Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-200: PENGISYTIHARAN HARTA MENURUT ISLAM: INILAH PENDAPAT KAMI

isytihar.JPG

 

Muqaddimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW hingga hari kesudahan.

Pada awal Julai, minggu pertama persidangan Parlimen Malaysia, isu pengisytiharan harta menjadi perbahasan hangat apabila dibentangkan rang undang-undang berkaitan dengannya. Kami cuba menekuni dua pandangan yang berbeza tetapi kedua-duanya menuju ke satu noktah iaitu perlunya ketelusan dan punca kuasa yang hendak disandarkan. Juga bagi menzahirkan integriti wakil rakyat atau pegawai kerajaan yang diberi mandat dan amanah dalam mentadbir dengan ketelusan kewangan tanpa berlakunya salah guna kuasa dalam memungut dan mengumpul harta. Justeru, kami merasa terpanggil untuk mengemukakan pendapat kami dalam isu ini agar ianya dapat memberi satu jalan keluar dan penyelesaian serta dapat memahami dengan sebaiknya hukum hakam dan permasalahan berkenaan dengan pengisytiharan harta. Justeru, kami tajukkan dengan Pengisytiharan Harta Menurut Islam: Inilah Pendapat Kami. Semoga makalah ini memberi manfaat kepada kita semua.

 

Isytihar Harta Dari Sudut Maqasid al-Syariah

Dalam membahas isu ini, hendaklah difahami dahulu perbahasan Maqasid al-Syariah yang berkaitan dengan harta dan kewangan. Sekiranya dilihat perbahasan para usuliyyun tentang maqasid yang berkaitan dengan harta, mereka membahagikan kepada maqasid al-‘Ammah dan maqasid al-Khassah.

Syeikh Bin Bayyah menyebut bahawa Maqasid al-‘Ammah ini ialah yang berkaitan dengan perbahasan maqasid yang umum iaitu berkaitan rangka asas mengapa diturunkan syariat ini. Lihat Maqasid al-Mu’malat Wa Marasid al-Waqia’t, (hlm. 69).

Maqasid al-khassah pula berkaitan dengan tujuan-tujuan pensyariatan yang lebih khusus untuk persoalan tertentu seperti persoalan kewangan. Syeikh Ibn Asyur menyatakan bahawa maqasid dalam harta terdiri daripada lima perkara. Lihat Maqasid al-Syariah al-Islamiah (hlm. 496).

Pertama, harta itu hendaklah berlaku putaran atau peredaran kewangan. Harta itu hendaklah dijana dan tidak dibiarkan beku tanpa diperoleh sebarang keuntungan serta tidak disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Ini berteraskan firman Allah SWT:

مَّا أَفَاءَ اللَّـهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّـهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ

Maksudnya: Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.

Surah al-Hasyr (7)

Kedua, maqasid seterusnya ialah menjamin ketelusan. Maka diyariatkan beberapa kaedah dalam mendokumentasi dengan persaksian, penulisan, sistem gadaian yang jauh daripada penipuan serta jauh daripada punca-punca perbalahan. Adapun penjagaan dan pemeliharaannya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu 

Surah al-Baqarah (282)

Ketiga, maqasid khusus dalam harta adalah bertujuan untuk menjaganya dengan berpaksi kepada dua paksi utama iaitu menjaga dan mengembangkannya serta mengelak dari jatuh ke tangan yang salah. Firman Allah SWT:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّـهُ لَكُمْ قِيَامًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu;

Surah al-Nisa’ (5)

Keempat, keadilan sebagai teras maqasid yang khusus dalam harta, dengan menjauhi sebarang bentuk kezaliman. Konsep keadilan bermula pada detik perolehan harta sehinggalah ketika harta itu dibahagikan. Terdapat begitu banyak ayat-ayat yang menyeru kepada keadilan. Antaranya, firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.

Surah al-Nahl (90)

Firman Allah SWT:

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ

Maksudnya: dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. 

Surah al-Ma’idah (8)

Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ

Maksudnya: Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil.

Surah al-Rahman (9)

 

Konsep Ketelusan dalam Maqasid al-Syariah

Konsep al-Wuduh atau transparency adalah suatu bahagian yang menunjukkan syariah Islam menolak segala jenis bentuk al-Gharar atau keraguan didalam sebarang urusan kewangan atau pemilikan harta. Sesungguhnya sekira ditelusuri nas, maka kita akan mendapati betapa Islam menolak ketidak telusan dalam pemilikan harta dan sebarang transaksi. Antaranya firman Allah SWT:

 

وَأَشْهِدُوا إِذَا تَبَايَعْتُمْ

Maksudnya: Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli.

Surah al-Baqarah (282)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.

Surah al-Baqarah (282)

Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ عَلَىٰ سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُوا كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَّقْبُوضَةٌ

Maksudnya: Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).

