
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Bolehkah pemberian mas kahwin dibuat awal seperti beberapa minggu sebelum akad nikah atau diisytiharkan semasa majlis pertunangan? Adakah akad nikah boleh berlaku tanpa sengaja lebih-lebih lagi apabila penerimaan mas kahwin itu disahkan oleh bakal isteri dan walinya ketika majli pertunangan tersebut? Mohon pandangan SS Mufti
Ringkasan Jawapan:
Mahar merupakan hak mutlak isteri yang menjadi miliknya sebaik sahaja akad nikah sah dilaksanakan dan ia tidak boleh diambil oleh ibu bapa atau wali. Mahar juga tidak termasuk dalam rukun nikah. Justeru perbincangan atau persetujuan terhadap pemberian mahar tidak menyebabkan perkahwinan berlaku serta merta melainkan cukup segala rukun nikah dan syarat sah akad. Dalam Islam, mahar boleh diberikan sama ada secara tunai atau ditangguhkan. Jika waktu pembayarannya tidak dinyatakan, maka ia ditentukan berdasarkan uruf atau adat setempat.
Bagi pemberian mahar sebelum akad nikah, hukumnya bergantung kepada niat dan bukti:
- Jika lelaki memberinya tanpa penjelasan sama ada sebagai hadiah atau mahar dan kemudian pertunangan dibatalkan, maka lelaki berhak menuntut semula pemberian tersebut.
- Jika lelaki memberinya secara umum dan berlaku perbalahan, kemudian lelaki mendakwa ia adalah mahar dan wanita mengatakan ia adalah hadiah, maka dakwaan lelaki diterima dengan sumpahnya.
- Namun, jika lelaki secara jelas menyatakan pemberian itu sebagai mahar tetapi wanita menafikannya dan tiada bukti sokongan (qarinah) seperti saksi atau dokumen, maka dakwaan wanita lebih kuat dan pemberian itu dianggap hadiah. Sekiranya akad nikah telah berlaku, lelaki tidak boleh menuntut semula pemberian tersebut kerana ia telah berkait dengan akad yang telah sah.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Dalil pensyariatan mahar perkahwinan melalui firman Allah SWT:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا
Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kawin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
Surah al-Nisa’ (4)
Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid juga menjelaskan bahawa mahar adalah sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan berlakunya akad nikah. Justeru, seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian kepadanya dengan penuh kerelaan hati.[1]
Pemberian Mahar atau Mas Kahwin Secara Tunai atau Tangguh
Mahar adalah hak mutlak isteri. Sebaik sahaja akad nikah sah dilafazkan, mahar tersebut secara automatik menjadi milik isteri dan bukan milik ibu bapa atau wali. Dalam syariat Islam, mahar dibahagikan kepada dua:
- Mahar Mu'ajjal (معجل): Mahar yang dibayar segera atau tunai.
- Mahar Mu'ajjal (مؤجل): Mahar yang ditangguhkan bayarannya (hutang).
Berdasarkan hukum ini, Islam meletakkan fleksibiliti masa pembayaran mahar sama ada hendak disegerakan atau ditangguhkan. Namun begitu, adat turut memainkan peranan penting dalam isu pemberian mahar.[2] Jika dalam akad tidak dinyatakan secara spesifik bila mahar perlu dibayar, mahkamah atau pihak berkuasa akan merujuk kepada uruf(adat setempat). Contohnya, di sesetengah tempat, separuh mahar adalah tunai dan separuh lagi dianggap hutang yang dibayar jika berlaku perceraian atau kematian. Begitu juga, di sesetengah tempat yang lain, mahar diberikan sejurus selepas akad nikah dilakukan.
Namun terdapat kesan kepada suami isteri apabila mahar diberikan secara tunai atau tangguh. Seorang isteri boleh enggan tinggal bersama suami jika mahar secara tunai belum dijelaskan. Ini adalah bentuk jaminan keadilan agar isteri tidak kehilangan haknya.[3]
Walau bagaimanapun, ada sebahagian adat dan kebiasaan mahar diberikan lebih awal daripada akad sebagai tanda kesungguhan lelaki untuk berkahwin dengan wanita pilihannya. Menjadi persoalan sekiranya pemberian mahar dilakukan sebelum akad nikah berlaku, adakah ia dianggap hadiah mahupun mahar?
Syeikh Zainuddin al-Ma’bariy menjelaskan hal ini dalam beberapa situasi:[4]
- Pertama, seorang lelaki meminang wanita dan kemudian memberikan sejumlah harta kepadanya sebelum akad nikah tanpa sebarang penjelasan sama ada harta itu bertujuan pemberian hadiah atau mahar. Justeru, apabila salah satu pihak ingin memutuskan pertunangan, maka pihak lelaki berhak mengambil semula pemberian tersebut sepertimana pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i.
- Situasi kedua apabila seorang lelaki memberikan sejumlah hartanya kemudian wanita itu mengatakan bahawa pemberian itu dianggap hadiah namun pihak lelaki mendakwa bahawa ia adalah mahar. Maka sumpah daripada pihak lelaki diterima sekalipun harta itu bukan daripada jenis kebiasaan mahar.
