Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-159: MENGANGKAT TANGAN KETIKA BERDOA

 

Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan mengangkat tangan ketika berdoa?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berkaitan soalan di atas, terdapat beberapa hadith yang menunjukkan bahawa Nabi SAW mengangkat tangan Baginda yang mulia ketika berdoa. Antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RA di dalam Sahihnya:

 

  • Daripada Abu Musa RA, berkata:

 

دَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ بِهِ، ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ فَقَالَ: "اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعُبَيْدٍ أَبِي عَامِرٍ" وَرَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ، فَقَالَ: "اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ يَوْمَ القِيَامَةِ فَوْقَ كَثِيرٍ مِنْ خَلْقِكَ مِنَ النَّاس"

Maksudnya: “Nabi SAW meminta dibawakan air, lalu Baginda SAW berwudhuk dengan  air tersebut. Kemudian Baginda SAW mengangkat kedua tangan sambil berdoa: “Ya Allah, Kau ampunilah ‘Ubaid Abi ‘Amir”, sehingga aku terlihat putihnya ketiak Baginda SAW. Baginda SAW meneruskan berdoa: “Ya Allah, Kau jadikanlah dia di hari Kiamat antara orang yang terbaik daripada kalangan manusia”. [Riwayat al-Bukhari (6383)]

 

Di dalam hadith ini, menunjukkan bahawa Nabi SAW mengangkat tangan Baginda SAW ketika berdoa. Di samping itu juga, terdapat hadith lain yang menunjukkan bahawa Allah SWT malu kepada hambanya yang mengangkat tangan memohon kepada-Nya seperti hadith di dalam Sunan al-Tirmizi:

 

  • Daripada Salman al-Farisi RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Maha Hidup lagi Maha Mulia malu jika seorang lelaki itu mengangkat kedua tangannya kepada-Nya serta memulangkannya dalam keadaan kosong yang tidak membawa hasil”. [Riwayat al-Tirmizi (3556)][Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi]

 

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi  dikatakan bahawa terdapat banyak hadith-hadith sahih dan jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW mengangkat tangan ketika berdoa. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 232/9]

 

Syahidnya ‘Ubaid Abi ‘Amir

Beliau merupakan salah seorang sahabat yang besar sehingga Nabi SAW mendoakan beliau agar dijadikan orang yang terbaik dalam kalangan manusia. Nama beliau ialah ‘Ubaid bin Sulaim bin Haddhar al-Asy’ari dan kuniyyah beliau adalah Abu ‘Amir. Di dalam kitab al-Rahiq al-Makhtum dinukilkan bahawa Nabi SAW telah menghantar sekumpulan pasukannya ke Awthas di bawah pimpinan Abu ‘Amir al-Asy’ari untuk mengejar kaum musyrikin yang melarikan diri akibat tewas dalam peperangan Hunayn. Disebabkan itu, berlaku pertempuran kecil dengan pihak musuh dan akhirnya tentera Musyrikin itu mengalami kekalahan. Dalam pertempuran kecil itu, Abu ‘Amir al-Asy’ari telah gugur syahid.

 

Penutup

Kesimpulannya, mengangkat tangan ketika berdoa termasuk di dalam adab-adab berdoa kerana ia menunjukkan tanda kita merendahkan diri di hadapan Allah SWT yang Maha Berkuasa. Akhirnya, semoga Allah SWT memakbulkan doa-doa kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang terbaik. Amin.

 

Wallahua’lam