Surah al-Baqarah (283)

 

Isytihar Harta Memenuhi Aspirasi Hifz al-Mal

Setelah kita memahami konsep ketelusan yang digagaskan di dalam Maqasid al-Syariah maka jelaslah bahawa mengisytiharkan segala pemilikan kepada badan yang yang mempunyai kuasa adalah menepati kehendak syarak.

Hifz al-Mal ditakrifkan oleh Ibn ‘Asyur sebagai:

هو حفظ أموال الأمة من الإتلاف ومن الخروج إلى أيدي غير الأمة بدون عوض

Maksudnya: menjaga harta-harta ummah daripada kerugian dan daripada mengalir kepada yang bukan ummah tanpa sebarang pulangan. Lihat Maqasid al-Shariah al-Islamiah, (463-464).

Di dalam kitab yang lain, Ibn ‘Asyur menambah bahawa menjaga harta ummah itu bermula dengan menjaga harta setiap individu di dalamnya, kerana dengan memastikan kelestarian harta setiap individu daripada ummah itu akhirnya akan membuahkan kebaikan kepada harta ummah seluruhnya. (Lihat Usul al-Nizam al-Ijtimai’ fi al-Islam hlm. 301-314).

Maka, pengisytiharan harta ini menepati konsep Hifz al-mal yang mengangkat konsep jaminan hasil pendapatan yang bersih serta memastikan tiada pelanggaran hukum syarak ketika mengaut keuntungan. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksdunya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu,

Surah al-Nisa’ (29)

Isu ini turut ditegaskan oleh Baginda SAW ketika menyampaikan khutbah wada’:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا

Maksudnya: Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu, serta maruah di antara kamu haram (terpelihara) seperti kemuliaan hari kamu ini

Riwayat al-Bukhari (67)

Kesimpulannya, berdasarkan apa yang kami nyatakan, jelaslah bahawa Maqasid al-Syariah mengangkat prinsip ketelusan dalam pemilikan dan keuntungan yang dijana hingga benar-benar bersih. Selain itu, di bawah tajuk Hifz al-Mal pula seperti yang dinyatakan di atas, menunjukkan betapa Hifz al-Mal itu asasnya adalah untuk memelihara harta ummah seluruhnya di samping turut memelihara harta setiap individu yang terkandung di dalam ummah itu sendiri. Maka, individu yang dilantik untuk menguruskan negara, atau secara khusus parlimen hendaklah mengamalkan konsep transparency agar benar-benar jelas sumber harta yang dimiliki mereka ini tidak ada daripada sumber yang haram. Hal ini sekaligus akan memelihara seluruh ahli parlimen daripada harta yang haram, dan dalam masa yang sama menjaga harta rakyat daripada tersalur ke tempat yang tidak sepatutnya.

 

Isytihar Harta Sebagai Mekanisme Menilai 'Adalah Pemimpin

Menurut hukum syarak, pelantikan seorang pemimpin mempunyai beberapa syarat. Antara syarat utama pelantikannya adalah dia mesti bersifat adil, iaitu meninggalkan dosa besar dan tidak melakukan sebarang perkara yang merendahkan maruah dirinya di hadapan masyarakat umum. Ini kerana, orang yang melakukan sedemikian dianggap fasiq dengan ijmak para ulama. Fasiq pula bererti orang yang melakukan dosa besar, ia terkeluar daripada mematuhi perintah Tuhannya. (Lihat Raudhah al-Qudhah wa Tariq al-Najah, 1/250)

Tujuan disyaratkan adil bagi pemimpin itu ialah supaya maslahah rakyat dapat direalisasikan. Jauh daripada sifat khianat, bohong dan kecuaian. Sedangkan fasiq adalah seseorang yang tidak memiliki kesedaran beragama maka ia tidak boleh dipercayai. (Lihat al-Nizham al-Qadha’i fi al-Fiqh al-Islami, hlm. 172)

Menurut al-Syatibi, disyaratkan bagi imam itu bersifat adil dan perlakuannya dalam mengambil dan memberi harta adalah tepat menurut syarak. (Lihat Badai’ al-Silk fi Tabai’ al-Mulk, hlm. 215)

Berdasarkan prinsip ini, maka tidak harus melantik seorang pemimpin yang fasiq, begitu juga orang yang mempunyai kekurangan menjadi saksi. Al-Qadhi ‘Iyadh berpandangan, orang fasiq tidak boleh dilantik sebagai pemimpin pada awal lagi. (Lihat Ikmal al-Mu’allim, 6/128). Al-Hafiz Ibn Hajar juga berpendapat sedemikian. (Lihat Fath al-Bari, 13/8) Bahkan al-Qurtubi mengatakan, para ulama sepakat bahawa tidak boleh menyerahkan jawatan khalifah kepada seorang yang fasiq. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/270)

Menurut pendapat muktamad dalam kalangan Syafi’iyyah, Hanabilah, Abu Hanifah, al-Khassaf, al-Tahawi dan Ibn al-Qassar daripada Malikiyyah bahawa pemimpin boleh diturunkan dengan sebab kefasikannya. Antaranya jika disebabkan ia menerima rasuah. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/226)

Dalam sejarah kerajaan Islam, telah dicatatkan pelbagai peristiwa berkenaan mekanisme yang diambil oleh ketua pemerintah dalam memastikan pegawai yang dilantiknya benar-benar memiliki sifat ‘adalah, terutamanya telus dan amanah dalam menguruskan harta.