- Situasi ketiga apabila seorang lelaki memberikan sejumlah harta kepada wanita kemudian dia berkata bahawa harta tersebut dijadikan sebagai mahar yang akan wajib dibayar olehnya setelah akad nikah atau nafkah pakaian yang diwajibkan selepas akad nikah dan selepas suami isteri bersama, namun wanita itu mendakwa bahawa ia adalah pemberian hadiah. Justeru, dalam hal ini dakwaan wanita itu lebih diterima selagi mana tiada qarinah (petunjuk seperti keterangan bertulis atau saksi dan sebagainya) yang menyokong dakwaan lelaki. Jika setelah akad berlakunya perceraian, maka lelaki tidak berhak menuntut kembali apa yang telah diberikannya kerana pemberian tersebut dibuat bagi tujuan akad dan akad itu telahpun berlaku.
Kesimpulan
Mahar atau mas kahwin adalah suatu bentuk pemberian wajib oleh suami kepada isteri dengan sebab berlakunya akad pernikahan dan ia tidak termasuk dalam rukun pernikahan. Justeru, persetujuan terhadap pemberian mahar ketika majlis pertunangan tidak menyebabkan perkahwinan berlaku serta merta melainkan cukup segala rukun nikah dan syarat sah akad. Sekiranya mahar diberikan awal sebelum majlis akad nikah, maka terdapat beberapa implikasi dan kesan hukum bergantung kepada situasi-situasi tertentu.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Ibn Kathir, Ismail bin Umar. Tafsir al-Quran al-’Azim. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1998). Jld 2 hlm 186.
وَقَوْلُهُ: ﴿وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً﴾ قَالَ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَلْحَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: النِّحْلَةُ: الْمَهْرُ…وَقَالَ ابْنُ زَيْدٍ: النِّحْلَةُ فِي كَلَامِ الْعَرَبِ: الْوَاجِبُ، يَقُولُ: لَا تَنْكِحْهَا إِلَّا بِشَيْءٍ وَاجِبٍ لَهَا،
[2] Al-Zuhaili, Muhammad. Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Beirut: Dar al-Qalam, 2011). Jld 4 hlm 116.
تعجيل الصداق وتأجيله:
الصداق حق للزوجة، وملك خاص لها، وتملكه بالعقد الصحيح، لأنه عقد يملك الزوج فيه المعوض بالعقد، فملكت الزوجة العوض فيه بالعقد ولها الحق في تعجيله أو تأجيله، كما تشاء، ولا يشترط شرعًا تعجيل الصداق عند العقد، أو بعده مباشرة، وإنما يصح تعجيل جميع المهر عند العقد أو بعده بشرط أو بدون شرط قبل الدخول، ويصح تأجيله كله إلى ما بعد الدخول بشرط أن يكون الأجل محددًا، وجرى العرف أن يكون المهر المؤجل إلى الوفاة أو الطلاق، ويصح تعجيل بعضه قبل الدخول، وتأجيل بعضه الآخر إلى أحد الأجلين السابقين، ولا يشترط في التنقيط نسبة معينة، إلا إذا جرى العرف على شيء كالنصف، أو الثلث، أو الثلثين.
[3] Ibid.
وإذا كان الصداق معجلاً بالشرط أو بالعرف، فيحق للزوجة أن تحبس نفسها عن زوجها، وتمتنع عن الالتحاق به، والانتقال إليه، حتى تقبض المعجل من الصداق، سواء كان جميع الصداق أو بعضه، دفعًا لضرر فوات البضع، فيجب على الزوج تأديته، وإلا كان آثمًا. فإن وافقت الزوجة على الالتحاق بزوجها قبل قبض المهر المعين والحال كله أو بعضه في العقد، أو الفرض الصحيح، ولحقت به، فلا يحق لها أن تحبس نفسها عنه بعد ذلك، ويجبر الزوج على دفعه.
[4] Zainuddin al-Ma’bariy, Ahmad bin ‘Abd al-Aziz. Fath al-Muin bi Syarh Qurrah al-’Ain bi Muhimmah al-Din. (Dar Ibn Hazm). hlm 489.
مهمات لو خطب امرأة ثم أرسل أو دفع بلا لفظ إليها مالا قبل العقد: أي ولم يقصد التبرع ثم وقع الإعراض منها أو منه رجع بما وصلها منه كما صرح به جمع محققون. ولو أعطاها مالا فقالت هدية وقال صداقا صدق بيمينه وإن كان من غير جنسه ولو دفع لمخطوبته وقال جعلته من الصداق الذي سيجب بالعقد أو من الكسوة التي ستجب بالعقد والتمكين وقالت بل هي هدية فالذي يتجه تصديقها إذ لا قرينة هنا على صدقه في قصده. ولو طلق في مسألتنا بعد العقد لم يرجع بشيء كما رجحه الأذرعي خلافا للبغوي لأنه إنما أعطى لأجل العقد وقد وجد.