Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-109 : ISU PERCERAIAN SELEBRITI: JAGALAH ADAB-ADABNYA

 

Mukadimah

Telah sampai kepada pengetahuan kami soalan dan kerisauan orang ramai tentang satu fenomena yang berlaku khususnya dalam kalangan selebriti, untuk mewar-warkan kisah rumah tangga dan perceraian mereka di media sosial. Kami asalnya tidak berminat untuk mengulas secara individu kerana ia akan membuka aib dan tidak menyelesaikan masalah. Bahkan, ia akan menjerumuskan pihak yang tidak berkepentingan dan tiada autoriti kepada lembah ghibah (mengumpat), namimah (mengadu-domba), dan berleluasanya fitnah, yang akhirnya menggadaikan maruah yang menjadi tujuan Islam dan Muslim untuk mempertahankannya.

Namun apabila budaya buruk ini sudah menjadi wabak dalam masyarakat, sehingga masyarakat berasa tiada dosa memperkatakan tentang keaiban rumah tangga orang lain, maka berasa terpanggil untuk menjelaskan adab-adab yang sepatutnya diperhatikan oleh anggota masyarakat, sama ada pasangan, keluarga mertua dan masyarakat mengenai perceraian. Kami rakamkan dalam bentuk nasihat kepada semua pihak tanpa mengkhususkan kepada individu-individu tertentu.

Justeru kami judulkan artikel ini dengan tajuk “Bayan Linnas Siri ke-109 : Isu Perceraian Selebriti : Jagalah Adab-Adabnya.” Semoga pesanan dan perkongsian kami ini memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia tentang kepentingan menjaga adab dan maruah institusi kekeluargaan.

 

Talaq dalam Islam 

Islam mensyariatkan pernikahan antara lelaki dan wanita yang ajnabi untuk melanjutkan generasi manusia di atas bumi ini sebagai khalifah, selain daripada memenuhi gharizah (naluri) dalaman manusia yang menyukai kaum silang jenis untuk saling berkasih sayang dan hidup bersama. Apabila berlaku perselisihan antara suami dan isteri, syarak menggalakkan agar suami dan isteri untuk tahammul (bertahan) dan sabar dan cuba mencari penyelesaian konflik tanpa melibatkan perpisahan seperti saling menasihati, majlis kaunseling dan majlis hakam.

Namun ada kalanya pasangan sudah tidak mampu tinggal bersama dan sudah tidak ada kasih sayang, atau terdapat mudarat yang dilakukan sebelah pihak, maka Islam kerana meraikan kehendak dan keperluan manusia ini dengan menghalalkan pembubaran perkahwinan seperti perceraian, fasakh, dan khulu`. Talaq adalah suatu perkara yang amat sensitif sehingga kerap berlaku dalam masyarakat permusuhan dan kebencian antara keluarga dan lantaran gagal menangani perceraian dengan adab Islami sehingga menggadaikan maruah dan aib masing-masing.

Justeru kami mulakan artikel ini dengan penerangan konsep talaq dan hikmah pensyariatannya berdasarkan keterangan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji yang kami terjemahkan.

 

 

Definisi Talaq

Menurut bahasa, talaq ((طلق bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari segi syara’, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. 

 

Pensyariatan Talaq

Pensyariatan adalah berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’.

 

  • Al-Quran

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ

Maksudnya: Talaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma'ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.

(Surah al-Baqarah: 229)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ

Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu menceraikan isteri-isterimu, maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar).

 (Surah al-Talaq: 1)

  • Al-Sunnah

 

Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”

Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197) dan beliau mensahihkannya

Hadith yang lain, daripada Ibn Umar RA, katanya:

كَانَتْ تَحْتِى امْرَأَةٌ أُحِبُّهَا وَكَانَ أَبِى يَكْرَهُهَا فَأَمَرَنِى أَبِى أَنْ أُطَلِّقَهَا فَأَبَيْتُ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ طَلِّقِ امْرَأَتَكَ

Maksudnya: “Aku mempunyai isteri yang aku sayangi, tetapi ayah aku pula tidak menyukainya dan meminta aku menceraikannya. Aku enggan, lalu perkara ini diberitahu kepada Nabi SAW. Baginda bersabda: “Wahai Abdullah bin Umar, ceraikanlah isteri itu.” 