Kami kemukakan di sini beberapa catatan berkaitan tindakan yang diambil oleh para ketua pemimpin Islam terdahulu dalam memastikan pegawai yang dilantik bersih daripada sebarang bentuk penyelewengan.

 

Khalifah Saidina Umar R.A Menyelidik Harta Abu Hurairah R.A

Ketika zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab R.A, beliau telah menerapkan pelbagai bentuk kaedah dalam memastikan ketelusan dalam masalah pengurusan harta. Beliau amat tegas dan teliti agar setiap pegawai yang dilantiknya tidak menyeleweng atau mengambil harta yang bukan haknya ketika menjawat jawatan.

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan daripada Ibn Sirin, katanya:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ اسْتَعْمَلَ أَبَا هُرَيْرَةَ عَلَى الْبَحْرَيْنِ، فَقَدِمَ بَعَشَرَةِ آلَافٍ، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: اسْتَأْثَرْتَ بِهَذِهِ الْأَمْوَالِ يَا عَدُوَّ اللَّهِ، وَعَدُوَّ كِتَابِهِ، قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: «لَسْتُ عَدُوَّ اللَّهِ، وَلَا عَدُوَّ كِتَابِهِ، وَلَكِنِّي عَدُوُّ مَنْ عَادَاهُمَا» ، قَالَ: فَمِنْ أَيْنَ هِيَ لَكَ؟ قَالَ: «خَيْلٌ لِي تَنَاتَجَتْ، وَغُلَّةُ رَقِيقٍ لِي، وَأُعْطِيَةٌ تَتَابَعَتْ عَلَيَّ

Maksudnya: Saidina Umar R.A telah melantik Abu Hurairah sebagai gabenor di Bahrain. Kemudian Abu Hurairah R.A telah kembali dan menemui Saidina Umar al-Khattab R.A dengan membawa harta berjumlah 10 ribu. Lalu Saidina Umar R.A berkata: “Harta telah mempengaruhi dirimu wahai musuh Allah dan musuh kitab-Nya!” Lalu Abu Hurairah R.A menjawab: “Aku bukanlah musuh Allah dan bukan juga musuh kitab-Nya. Akan tetapi aku adalah musuh orang yang memusuhi Allah dan kitab-Nya!” Umar R.A lalu bertanya: “Dari mana engkau memperolehi harta ini?” Abu Hurairah R.A lantas menjawab: “Kudaku berkembang biak, hasil usaha hambaku meningkat naik dan bahagianku dalam harta rampasan perang terhimpun." Umar R.A kemudian memerintahkan para pegawainya menyelidik sumber wang tersebut. Akhirnya mereka mendapati keputusan yang selaras dengan pengakuan Abu Hurairah tersebut. (Lihat al-Musannaf oleh Abd al-Razzaq, 11/323; al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’ad; Hilyah al-Auliya’ oleh Abu Nu’aim, 1/53; al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/111; 'Uyun al-Akhbar, 1/380 dan Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Zahabi)

Dalam riwayat yang lain yang turut diriwayatkan oleh Ibn Sirin, bahawa Abu Hurairah R.A berkata:

كُنْتُ عَامِلا بِالْبَحْرَيْنِ ، فَقَدِمْتُ عَلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ ، فَقَالَ: عَدُوًّا لِلَّهِ وَلِلإِسْلامِ ، أَوْ قَالَ: عَدُوًّا لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ ، سَرَقْتَ مَالَ اللَّهِ ؟ قُلْتُ: لا ، وَلَكِنِّي عَدُوُّ مَنْ عَادَاهُمَا ، خَيْلٌ لِي تَنَاتَجَتْ وَسِهَامٌ لِيَ اجْتَمَعَتْ ، فَأَخَذَ مِنِّي اثْنَيْ عَشَرَ أَلْفًا

Maksudnya: Aku dilantik sebagai gabenor di Bahrain. Kemudian aku pulang bertemu Umar ibn al-Khattab. Lalu dia berkata berkata: “Wahai musuh Allah dan juga musuh Islam! – ataupun kata perawi: Wahai musuh Allah dan kitab-Nya – Adakah kamu mencuri harta Allah?” Aku berkata: “Tidak. Tetapi aku adalah musuh kepada orang yang memusuhi kedua-duanya. Kudaku membiak dan bahagianku dalam harta rampasan terhimpun.” Lalu dia mengambil daripadaku 12 ribu (untuk diselidik). (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa'd, 2/59; Futuh Misr wa al-Maghrib oleh Ibn Abd al-Hakam, hlm.148-149 dan Mu’jam al-Buldan, 1/414)

Daripada peristiwa di atas menunjukkan betapa sikap ketua pemerintah seperti Umar R.A dalam memastikan setiap pegawai yang dilantiknya benar-benar telus dan amanah dalam menguruskan harta dengan tidak mengambilnya dengan cara yang haram.

