Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-112: SIKAP SUKA BERDEBAT

 Soalan: Apakah status dan maksud hadith ini ?

Matan Hadith

  • Daripada Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الجَدَلَ

Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat”. [Riwayat al-Tirmizi (3176) dan Ibn Majah (47)]

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebenarnya kami telah menyebutnya dalam sesi soal jawab di surau JKR pada 30 Ogos yang lalu. Hadith ini juga disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam kitab beliau, antaranya di dalam kitab al-Ihya’ dan juga al-Minhaj. Justeru itu, kami perincikan hal ini sebagaimana berikut:

 

Hukum Hadith

Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan hadith ini:

  • Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini di dalam sunannya sebagai hasan sahih.
  • Imam Ibn Hajar al-Asqalani menghukum hadith ini hasan. [Lihat: Hidayah al-Ruwwah ila Takhrij Ahadith al-Masabih wa al-Mishkah, 1/138]
  • Imam Ibn Hajar al-Haithami mengatakan hadith ini sahih. [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 1/202]
  • Al-Albani menghukum hadith ini dengan hasan. [Lihat: Sahih al-Tirmizi, 7/253]

Berdasarkan beberapa pendapat ulama’ di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah hasan.

 

Makna Hadith

Hadith di atas bermaksud tidak akan tersesat sesuatu kaum yang telah mendapat hidayah selagimana mereka berada di atas jalan tersebut melainkan mereka yang gemar berdebat. Apa yang dimaksudkan dengan gemar berdebat adalah orang yang meninggalkan jalan kebenaran (hidayah) dan memilih jalan kesesatan iaitu orang yang hidupnya tidak tenang melainkan dengan perdebatan (perdebatan di atas kebathilan). Telah berkata al-Qadhi, yang dimaksudkan daripada hadith ini adalah orang yang ta’assub dalam mempromosikan mazhab yang tidak diterima atau aqidah yang sesat bukannya berdebat untuk menzahirkan kebenaran, menyingkap keadaan, menyatakan perkara yang tidak diketahui atau mengajar kepada orang lain berdasarkan apa yang dimilikinya kerana ini semua adalah fardhu kifayah dan diluar konteks hadith. [Lihat: Faidh al-Qadir, 5/453]

 

Fiqh al-Hadith

Antara fiqh al-Hadith yang boleh dikeluarkan daripada hadith di atas adalah:

  • Kita perlulah sentiasa berada dan mengikut jalan hidayah iaitu jalan kebenaran.
  • Perdebatan di atas kebathilan akan menyebabkan seseorang itu jauh daripada kebenaran.
  • Sifat ta’assub adalah satu sikap yang ditentang di dalam agama.
  • Berdebat bagi mencari kebenaran atau di atas kebenaran adalah dibenarkan.
  • Walaupun Islam membenarkan umatnya untuk berdebat tetapi dalam masa yang sama ia perlulah dilakukan dengan cara yang harmoni dan penuh dengan adab tanpa wujud permusuhan.

 

Penutup

Kesimpulannya, kita hendaklah sentiasa memelihara akhlak dan tingkah laku apabila berada di dalam perdebatan. Dalam masa yang sama, kita perlu menjauhkan diri daripada perdebatan di atas kebathilan sebagaimana yang dinyatakan di atas. Di sini kami datangkan beberapa kata-kata hikmah daripada Imam al-Syafie RA:

 

مَا جَادَلْتُ أَحَدًا إِلَّا تَمَنَّيْتُ أَنْ يُظْهِرَ اللهُ الْحَقَّ عَلَى لِسَانِهِ دُوْنِيْ

Maksudnya: “Aku tidak akan berdebat dengan seseorang melainkan aku mengharapkan Allah SWT mengzahir kebenaran di atas lidahnya berbanding diriku”.

مَا نَاظَرْتُ أَحَدًا قَطُّ عَلَى الْغَلَبَةِ

Maksudnya: “Aku tidak pernah berdebat untuk mencari kemenangan”.

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara dan menjauhkan lidah dan akhlak kita daripada perkara-perkara yang keji lagi munkar.

 

Wallahua’lam