Riwayat Abu Daud (2088), al-Tirmizi (1189) dan Ibn Majah (2088)

  • Ijma’

Semua ulama’ bersepakat tentang pensyariatan talaq tanpa seorang pun yang berkecuali.

 

Hikmah Pensyariatan

Perkahwinan adalah untuk mengekalkan kehidupan berumahtangga pasangan suami isteri. Allah telah mensyariatkan pelbagai hukum dan adab perkahwinan untuk menjamin pengekalannnya serta menyuburkan hubungan mereka. Walau bagaimanapun, kadangkala terdapat suami isteri atau seorang daripada mereka tidak mematuhinya.

Contohnya, suami tidak mementingkan pemilihan pasangan yang baik. Atau kedua-dua suami isteri, atau seorang daripadanya tidak mematuhi adab pergaulan yang digariskan oleh Islam. Ekoran daripada itu, berlakulah kebencian dan semakin bertambah buruk sehingga tiada lagi ruang untuk berbaik-baik dan tiada lagi cara untuk persefahaman dan hidup bersama.

Dalam keadaan ini, adalah perlu diadakan peraturan sebagai langkah berhati-hati yang boleh dirujuk dalam situasi tersebut. Hal ini adalah membolehkan ikatan perkahwinan itu dirungkai tanpa mensia-siakan hak kedua-dua suami isteri tersebut apabila tiada sebab bagi mereka untuk hidup bersama.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ وَاسِعًا حَكِيمًا

Maksudnya: Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masingnya dari limpahan kurnia-Nya. Dan sesungguhnya Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Nisa’: 130)

Jika talaq ini digunakan oleh suami sebagai cara yang terakhir dalam keadaan genting ini, maka ia adalah penyelesaian yang amat perlu yang tidak dapat dielakkan lagi walaupun ia amat pahit dalam banyak keadaan.

Namun, jika menggunakan talaq untuk perkara yang tidak baik bagi memuaskan hawa nafsunya, maka talaq itu dianggap halal, yang amat dibenci oleh Allah. Hanya Allah yang mengetahui perkara yang baik-baik dari yang tidak baik dan kepada-Nya dikembalikan semua perkara.

 

Kepentingan Dokumentasi Perceraian

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Keterangan itu tanggungjawab orang yang mendakwa sedangkan sumpah adalah tanggungjawab orang yang mengingkari (untuk menyokong kes masing-masing).”

Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (21201)

 

Ini merupakan kaedah penting daam fiqh Islam bahawa orang yang mendakwa hendaklah mendatangkan bukti. Jika tidak, pihak yang mengingkarinya akan menang dengan sumpahnya. Dalam kes pernikahan, Syeikh Zainuddin al-Malibari dalam kitab Fath al-Mu`in (hal. 212) menyebut:

“Bagi kadi boleh mengahwinkan seorang wanita yang berkata, “Aku bebas daripada sebarang pernikahan dan iddah,” selagi mana kadi tersebut tidak mengenali bagi perempuan itu suami yang spesifik. Jika tidak, maka disyaratkan baginya untuk mendapatkan bukti bagi firaq (pembubaran perkahwinan.)”