 

Menilai Sifat Amanah Dalam Pengurusan Harta

Isu yang berkait rapat dengan sikap amanah dalam pengurusan harta dalam pentadbiran Islam juga dibincangkan dan disentuh dalam isu pengharaman perbuatan ghulul. Ini kerana, ghulul merupakan perbuatan yang hanya berlaku dalam keadaan seseorang itu memegang jawatan strategik hingga membolehkan dia memperoleh harta dengan cara yang salah.

Ghulul secara umumnya adalah perbuatan khianat yang dilakukan seseorang dengan mengambil harta secara diam-diam dengan menggelapkannya sebelum proses pembahagian dibuat dan tanpa keizinan pemerintah. Istilah ghulul dalam konteks zaman dahulu digunakan pada perbuatan mengambil sesuatu daripada harta rampasan perang sebelum dilaksanakan pembahagian.

Disebut dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah: “Ghulul bermaksud khianat, manakala pada istilah, ia bermaksud mengambil sesuatu daripada harta rampasan perang sebelum dilaksanakan pembahagian.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 31/272)

Imam Nawawi berkata: “Asal makna ghulul adalah khianat secara mutlak. Kemudian istilah tersebut digunakan khusus dengan maksud khianat dalam urusan pembahagian harta rampasan perang.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 4/216)

Perbuatan ghulul adalah termasuk sebagai salah satu dosa besar dalam Islam. Imam al-Zahabi menyebut: “Dosa besar yang kedua puluh dua adalah ghulul daripada ghanimah, iaitu dari Baitul Mal kaum muslimin atau harta zakat.” (Lihat kitab al-Kaba’ir, hlm. 94)

Ancaman kepada orang yang melakukan perbuatan ghulul adalah sangat berat. Allah SWT telah memberi ancaman kepada mereka yang mengambil sesuatu barang secara ghulul dalam firman-Nya:

وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: Sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).

Surah Ali Imran (161)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Nabi SAW berdiri di hadapan kami, lalu menyebut berkenaan ghulul dan besarnya (dosa) perbuatan ghulul. Baginda SAW bersabda:

لاَ أُلْفِيَنَّ أَحَدَكُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى رَقَبَتِهِ شَاةٌ لَهَا ثُغَاءٌ، عَلَى رَقَبَتِهِ فَرَسٌ لَهُ حَمْحَمَةٌ، يَقُولُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَغِثْنِي، فَأَقُولُ: لاَ أَمْلِكُ لَكَ شَيْئًا، قَدْ أَبْلَغْتُكَ، وَعَلَى رَقَبَتِهِ بَعِيرٌ لَهُ رُغَاءٌ، يَقُولُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَغِثْنِي، فَأَقُولُ: لاَ أَمْلِكُ لَكَ شَيْئًا قَدْ أَبْلَغْتُكَ، وَعَلَى رَقَبَتِهِ صَامِتٌ، فَيَقُولُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَغِثْنِي، فَأَقُولُ لاَ أَمْلِكُ لَكَ شَيْئًا قَدْ أَبْلَغْتُكَ، أَوْ عَلَى رَقَبَتِهِ رِقَاعٌ تَخْفِقُ، فَيَقُولُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَغِثْنِي، فَأَقُولُ: لاَ أَمْلِكُ لَكَ شَيْئًا، قَدْ أَبْلَغْتُكَ

Maksudnya: Jangan sampai pada hari Kiamat nanti aku bertemu salah seorang dari kamu yang memikul kambing yang mengembek di lehernya, memikul kuda yang meringkik di lehernya, lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah! Tolonglah aku!” Lalu aku akan menjawab, “Aku tidak mampu menolongmu. Dahulu aku sudah menyampaikan kepadamu.”Dan yang memikul unta yang melenguh di lehernya, lalu dia berkata. “Wahai Rasulullah! Tolonglah aku!”, lalu aku akan menjawab, “Aku tidak mampu menolongmu. Dahulu aku sudah menyampaikan kepadamu”. Dan yang memikul harta (emas, perak dan sebagainya) di lehernya, lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah! Tolonglah aku!”, lalu aku akan menjawab, “Aku tidak mampu menolongmu. Dahulu aku sudah menyampaikan kepadamu.” Atau yang memikul kain yang bergoyang-goyang di lehernya, lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah! Tolonglah aku!”, lalu aku akan menjawab, “Aku tidak mampu menolongmu. Dahulu aku sudah menyampaikan kepadamu.”

