Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE- 98: CAMPUR TANGAN ASING DALAM KEMELUT 1MDB

 

 

Kami diminta oleh sebahagian wartawan untuk mengulas berkenaan dengan isu campur tangan asing dalam kemelut 1MDB. Hari ini kita sudah sedia maklum dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak. Kami selamanya akan kekal objektif dalam pendirian ini, tidak akan cenderung kepada mana-mana pihak yang berkepentingan serta teguh atas paksi kebenaran. Dalam menangani pertembungan pendapat ini, kami yakin wujud titik persamaan antara pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju. Dua noktah utama kami dalam isu ini adalah:

  • Isu seperti ini sewajibnya diselesaikan diperingkat dalaman atau dalam negara itu sendiri.
  • Tuduhan umum tanpa fakta yang jelas adalah bercanggah dengan kaedah Islam yang menyebut (البينة على المدعي واليمين على من أنكر ) "Bagi yang mendakwa wajib membawa bukti, sedangkan yang mengingkari adalah bersumpah (menafikannya)”. Tuduhan seperti ini melambangkan betapa muflisnya akhlak dan dangkalnya etika yang luhur.

Bacalah sejarah kerana ia sebaik-baik sumber rujukan dan pedoman. Sejarah yang panjang bermula dengan kejatuhan kerajaan Abbasiyah di Kota Baghdad ketika mana ia dengan mudah diserah kalah kepada bangsa Tartar Mongol. Angkara pengkhianat dan campur tangan melalui tipu daya dan helah telah menjadikan Kota Baghdad pada tahun 658 Hijrah bermandikan darah sebagaimana catatan sejarah yang dibuat oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah. Disebutkan sebanyak sejuta atau lebih umat Islam terkorban dengan pelbagai cara termasuk disembelih. Perkara yang sama telah dinyatakan oleh pakar sejarah Ibnu ‘Athir dalam al-Kamil Fi al-Tarikh dan ramai tokoh-tokoh sejarah yang lain. Sejarah senantiasa akan terus berulang, walaupun watak dan situasinya mungkin sedikit berbeza.

Oleh itu melihat kepada implikasi serta kesan yang amat mendalam amat wajar dan mesti urusan sesebuah negara diselesaikan oleh negara itu sendiri. Baik atau buruk sesebuah pentadbiran negara, ia tetap adalah negara kita. Malaysia adalah milik kita dan selamanya hak kita bersama. InsyaAllah di hari yang baik dan bulan yang baik ini, kami menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk bersatu hati. Kita sama-sama berganding bahu dan berada dalam satu saf untuk mempertahankan negara kerana sifat kasihkan negara adalah lambang keimanan seseorang. Bahkan ia sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan nikmat Allah dengan keamanan dan keharmonian negara yang kita huni ini. Semoga Allah limpah ruahkan nikmat dan barakah buat negara Malaysia. Selamat hari Raya Aidilfitri.

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan 24 Jun 2017 bersamaan 29 Ramadhan 1438H