Syeikh Abu Bakar al-Dimyati dalam kitab I`anah al-Talibin (3/365) menyebut:

 “Jika seorang wanita mendakwa bahawa dia bebas daripada sebarang pernikahan, dan iddah, tanpa menentukah (siapakah) suami lamanya sebelum dia berkata, maka harus bagi wali untuk menerima ucapannya, sama ada wali am (wali hakim) atau wali khas (seperti ayah dan atuk, dll). Namun sebaliknya berlaku jika wanita itu berkata, “Aku pernah menjadi isteri kepada Fulan”, lalu dia menentukan siapa suami lamanya dan berkata, “Dia sudah mentalaqkan aku”, atau, “Dia telah mati”, maka bagi seorang wali am tidak boleh menerima ucapan itu melainkan dengan pembuktian, namun boleh wali khas menerimanya.  Perbezaan kedua-duanya adalah kerana wali am adalah naib bagi orang yang hilang dan yang seumpamanya, justeru perlukan kepada pembuktian kerana hak bagi suami yang hilang itu kekal, berbeza dengan wali khas.”

Timbul persoalan, adakah wajib bagi wali khas bagi perempuan itu untuk mengahwinkan perempuan yang mendakwa sudah ditalak sekalipun tanpa pembuktian, cukup dengan iqrar yang dipercayai oleh walinya?

Syeikh Abu Bakar menyebut bahawa sebahagian ulama membenarkan hal itu. Namun, beliau tidak menerimanya dan menyebut: “hal itu hanya boleh selagi mana suami pertama tidak mengingkari bahawa dia pernah mentalakkan perempuan itu dalam keadaan perempuan itu tidak pernah menegakkan bayyinah bahawa perceraiannya. Jika sebaliknya, maka tidak sah.” Rujuk I`anah al-Talibin (3/324)

Berdasarkan kenyataan di atas, jelaslah kepentingan dokumentasi untuk mensabitkan perceraian bagi seorang wanita. Ini kerana jika tidak wujud bayyinah, sama ada dengan perakuan dua orang saksi yang adil, atau kitabah (dokumen penulisan yang diiktiraf), maka status perceraian wanita itu tergantung pada bekas suaminya yang pertama. Jika wanita itu mendakwa suami pertamanya sudah menceraikannya, dan lelaki itu mengaku tetap pengakuan tersebut dibuat tetapi pengakuan berkenaan tidak direkodkan secara sahih, maka jika tiba-tiba lelaki itu bersumpah bahawa dia tidak pernah menceraikan isterinya, maka isteri itu wajib kembali kepada suami pertama kerana kaedah istishab (pengekalan hukum asal).

Maka di manakah keadilan bagi pihak wanita? Oleh kerana itu, ditambah dengan masyarakat moden yang semakin kompleks, amat wajar tindakan kerajaan negeri-negeri di Malaysia mewajinkan rekod bagi urusan perkahwinan dan perceraian.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Melihat kepada fenomena yang tidak sihat berlaku dalam masyarakat tentang isu perceraian ini, kami tujukan nasihat ini kepada pihak-pihak berikut:

  1. Nasihat Kepada Pasangan Suami dan Isteri

Islam mengajar umatnya agar memelihara hubungan perkahwinan dengan cara yang baik dan pembubaran juga dengan cara yang baik. Ini jelas seperti mana maksud ayat dalam Surah al-Baqarah, “Talaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma'ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.”

Imam al-Maraghi menyebut dalam Tafsir-nya (1/488) terhadap maksud “menceraikan dengan cara yang baik”:

“Sewajarnya si suami tidak menceritakan keburukan dan kehormatan diri bekas isterinya kepada orang lain, sehingga orang lain menjauhi (bekas isteri), jika dia mahu berkahwin lagi dengan lelaki lain. Sikap menceritakan keburukan bekas isteri merupakan satu kesilapan besar dalam ikatan yang pernah berlaku di antara mereka berdua.

Penentuan agama secara bertahap dalam masalah talak ini menunjukkan kasih sayang Islam menangani persoalan kemasyarakatan yang memberi hasil kebaikan keluarga dan pendidikan anak-anak, membimbing fikiran dan kehidupan yang stabil. Oleh itu, dapat mewujudkan kerjasama ibu bapa dalam membetulkan kesilapan dan memaklumkan kepada mereka tentang perhatian orang tua sebaik-baiknya, setiap ibu bapa melaksanakan tugas sesuai pada tempatnya.”

