Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-362 : KEDUDUKAN HARTA UMMAHAT AL-MUKMININ DAN HUKUM ZAKAT AHL AL-BAYT

KEDUDUKAN_HARTA_UMMAHAT_AL-MUKMININ_DAN_HUKUM_ZAKAT_AHL_AL-BAYT.jpg

Soalan:

Saya ada terbaca yang kata isteri-isteri Nabi tidak boleh mewarisi harta Nabi SAW. Persoalan saya, apakah status pemilikan rumah yang mereka diami itu setelah kewafatan Baginda SAW? Adakah ahl al-Bayt masih dianggap sebagai tidak boleh menerima zakat sehingga ke hari ini?

Ringkasan Jawapan:

Harta peninggalan Rasulullah SAW mempunyai hukum yang khusus iaitu tidak diwarisi oleh ahli keluarga Baginda sebagaimana harta pusaka. Rumah-rumah yang didiami oleh Ummahat al-Mukminin pula bukan merupakan hak milik peribadi yang boleh diwarisi sebaliknya merupakan tempat kediaman yang disediakan oleh Rasulullah SAW sebagai sebahagian daripada nafkah dan keperluan hidup mereka. Adapun ahl al-Bayt Rasulullah SAW, pada asalnya mereka tidak dibenarkan menerima zakat namun hak tersebut tidak lagi diperoleh pada masa kini, terdapat pandangan ulama yang mengharuskan ahl al-Bayt yang berkeperluan menerima zakat sekiranya memenuhi syarat sebagai asnaf.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Rasulullah SAW memiliki beberapa pengkhususan yang tidak dikongsi oleh umat Baginda antaranya berkaitan hukum pewarisan harta dan zakat ke atas Baginda dan kerabatnya. Sebagai satu penghormatan, isteri-isteri Nabi SAW juga mempunyai kemuliaannya yang tersendiri sehingga mereka dianggap sebagai ibu kepada orang mukmin keseluruhannya. Allah SWT berfirman:

النَّبِيُّ أَوْلَىٰ بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ ۗ وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ إِلَّا أَن تَفْعَلُوا إِلَىٰ أَوْلِيَائِكُم مَّعْرُوفًا ۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا ‏

Maksudnya: “Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak (mewarisi) akan setengahnya yang lain menurut (hukum) Kitab Allah daripada orang yang beriman dan orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya) kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis dalam Kitab Allah.”

Surah Al-Ahzab (6)

Menurut al-Mawardi, kedudukan Ummahat al-Mukminin merupakan salah satu bentuk kemuliaan yang Allah SWT khususkan kepada Rasulullah SAW dan para isteri Baginda. kedudukan tersebut membawa kepada kewajipan memuliakan hak-hak mereka serta mengiktiraf kelebihan dan kedudukan mereka, sebagaimana seseorang wajib menghormati dan memuliakan haknya.[1] Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Kamu bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain”

Surah al-Ahzab (32)

Larangan Mewarisi Harta Rasulullah SAW

Rasulullah SAW telah menjelaskan sendiri kedudukan harta Baginda selepas kewafatan. Justeru itu, isteri-isteri Rasulullah SAW tidak mewarisi harta-harta Baginda. Saidatina Fatimah RA dan al-‘Abbas RA telah datang kepada Abu Bakar RA untuk menuntut harta pusaka mereka iaitu sebahagian tanah Rasulullah SAW di Fadak dan sebahagian di Khaibar. Lalu Abu Bakar menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ نُورَثُ مَا تَرَكْنَا صَدَقَةٌ ‏

Maksudnya: “Tidak mewariskan harta apa sahaja yang kami tinggalkan, maka ia hendaklah disedekahkan.’”

[Riwayat al-Bukhari]

Para fuqaha Syafi'iyyah turut mengesahkan bahawa larangan pewarisan ke atas harta Rasulullah SAW merupakan salah satu daripada hukum khas Baginda yang tidak terpakai ke atas umatnya, sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Ghazali:

وَحُرِّمَ مِيرَاثُهُ، فَقَالَ: إِنَّا مَعَاشِرَ الْأَنْبِيَاءِ لَا نُورَثُ مَا تَرَكْنَاهُ صَدَقَةً

Maksudnya: "Diharamkan (ke atas umatnya) mewarisi hartanya; Baginda bersabda: Sesungguhnya kami golongan para nabi tidak diwarisi; apa yang kami tinggalkan adalah sedekah".

