Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-260: ETIKA DAN ADAB PILIHAN RAYA

Screenshot 2022 11 15 at 3.00.47 PM min

Mukadimah

Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan mempraktikkan sistem pilihan raya dalam memilih pemimpin kebiasaannya dilaksanakan pada setiap lima tahun sekali. Pada kali ini, tarikh PRU-15 jatuh pada 19 November 2022 seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Dengan tarikh yang semakin hampir bahang pilihanraya dalam kalangan rakyat Malaysia semakin terasa, dan setiap parti serta calon masing-masing berkempen untuk memenangi hati para pengundi supaya rakyat akan memilih mereka pada hari pengundian kelak. Namun dalam keghairahan berkempen, adab dan akhlak hendaklah dijaga dan dipelihara. Hal ini bertepatan dengan nilai-nilai Islam dan prinsip Rukun Negara yang ke-5 iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Pengumuman tarikh penamaan calon pada 5 November 2022 dan PRU-15 pada 19 November 2022 memberi peluang kepada semua pihak untuk berkempen selama 14 hari. Namun dalam masa berkempen, semua pihak hendaklah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi melancarkan proses pilihan raya buat kali ini.

Untuk memastikan aktiviti kempen berjalan dengan lancar, semua pihak hendaklah menjaga etika dan tidak memulakan provokasi kepada pihak lawan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Islam juga mengajar umatnya agar sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian sesama manusia serta tidak melampaui batas. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka dia hendaklah mengucapkan perkara yang baik atau diam "

Riwayat al-Bukhari (6018)

Memfitnah dan mengamalkan politik kotor terhadap pihak lawan bagi mencapai kepentingan politik merupakan satu tindakan yang sangat dilarang dalam Islam. Walaupun berbeza fahaman politik dan parti, setiap pihak wajar mengambil pendekatan yang baik dan matang dalam berkempen tanpa memburuk-burukan pihak lawan. 

Ingatlah pesan Nabi SAW :

وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالاً يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ

Maksudnya: Sesungguhnya seorang hamba yang mengucapkan kalimat yang dimurkai Allah SWT, tanpa mempedulikan akibatnya, dia akan terjerumus ke dalam neraka Jahannam disebabkan perkataannya itu.

Sahih al-Bukhari (6478)

Selain itu, ucapan ketika berkempen mestilah tidak dicemari dengan cacian, hinaan,  tuduhan tanpa bukti dan seumpamanya terhadap pihak lawan. Hal ini merupakan perkara yang dilarang oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

Surah al-Maidah (19)

Perbuatan membawa dan menyebarkan berita, maklumat atau perkara yang tidak diketahui pucuk pangkalnya juga dilarang melalui sabda Rasulullah SAW:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَتَّاتٌ

Maksudnya: Tidak akan masuk syurga qattat (golongan yang membawa cerita sedangkan dia hanya mendengar-dengar daripada orang lain tanpa diketahui pucuk-pangkal cerita tersebut).

Sahih al-Bukhari (6056)

Rasuah dan sogokan juga satu tindakan yang dilarang dan merupakan satu kesalahan jenayah yang serius menurut undang-undang di Malaysia, bahkan juga menurut syarak. Rayuan undi dengan memberi sogokan atau rasuah kepada pengundi merupakan tindakan yang tidak beretika serta haram di sisi syarak, malah tidak sepatutnya menjadi budaya masyarakat Malaysia. Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr RA, Nabi SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah

Riwayat Ibn Majah (2313)

Bagi para pengundi, calon yang kompeten dan berintegriti merupakan pilihan utama dalam memacu negara ke arah yang lebih cemerlang berdasarkan keperluan dan kehendak negara. Ini selaras dengan dua kriteria utama yang perlu diambil kira dalam memilih pemimpin berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Maksudnya: "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah."

