Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-253: TREND KIPAS JADI MAKMUM SOLAT DAN LARANGAN MEMPERSENDA AGAMA

 

 

Screenshot 2022 06 01 at 11.35.42 AM

 

 

Mukadimah

Baru-baru ini timbul isu di aplikasi media sosial berkenaan anak-anak muda kita yang viral bersolat bersama ‘pasangan mereka’ iaitu kipas. Kipas itu dipakaikan telekung atau pakaian solat lelaki bagi menunjukkan kipas tersebut adalah makmum atau imam mereka kononnya adalah pasangan hidup mereka.

Perkara ini sangat ditegah dalam Islam kerana dilihat sebagai mempermain mempersendakan urusan ibadah yang suci dan membuat gurauan tidak beradab demi tontonan di media sosial.[1] Secara asasnya, menghormati syiar-syiar agama seperti ibadah solat, puasa dan haji adalah diwajibkan kepada semua umat Islam. Allah SWT berfirman:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”.

Surah al-Hajj (32)

Menurut Imam al-Maturidi, berdasarkan kenyataan di atas dapat dilihat bahawa mereka yang beriman dan bertakwa pasti akan menghormati sesuatu syiar agama dengan ibadah yang dianjurkan oleh agama. Berbanding mereka yang bersikap sebaliknya yang mana ia menandakan kekurangan diri dari sudut iman dan takwa.[2]

[Lihat Takwilat Ahlus Sunnah: 7/414]

 

Larangan Mempersendakan Ibadah dan Agama

Umat Islam dilarang daripada menjadikan agama sebagai bahan gurauan dan jenaka, apatah lagi ia dibuat demi meraih tontonan dan mengikuti trend terkini. Ini dapat difahami menerusi firman Allah SWT:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ

Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji).”

Surah al-An’am (70)

Syeikh Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan perbuatan mempersendakan agama adalah dilarang dalam mana-mana syariat pun sebelum ini. Orang yang suka mempersendakan agama tidak lain tidak bukan adalah orang yang hatinya cintakan keduniaan dan tidak mengetahui apa lagi habuan selain keduniaan. Ia menjadi lebih parah apabila perbuatan ini menjerumuskan pelaku ke dalam lembah kekafiran dek kerana terhalang daripada melakukan kebaikan yang lain.[3]

[Lihat Tafsir al-Munir: 7/251]

 

Perbuatan Mengejek Dan Bersenda-Senda Dalam Ibadat Adalah Sikap Orang Munafik. 

Agama Islam juga turut melarang umatnya dari melakukan perbuatan bergurau senda dalam sesuatu ibadat kerana ia termasuk dalam sebahagian mempersendakan ayat Allah SWT seperti mana dalam firmannya: 

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ ‎

Maksudnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

(Surah al-Ankabut: 65)

Merujuk kepada ayat di atas, Imam al-Tabari membuktikan bahawa  golongan munafik adalah sebahagian dari golongan yang sering mengejek dan bermain-main dengan ayat-ayat Allah.[4] Oleh itu, perlulah berhati-hati dalam setiap tingkah laku seharian kita lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan agama supaya tidak tergolong dalam golongan yang munafik.

 

Solat Adalah Benteng Kepada Kemungkaran

Sesungguhnya kalimah solat kerap kali disebut di dalam al-Quran dan hadis yang melambangkan ia adalah sebuah ibadat yang agung lagi mulia sehingga dianggap ibadat ini sebagai tiang di dalam agama Islam. Tambahan lagi, ibadat ini juga merupakan salah satu benteng bagi umat Islam daripada terjerumus ke dalam kemungkaran seiring dengan firman Allah SWT: 

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”.