Riwayat al-Bukhari (3073) dan Muslim (1831)

Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تُقْبَلُ صَلاَةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ وَلاَ صَدَقَةٌ مِنْ غُلُولٍ

Maksudnya: “Tidak diterima solat tanpa toharah (menyucikan diri) dan tidak diterima sedekah dari harta ghulul.”

Riwayat Muslim (224)

Dalam sebuah hadis, disebut bagaimana kemarahan Baginda Nabi SAW terhadap Ibn al-Lutbiyyah apabila dia ditugaskan memungut zakat dan jizyah, namun ketika dia pulang dan ingin menyerahkan hasil kutipan terkumpul kepada Rasulullah, dia berkata: "Ini (pungutan zakat dan jizyah) untukmu dan ini hadiah untukku." Wajah Baginda SAW kelihatan marah, selepas itu Baginda memberikan khutbah kepada para sahabat dengan bersabda:

مَا بَالُ عَامِلٍ أَبْعَثُهُ فَيَقُولُ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِىَ لِى. أَفَلاَ قَعَدَ فِى بَيْتِ أَبِيهِ أَوْ فِى بَيْتِ أُمِّهِ حَتَّى يَنْظُرَ أَيُهْدَى إِلَيْهِ أَمْ لاَ وَالَّذِى نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ يَنَالُ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْهَا شَيْئًا إِلاَّ جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى عُنُقِهِ بَعِيرٌ لَهُ رُغَاءٌ أَوْ بَقَرَةٌ لَهَا خُوَارٌ أَوْ شَاةٌ تَيْعِرُ ». ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى رَأَيْنَا عُفْرَتَىْ إِبْطَيْهِ ثُمَّ قَالَ « اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ ». مَرَّتَيْنِ.

Maksudnya: Bagaimana ada pekerja yang saya utus kemudian mengatakan: “Bahagian ini untukmu dan bahagian ini adalah dihadiahkan untukku.” Mengapa dia tidak duduk di rumah ibu bapanya dan lihat sama ada mereka memberikan hadiah kepadanya ataupun tidak. Demi Zat yang nyawa Muhammad berada di tangan-Nya, tidaklah seseorang di antara kamu akan memperoleh sesuatu pada hari kiamat kecuali pada lehernya memikul unta yang mengeluarkan suaranya, atau lembu yang menguak, atau kambing yang mengembek. Kemudian Baginda mengangkat dua tangannya sehingga kami boleh melihat ketiaknya. Lalu Baginda bersabda: Ya Allah, bukankah hal itu telah kusampaikan kepadamu? Disebutkan dua kali.”

Riwayat Muslim (8483)

Imam al-Khattabi ketika menjelaskan hadis ini menyebut: "Ini adalah satu dalil bahawa pemberian hadiah atau hibah kepada pekerja kerana jawatan mereka adalah hasil kotor dan ia bukan seperti hadiah-hadiah lain yang diharuskan, seperti yang diberikan untuk mengukuhkan ukhuwah dan kasih sayang. Tetapi dalam kes rasuah, hadiah diberikan untuk mendapatkan hasrat di hati pemberi dan itu adalah salah satu daripada jenis khianat.” (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/161)

Al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab Muhasabah al-Imam ‘Ummaalah (Muhasabah pemerintah terhadap para pekerjanya). Lihat Sahih al-Bukhari, 9/76. Ibn al-Qayyim mengatakan hadis ini menjadi petunjuk bagaimana Rasulullah SAW melakukan pemeriksaan terhadap para pekerjanya termasuk dalam menilai akaun pendapatan dan perbelanjaan mereka. Lihat al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syar’iyyah, 2/646.

Kesimpulannya, berdasarkan perbahasan dalam subtopik ini, dapat difahami bahawa sifat ‘adalah menjadi salah satu prasyarat penting untuk dilantik sebagai seorang pemimpin. Lebih-lebih lagi ia menjadi amat signifikan dalam hal yang melibatkan pengurusan harta rakyat. Ketiadaan sifat amanah dan nilai agama yang tinggi mendedahkan seseorang pemimpin itu melakukan salah guna kuasa. Oleh yang demikian, keperluan untuk diwujudkan suatu mekanisme bagi menilai sifat ‘adalah amat penting terutamanya dalam hal yang melibatkan pengurusan harta awam. Maka, kaedah pengisytiharan harta boleh digunakan sebagai salah satu instrumen untuk menunjukkan ketelusan setiap pemimpin dalam menguruskan harta awam tanpa memperoleh sebarang manfaat dan keuntungan peribadi.

 

Hak Daulah Ke Atas Harta Individu

Menurut hukum Islam, hak-hak individu yang terpelihara disebut sebagai dharuriyyat al-khams. Ia merujuk kepada penjagaan lima maslahat/keperluan asas manusia iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, daripada sudut mewujudkan keperluan tersebut, atau menghalang ia daripada rosak atau hilang.

