Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-242: PERANAN JIRAN TETANGGA PADA MUSIM PANDEMIK

jiran.png

MUKADIMAH

Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk. Resam hidup berjiran maka besar tanggungjawab yang perlu digalas bersama. Hubungan yang erat di antara jiran akan membina satu tembok yang kukuh kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kehidupan berjiran yang serumpun bak serai, sesusun bak sirih bertepatan dengan konsep hidup berjiran yang dibawa oleh Islam. Islam telah menggariskan panduan dalam kehidupan berjiran. Hubungan silaturrahim yang terbina tanpa mengira pegangan agama atau bangsa wajib dijaga agar keharmonian sejagat dapat dibina. Tuntutan agar menjaga silaturrahim sesama jiran dijelaskan di dalam firman Allah SWT:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki”.

Surah an-Nisa’ (4:36)

PANDEMIK COVID-19

Sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada Mac 2020, kegusaran dalam kalangan masyarakat semakin meruncing bila memikirkan soal kerja, gaji, wang dan kelangsungan hidup. Pelaksanaan PKP telah memberikan impak yang besar kepada kelangsungan hidup kerana pergerakan yang terhad bagi membendung penularan virus Covid-19. Sumber pendapatan yang terputus menyukarkan lagi masyarkat untuk terus bertahan dengan ujian yang datang.

Impak yang paling besar melibatkan ramai rakyat yang hilang pekerjaan sepanjang PKP dilaksanakan[1]. Rentetan daripada situasi ini, kita dapat melihat berlakunya peningkatan kepada laporan kes bunuh diri semasa PKP[2]. Antara faktor utama adalah disebabkan bebanan hutang yang perlu ditanggung di samping bebanan menguruskan keluarga di musim pandemik. Perihal membunuh diri harus di ambil kesedaran bersama kerana perkara ini melibatkan nyawa yang melayang secara sia-sia. Dalam pada itu, kita juga melihat banyak kisah keluarga yang terpaksa mengikat perut kerana kehabisan stok makanan. Tidak lupa juga kisah keluarga yang hilang tempat berteduh kerana tidak mampu membayar sewa rumah dan sebagainya[3].

Dalam kita menghadapi pandemik Covid-19, konsep hidup berjiran adalah satu konsep penting yang perlu dihayati bersama. Ajaran Islam sangat mengambil berat terhadap sikap tolong menolong antara satu sama lain. Tuntutan ini dapat kita penuhi apabila kita memahami konsep hidup berjiran. Menghayati firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوْا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوٰىۖ وَلَا تَعَاوَنُوْا عَلَى الْاِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۖوَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya siksaan Allah amat berat.

Surah al-Maidah (5:2)

PERANAN JIRAN SEMASA PANDEMIK

Kewajipan menjaga silaturahim sesama jiran tidak hanya kepada orang Islam. Bahkan ia meliputi semua agama dan bangsa. Kehidupan berjiran dalam masyarakat majmuk merupakan satu anugerah kepada kita. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Surah al-Hujurat (49:13)

Selain itu, terdapat banyak saranan daripada Rasulullah SAW untuk setiap umatnya melakukan kebaikan kepada jiran sekeliling. Antaranya, Abi Syuraih al-Khuzaʻi meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah berbuat kebaikan kepada jirannya.

Riwayat Muslim (48)

Jiran merangkumi kepada semua orang yang tinggal sekeliling dengan kita, tidak kira Islam atau bukan Islam, orang yang taat beribadah atau orang fasiq, sahabat atau musuh, warganegara atau bukan warganegara, saudara atau bukan saudara dan yang paling dekat atau jauh. Bahkan, Imam al-Bayhaqi menyebutkan satu riwayat dalam karyanya al-Sunan al-Kubra di mana isteri Nabi SAW iaitu Aisyah RA meriwayatkan bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ مَا حَدُّ الْجِوَارِ؟ قَالَ: أَرْبَعُونَ دَارًا

Maksudnya: Wahai Rasulullah berapakah had kejiranan? Baginda menjawab: empat puluh buah rumah.