Al-Nawawi menukilkan dua pandangan berkenaan status harta yang ditinggalkan oleh Baginda SAW. Pandangan pertama, harta tersebut kekal sebagai milik Baginda SAW dan digunakan untuk menanggung keperluan ahli keluarga Baginda sebagaimana Baginda membelanjakannya semasa hayat (pandangan yang sahih). Pandangan kedua pula menyatakan bahawa harta yang ditinggalkan oleh Baginda SAW mempunyai status seperti harta sedekah.[2]

Status Pemilikan Rumah Isteri-Isteri Baginda (Al-Hujurat)

Berdasarkan prinsip hukum yang dinyatakan tadi, rumah-rumah (al-Hujurat) yang didiami oleh isteri-isteri Rasulullah SAW turut termasuk dalam harta sedekah tersebut, bukan harta pusaka peribadi yang boleh diwarisi oleh waris masing-masing.

Al-Tabari menjelaskan bahawa rumah-rumah yang didiami oleh Ummahat al-Mukminin bukanlah menjadi milik mutlak mereka, sebaliknya kekal sebagai milik Rasulullah SAW. Rumah-rumah tersebut disediakan dan diperuntukkan kepada para isteri Baginda sebagai sebahagian daripada nafkah, tempat tinggal serta keperluan kehidupan mereka. Oleh itu, hak mereka terhadap rumah tersebut adalah berdasarkan keperluan tempat tinggal yang diberikan oleh Rasulullah SAW, bukan sebagai pemilikan harta yang boleh diwarisi oleh waris mereka selepas kewafatan.[3]

Fakta sejarah turut menyokong kefahaman ini apabila rumah-rumah (hujurat) isteri-isteri Nabi SAW kemudiannya dimasukkan ke dalam Masjid Nabawi pada zaman pemerintahan al-Walid bin Abdul Malik:

تَجْمَعُ أَخْبَارُ الْمُؤَرِّخِينَ عَلَى أَنَّ حُجَرَ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ ﷺ أُدْخِلَتْ فِي الْمَسْجِدِ بِأَمْرِ الْوَلِيدِ

Maksudnya: "Riwayat-riwayat ahli sejarah bersepakat bahawa bilik-bilik isteri Nabi SAW telah dimasukkan ke dalam masjid atas perintah al-Walid bin Abdul Malik".

Hak Nafkah dan Kediaman Ummahat al-Mukminin

Walaupun Ummahat al-Mukminin tidak mewarisi harta Rasulullah SAW, mereka tetap mempunyai hak nafkah selepas kewafatan Baginda. Sepertimana hadis berikut:

لَا يَقْتَسِمُ وَرَثَتِي دِينَارًا، مَا تَرَكْتُ بَعْدَ نَفَقَةِ نِسَائِي ومؤونة عَامِلِي، فَهُوَ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Para warisku tidak akan membahagikan walaupun satu dinar daripada apa yang aku tinggalkan setelah ditunaikan nafkah isteri-isteriku dan perbelanjaan pekerjaku; maka selebihnya adalah sedekah.”

[Riwayat al-Bukhari]

Adakah Larangan Agihan Zakat Kepada Ahl al-Bayt Masih Terpakai Sehingga Hari Ini?

Pada asalnya, zakat diharamkan ke atas Nabi Muhammad SAW dan Ahl al-Bayt kerana mereka mempunyai hak daripada satu perlima harta rampasan perang (khumus al-khumus) sebagai ganti kepada larangan menerima zakat.

