IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-74 : PUASA AWAL SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM BULAN RAMADHAN
Soalan:
Apakah dibolehkan berpuasa awal sehari atau dua hari sebelum bulan Ramadhan ?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, persoalan ini sering dibincangkan apabila kita menghampiri bulan Ramadhan. Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membincangkan berkaitan hukum berpuasa awal sehari atau dua hari sebelum bulan Ramadhan.
Matan Hadith
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:
لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
Maksudnya: “Janganlah kalian mendahulukan Ramadhan dengan sehari berpuasa atau dua hari kecuali bagi sesiapa yang telah terbiasa berpuasa sebelumnya”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1812]
- Dalam lafaz yang lain di dalam Sahih al-Bukhari:
لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ ، إِلَّا أَنْ يَكُوْنَ رَجُلٌ كَانَ يَصُوْمُ صَوْمَهُ ، فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ
Maksudnya: “Janganlah seorang daripada kalian mendahului bulan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari kecuali apabila seseorang itu sudah biasa berpuasa maka berpuasalah pada hari itu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 1781]
Hukum Hadith
Hadith ini adalah hadith Muttafaqun ‘alaih (متفق عليه) iaitu disepakati akan kesahihannya oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Ini merupakan tahap hadith sahih yang paling tinggi kerana ia disepakati oleh dua Imam yang besar dalam bidang hadith.
Maksud Hadith
Tidak dibolehkan berpuasa awal sehari atau dua hari apabila tiba bulan Ramadhan melainkan jika seseorang itu sentiasa melakukan puasa dan secara kebetulan hari yang biasanya dia berpuasa itu bersamaan dengan hari akhir dalam bulan Sya’ban. Contohnya seperti berpuasa hari Isnin pada setiap minggu dan hari isnin jatuh pada hari terakhir dalam bulan Sya’ban. Maka dalam masalah ini, dibolehkan untuk berpuasa samada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdasarkan kebiasaan yang dilakukan. [Lihat: Syarah Bulughul al-Maram, 151]
Persoalan
Mengapa ada larangan mendahulukan puasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan?
- Pertama: Jika berpuasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan adalah dalam rangka berhati-hati, maka hal ini dilarang agar tidak menambah hari berpuasa dalam bulan Ramadhan.
- Kedua: Tujuannya juga adalah agar dapat dibezakan antara puasa wajib dan puasa sunat. Ini kerana, memisahkan antara amalan yang wajib dan sunat adalah sesuatu yang disyariatkan, berdasarkan arahan Nabi SAW melarang seseorang itu menyambung solat yang wajib dengan solat sunat tanpa diselangi dengan salam atau zikir terlebih dahulu. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 258-259] Ini juga merupakan antara perkara yang disukai oleh Ibn Abbas dan juga disukai oleh golongan salaf iaitu memisahkan antara Sya’ban dan Ramadhan dengan tidak berpuasa sehari atau dua hari. [Lihat: al-Istizkar, 3/271]
Tarjih
Setelah kami melihat dan menekuni akan masalah ini, maka kami berpendapat bahawa tidak dibolehkan untuk kita berpuasa awal sehari atau dua hari sebelum bulan Ramadhan berdasarkan hadith yang kami nyatakan di atas bagi sesiapa yang tidak menjadi kebiasaannya berpuasa. Tambahan pula, hadith tersebut adalah di tahap sahih yang paling tinggi iaitu muttafaqun ‘alaih. Walaubagaimanapun, di sana terdapat athar bahawa sebahagian sahabat berpuasa pada hari tersebut seperti Abdullah bin Umar. [Lihat: Zad al-Ma’ad, 2/43] Namun begitu, amalan sahabat menjadi lemah apabila ia bercanggah dengan nas hadith yang sahih lagi jelas.
Penutup
Kesimpulannya, larangan berpuasa sehari dan dua hari sebelum Ramadhan adalah kepada sesiapa yang tidak menjadi kebiasaannya berpuasa pada hari-hari yang lain. Tambahan pula, 30 atau 29 Sya’ban adalah termasuk di dalam hari Syak (يوم الشك) maka para fuqaha’ mengharamkan berpuasa pada hari tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ammar bin Yasir, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ اليَوْمَ الَّذِيْ يُشَكُّ فِيْهِ فَقَدْ عَصَىْ أَبَا القَاسِمِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari yang diragukan maka sesungguhnya dia telah menderhakai Abu al-Qasim (Nabi SAW) ”. [Riwayat al-Nasaie, no. Hadith 2159]
Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kesempatan untuk bertemu bulan Ramadhan serta membimbing kita dalam melaksanakan ibadah kepada-Nya. Amin.