Dalam konteks hari ini, cara ihsan itu termasuklah dengan mendaftarkan perkahwinan dan perceraian mengikut saluran yang sah lagi menjaga maslahat dan menolak mudarat pasangan khususnya pihak wanita. Ini termasuklah proses dokumentasi. Ini kerana kaum wanita perlu memerhatikan waktu iddah, tidak boleh menerima lamaran dan diharamkan untuk berkahwin dengan orang lain dalam tempoh tersebut. Kegagalan pasangan khususnya bekas suami untuk mendaftarkan perceraian dan mendapatkan dokumen pengesahan mempunyai risiko mudarat bagi pihak bekas isteri jika dia ingin berkahwin dengan orang lain selepas iddah tamat.

 

  1. Nasihat Keluarga Pasangan

Kepada keluarga pihak-pihak yang berselisih, seperti mertua, saudara lelaki dan perempuan, kami nasihatkan seperti berikut:-

“Pensyariatan hukum talaq dan natijahnya menurut Islam merupakan lambang kemuliaan syariat Islam. Ia juga merupakan dalil yang unggul, bahawa peraturan syariat Islam amat bersesuaian dengan fitrah manusia dan keperluan semula jadinya.

Hakikat ini jelas apabila kelihatan umat-umat yang lain mundur kembali, iaitu daripada pegangan mereka yang mengharamkan talaq dan menganggap perkahwinan sebagai penjara yang kekal abadi, yang dihuni oleh suami isteri sama ada mereka suka atau tidak.

Hal ini selepas mereka melihat pegangan tersebut akan menimbulkan natijah yang amat buruk dan jenayah yang amat berbahaya. Mereka telah sedar bahawa hubungan suami isteri tidak mungkin berlaku dengan paksaan. Jika dipaksa, akan timbul kecelakaan kepada seluruh keluarga, bahkan ia umpama gunung berapi yang membawa kebinasaan, pembunuhan dan kerosakkan. Syariat Islam amat mementingkan usaha mewujudkan persefahaman antara suami isteri berkasih sayang dan hidup bersama yang berkekalan.

Walaupun begitu, usaha ini tidak sekadar mengikat hasad kedua-dua suami isteri itu semata-mata, bahkan ia dilakukan dengan peringatan dan panduan ke arah mewujudkan pelbagai jaminan yang positif bagi menyuburkan kasih sayang dan persefahaman antara mereka.

Dengan cara ini, menjauhkan mereka daripada unsur perselisihan dan kebencian. Antara faktor terpenting yang dianjurkan oleh Islam adalah dengan wujudnya pegangan agama yang sahih di kalangan suami isteri, melaksanakan semua kewajipan yang ditentukan serta sentiasa berakhlak mulia, sebagaimana yang diaturkan oleh syariat Allah SWT.

Inilah faktor yang memelihara rumahtangga daripada keruntuhan dan juga mewujudkan syariat sebagai undang-undang yang dirujuk jika perlu, iaitu jika pasangan tersebut cuai daripada melaksanakan adab-adab yang telah disyariatkan oleh Allah bagi memelihara kehidupan rumahtangga dan perasaan cinta dan kasih sayang antara mereka.

Berdasarkan keadaan rumahtangga dan keluarga yang harmoni dan berpegang teguh kepada hukum-hukum Islam dan adab-adabnya, didapati kes-kes penceraian hampir tidak berlaku.

Apabila yang dilihat atau yang didengar ialah kebanyakan penceraian yang berlaku dalam keluarga yang bebas daripada ikatan Islam dan terkeluar daripada peraturan-peraturan dan adab-adabnya.”

             Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (edisi terjemahan) (2/10-11)

Justeru, janganlah keluarga mana-mana pihak membuat kenyataan di media sosial kerana menyerahkan urusan ini kepada mereka yang tidak ada kuasa dan autoriti untuk menyelesaikan masalah hanyalah satu dosa dan kezaliman, membuka aib dan tidak menyelesaikan masalah. Sebaiknya, berikanlah bantuan perlindungan dan kos-kos terbabit untuk penyelesaian kes yang lebih cermat dan berkesan.

 

  1. Nasihat kepada para wartawan

Kami susunkan nasihat kepada rakan-rakan wartawan yang membuat liputan isu ini, termasulah penulis-penulis akhbar, blog dan lain-lain, untuk memerhatikan perkara-perkara berikut:

  • Elakkan mengapi-api dan mensensasikan suasana kerana ini merupakan keaiban seorang Muslim.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW pernah bersabda di atas mimbar:

يا مَعْشَرَ من قد أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ، ولم يُفْضِ الْإِيمَانُ إلى قَلْبِهِ، لَا تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ، ولا تُعَيِّرُوهُمْ، ولا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فإنه من تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ الله عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ الله عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ في جَوْفِ رَحْلِهِ

Maksudnya: “Wahai para pemuda yang telah Islam dengan lidahnya, tetapi iman belum lagi masuk dalam hatinya. Janganlah kalian menyakiti orang-orang Islam, mengejek dan menghina mereka, mengintip-ngintip keaiban mereka, kerana Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.”

            Riwayat Muslim (2032)

  • Berpeganglah dengan fiqh al-tabayyun untuk mendapatkan berita yang sahih daripada badan berautoriti yakni mahkamah.
  • Elakkan menulis sangkaan-sangkaan yang tidak pasti.

 

Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah al-Hujurat: 49)

  • Elakkan menyubur kebencian

 

  1. Nasihat kepada masyarakat awam

Kepada masyarakat awam, kami nasihatkan sama seperti nasihat-nasihat di atas, dengan tambahan bahawa elakkan diri daripada memberi komen di media sosial yang tidak berdasarkan ilmu sebaliknya sangkaan semata-mata. Ini adalah sebahagian daripada kesempurnaan Islam. Renungilah nas-nas di berikut;

Daripada Abu Hurairah RA, Sabda Rasulullah SAW:

مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ المَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya: “Antara kemurniaan Islam seseorang adalah apabila dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.”

Riwayat al-Tirmidzi (2317).

 

Apabila seseorang Muslim menyedari kewajipan dan tanggungjawabnya maka dia akan sibuk dengan dirinya dan memberi perhatian kepada perkara yang akan memberikan manfaat di dunia dan di akhirat. Dia akan menjauhi perkara yang sia-sia, menjauhkan dirinya daripada perkara keji dan memberi perhatian kepada perkara yang berkaita dengannya. Rujuk al-Kafi Syarah Hadis 40 (hal. 132)

Daripada Hudzaifah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَتَّاتٌ

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang mengadu-domba.”

Riwayat al-Bukhari (6056)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ» ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan golongan penipu. Pendusta menjadi orang terpercaya, manakala orang yang jujur pula didustai. Pengkhianat diberikan amanah manakala orang yang amanah pula dikhianati, dan Ruwaibidhah pula dibenarkan untuk bercakap.” Para sahabat bertanya, “Siapakah Ruwaibidhah itu.” Nabi menjawab: “Individu yang lemah lagi bodoh tetapi bercakap urusan umum.”

Riwayat Ibn Majah (4036)

 

Semoga dengan pesanan-pesanan di atas dapat menghentikan budaya fitnah dan mengumpat yang melanda, memperbaiki hubungan kekeluargaan, dan penyelesaian yang menenangkan dapat diperolehi dalam kalangan pihak yang bertelingkah. InsyaAllah.

 

 

Akhukum fillah,

Sahibus Samahah Datuk Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan,

24 Ogos 2017 bersamaan 2 Zulhijjah 1438H.