Riwayat al-Bayhaqi (12611)

Sebagai jiran yang baik kita seharusnya mengenali siapa yang tinggal dikiri, kanan, belakang, hadapan dan juga rumah sekitar dengan rumah kita. Melalui kaedah ini kita akan lebih peka dengan masalah dan situasi yang dihadapi tetangga kita. Kesusahan yang ditanggung oleh tetangga hendaklah dibantu semampu mungkin seumpama cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Pertolongan yang kita berikan akan memberikan seribu rahmat kepada mereka yang berada dalam kesusahan.

Dalam pada itu, agihan bantuan juga boleh disalurkan melalui rukun tetangga. Muafakat bersama melalui rukun tetangga mampu untuk mengurangkan kadar kesusahan yang dihadapi tetangga dengan bantuan bersama. Bantuan dan pertolongan tidak tertumpu kepada wang ringgit semata-mata tetapi boleh juga diberikan dalam bentuk yang pelbagai seperti menyediakan makanan asasi seharian, membantu jiran dengan memohon sumbangan bagi pihak mereka, berkongsi makanan dan seumpamanya.

Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda:

يَا أَبَا ذَرٍّ إِذَا طَبَخْتَ مَرَقَةً، فَأَكْثِرْ مَاءَهَا، وَتَعَاهَدْ جِيرَانَكَ

Maksudnya: Wahai Abu Zar, apabila engkau memasak makanan berkuah maka lebihkan kuahnya dan perhatikanlah tetangga engkau.

Riwayat Muslim (2625)

Hadis di atas merupakan anjuran kepada setiap orang Islam untuk sentiasa mengambil cakna dan perhatian terhadap jiran tetangga masing-masing. Perintah Nabi SAW untuk melebihkan kuah pada masakan tersebut adalah untuk dikongsi dan diberikan kepada jiran tetangga yang memerlukan. (Rujuk Syarah Sunan Ibn Majah li al-Suyuti wa Ghayrih, 1/241)[4]

Antara bentuk perhatian terhadap jiran tetangga yang boleh dilakukan adalah berkongsi kebaikan bersama mereka meskipun perkara tersebut bersifat sederhana. Contohnya, memberi makanan seperti sup dan seumpamanya sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis.

Walaupun perbuatan itu tampak kecil namun ia dapat memberikan kegembiraan kepada jiran tetangga yang menerimanya. Lebih-lebih lagi kepada jiran tetangga yang berada dalam kesusahan akibat suasana pandemik saat ini. Hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW:

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِي الدُّنْيَا الْجَارُ الصَّالِحُ

Maksudnya: Antara kegembiraan seseorang muslim atas dunia adalah mempunyai jiran yang baik.

Riwayat al-Hakim (7306)

Selain itu, Ibn Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.” 

Riwayat al-Bukhari (6015)

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadi ‘Iyadh bahawa makna hadis ini adalah sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Setiap perkara ini menunjukkan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadis Nabi SAW. (Rujuk al-Minhaj ‘ala Syarh Sahih Muslim, 18/2)

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Maksudnya: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu”.

[Riwayat Muslim (995)]

Imam al-Nawawi RA berkata bahawa memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdal (lebih baik) berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim walaupun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Nabi SAW memerintahkan kepada Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya maka beliau memberikannya kepada Ubaiy bin Ka’ab dan Hassan bin Thabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7. [Rujuk al-Minhaj, 86/7]

KESIMPULAN

Kesimpulannya, ayuh kita bersama mengambil tanggungjawab dalam menjaga komuniti kita bersama. Setiap bantuan yang diberikan memberikan 1000 makna kepada mereka yang memerlukan. Manfaatkanlah kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita dengan membantu meringankan bebanan yang dihadapi oleh jiran tetangga kita. Setiap perbuatan yang baik akan dibalas oleh Allah SWT di akhirat kelak. Setiap rezeki yang Allah kurniakan gunakanlah ia pada jalan-jalan kebaikan. Mudah-mudahan Allah SWT segera mengangkat wabak ini daripada negara kita.

[1] https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-hampir-100000-hilang-kerja-sejak-januari-timbalan-menteri-271403

[2] https://www.malaysiakini.com/news/575728

[3] https://www.sinarharian.com.my/article/121628/EDISI/Kelantan/Bangsal-jadi-tempat-berteduh-empat-sekeluarga

[4] إِذا عملت مرقة فَأكْثر مَاءَهُ لتعطى وتقسم على الْمَسَاكِين وَالْجِيرَان