Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-229: “KITA MASIH BELUM MENANG” : UNGKAPAN YANG PERLU DICERMATI

 Bayan Linnas SIRI 229

Perkembangan mutakhir kes Covid-19 di Malaysia kembali mencetuskan kebimbangan dalam kalangan banyak pihak. Setelah kita melihat trend penurunan kes pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas, namun di akhir-akhir ini kita dikejutkan semula dengan peningkatan bilangan kes harian secara mendadak. Pada 6 Oktober 2020, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengisytiharkan bahawa negara kita telah mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam statistik harian sejak PKP hingga PKPP ini dilaksanakan iaitu sebanyak 691 kes positif. Tambahan pula dengan kadar keboleh jangkitan yang tinggi di beberapa buah negeri memberikan isyarat bahawa perjuangan negara dalam memutuskan rantaian penularan wabak ini masih belum selesai.

Dalam kesempatan ini juga, marilah sama-sama berdoa agar diberi kesihatan dan kesembuhan kepada YB. Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkfili Mohamad Al-Bakri dan beberapa orang kenamaan lain yang disahkan positif dan ramai juga yang perlu menjalani kuarantin kendiri untuk mengelakkan risiko penularan yang lebih banyak. Ada yang di antara mereka ini sedang mendapatkan rawatan susulan. Begitu juga diucapkan kepada saf kepimpinan negara, barisan hadapan serta seluruh rakyat Malaysia agar dilindungi dan dihindari daripada ancaman wabak ini. Semoga kita semua sentiasa berada dalam peliharaan-Nya.

Berdasarkan perutusan terbaharu oleh YAB Perdana Menteri yang di buat secara langsung melalui facebook live, beliau menyatakan berkaitan pendirian rasmi kerajaan bahawa wabak ini masih dapat dikawal dan beliau yakin akan kesiapsiagaan petugas barisan hadapan dan sistem kesihatan negara kita bagi membendung sebarang kemungkinan yang mendatang. Antara intipati perutusan beliau dalam usaha merencanakan semula pelan pemulihan ekonomi negara adalah kerajaan tidak akan menguatkuasakan semula PKP secara menyeluruh dan hanya memfokuskan kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah sahaja. Sehubungan itu,, sektor-sektor seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain akan tetap beroperasi seperti biasa tertakluk sepenuhnya kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. Beliau juga ada menitipkan nasihat yang mengambarkan nasihat seorang abah kepada anaknya yang berbunyi, “Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan”. Nasihat yang perlu dilihat dari sudut positif betapa serius dan perlunya untuk bersama-sama menjaga SOP yang ditetapkan.

Merujuk kepada situasi semasa, meskipun segala usaha telah dilaksanakan dan kerjasama yang diberikan sebelum ini adalah sangat baik, namun ia masih lagi belum menunjukkan keadaan yang benar-benar stabil. Kita biasa membuat ungkapan ‘Kita Masih Belum Menang’ dalam situasi begini. Ungkapan ini adalah satu refleksi kepada situasi kita yang masih belum berjaya memutuskan rantaian Covid-19. Dalam syariat Islam, usaha untuk mencegah daripada kemudaratan wabak merupakan suatu tuntutan ke atas setiap individu. Islam melarang manusia daripada bersikap lepas tangan, berdiam diri serta membiarkan diri terjerumus dalam kebinasaan.

Firman Allah Taala:

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) (Surah Al-Baqarah : 195)

Nabi ﷺ bersabda:

Diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :-

لاَ ضَرَرَ وَ لاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain.

 (Hadith riwayat Ibn Majah : 2340)

Pada masa yang sama, prinsip serta kaedah syarak juga telah menyediakan garis panduan kepada umat Islam untuk memastikan sebarang unsur mudarat dan kerosakan terutamanya melalui wabak itu dapat dilenyapkan. Antaranya :

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: Kemudaratan itu mestilah dihilangkan.

Kaedah tersebut kemudiannya diperincikan lagi dengan kaedah cabang di bawahnya:

الضَّرَرُ لاَ يُزَالُ بِالضَّرَرِ

Maksudnya: “Kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain.”

Ia memberi maksud bahawa setiap ancaman daripada musibah yang berlaku mestilah ditangani secara bersama. Dalam musim wabak yang melanda negara ini, sikap pentingkan diri sendiri dengan tidak mematuhi SOP seperti tidak menjalani kuarantin, tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga kebersihan diri, bersalaman dan sebagainya berisiko menjadi punca kepada penyebaran wabak.

 “Kita Masih Belum Menang” ungkapan ini tepat dari sudut ianya merujuk kepada usaha manusia dalam menangani wabak ini dan kelihatan dalam usaha ini kita masih belum mampu menanganinya ke peringkat sifar, maka kita istilah kita masih belum menang. Usaha yang dilakukan ini adalah selaras apa yang diperintahkan oleh ajaran Islam. Islam melarang manusia dari tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menangani sesuatu musibah, bahkan segala usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak adalah diberi ganjaran pahala oleh Allah Taala.

Walau bagaimanapun, ungkapan “kita masih belum menang” akan tersasar jika ia terputus dari perspektif akidah yang meletak setiap musibah adalah dari Allah Taala dan hanya Allah Taala  jua yang akan menghilangkannya. Oleh itu ungkapan ini perlu diletakkan dalam kerangka yang tepat agar ia selaras dengan akidah Islam.

Firman Allah Taala:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya : Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-An’am : 17)

Ayat di atas ini memberikan maksud bahawa segala musibah yang berlaku ini hanya Allah Taala sahaja yang berkuasa untuk menghilangkannya sama ada menguji hamba-hambaNya dengan lebih lama atau menghilangkannya dalam sekelip mata tanpa perlu kepada usaha manusia.

Pada masa yang sama, usaha juga diperintahkan oleh Allah Taala sebagaimana ditunjukkan dalam hadith-hadith  Rasulullah ﷺ berhubung keperluan ketika berdepan dengan ancaman penyakit Taun dan seumpamanya.

Antaranya Baginda ﷺ bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الطَّاعُونَ بِأَرْضٍ، فَلا تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأرْضٍ، وأنْتُمْ فِيهَا، فَلا تَخْرُجُوا مِنْهَا

Maksudnya: Apabila kamu mendengar berita mengenai penyakit Taun di sesebuah tempat, maka janganlah kamu memasukinya, dan sekiranya kamu berada di tempat yang berlakunya Taun, maka janganlah pula kamu keluar daripadanya”.

(Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

 

Sehubungan itu, kefahaman yang betul akan menatijahkan tindakan dan usaha yang menggabungkan usaha bersifat fizikal seperti penyediaan kelengkapan perubatan, pemberian bantuan, penguatkuasaan SOP dan sebagainya dengan usaha yang bersifat rohani yang dapat diterjemahkan dalam bentuk pematuhan syariat dan memperbanyakkan doa serta munajat kepada Allah Taala.

Oleh itu ungkapan ‘kita masih belum menang’ adalah ungkapan yang mempunyai makna yang perlu dicermati dan difahami dalam konteks akidah yang sahih yang akan menatijahkan tindakan dan usaha yang betul. Semoga negara kita bebas daripada wabak ini.  

 

DR. LUQMAN HAJI ABDULLAH

Mufti Wilayah Persekutuan