SOALAN: “Tular di media sosial pelbagai gelagat masyarakat dalam menguruskan binatang korban, sehingga ada juga yang bertindak menembak binatang korban tersebut. Apa pandangan Islam terhadap perbuatan sebegini? Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih”
RINGKASAN JAWAPAN:
Islam menuntut ihsan terhadap haiwan korban dengan memastikan haiwan disembelih secara cepat menggunakan pisau yang tajam serta tidak disakiti, dipukul atau diseksa sebelum penyembelihan. Namun begitu, dalam keadaan tertentu seperti ketika binatang korban bertindak agresif atau boleh membahayakan keselamatan manusia, tindakan yang bersesuaian untuk mengawalnya adalah dibenarkan selagi tidak bertujuan menyeksa haiwan tersebut.
HURAIAN JAWAPAN:
Islam merupakan agama yang sangat menekankan nilai ihsan dalam setiap aspek kehidupan, bermula dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besarnya. Konsep ihsan bukan sahaja merujuk kepada kesempurnaan ibadah kepada Allah SWT, bahkan meliputi sikap belas kasihan, kelembutan dan keadilan terhadap semua makhluk. Hal ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Shaddad bin Aws bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ اللهَ كتَبَ الإحسانَ على كلِّ شيءٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan pada setiap perkara”.
[Riwayat Abu Daud, Muslim dan al-Tirmizi]
Tuntutan untuk berlaku ihsan juga termasuklah dalam konteks pengurusan haiwan. Oleh itu, Islam mengajar umatnya supaya mengelakkan sebarang bentuk kezaliman, penderaan atau penyeksaan terhadap haiwan serta memastikan kebajikan mereka sentiasa dipelihara. Ibn ‘Abbas RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menegur seorang lelaki yang merebahkan seekor kambing sedangkan dia masih menajamkan pisaunya, lalu Baginda SAW pun bersabda:
أُتريدُ أن تُميتَها موْتتَيْن هلَّا أحدَدْتَ شِفرتَك قبل أن تُضجِعَها
Maksudnya: “Adakah engkau mahu mematikannya dua kali? Mengapa tidak engkau menajamkan pisaumu sebelum engkau merebahkannya?”.
[Riwayat al-Tabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi]
Sungguhpun ibadah korban merupakan syiar Islam yang sangat dituntut dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam syariat, pelaksanaannya tidak boleh mengabaikan prinsip ihsan terhadap haiwan korban. Haiwan yang akan disembelih hendaklah dikendalikan dengan baik, tidak disakiti tanpa keperluan dan disembelih mengikut kaedah yang paling mengurangkan kesakitan, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Shaddad bin Aws RA:
وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: “Jika kamu menyembelih, maka elokkanlah cara sembelihan. Hendaklah seseorang kamu menajamkan pisaunya dan merehatkan sembelihannya”.
[Riwayat Abu Daud, Muslim dan al-Tirmizi]
Namun begitu, dalam situasi tertentu seperti apabila haiwan korban bertindak agresif dan boleh mengancam keselamatan manusia atau haiwan lain seperti soalan yang diajukan, maka timbul keperluan untuk mengambil langkah kawalan yang bersesuaian. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan panduan fiqh berkaitan pengurusan haiwan korban yang agresif serta mengemukakan beberapa cadangan garis panduan yang dapat menyeimbangkan tuntutan keselamatan dengan prinsip ihsan yang digariskan oleh syarak.
Hukum Fiqh Berkaitan Pengurusan Haiwan Yang Agresif
Secara asasnya, haiwan mestilah disembelih dengan kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Sebaliknya sekiranya haiwan tersebut mati dalam keadaan tercekik, terjatuh atau seumpamanya, maka daging haiwan tersebut dianggap sebagai bangkai dan tidak halal untuk dimakan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)”.
(Surah al-Ma’idah, 3)
Penyembelihan yang sah menurut syarak mestilah dilakukan dengan memutuskan saluran pernafasan (halkum) dan saluran makanan (mari’). Sekiranya haiwan telah mati atau tidak lagi menunjukkan tanda-tanda hayat yang stabil sebelum kedua-dua saluran tersebut diputuskan, maka haiwan itu dianggap sebagai bangkai dan tidak halal untuk dimakan. Imam al-Nawawi menjelaskan perkara ini seperti berikut:[1]
يشترط لحصول الذكاة قطع الحلقوم والمريء، هذا هو المذهب الصحيح المنصوص... قال أصحابنا: ولو ترك من الحلقوم والمريء شيئاً ومات الحيوان فهو ميتة، وكذا لو انتهى إلى حركة المذبوح فقطع بعد ذلك المتروك فهو ميتة
Maksudnya: “Disyaratkan untuk sahnya penyembelihan ialah terputusnya halkum (saluran pernafasan) dan mari’ (saluran makanan). Inilah pendapat mazhab yang sahih sebagaimana dinaskan oleh imam-imam mazhab. Para ulama mazhab kami (ashabuna) berkata: Jika seseorang meninggalkan sebahagian daripada halkum atau mari’ tanpa dipotong, lalu haiwan itu mati, maka ia dianggap bangkai. Begitu juga jika haiwan itu telah sampai ke tahap hanya tinggal gerakan haiwan yang disembelih (iaitu nyawanya telah hampir hilang), kemudian barulah bahagian yang tertinggal itu dipotong, maka ia juga dikira bangkai”.
