Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE 231 : INTEGRITI TONGGAK KECEMERLANGAN TADBIR URUS ORGANISASI

BL 231

Mukadimah

Dalam melakukan apa sahaja pekerjaan, selain kelayakan dan kemahiran ada satu lagi perkara yang perlu diterapkan dalam setiap orang khususnya Muslim iaitu sifat Integriti. Ketiadaan sifat integriti dan amanah bukan sahaja boleh mencalarkan peribadi bahkan juga akan memburukkkan dan merosakkan prestasi dan nama baik sesebuah organisasi.

Dalam Bayan Linnas kali ini, kami cuba mengulas isu Integriti Tonggak Kecemerlangan Tadbir Urus Organisasi bersempena Bulan Integriti yang sedang berlangsung. Semoga penulisan ini dapat menyedarkan kita peri pentingnya sikap integriti dalam setiap pekerjaan khususnya dalam organisasi. Semoga ianya juga dapat memberikan sedikit kefahaman untuk diterapkan dalam kerjaya yang sedang diceburi.

Hubungan Integriti Dengan Kecemerlangan Tadbir Urus Organisasi

Integriti merupakan elemen yang perlu diberikan perhatian oleh setiap individu (pekerja) yang berada di bawah sesuatu organisasi. Penghayatan terhadap elemen ini amat penting kerana ia mampu memberikan kesejahteraan kepada kakitangan sesuatu organisasi. Seseorang kakitangan yang berintegriti akan mempunyai tingkah laku yang baik dan tidak mudah terpengaruh dengan tingkah laku yang negatif seperti culas, mencuri, suka ponteng kerja, rehat lebih waktu dan lain-lain. Perkara ini akan memberi impak positif bukan sahaja kepada individu bahkan organisasi yang disertainya.

Secara asasnya, [1]integriti terbahagi kepada dua iaitu:[Pertama]: individu (pekerja) dan [Kedua]: organisasi. Walaupun demikian, umumnya integriti sering dikaitkan dengan sikap kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu berpandukan kepada prinsip kejujuran dan juga amalan moral yang tinggi. Jika dilihat dari sudut individu, integriti ialah tindakan yang selaras dengan prinsip moral, etika dan undang-undang. Selain itu, ia juga selaras dengan kepentingan diri individu dan kepentingan umum. Berbeza dengan organisasi yang mana dilihat dari aspek perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem, proses kerja dan pematuhan terhadap amalan yang terbaik. Mudahnya, integriti sama ada di peringkat individu mahupun organisasi adalah code of behaviour yang membantu kelancaran tadbir urus sesuatu organisasi.

Agama Islam juga menekankan soal integriti dalam kehidupan manusia. Nilai-nilai integriti terbentuk melalui nilai-nilai amanah, jujur dan kebolehpercayaan dalam memelihara kepentingan awam tanpa mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.[2] Seseorang yang menjalankan amanah yang ditaklifkan ke atasnya dengan baik boleh dianggap sebagai seorang yang penuh berintegriti dan ia mampu mendatangkan kecemerlangan terhadap tadbir urus sesuatu organisasi.

Selain itu, integriti juga boleh dikaitkan dengan keikhlasan. Apabila seseorang individu mempunyai keikhlasan dalam menunaikan amanahnya maka ia dapat menghindari dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan boleh menjejaskan kualiti perjalanan organisasi yang disertainya.[3] Hal ini kerana, pekerjaan jika dilakukan dengan niat yang baik, jujur, amanah dan ikhlas juga dianggap sebagai salah satu daripada ibadah.[4]

Kemudian, konsep integriti juga dapat dipupuk secara bersama nilai-nilai Qana’ah dalam kalangan individu yang menjadi tunjang utama dalam menjayakan sesuatu tadbir urus sesebuah organisasi. Setiap individu yang menghayati nilai-nilai ini akan terus konsisten untuk sentiasa berpegang dengan nilai-nilai integriti ketika melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada mereka. Maka, secara tidak langsung dapat mengukuhkan gerak kerja sesuatu organisasi dan menjauhkan daripada anasir-anasir berbentuk negatif yang boleh mengganggu gugat prestasi pentadbiran sesebuah organisasi.