(Surah al-Ankabut: 45)

Oleh itu, sudah jelas lagi nyata bahawa fungsi solat itu merangkumi dua perkara iaitu mencegah perkara yang keji dan mungkar terutama sekali sesiapa yang sentiasa mengerjakan ibadat ini dengan berterusan.[5] Ibn Kathir di dalam tafsirnya turut mendatangkan riwayat Ibn Abbas RA menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengerjakan solatnya dengan baik serta tidak mencegah dari kemungkaran, maka solatnya itu sesekali tidak bertambah di sisi Allah melainkan ia semakin menjauh.[6]

Justeru, seharusnya solat itu menjadi pelindung kepada seseorang dari terjebak dalam pekara-perkara yang dilarang seperti perbuatan mempersenda-sendakan ibadat kerana ia melambangkan suatu penghinaan terhadap ibadat ini.

 

Kesimpulan

Justeru, marilah bersama-sama kita muhasabah diri dan merenungi setiap perbuatan yang telah dilakukan. Seorang Muslim yang sejati adalah orang yang menjadikan al-Quran sebagai imam dan Rasulullah SAW sebagai pedoman, dan bukannya menjadikan kipas dan yang lain-lain sebagai imam atau makmum. Pesanan untuk anak muda sekalian, hiasilah diri kalian dengan ucapan dan perbuatan yang baik agar menjadi contoh tauladan untuk masyarakat dan generasi yang akan datang. Wallahua’lam.

 

[1] Bernama, Trend 'kipas jadi makmum' solat, orang ramai diminta buat laporan - Idris Ahmad, Astro Awani, 28 Mei 2022,

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/trend-kipas-jadi-makmum-solat-orang-ramai-diminta-buat-laporan-idris-ahmad-363597

[2] Abu Mansur al-Maturidi, Pentahqiq Muhammad Baisalum, Tafsir al-Maturidi (Takwilat Ahlus Sunnah), (Beirut:2005), Cetakan Darul Kutub Ilmiah,

ومن يعظم شعائر اللَّه بالجوارح، فذلك التعظيم من تقوى القلوب، وهكذا الأمر الظاهر في الناس: أنه إذا كان في القلب شيء من تقوى أو خير، ظهر ذلك في الجوارح، وكذلك الشر أيضًا إذا كان في القلب ظهر في الجوارح

[3] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (Beirut:1991), Cetakan Darul Fikri,

الاستهزاء في الدين ليس مسوّغا في أي شرع أو ملة، والمستهزئون ما هم إلا لاعبون لاهون غرتهم الحياة الدنيا أي لم يعلموا إلا ظاهرا من الحياة الدنيا، وإن تأصل الكفر فيهم أفسد عليهم فطرتهم، فحجب عنهم كل خير

[4] Al-Tabari, Muhammad bin Jarir bin Yazid. (2000). Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran. Tahkik: Ahmad Muhammad Syakir. Cetakan 1, Muassasah al-Risalah. Jilid 14 hlm 332. Teks Asal: 

ولئن سألت، يا محمد، هؤلاء المنافقين عما قالوا من الباطل والكذب، ليقولن لك: إنما قلنا ذلك لعبًا

[5] Ibn Kathir, Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir. 1420H/1990M. Tafsir al-Qur’an al-‘Azim. Tahqiq: Sami bin Muhammad Salamah. Cetakan 2. Dar al-Tayyibah. Jilid 6 hlm 280. Teks asal:

أَنَّ الصَّلَاةَ تَشْتَمِلُ عَلَى شَيْئَيْنِ: عَلَى تَرْكِ الْفَوَاحِشِ وَالْمُنْكَرَاتِ، أَيْ: إِنَّ مُوَاظَبَتَهَا تَحْمِلُ عَلَى تَرْكِ ذَلِكَ

[6] Ibid. j6 hlm:281. Teks Asal:

فَمَنْ لَمْ تَأْمُرْهُ صَلَاتُهُ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَهُ عَنِ الْمُنْكَرِ، لَمْ يَزْدَدْ بِصَلَاتِهِ مِنَ اللَّهِ إِلَّا بُعْدًا