Imam Abu Ishaq al-Syirazi merekodkan dua pandangan dalam kalangan ulama mazhab Syafi’i:

وَقَالَ أَبُو سَعِيدٍ الْإِصْطَخْرِيُّ: إِنْ مَنَعُوا حَقَّهُمْ مِنَ الْخُمُسِ جَازَ الدَّفْعُ إِلَيْهِمْ؛ لِأَنَّهُمْ إِنَّمَا حُرِمُوا الزَّكَاةَ لِحَقِّهِمْ فِي خُمُسِ الْخُمُسِ، فَإِذَا مُنِعُوا الْخُمُسَ وَجَبَ أَنْ يُدْفَعَ إِلَيْهِمْ، وَالْمَذْهَبُ الْأَوَّلُ؛ لِأَنَّ الزَّكَاةَ حُرِّمَتْ عَلَيْهِمْ لِشَرَفِهِمْ بِرَسُولِ اللهِ ﷺ، وَهَذَا الْمَعْنَى لَا يَزُولُ بِمَنْعِ الْخُمُسِ

Maksudnya: "Berkata Abu Sa'id al-Istakhri: Sekiranya mereka dihalang daripada hak mereka dalam khumus, maka harus memberikan zakat kepada mereka; kerana mereka hanya diharamkan zakat disebabkan hak mereka pada khumus al-khumus, maka apabila mereka dihalang daripada khumus, wajib diberikan zakat kepada mereka. Namun mazhab (pandangan rasmi) yang pertama (kekal haram); kerana zakat diharamkan ke atas mereka disebabkan kemuliaan mereka dengan Rasulullah SAW, dan makna ini tidak hilang dengan terhalangnya khumus".

Imam al-Nawawi turut mengekalkan pandangan yang kuat dalam mazhab seperti berikut:

وَلَوِ انْقَطَعَ خُمُسُ الْخُمُسِ عَنْ بَنِي هَاشِمٍ وَبَنِي الْمُطَّلِبِ لِخُلُوِّ بَيْتِ الْمَالِ عَنِ الْفَيْءِ وَالْغَنِيمَةِ، أَوْ لِاسْتِيلَاءِ الظَّلَمَةِ عَلَيْهِمَا، لَمْ يُعْطَوُا الزَّكَاةَ عَلَى الْأَصَحِّ الَّذِي عَلَيْهِ الْأَكْثَرُونَ

Maksudnya: "Sekiranya terputus bahagian khumus al-khumus daripada Bani Hashim dan Bani al-Muttalib kerana kekosongan baitulmal daripada harta fai' dan ghanimah atau kerana dikuasai golongan zalim, mereka tetap tidak diberikan zakat menurut pandangan yang lebih sahih yang dipegang oleh majoriti ulama".

Namun begitu, sebahagian ulama Syafi‘iyyah muta'akhkhirin mengambil pandangan al-Istakhri berikutan ketiadaan khumus al-khumus yang berterusan. Al-Syarwani menegaskan:

لَكِنَّ الْجُمْهُورَ طَرَدُوا الْقَوْلَ بِالتَّحْرِيمِ، وَلَا بَأْسَ بِتَقْلِيدِ الْإِصْطَخْرِيِّ فِي قَوْلِهِ الْآنَ لِاحْتِيَاجِهِمْ

Maksudnya: "Akan tetapi jumhur (ulama muta'akhkhirin) meneruskan pandangan pengharaman; namun tidak mengapa untuk bertaklid kepada pandangan al-Istakhri pada zaman ini disebabkan keperluan mereka".

Menurut fatwa rasmi Dar al-Ifta al-Misriyyah, pandangan al-Istakhri turut diikuti dan difatwakan oleh sejumlah ulama muta'akhkhirin Syafi'iyyah seperti Syaraf al-Din al-Barizi, Ibn Mutayyir, al-Fadali, al-Syarwani dan al-Bajuri. Pandangan ini turut dipegang oleh sebahagian ulama Hanafi dan merupakan pandangan masyhur dalam mazhab Maliki.[4]

Berdasarkan penjelasan ini, ahl al-Bayt yang memerlukan bantuan boleh menerima zakat sekiranya mereka memenuhi syarat sebagai asnaf. Untuk penjelasan boleh juga merujuk sebuah artikel bertajuk Irsyad Fatwa siri ke 314: Adakah Keturunan nabi Muhammad SAW pada zaman ini boleh menerima zakat melalui pautan berikut: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/3563-irsyad-al-fatwa-siri-ke-314-adakah-keturunan-nabi-muhammad-saw-pada-zaman-ini-boleh-menerima-zakat