Sekiranya, perbuatan tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab dalam kalangan individu yang bekerja masih lagi tidak dibendung maka kualiti individu juga organisasi akan terjejas. Bahkan, akan membawa kepada kegagalan tadbir urus dalam sesebuah organisasi. Oleh itu, konsep integriti ini perlu diamalkan dan diterapkan dalam kalangan individu sesebuah organisasi. Hal ini kerana, memahaminya secara teori tidak memadai bagi meningkatkan nilai-nilai murni dalam diri setiap individu, jika teori integriti tersebut tidak diberikan pendedahan, dipraktikkan dan dimanfaatkan ke dalam realiti semasa.

Di dalam Islam, konsep intergriti ini boleh diungkapkan juga dengan sifat amanah dan itqan (bersungguh-sungguh). Di dalam al-Quran, Allah SWT menyifatkan antara sifat-sifat orang yang beriman ialah mereka menjalankan amanah dan menjaga janji mereka. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.

(Surah al-Mu’minun: 8)

Disamping itu, Rasulullah SAW juga sangat menekankan sifat amanah dan itqan dalam bekerja. Kedua-dua sifat tersebut ialah sifat yang disukai dan dicintai oleh Allah SWT. Dalam satu hadith, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu pekerjaan, dia melakukan dengan itqan (bersungguh-sungguh).

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897)

Sifat amanah dan bersungguh-sungguh dalam berkerja ini turut berkait-rapat dengan prestasi dan kecemerlangan tadbir-urus sesebuah organisasi. Apabila nilai-nilai ini diterapkan dan ditanamkan dalam jiwa para pekerja, sudah tentu sesebuah organisasi itu mampu untuk menghasilkan perkhidmatan yang efisyen dan produk yang berkualiti, serta mengoptimumkan daya saing mereka dalam apa jua industri.

Sebagai contoh, jika para pekerja mempunyai nilai integriti yang tinggi dalam diri mereka, pasti mereka akan melaksanakan sesuatu kerja yang diberikan kepada mereka dengan sebaik mungkin. Mereka juga tidak membuang masa dan mencuri tulang dalam waktu bekerja, bahkan mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja yang dilakukan dan bersungguh-sungguh menyempurnakannya. Hal ini sudah tentu akan memberikan sumbangan yang signifikan kepada kecemerlangan organisasi.

Sebaliknya, sifat-sifat negatif seperti khianat, tidak amanah, memberi atau menerima rasuah, suka membuang masa, mencuri tulang dan seumpamanya pula akan memberi kesan dan menjejaskan kredibiliti sesebuah organisasi. Ini kerana apabila sesebuah organisasi yang dipalit dengan masalah intergriti seperti ini, sudah tentu tidak mendapat kepercayaan dan hormat daripada masyarakat. Sifat-sifat ini dicirikan Rasulullah SAW sebagai sifat golongan munafiq, dimana Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ المُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Maksudnya: Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.

Riwayat al-Bukhari (33), Muslim (59)

Cabaran Dalam Mengamalkan Budaya Integriti

Cabaran dalam merealisasikan pematuhan integriti dalam pekerjaan ialah bepunca daripada sikap individu atau orarganisasi yang tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas sehingga menyebabkan pelbagai perkara yang menjejaskan integriti pekerja dan sektor pekerjaan itu sendiri. Antara cabaran membudayakan amalan integriti antaranya ialah:

Pertama  :  Rasuah

Berdasarkan laporan berita yang menyatakan musuh nombor satu negara adalah gejala rasuah dengan melihat kepada statistik SPRM daripada tahun 2014 sehingga Jun 2018, seramai 4,860 orang telah ditangkap kerana rasuah dan 2,594 atau 53.4 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda. Amalan rasuah boleh meruntuhkan integriti sistem pentadbiran sesebuah negara.

Justeru, usaha dalam membanteras rasuah “duit kopi” adalah dengan mendidik kesedaran tentang kesan buruk kepada pelaku dan penerima rasuah. Kita perlu tanamkan perasaan takut terhadap amalan mazmumah yang jelas akan menerima balasan (akibat) yang buruk. Amalan rasuah termasuk dalam dosa besar kerana ancaman laknat. Sebuah hadis, Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan :

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”

Riwayat Abu Daud (3580), al-Tirmizi (1337) dan Ibn Majah (2313)

Pelaku rasuah berhak dilaknat jika mendapatkan sesuatu yang bukan haknya selain bertujuan menyakiti Muslim yang lain. [Lihat al-Kaba’ir :132].