Daripada sudut kepentingan harta, setiap individu memiliki hak untuk menggunakan hartanya, tertakluk kepada cara yang dibenarkan Hukum Syarak. Ini disebut sebagai haqq al-tasarruf. Seseorang itu boleh membeli, menjual dan menggunakan hartanya berdasarkan cara yang dibenarkan Syarak. Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan curi, merompak, dan mengambil harta orang lain secara zalim, dan menetapkan hukum had dan ta’zir yang menjaga harta benda manusia daripada diceroboh.

Dalam masa yang sama, sebahagian ulama membenarkan dalam keadaan darurat dan hajat bagi pemerintah untuk mengambil harta rakyat untuk maslahat awam yang lebih besar (maslahah ‘ammah). Antara contoh kes yang disebut dalam kitab-kitab fiqh adalah seperti berikut:

Kes Zakat

Dalam isu pembahagian zakat melalui Imam (pemerintah), Imam tidak mempunyai hak pada asalnya untuk mengambil harta daripada pemilik individu bagi zakat harta batin. Zakat batin ialah duit, barang dagangan, rikaz (harta karun), zakat fitrah. Ia adalah hak pemilik harta untuk membahagikan kepada asnaf-asnaf yang layak.

Adapun bagi harta zahir, iaitu bintang ternakan, hasil tanaman, buah-buahan dan harta galian, maka harus bagi pemilik untuk membayarnya sendirinya. Namun jika Imam menuntutnya daripada pemilik, wajib ke atas pemilik untuk menyerahkannya kepada Imam itu sebagai ketaatan kepadanya. Ini berdasarkan nas Ilahi, firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Taubah (103)

Sekiranya para pemilik harta itu enggan menyerahkan bahagian yang wajib dizakatkan daripada harta mereka, dan enggan menunaikannya, maka wajib ke atas Imam untuk menyerang dan menghukum mereka, yakni mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili, 2/129-130)

 

Kes pengambilan tanah

Diriwayatkan bahawa pada zaman sahabat, pernah berlaku satu keadaan di mana Masjid al-Haram tidak lagi mampu menampung bilangan jemaah, maka mereka telah mengambil alih tanah di sekeliling dan membayar pampasan kepada pemilik tanah dengan nilai yang setimpal. Begitu juga Saidina Uthman bin ‘Affan RA pernah melakukan hal yang sama untuk meluaskan kawasan Masjid Nabawi di Madinah. Menurut para fuqaha’, nilai pampasan yang diberikan mestilah bertepatan dengan nilai sebenar tanah, dan mestilah ditentukan oleh pakar. (Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 39/45)

Dapat difahami daripada kedua-dua contoh ini, bahawa antara maslahah awam yang wajib dipelihara pada hari ini ialah melawan bahaya rasuah. Terdapat pelbagai cara dan kaedah yang dapat digunakan untuk membanteras rasuah; sebahagiannya dinaskan dalam al-Quran seperti larangan memberikan rasuah kepada hakim, dan sebahagian lain tidak dinaskan tetapi tidak diharamkan dan dapat mentahqiqkan suatu maslahat yang diletakkan di bawah kategori masalih al-mursalah[1].

Maka perbahasan berkenaan pengisytiharan harta ini mestilah dibahaskan menurut kerangka maslahah dan siyasah syar’iyyah yang bersifat luas dan anjal, dan tidak wajar jika ia disempitkan dengan keterikatan yang terlampau ketat terhadap nas al-Quran dan al-Hadith, sedangkan ruang politik merupakan satu ruang yang terbuka luas untuk aplikasi ijtihad oleh pemerintah.

 

Antara pengisytiharan harta dan kebebasan individu

Islam mengiktiraf prinsip kesetaraan (al-musawah), di mana golongan kaya dan miskin, yang berpangkat dan rakyat biasa, kesemuanya tertakluk kepada undang-undang yang sama, dan berhak untuk menikmati hak kebebasan, dan dalam kes ini, untuk mengumpul harta secara halal dan hak kepada privasi serta kerahsiaan.

Namun menurut Syeikh Muhammad Tahir ibn ‘Asyur lagi, terdapatnya satu istilah yang disebut sebagai ‘al-Mawani’ al-Siyasiyyah’ yang membatalkan prinsip kesetaraan ini dalam keadaan-keadaan tertentu, atau terhadap golongan-golongan tertentu. (Rujuk Usul al-Nizam al-Ijtima’ie fi al-Islam, hal. 148)

Syeikh Ibnu ‘Asyur juga menambah bahawa golongan pemimpin (ulul amri) yang bertanggungjawab untuk menguruskan maslahah rakyat merupakan mereka yang paling terbatas kebebasannya. (Rujuk Usul al-Nizam al-Ijtima’ie fi al-Islam, hal. 159)

Oleh kerana itulah, meskipun kewajipan mendeklarasi harta kepada umum boleh dikira sebagai menjejaskan privasi mereka yang terlibat, namun dari sudut yang lain, ia merupakan satu keperluan memandangkan posisi yang mereka pegang berpotensi menjerumuskan mereka ke dalam amalan rasuah. Oleh itu, maslahah umum untuk membanteras rasuah wajar didahulukan berbanding kepentingan para ahli politik dan pemimpin yang terlibat yang bersifat juz’i.