Surah al-Qasas (26)

Di samping itu, dalam memilih pemimpin, para pengundi mestilah memastikan mereka yang diundi boleh memimpin dalam menguruskan urusan negara mengikut maslahat dunia dan juga akhirat.  Ibn Khaldun berkata:

هي حمل الكافّة على مقتضى النّظر الشّرعي في مصالحهم الأخرويّة والدّنيويّة الرّاجعة إليها إذ أحوال الدّنيا ترجع كلّها عند الشّارع إلى اعتبارها بمصالح الآخرة فهي في الحقيقة خلافة عن صاحب الشّرع في حراسة الدّين وسياسة الدّنيا به

Maksudnya: (Kepimpinan itu bermaksud) Tanggungjawab memikul segala urusan mengikut piawaian syarak dalam mengurus maslahat manusia di dunia dan akhirat. Hal ini kerana urusan dunia di sisi syarak dilihat kepada maslahah (kepentingan) akhirat. Justeru, secara hakikatnya, pemimpin merupakan wakil Allah SWT dalam menjaga agama dan menguruskan hal ehwal dunia dengan panduan agama.[1]

Kepentingan menyelidik dan meneliti sebarang maklumat berkaitan politik juga tidak boleh dipandang enteng, khasnya pada zaman ledakan teknologi dan kepantasan peredaran maklumat. Semak terlebih dahulu sebarang informasi yang dibaca di media sosial dan rajinkan diri bertanya kepada ahlinya atau merujuk kepada sumber asal bagi mencari kebenaran tentang sesuatu perkara. Ini selaras dengan konsep tabayyun yang diperintahkan oleh Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu golongan dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Surah al-Hujurat (6)

Berhati-hatilah dalam  menyebarkan sebarang maklumat  atau sebaran mesej yang belum pasti kesahihannya.  Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: Cukuplah seseorang itu dikira berdosa jika dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya.”

Riwayat Muslim (4482)

Bagi pengundi yang masih tidak dapat membuat keputusan dalam memilih calon, sebaiknya mereka memohon petunjuk daripada Allah SWT agar dipermudahkan dalam urusan memilih calon yang berkelayakan. Perkara ini sebagaimana yang disarankan oleh Baginda Nabi SAW supaya menunaikan solat sunat istikharah dua rakaat lalu berdoa. Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ

Maksudnya: Orang yang beristikharah tidak akan merasa kecewa.

Riwayat Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat, 6/365 hadith nombor 6627

Antara doa yang disarankan pula ialah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي

Maksudnya: Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku.

Riwayat al-Bukhari (6382)

Selain itu, rakyat Malaysia hendaklah sentiasa prihatin dalam menjaga kesihatan, keselamatan serta keharmonian negara pada masa berkempen mahupun ketika mengundi. Pada masa yang sama semua pihak hendaklah menjaga keharmonian dan juga mengambil peluang untuk mengeratkan hubungan silaturrahim ketika berkempen tanpa melihat batas agama dan bangsa walaupun berbeza fahaman politik. Ini bagi menunjukkan rakyat Malaysia matang dan bersatu dalam apa jua keadaan bagi meneruskan kestabilan dan kemakmuran negara. 

Akhir kalam, semoga Allah SWT menganugerahkan Malaysia negara yang aman dan makmur dalam keredaan-Nya, yang melaksanakan keadilan kepada setiap rakyat, memelihara hak golongan tertindas dan yang menegakkan Islam dalam setiap sudut kehidupan. Firman Allah SWT:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Maksudnya: (Negeri kamu ini ialah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu ialah) Tuhan yang Maha Pengampun!

Surah al-Saba’ (15)

Wallahu a‘lam.

 

[1] Ibn Khaldun Abu Zaid Wali al-Din al-Hadramiy al-Isbiliy, Diwan al-Mubtada’ wa al-Khabar fi Tarikh al-‘Arab wa al-Barbar wa min ‘Asirihim min Zawi al-SYa’n al-Akbar. (Beirut: Dar al-Fikr, 1408H) hlm. 239