpama ini yang sudah tentu membawa tindakan yang cukup parah dan bahaya dalam membina masyarakat yang penuh dengan nilai kasih sayang.
  • Penghayatan kepada rukun negara boleh mengelakkan sebarang tragedi dan juga natijah yang membinasakan.

Simbol-simbol suci agama perlu dihormati serta tidak dihina sesuka hati. Tiada agama yang menyukai simbol-simbol suci agama mereka diperlekehkan. Hal ini juga sepertimana Islam memerintahkan agar rumah-rumah ibadat agama lain tidak diganggu gugat bahkan melarang orang Islam dari menghancurkan atau merosakkan rumah ibadat orang bukan Islam. Allah SWT berfirman:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّـهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّـهِ كَثِيرًا

Maksudnya: Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya.

Surah al-Haj (40)

Imam al-Maraghi menjelaskan, sekiranya Allah SWT tidak mensyariatkan kepada para nabi dan kaum mukminin agar memerangi musuh dan menegakkan landasan agama, nescaya orang musyrik akan menguasai dan menghancurkan semua tempat peribadatan. Tempat peribadatan yang dimaksudkan ini ialah, rumah ibadah para pendeta, gereja bagi orang Nasrani, tempat ibadah orang Yahudi dan masjid kaum Muslimin.

Sekiranya tidak kerana penolakan daripada Allah SWT ini, nescaya pada zaman Nabi Musa AS gereja telah dihancurkan, pada zaman Nabi Isa AS biara dan rumah ibadah rumah ibadah telah dirobohkan, dan pada masa Nabi Muhammad SAW masjid telah dimusnahkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4564-4565)

Kami kemukakan juga di sini beberapa syor dan cadangan:

  • Menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan setiap kes yang melibatkan penghinaan terhadap mana-mana agama dapat ditangani dengan berkesan;
  • Menganjurkan siri-siri dialog dengan penganut pelbagai agama mengenai keperibadian Rasulullah SAW bagi menjelaskan mengenai kedudukan Rasulullah SAW dalam Islam dan memperbetulkan beberapa salah faham yang timbulkan pihak tertentu;
  • Mengadakan Majlis Istitabah dengan pembacaan Sirah Nabi kepada orang Islam yang dihukum kerana terlibat menghina Rasulullah SAW, diakhiri dengan perisytiharan taubat di media massa;
  • Mengadakan Majlis Keinsafan dengan penjelasan mengenai kedudukan Rasulullah SAW kepada orang bukan Islam yang dihukum kerana terlibat menghina Rasulullah SAW, diakhiri dengan perisytiharan keinsafan dan maaf di media massa dan secara terbuka.

Akhir kalam saya menyeru kepada masyarakat Malaysia, pemimpin, ketua kaum dan mereka yang berpengaruh agar sentiasa mengingatkan kepada anak buah masing-masing betapa pentingnya menghormati agama dan pegangan orang lain. Lebih-lebih lagi kepercayaan kepada Rasulullah SAW yang amat sensitif bagi orang Islam. Kalau ini dapat dipelihara dan disemai dengan baik makanya kehidupan ini akan bahagia dan sentiasa aman. Inilah yang kita dambakan dalam melayari bahtera kehidupan. Akhirnya, kita akan dapat mencapai Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Kami mengharapkan ia menatijahkan sebuah kesedaran dan keinsafan kepada kita semua. Ingatlah, hidup dengan penuh hasad dengki, dendam kesumat dan perasaan amarah tidak akan menatijahkan kebahagiaan serta kasih sayang sesama kita. Sebaliknya, apabila disuburkan dengan akhlak dan penghormatan serta sikap yang baik sudah barang tentu akan memberi ketenangan dalam kehidupan.

Semoga Bayan Linnas pada kali ini dapat memberi pencerahan dan kefahaman untuk sama-sama mengenali tugas, tanggungjawab dan hak sesama Muslim dan non Muslim agar Malaysia beroleh keberkatan dari-Nya.

Akhukum fillah,

Dato’ Seri Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
25 Mac 2019 bersamaan 18 Rejab 1440H

 

 

Nota Hujung:

[1] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1776-bayan-linnas-siri-55-rasulullah-saw-jangan-sekali-kali-menghina-baginda

[2] Lihat https://www.britannica.com/art/caricature-and-cartoon

[3] Lihat Karikatur dan Politik oleh Augustin Sibarani, hlm. 89.

[4] Lihat Pemanfaatan Aspek Kebahasaan Bentuk Kata Tuturan Humor dalam Karikatur, hlm. 46.

[5] Lihat portal Dewan Bahasa dan Pustaka pada carian ‘penghinaan’ dan ‘menghina’ [http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=penghinaan]

[6] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3208-irsyad-al-fatawa-siri-ke-297-adakah-penghina-rasulullah-saw-halal-darahnya

[7] Lihat arkib Kementerian Hubungan Luar, dokumen TS-TI, nombor rekod 12, hlm. 61 (dipetik daripada buku My Guide to Understanding Islam: Muslim Youth oleh Yusuf Karagol). Lihat juga Lihat C. E. Bosworth, ‘A Dramatisation of the Prophet Muhammad’s Life: Henri de Bornier’s “Mahomet”,’ Numen, Vol. 17, Fasc. 2 (Aug., 1970), p. 116.

[8] Lihat portal Utusan Online, Pertahankan Perlembagaan tanpa kompromi – Seri Paduka, 12 Mac 2019. [http://www.utusan.com.my/rencana/utama/pertahankan-perlembagaan-8232-tanpa-kompromi-8211-seri-paduka-1.858854] Akses pada 13 Mac 2019.

[9] Lihat Utusan Online, Hina Nabi: Sultan Selangor Kecewa, 04 Mac 2019. [http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hina-nabi-sultan-selangor-kecewa-1.853398] Akses pada 13 Mac 2019.