Menurut satu artikel yang disiarkan di laman web Bank Dunia, pengisytiharan harta persendirian oleh kakitangan awam dan ahli keluarga mereka tidak bercanggah dengan dengan hak privasi dan perlindungan data peribadi. Kedua-dua hak tersebut tidak mutlak dan boleh dihadkan sekiranya disokong dengan asas perundangan dan adanya maslahah awam yang menjustifikasi sekatan terhadap kebebasan tersebut, sebagai contoh bagi menghalang berlakunya rasuah.

Selain itu, Mahkamah Hak Asasi Eropah juga menyokong langkah pengisytiharan harta kepada awam memandangkan mereka mempunyai kepentingan dalam memastikan ketelusan amalan politik, selain memberi peluang kepada masyarakat awam mengambil maklum dan memainkan peranan dalam proses politik.[2]

Namun begitu, apa-apa polisi atau undang-undang yang mewajibkan perkara itu mestilah digubal berdasarkan landasan, punca kuasa dan kajian yang munasabah. Ia tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa. Menurut Imam Ibn ‘Asyur, sebarang polisi yang mengehadkan kebebasan (tahdid al-hurriyyah) merupakan satu hal yang amat berat, dan jika tidak dilaksanakan dengan teliti dan betul hanya akan menatijahkan kezaliman. (Rujuk Usul al-Nizam al-Ijtima’ie fi al-Islam, hlm. 167)

Tuntasnya, kami cenderung untuk menyatakan bahawa arahan pengisytiharan harta oleh pemerintah terhadap ahli-ahli Parlimen dan ahli eksekutif kerajaan adalah salah satu contoh wasilah yang tidak dinaskan oleh Syarak, tetapi memiliki kepentingan kepada rakyat yang bersifat maqasid (objektif yang dituntut), yakni memupuk nilai integriti dalam kalangan ahli-ahli parlimen dan mempamerkan imej yang baik kepada rakyat.

Tentang integriti, berkata Syeikh Dr. Mukhtar al-Syanqiti dalam buku al-Khilafat al-Siyasah Baina al-Sahabah, (hlm. 111):

“Adapun amanah itu meliputi karakter-karakter etika yang mengehadkan kuasa hakim, dan yang menghalang dirinya daripada menggunakan pengaruhnya untuk mendapat harta dan kekuasaan, atau mendapatkan kedua-dua itu untuk kaum kerabatnya, atau menggunakan kedua-duanya untuk sebarang tujuan yang keji.”

Polisi yang mewajibkan pengisytiharan harta ini juga merupakan satu polisi yang menjadi amalan biasa di negara-negara yang bebas rasuah dan boleh dianggap sebagai satu ‘uruf siyasi (amalan politik) yang terpuji, dan ia sebenarnya telahpun diamalkan di lebih 150 negara dengan pelbagai bentuk pelaksanaan.

Ini sebenarnya bertepatan dengan satu qaedah maslahah yang ditetapkan oleh Imam ‘Izzuddin ibn Abd al-Salam yang menyatakan bahawa sebahagian besar maslahah duniawi dapat diketahui dan dikecapi melalui eksperimen, adat dan zhan mu’tabar, yang sebahagiannya merupakan polisi-polisi pemerintah yang diperkenalkan bagi mencapai maslahah tertentu. (Rujuk Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 1/10)

Adapun berkenaan kebimbangan yang disuarakan oleh sebahagian pihak bahawa deklarasi harta ini akan memberi ancaman keselamatan terhadap mereka yang terlibat, maka boleh dijawab bahawa amalan ini sebenarnya telahpun dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor sejak beberapa tahun yang lepas oleh pegawai-pegawai tinggi dan ahli Majlis Mesyuarat kedua-dua negeri, dan tiada sebarang bukti bahawa keselamatan mereka terancam akibat deklarasi harta yang dilakukan.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Berdasarkan perbahasan di atas, dapat kami simpulkan bahawa:

  1. Pengisytiharan harta oleh wakil rakyat dan kepimpinan kerajaan adalah diharuskan dan pada prinsipnya ia tidak bertentangan dengan hukum syarak.
  2. Meskipun kewajipan mendeklarasi harta kepada umum boleh dikira sebagai menjejaskan privasi mereka yang terlibat, namun dari sudut yang lain, ia merupakan satu keperluan memandangkan posisi yang mereka pegang berpotensi menjerumuskan mereka ke dalam amalan rasuah. Oleh itu, maslahah umum untuk membanteras rasuah wajar didahulukan berbanding kepentingan para ahli politik dan pemimpin yang terlibat yang bersifat juz’i.
  3. Apa-apa polisi atau undang-undang yang mewajibkan perkara itu mestilah digubal berdasarkan landasan, punca kuasa dan kajian yang munasabah. Ia tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa.
  4. Fokus pengisytiharan harta perlu diberikan kepada pihak yang dilihat berpotensi melakukan salah guna kuasa pada penilaian pihak berkuasa;
  5. Hifz al-Mal sebagai salah satu objektif syara’ itu asasnya adalah untuk memelihara harta ummah seluruhnya di samping turut memelihara harta setiap individu yang terkandung di dalam ummah itu sendiri. Maka, individu yang dilantik untuk menguruskan negara, atau secara khusus parlimen hendaklah mengamalkan konsep transparency agar benar-benar jelas sumber harta yang dimiliki mereka ini tidak ada daripada sumber yang haram.
  6. Setelah ditelusuri sirah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat R.Anhum, kita dapati isu pemilikan harta oleh para pemimpin merupakan satu perkara yang amat dititikberatkan. Meskipun tiada bukti bahawa pemimpin disyaratkan mengisytiharkan harta kepada awam, namun berdasarkan kaedah masalih mursalah, pemerintah berhak menetapkan syarat yang demikian bagi mencapai objektif yang dikehendaki, iaitu mentahqiqkan ketelusan dan membanteras rasuah dalam kalangan ahli parlimen dan pemimpin negara.
  7. Kami juga mencadangkan kepada pihak kerajaan agar menubuhkan satu jawatankuasa kerja dalam memperbaiki mekanisme pengisytiharan harta oleh pemimpin, mengambil tindakan terhadap mereka yang menipu dalam pengisytiharan harta dan mereka yang enggan berbuat demikian.

Tuntasnya, kami menyokong langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan ini, dan kami mendoakan agar usaha membanteras rasuah pada semua peringkat akan membuahkan hasil, seterusnya menatijahkan kewujudan sebuah negara yang diberkati dan dinaungi rahmat dan maghfirah daripada Allah SWT, baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur.

Wallahu a’lam.

Akhukum fillah

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

[1] Syeikh Dr. Abd al-Karim Zaidan membahagikan maslahah ini kepada tiga bahagian:

Pertama: Maslahah Mu’tabarah

Di sana terdapat maslahah yang mu’tabarah (diambil kira) oleh syarak. Dari sudut disyariatkan beberapa hukum-hakam yang dapat menyampaikan ke arahnya, seperti: Menjaga agama, jiwa, akal, maruah, serta harta.

Kerana itu syarak mensyariatkan jihad untuk maslahah memelihara agama, disyariatkan qisas untuk menjaga maslahah nyawa, disyariatkan hukum had ke atas peminum arak demi maslahah menjaga akal fikiran, disyariatkan hukum had terhadap penzina dan juga qazaf demi menjaga kemaslahatan maruah diri, serta disyariatkan hukum had ke atas pencuri bagi maslahah menjaga harta.

Kedua: Maslahah Mulghaah

Selain dari maslahah yang diambil kira oleh syarak ada juga maslahah yang syarak membatalkannya, dari sudut syarak tidak menganggapnya sebagai maslahah yang diambil kira dan menjadikannya maslahah yang marjuhah. Berikut kami sebutkan beberapa perkara sebagai contoh:

  • Maslahah orang perempuan mendapat kadar samarata dengan saudara lelakinya dalam pembahagian mirath(harta pusaka).
  • Maslahah seseorang yang mengamalkan riba dari sudut bertambahnya hartanya hasil pengamalan riba.
  • Maslahah peniaga arak dan pengamal judi hasil dari penjualan arak dan juga menang berjudi.

Ketiga: Maslahah Mursalah

Disamping terdapatnya maslahah yang diambil kira dan maslahah yang tidak diambil kira, ada suatu maslahah yang tidak dinaskan oleh syarak sama ada syarak membatalkannya atau syarak menerimanya. Inilah yang dinamakan sebagai maslahah mursalah di sisi usuliyyun. Ia dianggap sebagai maslahah kerana ia mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan. Manakala ia dinamakan sebagai mursalah kerana ia tidak disebutkan oleh syarak sama ada ia diambil kira ataupun ia dibatalkan (tidak diambil kira).

Syeikh Abdul Fattah bin Muhammad berkata: Ia dinamakan sebagai al-maslahah al-mursalah kerana ia merupakan manfaat yang tidak terdapat dalil yang menyatakan padanya. (Lihat al-I’laam Fi Usul al-Ahkam, Abd al-Fattah bin Muhammad, Hlm. 152)

[2] Rujuk https://www.worldbank.org/en/news/opinion/2016/09/26/asset-declarations-a-threat-to-privacy-or-a-powerful-anti-corruption-tool