Namun dalam keadaan sesuatu haiwan tersebut tidak dapat disembelih seperti biasa, seperti haiwan liar yang terbang, atau berlari dengan pantas yang tidak dapat dikejar, tersekat sehingga tidak dapat diselamatkan haiwan tersebut dan juga tidak dapat disembelih seperti biasa, maka pada ketika itu hukum-hakam buruan adalah terpakai, dan binatang tersebut boleh dimatikan dengan cara mencederakannya. Imam al-Nawawi menjelaskan hukum ini seperti berikut:[2]
ذكاة الحيوان المأكول بذبحه في حلق أو لبة إن قدر عليه، وإلا فبعقر مزهق حيث كان
Maksudnya: “Penyembelihan yang sah bagi haiwan yang halal dimakan ialah dengan menyembelihnya pada bahagian halkum (kerongkong) atau labbah (pangkal leher), jika mampu berbuat demikian. Jika tidak mampu, maka memadai dengan mencederakannya pada mana-mana bahagian tubuh yang boleh menyebabkan kematiannya (mengalirkan nyawa), iaitu melalui cara ‘aqr (melukakan atau menikam haiwan yang tidak dapat dikuasai)”.
Dalam keadaan sesuatu haiwan tersebut tidak dapat disembelih seperti biasa, lalu dicederakan seperti yang digambarkan di atas, maka haiwan tersebut dianggap halal untuk dimakan walaupun ia mati disebabkan luka tersebut. Namun sekiranya haiwan tersebut masih mempunyai nyawa yang stabil setelah dicederakan dan ia boleh disembelih seperti biasa setelah itu, maka haiwan tersebut mestilah disembelih seperti biasa.
Garis Panduan Pengurusan Haiwan Korban
Dalam konteks pengurusan haiwan korban, keadaan haiwan yang berubah menjadi agresif adalah merupakan suatu keadaan yang berkemungkinan besar boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor. Sebagai panduan bagi mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang berhubung dengan kejadian haiwan korban yang tidak dapat dikawal, beberapa garis panduan berikut disarankan untuk diambil perhatian oleh semua pihak yang menguruskan ibadah korban:
- Haiwan korban hendaklah diperiksa lebih awal oleh pihak berkaitan, manakala rekod tingkah lakunya dikenal pasti sebelum dibawa ke lokasi korban bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pelaksanaan ibadah korban.
- Pihak penganjur hendaklah mengenal pasti kapasiti ruang pelaksanaan ibadah korban bagi menentukan jumlah maksimum haiwan korban yang boleh diuruskan dengan selamat dan teratur.
- Pengendali haiwan korban hendaklah terdiri daripada individu yang mempunyai latihan atau kursus pengendalian haiwan yang bersesuaian.
- Peralatan kawalan dan tempat kurungan hendaklah disediakan secukupnya bagi mengelakkan haiwan terlepas atau bertindak agresif.
- Haiwan korban hendaklah dikendalikan secara tenang dan berhemah tanpa tindakan yang menyebabkan tekanan atau kecederaan.
Ihsan dalam Pengurusan Haiwan Korban
Prinsip ihsan terhadap haiwan korban hendaklah diterjemahkan melalui perancangan dan persediaan yang rapi sebelum pelaksanaan ibadah korban. Setiap pihak yang terlibat perlu memastikan urusan pengendalian haiwan, penyembelihan dan pengagihan dilaksanakan secara teratur bagi mengelakkan sebarang kecuaian yang boleh menyebabkan haiwan mengalami tekanan, kecederaan atau penderitaan yang tidak perlu. Perancangan ini menjadi lebih penting khususnya bagi pihak yang kurang berpengalaman dalam menguruskan haiwan korban kerana kesilapan dalam pengendalian boleh menimbulkan risiko kepada haiwan serta status halal daging sembelihan dan juga kepada keselamatan petugas.
Selain itu, pihak penganjur disarankan untuk melantik petugas yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan haiwan korban khususnya mereka yang mempunyai pengalaman bertugas di pusat penyembelihan atau seumpamanya. Pengalaman mereka dapat membantu memastikan haiwan dikendalikan dengan kaedah yang betul, selamat dan menepati tuntutan syarak. Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko haiwan bertindak agresif atau sukar dikawal, malah menjadi satu usaha merealisasikan tuntutan ihsan yang dianjurkan oleh Islam dalam setiap peringkat pelaksanaan ibadah korban.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:
- Islam menuntut agar haiwan korban dilayan dengan penuh belas kasihan, tidak dizalimi atau disakiti tanpa keperluan serta disembelih mengikut kaedah yang paling mengurangkan kesakitan dan tekanan kepada haiwan.
- Sekiranya haiwan tidak dapat dikawal atau disembelih dengan cara biasa, syarak menyediakan kaedah alternatif yang dibenarkan dalam keadaan darurat dengan syarat-syarat tertentu.
- Pemeriksaan awal haiwan, penilaian kapasiti lokasi, serta pelantikan petugas yang mahir dapat mengurangkan risiko kemalangan, memelihara kebajikan haiwan dan memastikan kelancaran pelaksanaan ibadah korban.
WaLlāhu A’lam
[1] Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Nawawi (1347H), al-Majmū' Sharḥ al-Muhadhdhab, Kaherah: Idārah al-Tibāʻah al-Munīriyyah, 9:86.
[2] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawi (2005), Minhāj al-Ṭālibīn wa ‘Umdah alMuftīn, Beirut: Dār al-Fikr