Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-114: HADITH MU’ALLAL ATAU MU’AL

 Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hadith Mu’allal?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Mu’allal adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan sanad dan juga matan dalam sesebuah hadith.

 

Definisi Hadith Mu’allal

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Mu’allal adalah seperti berikut:

وَمَا بِعِلَّةٍ غُمُوْضٍ أَوْ خَفَا * مُعَلَّلٌ عِنْدَهُمُ قَدْ عُرِفَا

Maksudnya:  “Dan  apa (hadith) yang mempunyai ‘illah (kecacatan) atau tersembunyi 

Telah dikenali sebagai [Hadith Mu’allal] di sisi mereka (ahli hadith)”.

 

Berdasarkan kata-kata Imam al-Baiquniy di atas, hadith Mu’allal adalah hadith yang secara zahirnya dilihat selamat daripada sebarang kecacatan tetapi apabila dilihat kembali dengan lebih teliti akan terlihat kecacatan tersebut dan ini hanya diketahui oleh ahlinya sahaja.

 

Definsi Hadith Mu’allal

Hadith Mu’allal adalah hadith yang terdapat padanya kecacatan yang tersembunyi samada pada sanad atau matan tetapi zahirnya dilihat selamat daripada kecacatan tersebut. Ini kerana, kecacatan yang terdapat pada hadith tersebut bersifat tersembunyi atau sukar ditentukan bahawa ia adalah kecacatan melainkan ahli di dalam bidang tersebut sahaja yang mengetahuinya. Selain itu juga, hadith Mu’allal dikenali juga dengan nama yang lain iaitu hadith Ma’lul (المَعْلُوْل) atau Mu’al (المُعَلّ).

Huraian Hadith Mu’allal

Kecacatan yang terdapat di dalam sesebuah hadith samada pada sanad atau matannya hanya diketahui setelah para ahli hadith menghimpunkan dan meneliti setiap jalur-jalur yang terdapat pada hadith tersebut. Antara kecacatan yang biasa dijumpai adalah tafarrud al-Rawi (perawi menyendiri dalam meriwayatkan hadith) atau berlaku percanggahan dengan perawi atau riwayat yang lebih kuat daripadanya samada dari sudut keadaan perawi atau bilangan perawi dalam sesebuah riwayat. Tambahan pula, setelah mereka berpuas hati dengan peneletian yang dilakukan itu, mereka akan membetulkan kembali hukum hadith daripada bersambung kepada terputus apabila mereka yakin dengan perkara tersebut atau mereka akan tawaqquf dalam perkara yang mereka tidak yakin. Antara pembetulan yang biasa dilakukan adalah seperti membetulkan hukum hadith daripada mausul (الموصول) kepada mursal (المرسل) atau daripada marfu’ (المرفوع) kepada mawquf (الموقوف) atau mereka tawaqquf.

 

Jenis-Jenis ‘Illah

‘Illah pada hadith berlaku dalam tiga keadaan iaitu:

 

  • Pada sanad sahaja dan ini merupakan paling banyak. Contohnya:

 

عن سفيان الثوري عن عمر بن دينار عن ابن عمر عن البي صلى الله عليه وسلم قال: "الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا".

Maksudnya: Daripada Ya’la bin Ubaid, daripada Sufiyan al-Thauri, daripada Amr bin Dinar, daripada Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Penjual dan pembeli boleh memilih, selama belum berpisah”. 

 

Pertamanya, sanad hadith ini bersambung kerana perawi-perawinya bersifat adil dan matannya juga sahih. Namun begitu, kecacatan yang terdapat pada sanad hadith ini adalah pada perawi bernama Amr bin Dinar kerana yang sepatutnya adalah Abdullah bin Dinar daripada Ibn Umar RA sebagaimana yang diriwayatkan oleh para imam daripada ashab (sahabat) Sufiyan al-Thauri. Kesalahan ini telah dilakukan oleh Ya’la bin Ubaid apabila beliau telah tertukar daripada Abdullah bin Dinar kepada Amr bin Dinar. Tambahan pula, kedua perawi (Abdullah dan Amr) ini adalah thiqah (dipercayai).

 

  • Pada matan sahaja dan ini adalah paling sedikit. Contohnya adalah:

 

Hadith Anas di dalam sahih Muslim berkaitan penafian basmalah (بسم الله الرحمن الرحيم)atau membaca basmalah secara perlahan dalam surah al-Fatihah ketika solat. ‘Illah atau kecacatan pada matan mempunyai beberapa jenis, antaranya:

  • Matan hadith bertentangan dengan al-Quran.
  • Matan hadith bertentangan dengan hadith yang sahih dan diamalkan.
  • Matan hadith bertentangan dengan sejarah yang sahih dan thabit.

 

  • Pada sanad dan matan. Antara contohnya adalah sebagaimana yang disebut oleh Abi Hatim:

 

Abu Hatim telah ditanya akan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Baqiyyah, daripada Yunus, daripada al-Zuhri, daripada Salim, daripada Ibn Umar, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنْ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ أَوْ غَيْرِهَا، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendapat satu rakaat daripada solat Jumaat atau selainnya maka dia telah mendapat solat tersebut”. [Riwayat Ibn Majah (113)]

 

Ini merupakan kesalahan yang berlaku pada sanad dan matan. Sepatutnya sanadnya adalah daripada al-Zuhri, daripada Abi Salamah, daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ أَدْرَكَ مِنْ صَلاَةٍ رَكْعَةً، فَقَد أَدْرَكَهَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendapat satu rakaat daripada solat maka dia telah mendapatkannya”.

 

Adapun perkataan “مِن صَلاةِ الجُمُعَةِ” di dalam matan merupakan waham (kesalahan) daripada perawi. [Lihat: ‘Ilal al-Hadith, 2/432]

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.

Wallahua’lam