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan boleh dirumuskan seperti berikut:

  1. Harta peninggalan Rasulullah SAW mempunyai hukum khusus dan tidak diwarisi seperti harta pusaka biasa.
  2. Rumah isteri-isteri Rasulullah SAW mempunyai dua pandangan. Pandangan yang lebih kuat menyatakan ia merupakan tempat tinggal yang disediakan untuk mereka.
  3. Zakat pada asalnya haram diagihkan kepada Rasulullah SAW dan ahl al-Bayt demi memelihara kemuliaan nasab mereka dengan diperuntukkan ganti berupa bahagian fay’ dan khumus al-khumus.
  4. Disebabkan ketiadaan sistem khumus al-khumus rasmi pada hari ini, ahl al-Bayt yang berkeperluan adalah diharuskan untuk menerima zakat.
  5. Sedekah sunat (tatawwu') serta upah sebagai amil zakat adalah harus diagihkan kepada ahl al-Bayt tanpa sebarang halangan.

WaLlāhu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Mawardi, Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Habib al-Basri al-Baghdadi, Al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi‘i wa Huwa Syarh Mukhtasar al-Muzani, jil. 10 (Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah (1999).

[2] وَمِنْهُ، أَنَّهُ لَا يُورَثُ مَالُهُ. ثُمَّ حَكَى الْإِمَامُ وَجْهَيْنِ. أَحَدُهُمَا: أَنَّ مَا تَرَكَهُ بَاقٍ عَلَى مِلْكِهِ، يُنْفِقُ مِنْهُ عَلَى أَهْلِهِ كَمَا كَانَ يُنْفِقُ فِي حَيَاتِهِ. قَالَ: وَهَذَا هُوَ الصَّحِيحُ. وَالثَّانِي: أَنَّ سَبِيلَ مَا خَلَّفَهُ سَبِيلُ الصَّدَقَاتِ

Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf, Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Beirut, Damsyik: al-Maktab al-Islami, 1991).

[3] قَالَ الطَّبَرِيُّ: قِيلَ: كَانَ النَّبِيُّ ﷺ مَلَّكَ كُلًّا مِنْ أَزْوَاجِهِ الْبَيْتَ الَّذِي هِيَ فِيهِ، فَسَكَنَ بَعْدَهُ فِيهِنَّ بِذَلِكَ التَّمْلِيكِ، وَقِيلَ: إِنَّمَا لَمْ يُنَازِعْهُنَّ فِي مَسَاكِنِهِنَّ؛ لِأَنَّ ذَلِكَ مِنْ جُمْلَةِ مَئُونَتِهِنَّ الَّتِي كَانَ النَّبِيُّ ﷺ اسْتَثْنَاهَا لَهُنَّ... قَالَ: وَهَذَا أَرْجَحُ، وَيُؤَيِّدُهُ أَنَّ وَرَثَتَهُنَّ لَمْ يَرِثْنَ عَنْهُنَّ مَنَازِلَهُنَّ، وَلَوْ كَانَتِ الْبُيُوتُ مِلْكًا لَهُنَّ لَانْتَقَلَتْ إِلَى وَرَثَتِهِنَّ... وَلِهَذَا زِيدَتْ بُيُوتُهُنَّ فِي الْمَسْجِدِ النَّبَوِيِّ بَعْدَ مَوْتِهِنَّ؛ لِعُمُومِ نَفْعِهِ لِلْمُسْلِمِينَ

[4] https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/14898/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%A5%D8%B9%D8%B7%D8%A7%D8%A1-%D8%A7%D9%84%D8%B2%D9%83%D8%A7%D8%A9-%D9%88%D8%A7%D9%84%D8%B5%D8%AF%D9%82%D8%A7%D8%AA-%D9%84%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AA%D8%AD%D9%82%D9%8A%D9%86-%D9%85%D9%86-%D8%A3%D9%87%D9%84-%D8%A7%D9%84%D8%A8%D9%8A%D8%AA