Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-111: Hafiz al-Quran Dipakaikan Makhkota Dan Dapat Memberi Syafaat Kepada 10 Orang Ahli Keluarga

Soalan: Apakah status hafiz al-Quran memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarga? 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Seorang hafiz al-Quran mampu memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarga. Setelah meniliti di dalam al-Quran tidak terdapat ayat yang menceritakan tentang seorang yang hafiz atau menghafal al-Quran mampu memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya. Antara ayat al-Quran yang menceritakan tentang kelebihan al-Quran adalah :

  • Firman Allah SWT

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)”. [al-Qamar:17]

 

Begitu juga di dalam hadith, tidak terdapat mana-mana hadith tentang perkara ini. Antara hadith tentang kelebihan membaca, mempelajari dan menghafal al-Quran adalah:

  • Daripada Uthman RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5027]

 

  • Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW:

إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ القُرْآنِ كَالبَيْتِ الخَرِبِ

Maksudnya: “Orang yang tidak ada di dalam dadanya sepotong pun ayat ibarat Al-Quran adalah seperti rumah yang ditinggalkan kosong”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2913] [Hadith dinilai oleh Imam al-Tirmizi sebagai Hasan Sahih]

Berikut adalah antara hadith-hadith yang berkait dengan kelebihan membaca, mempelajari dan menghafal  al-Quran. Tambahan pula, hadith yang selalu kita dengar tentang kelebihan hafiz al-Quran dan menjadi topik perbincangan kita adalah:

 

Pertama: Matan Hadith

  • Daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَاسْتَظْهَرَهُ [أي: عَنْ ظَهْرِ قَلْبِيٍ] فَأَحَلَّ حَلاَلَهُ وَحَرَّمَ حَرَامَهُ أَدْخَلَهُ اللّهُ بِهِ الْجَنَّةَ وَشَفَّعَهُ فِي عَشْرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ كُلُّهُمْ قَدْ وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ

Maksudnya: “Barang siapa yang membaca dan menghafal al-Quran lalu menghalalkan yang halal di dalamnya dan mengharamkan yang haram di dalamnya nescaya Allah akan memasukkannya dengan sebab itu ke dalam jannah, dan menerima syafa’atnya untuk 10 orang daripada keluarganya yang kesemuanya mesti masuk ke dalam neraka”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2905]

 

Pendapat ulama’ berkaitan hadith ini

Antara pendapat ulama’ dalam menghukum hadith ini:

  • Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai ghorib dan tidak diketahui (jalurnya) melainkan daripada jalur ini. Tambahan pula, ia tidak mempunyai sanad yang sahih dan padanya Hafs bin Sulaiman didhaif dalam meriwayatkan hadith.
  • Imam al-Baihaqi mengatakan Hafs bin Sulaiman bersendiri (tafarrud) dalam meriwayatkan hadith ini dan dia seorang yang dhaif dalam meriwayatkan hadith. [Lihat: Syu’ab al-Iman, 2/804]
  • Al-Mubarakfuri mengatakan Hafs bin Sulaiman seorang matruk (ditinggalkan) dalam meriwayatkan hadith. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 7/323]

 

Tarjih

Setelah melihat pendapat dan hukum para ulama’ dalam menilai hadith ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini teramat lemah dan perawinya telah dihukum dhaif oleh para ulama’.

 

Kedua: Matan Hadith

  • Daripada Mu’az bin Anas al-Juhaniy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ ، أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، ضَوْءُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسِ فِي بُيُوتِ الدُّنْيَا لَوْ كَانَتْ فِيكُمْ ، فَمَا ظَنُّكُمْ بِالَّذِي عَمِلَ بِهَذَا

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya, maka pada hari kiamat kedua ibu bapanya akan di pakaikan mahkota, sinarnya lebih terang daripada cahaya matahari berada di rumah kita. Bagaimana menurut perkiraan kalian, bagaimana agaknya ganjaran untuk orang yang mengamalkannya sendiri?”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 1453]

 

Pendapat ulama’ berkaitan hadith ini

Antara pendapat ulama’ dalam menghukum hadith ini:

  • Abu Daud tidak memberi apa-apa komentar berkaitan hadith ini (سكت عنه). Ini bermakna hadith ini salih (صالح) berdasarkan risalah kepada ahli Makkah yang ditulis olehnya.
  • Imam al-Baghawi mengatakan bahawa hadith ini adalah gharib. [Lihat: Syarah al-Sunnah, 4/436]
  • Syeikh Syu’aib al-Arnaouth mengatakan sanadnya dhaif disebabkan dhaifnya Zabban bin Faid dan juga Sahl bin Mu’az. [Lihat: Sunan Abu Daud, 2/583]

 

Tarjih

Setelah melihat pendapat dan hukum para ulama’ dalam menilai hadith ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini dhaif disebabkan terdapat perawi yang dihukum dhaif di dalam sanad tersebut. Walaubagaimanapun, di sana terdapat sebuah hadith yang boleh dijadikan syawahid atau mutaba’at bagi hadith ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arnaouth, beliau berkata:

 

إسناده حسن في المتابعات والشواهد من أجل بشير بن المهاجر الغَنَوي، وباقي رجاله ثقات رجال الشيخين

Maksudnya: “Sanadnya adalah hasan pada syawahid atau mutaba’at disebabkan Basyir bin al-Muhajir al-Ghanawi dan perawi-perawi yang lain adalah thiqah iaitu perawi-perawi al-Syeikhan (al-Bukhari dan Muslim)”. [Lihat: Musnad Ahmad, 38/42]

 

Hadith yang dimaksudkan adalah:

  • Daripada Buraidah al-Aslamiy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ ، وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَيْنِ لَا يُقَوَّمُ لَهُمَا أَهْلُ الدُّنْيَا ، فَيَقُولَانِ : بِمَ كُسِينَا هَذِهِ ؟ فَيُقَالُ : بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ ، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ : اقْرَأْ وَاصْعَدْ فِي دَرَجَةِ الْجَنَّةِ وَغُرَفِهَا ، فَهُوَ فِي صُعُودٍ ، مَا دَامَ يَقْرَأُ هَذًّا كَانَ أَوْ تَرْتِيلًا

Maksudnya: “Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia. Lalu mereka bertanya: “Mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?”. Allah menjawab: “Kerana anak kamu mempelajari al-Quran?”. Kemudian dikatakan kepadanya: “Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya”. Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat al_Qur’an)”.[Riwayat Ahmad, 38/42, no. Hadith 22950] al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan sanad hadith ini hasan. [Lihat: al-Mathalib al-‘Aliyah, 14/324]

 

Penutup

Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa terdapat hadith-hadith yang sahih berkaitan orang yang mempelajari dan mengajarkan al-Quran. Selain itu juga, ibubapa juga akan mendapat kelebihan tersebut kerana disebabkan merekalah yang menyebabkan anak itu mempelajari al-Quran. Tambahan pula, al-Quran mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di dalamnya dan orang yang sentiasa melaziminya akan bertambah keberkatan di dalam kehidupannya dan kehidupan orang disekelilinya. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita sifat cintakan al-Quran dan seterusnya mengurniakan kepada kita zuriat-zuriat yang sentiasa melazimi al-Quran di dalam kehidupan kita agar al-Quran akan datang kepada kita di hari akhirat sebagai pembantu atau pemberi syafaat kepada kita. Amin.

 

Wallahua’lam