Sikap mazmumah tersebut dalam kalangan penjawat perkhidmatan kerajaan mahupun swasta telah mengekang untuk merealisasikan integriti dalam tadbir urus yang unggul.

Kedua  :  Birokrasi

Proses atau urusan kerja, terutamanya yang melibatkan pihak kerajaan atau agensi kerajaan kadangkala mengambil masa yang sangat lama kerana terpaksa melalui berbagai-bagai peraturan, peringkat-peringkat kelulusan dan sebagainya sebelum sesuatu permohonan atau perkara dapat diluluskan atau dilaksanakan. Sistem penyampaian yang berkesan boleh dihasilkan jika adanya kerjasama daripada peringkat atasan hingga ke peringkat pelaksana. Kita juga sedar bahawa pengurusan birokrasi yang bermasalah akan memberi tekanan dan mengganggu produktiviti pelaksanaan kerja kepada para pekerja dan akan menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pelanggan.

Ketiga  :  Tekanan Dan Beban Tanggungjawab Yang Besar

Realiti kehidupan pada zaman yang serba moden dan penuh dengan persaingan di tempat kerja menyebabkan ramai pekerja mengalami tekanan. Mendepani dunia yang cukup mencabar hari ini, kebanyakan penjawat awam yang tinggal di bandar menghadapi cabaran dalam menguruskan kehidupan mereka seharian dek kekangan kewangan dan perbelanjaan hidup yang tinggi di Kota Metropolitan. Mereka kadang-kadang terpaksa melakukan dua tiga kerja dan membuat kerja sampingan demi menampung kehidupan seharian dan menjamin kehidupan yang lebih selesa.

Perkara ini amat merisaukan jika mereka bertindak mengambil jalan mudah seperti terlibat dalam rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya untuk keluar daripada tekanan dan beban yang mereka hadapi.

Keempat   :    Tidak Tekun Dan Sambil Lewa Dalam Melaksanakan Tugas

Dapat dilihat kini, terdapat segelintir pekerja yang melaksanakan tugas yang diamanahkan secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh. Sekiranya sikap ini kekal berterusan, ia akan menjejaskan prestasi pekerja kerana tugas yang dilaksanakan tidak berkualiti atau tidak mencapai tahap yang memuaskan.

Setiap pekerja perlulah menjalankan tugas yang diberikan dengan tekun, amanah dan bertanggungjawab. Hal ini demikian kerana sifat- sifat mahmudah ini ialah sifat para Nabi dan Rasul yang perlu dicontohi oleh setiap umat Islam. Bertepatan dengan firman Allah SWT ketika memuji Nabi Ibrahim AS:

وَإِبْرَاهِيمَ الَّذِي وَفَّىٰ

Maksudnya: Dan juga (dalam Kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)?

Surah al-Najm (37)

Solusi Untuk Merealisasikan Integriti

Menurut Glosari Integriti, Integriti merujuk perihal sifat individu dan organisasi yang sempurna berteraskan nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, bertanggungjawab, telus, cekap dan amanah dan bijaksana (Rujuk Institut Integriti Malaysia). Justeru, integriti mempunyai kaitan erat dengan etika yang perlu kepada penerapan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam mahupun swasta. Nilai-nilai tersebut dapat dicapai dalam apa jua bidang pekerjaan sekiranya individu mempunyai keimananan dan ketaqwaan dalam diri masing-masing ketika melaksanakan tugasan. Sifat taqwa dapat memelihara diri daripada melakukan sebarang dosa kerana keyakinan terhadap akhirat, perkara aib, dosa, pahala dan hari pembalasan. Allah SWT berfirman:

الم ﴿١﴾ ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ 

Maksudnya: Alif, lam, mim (1) Kitab (al-Quran) ini, tidak ada sebarang keraguan ( syak) padanya., ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang hendak bertaqwa (2) Iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan solat dan serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka. (3)

Surah al-Baqarah (1-3)

Pekerjaan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan hidup, bahkan ia merupakan wasilah bagi tujuan hidup dalam mencari keberkatan dalam rezeki yang halal. Pekerja yang meraih keberkatan akan mempunyai kecukupan tanpa perlu kepada gejala rasuah dalam melaksanakan kerja. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ 

Maksudnya: “Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami) lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan.”

