Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-95 : ISU TERSILAP BAKAR MAYAT MUALLAF

 

BAYAN LINNAS: ISU TERSILAP MEMBAKAR MAYAT MUALLAF

Akhbar Berita Harian edisi Isnin, 5 Jun 2016 telah melaporkan satu kes di mana satu jenazah lelaki mualaf, Hassan Abdullah, 74 atau nama asalnya Lim Ah San, telah disempurnakan mengikut ajaran Buddha selepas Unit Forensik Hospital Kajang, tersalah menyerahkan jenazah itu kepada sebuah badan kebajikan. Kekeliruan terhadap nama asal Allahyarham dipercayai menjadi punca mayatnya diserahkan oleh Unit Forensik Hospital Kajang di sini kepada pengurusan mayat bukan Islam hingga menyebabkan ia dibakar di krematorium dekat Cheras pada Ahad, 4 Jun 2016.[1]

            Menyedari kepentingan hal ini, kami mengambil inisiatif untuk menulis satu artikel Bayan Linnas yang kami namakan dengan tajuk ‘Bayan Linnas: Isu Tersilap Membakar Mayat Muallaf’.

Kewajipan Yang Harus Ditunaikan Terhadap Mayat Muslim

Pengurusan jenazah merupakan satu kewajipan yang harus dilaksanakan kepada setiap mayat Muslim tanpa mengira jantina, umur dan pangkat sebagai satu penghormatan kepada mayat tersebut, selain sebagai satu proses pembersihan dan penyucian daripada sebarang kekotoran.[2]

            Terdapat 4 langkah yang perlu dilaksanakan menurut tertib dalam pengurusan jenazah:

  • Memandikan jenazah
  • Mengkafankan jenazah
  • Mensolatkan jenazah
  • Mengebumikan jenazah

Urusan pengebumian jenazah juga haruslah dipercepatkan berdasarkan sabda Baginda Nabi SAW:

أسْرِعُوْا بِالْجَنَازَةِ

Maksudnya: “Hendaklah dipercepatkan (urusan) ke atas pengkebumian jenazah….”

      (HR Bukhari 1/228, dan Muslim 2/373)

 

Kaedah Pengurusan Abu Mayat Muslim

Dalam keadaan mayat tersebut hanya tinggal abu sahaja, maka tatacara pengurusannya adalah sedikit berlainan. Abu tersebut perlu dikumpulkan dan dibungkus dengan kain kafan, dan ditayammumkan sebagai ganti kepada mandian ke atas mayat biasa, sebelum disolatkan serta dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Atau jika tidak memungkinkannya, maka hanya dikafankan sahaja.

Disebut dalam kitab Hasyiyah al-Baijuri, sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’e, dimana mayat yang mati dan hangus terbakar, perlu diuruskan seperti biasa, cuma harus ditayammum ke atasnya dengan menggunakan debu tanah yang suci lagi kering sebagai ganti kepada mandian. Hal ini kerana mayat yang terlalu uzur akibat terbakar jika dimandikan dibimbangi akan hancur dagingnya.[3] Ini boleh juga diqiyaskan kepada abu mayat yang telah dibakar, kerana adalah tidak munasabah untuk dibasuh abu tersebut dengan air menurut kaedah biasa.

Ini juga didasarkan pada qa’edah:

ما لا يُدرَكُ كُلُّه ،  لا يُترَكُ كُلُّه

Maksudnya: Perkara yang tidak boleh dibuat kesemuanya, maka janganlah ditinggalkan semuanya.

Memandikan mayat merupakan salah satu kewajipan dalam pengurusan jenazah. Maka dalam rangka memenuhi kehendak nas syara’, tuntutan memandikan jenazah dilaksanakan mengikut kemampuan jika tidak ditayamumkan dan jika tidak dikafankan sahaja.

Kesimpulan

Dalam kesempatan ini kami ingin menasihati pihak yang terlibat dalam pengurusan jenazah ini agar sentiasa berhati-hati dalam menjalankan kerja yang dipertanggungjawabkan. Kesilapan pegawai yang tidak mematuhi prosedur penyerahan mayat amatlah dikesali dan tidak sepatutnya berulang. Sikap profesionalisme (al-Itqan) harus sentiasa diamalkan dalam tugasan seharian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti ini daripada berlaku.

Tindakan pantas pihak bertanggungjawab yang telah mengumpul kembali abu mayat, ditayammumkan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam juga wajar diberi pujian. Ucapan takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham, semoga mereka diberi kesabaran dalam menghadapi ujian kematian daripada Allah SWT ini.

 

 

[1] http://www.bharian.com.my/node/289757

[2] Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala al-Mazhab as-Syafi’e, 1996, Darul ‘Ulum al-Insaniyyah, 1/252

[3] Hasyiyah al-Baijuri, 1999, Beirut: Darul Kutub al-‘Ilmiyyah, 1/466