Selain itu, Allah SWT menjanjikan kemudahan serta rezeki yang tidak disangka-sangka bagi mereka yang mencari jalan taqwa sebagaimana firmanNya:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya”.

Surah al-Thalaq (2-3)

Cabaran integriti tidak terfokus kepada isu rasuah sahaja, malah ia turut merujuk kepada amalan kerja yang tidak amanah terhadap ketepatan waktu, penyampaian maklumat serta tingkah laku ketika berkerjasama dengan ketua jabatan, rakan sekerja, kakaitangan dan masyarakat.

Sehubungan itu, umat Islam yang bekerja perlu meletakkan niat semata-mata kerana Allah SWT dalam melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggujawabkan. Implikasinya, mereka yang memperbaharui niat akan mempunyai kesedaran dan berjaga dengan hukum hakam Allah SWT. Bahkan niat seseorang dapat membezakan antara amalan ibadah dan adat. Niat seseorang penting bagi menilai setiap perbuatannya serta menentukan tujuan amalan. Daripada Umar bin al-Khattab RA, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat. Setiap orang akan dibalas berdasarkan niatnya.

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Pengajaran daripada hadis tersebut ialah niat yang baik serta ikhlas semata-mata kerana Allah SWT akan mendapatkan pahala ke atas apa yang diniatkan [Lihat: al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah (14)].

Niat bekerja semata-mata kerana Allah merupakan satu ibadah selain dapat menyara keluarga dengan rezeki yang halal dan memenuhi keperluan orang lain dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan negara.

Oleh yang demikian, usaha memperkukuhkan integriti dalam tadbir urus yang terbaik memerlukan kepada penerapan nilai-nilai Islam daripada semua pihak dalam perkhidmatan awam iaitu pegawai, kakitangan dan organisasi itu sendiri dengan mengikuti segala peraturan serta amalan-amalan murni. Justeru, jadilah pekerja yang bertaqwa dalam apa jua bidang yang secara langsung ia boleh meningkatkan integriti. Semoga kita dapat meraih keberkatan dalam mencari rezeki.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang panjang lebar yang telah kami huraikan, maka dapatkan kita simpulkan bahawa sikap integriti adalah satu sikap yang amat penting untuk diterapkan dalam diri setiap individu. Ketiadaan sifat ini bukan sahaja boleh mencalarkan imej peribadi atau keluarga bahkan lebih daripada itu akan memburukkan dan membantutkan lagi kemajuan sesebuah organisasi. Sebagai seorang Muslim, integriti didasari dengan ikatan dosa dan pahala. Amanah dan tugas yang diberikan perlulah disempurnakan sebaik mungkin dan perlu menjauhkan diri daripada apa sahaja perbuatan dan perlakuan yang bercanggah dengan tuntutan agama. Semoga setiap perkerjaan yang kita dilakukan didasari dengan sifat taqwa dan beriman kepada Allah ﷻ. Wallahu’alam.


Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

 

 Nota Hujung :

[1] Megat Ayop Megat Arifin dan Abd. Halim Ahmad, “Kepentingan budaya integriti dan etika kerja dalam organisasi di Malaysia: Satu tinjauan umum,” Malaysian Journal of Society and Space 12, no. 9, 144.

[2] Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam, Cet. 1 (Malaysia: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 1991), 55.

[3] Mohd Farhan Md Ariffin, “Analisis Hadith Mengenai Haiwan Fasiq dalam al-Kutub al-Sittah: Kajian Terhadap Persepsi Masyarakat Melayu di Daerah Pengkalan Hulu, Perak”, (disertasi kesarjanaan, Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2015), 119.

[4] Shafie Mohd Salleh, Kecemerlangan Pentadbiran Dasar dan Amalan Dalam Islam (Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara, 1991), 134.